Bab 8

Romance Series 16121

SEPERTI yang dijanjikan, Dahlia kembali ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Edri dan bakal suami upahannya.

Dia terpaksa menipu orang tuanya. Katanya mahu berjumpa dengan kawannya. Kalau dia berterus-terang, dah tentu Pak Rahim mengamuk lagi.
Dahlia ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas. Sampai di sana, Edri sudah menunggu untuk menjemputnya.

“Malam ni balik rumah kita je lah.”

“Mana boleh. Kita bukan suami isteri lagi,” bantah Dahlia keras. Edri ni memang suka buat keputusan ikut hati dia. Tak fikir langsung!

“Saya tak akan buat apa-apa dekat awak. Takkan awak tak percayakan saya?”

Dahlia terdiam seketika. Walaupun mereka tak buat apa-apa, tetap tidak manis jika mereka tinggal sebumbung. Macam-macam boleh jadi.

“Bukan saya tak percaya tapi…”
“Ya lah, ya lah. Lepas makan nanti kita cari hotel untuk awak.” Akhirnya Edri mengalah. Malas mahu memanjangkan cerita.

“Awak rindukan saya tak?”

Dahlia tersenyum nipis sambil mengangguk. Mestilah rindu! Hampir tiap malam dia menangis mengenangkan hubungan mereka berdua.

“Saya pun rindukan awak, Lia. Kalau saya boleh ulang masa, saya tak akan lafazkan talak. Saya betul-betul menyesal.”

Dahlia nampak raut wajah Edri penuh dengan kesesalan.

“Benda dah nak jadi kan. Kita dah tak boleh nak buat apa-apa.”

“Kita akan kembali macam dulu. Jangan risau. Saya sayangkan awak, Lia.”

UMAR tak senang duduk bila Mak Esah memberitahunya yang Dahlia ke Kuala Lumpur. Entah apa pula rancangan gila yang Dahlia nak buat kali ini.

Sejak dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan Dahlia tempoh hari, wanita itu melancarkan perang dingin terhadapnya. Umar datang ke rumah pun Dahlia tak layan. Betul-betul merajuk dengan Umar.

Risau dengan Dahlia, Umar terus ke Kuala Lumpur untuk mencari wanita itu. Bukannya dia tak kenal dengan Dahlia yang suka buat keputusan tak fikir panjang. Umar kasihan melihat Mak Esah dan Pak Rahim.

Naik lenguh jari Umar mendail nombor Dahlia tapi wanita itu langsung tidak menjawab panggilannya. Berpuluh-puluh pesanan yang dihantar pun langsung tidak dibalas.

Buntu Umar dibuatnya. Dia tidak tahu mahu mencari Dahlia di mana sekarang ini. Tapi Umar pasti Dahlia pasti datang ke sini untuk berjumpa dengan Edri. Jadi Umar membuat keputusan untuk mencari di mana syarikat lelaki itu. Manalah tahu kalau Dahlia ada di sana.

“SIAPA yang telefon tu?” soal Edri. Dia nampak Dahlia terus matikan telefon bimbitnya selepas berkali-kali ada panggilan masuk.

“Umar.”

Dahi Edri berkerut halus. Dia kenal Umar. Dia juga tahu Dahlia dan Umar berkawan baik sejak di bangku sekolah lagi. Keluarga Umar dan Dahlia juga rapat.

“Kenapa dia telefon?”

Dahlia menggeleng. Umar tak habis-habis nak menyibuk hal dia. Waktu dia minta pertolongan lelaki itu tempoh hari, bukan main sombong lagi. Sekarang ni sibuk pula nak ambil tahu hal dia.

“Mak dengan abah suruh ke?” tebak Edri.

Dahlia ketap bibir. Boleh jadi juga. Tapi… Ah, tak boleh! Mak dan abah tak boleh tahu yang dia berjumpa dengan Edri. Matilah dia kalau mereka tahu. Tak sempat nak kembali menjadi isteri Edri, dia dah kembali ke rahmatullah dulu.

“Farid akan datang sekejap lagi,” beritahu Edri. Sekarang ini mereka berada di sebuah restoran. Edri sudah berjanji mahu mempertemukan Farid dan Dahlia.

“Saya takut lah Ed. Macam mana saya nak kahwin dengan lelaki yang saya langsung tak kenal?”

“Farid tu baik. Jangan risau. Dia tak akan ikat awak lama-lama. Kahwin sebulan dua, lepas tu dia akan ceraikan awak. Dan kita boleh nikah semula.”

Dahlia takut membayangkan perancangan masa hadapan mereka. Bercakap memanglah mudah tapi yang nak kena hadapnya nanti, dia juga.

Tentu saja Mak Esah dan Pak Rahim tidak setuju jika dia ingin berkahwin lagi. Apatah lagi selepas bercerai. Tentu orang kampung akan mengata.

“Jangan fikirkan orang lain. Fikirkan tentang kita dan masa depan kita je.” Edri seperti dapat meneka apa yang sedang bermain dalam kepala Dahlia ketika ini.

DAHLIA membetulkan duduknya. Liur ditelan kesat. Tak selesa apabila sedari tadi sepasang mata itu asyik merenungnya. Macam nak tembus pun ada.

“Kau orang berdua berboraklah. Janganlah senyap je,” ujar Edri. Keadaan ketika ini teramatlah canggung. Masing-masing mendiamkan diri.

“Tak tahulah nak borak apa,” balas Farid sambil tersenyum lebar. Ralit dia pandang Dahlia sampai tak berkelip mata. Sungguh, wanita itu memang sangat cantik. Patutlah Edri sanggup mengupahnya untuk menjadi cina buta. Asalkan dia dapat berkahwin dengan Dahlia semula.

Dahlia melarikan wajahnya. Dia tidak senang dengan pandangan Farid. Tak selesa. Rasa macam nak lari jauh-jauh je. Bila tengok senyuman Farid, lagilah meremang bulu romanya.

Tiba-tiba telefon Edri berdering menandakan ada panggilan masuk. “Sekejap ya.” Edri langsung bangun meninggalkan meja.

Tinggallah Dahlia berdua bersama dengan Farid. Makin canggung dibuatnya.

“Nama Dahlia secantik Dahlia,” ujar Farid tiba-tiba.

Dahlia pandang ke arah Edri yang sedang menjawab panggilan telefon. Alahai… Kenapalah Edri tinggalkan dia berdua dengan Farid. Sumpah, dia tak selesa!

“Walaupun kita kahwin bukan sebab cinta, saya rasa saya akan jatuh cinta dengan Dahlia juga.”

Dahlia tergamam. Riak wajahnya langsung berubah. Ed, saya takut! Macam manalah dia nak hidup dengan Farid nanti? Walaupun tak lama tapi dia tetap akan berkahwin dengan lelaki itu juga. Tiba-tiba Dahlia rasa tak sanggup. Tapi ini satu-satunya jalan yang dia perlu tempuh untuk kembali bersama Edri.

Lima minit kemudian, Edri datang kembali. “Dahlia, sorry saya ada urgent meeting. Nanti Farid akan hantarkan awak balik ke hotel.”

Terbuntang mata Dahlia pandang Edri. Biar betul Edri nak tinggalkan dia berdua saja dengan Farid?

“Tapi Ed…”

“Saya nak cepat ni. Nanti saya telefon awak semula.” Usai itu Edri langsung meninggalkan restoran.

Dahlia makin tak senang duduk dibuatnya. Lagi-lagi bila dia tinggal dengan Farid je sekarang ni. Ah, Ed ni pun satu. Ada ke patut dia pergi macam tu je.
“Dahlia, janganlah takut. Saya ni bakal suami awak. Kalau awak takut dengan saya, macam mana kita nak jadi suami isteri?” Farid seperti dapat meneka apa yang berada dalam kepala Dahlia sekarang ni.

Lelaki itu tiba-tiba bangun daripada tempat duduknya. Dia mengambil tempat di sebelah Dahlia pula.

“Eh, kenapa ni?” soal Dahlia cemas. Makin takut dibuatnya bila lelaki itu duduk di sebelahnya. Buat dia makin tak selesa.

“Hmm… Wanginya bau awak…”

Dahlia rasa nak menangis sekarang ni. Dia betul-betul takut. Macam manalah Edri sanggup tinggalkan dia dengan lelaki seperti Farid.
“Janganlah,” ujar Dahlia tegas apabila tangan Farid mula merayau ingin menyentuh bahagian tubuhnya.

Farid langsung tak peduli dengan larangan Dahlia. Makin Dahlia larang, makin dia suka. Barulah mencabar.

“Dahlia!”

Dahlia tersentak. Wajah terus diangkat mencari pemilik suara itu.

“Umar.” Dahlia terus bangun daripada duduknya.

Mata Umar tajam menatap wajah Farid. Bukannya dia tak nampak apa yang Farid cuba lakukan pada Dahlia tadi. Mujurlah dia datang cepat.

“Ikut aku,” arah Umar. Tegas.

Tanpa banyak soal, Dahlia langsung mengikut Umar. Dia lebih rela ikut Umar daripada terus berada di restoran itu bersama dengan Farid.

Panggilan daripada Farid tidak dihiraukan. Malah Dahlia langsung tak menoleh. Langkah kaki dihayun laju mengikut langkah Umar. Dahlia tak tahu bagaimana Umar boleh berada di sini tapi yang penting lelaki itu sekali lagi menjadi penyelamatnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience