BAB 11

Romance Series 8958

"Woi!"

Terhinjut bahu Inara apabila mendengar jerkahan itu. Sontak tubuh berpaling ke belakang. Sosok Adrian dengan wajah ketatnya menghiasi pandangan mata.

"Dekat sini rupanya kau ya? Penat aku keliling supermarket ni, tau-tau melepak duduk mencangkung macam jantan. Kau buat apa hah?" Sedas Adrian melontarkan bicara. Bagai tepat mengenai dahi Inara yang sudah melangut wajah sedari tadi.

"Elok sikit mulut kau tu. Tak nampak ke aku tengah buat apa?" Inara menunjukkan beberapa paket keropok ringan yang berada pada genggaman. Bukan saja-saja pun dia mencangkung. Dah tempat letak keropok ni bawah sangat.

"Aku tak buta lagi."

Inara tayang muka jengkel. "Dah tu?"

Brak!!

Bakul yang di pegang sedari tadi dihempas kasar pada lantai.

"Bawak." Pendek saja Adrian mengarah.

Inara pandang Adrian tak percaya. "Kalau ya pun nak suruh aku bawakkan letak elok sikit tak boleh ke? Kau nak rosakkan harta benda awam ke apa?"

"Hm? Rasanya tadi ada orang main hempas-hempas bakul jugak dekat aku. Siapa ya?" Adrian memerli halus sambil mata sibuk melilau mencari orang yang dimaksudkan.

Sebal dengan perilaku lelaki itu, spontan kedua tangan memegang kepala lelaki itu dari liar bergerak ke sana ke sini, lalu pipi lelaki itu di tepuk beberapa kali. "Ni ha, ni orang yang kau cari. Puas? Janganlah jadi gila sangat sampai nak cari orang yang tak wujud kau tu!" Geram sungguh Inara jadinya.

Adrian senyum senget. "Oh, kau nak mengaku sambil ambik kesempatan dekat aku pulak ya? Pandai taktik kau ni. Siapa ajar? Lelaki tadi?"

Inara kelu. Terus kedua tangan dijatuhkan dari memegang kepala lelaki itu. "Apa pulak tiba-tiba nak kaitkan dengan orang lain?" Nadanya kedengaran tidak berpuas hati.

"Mana tau dia scandal kau, mesti dia pernah ajar cara-cara nak ambik kesempatan dekat lelaki kan? Itu yang kau boleh melekat dengan aku sekarang." Selamba lelaki itu berbicara.

Dan itulah dia. Adrian kalau sudah buka mulut, boleh bernanah telinga Inara mendengarnya. Semuanya hanya berisi tuduhan tak bertempat semata-mata.

"Kau kata kau tak butakan? Takkan tadi kau tak nampak? Dah terang lagi bersuluh dia terlanggar aku. Aku pun tak kenal dialah. Kalau ya pun aku nak berlakon takkanlah aku sanggup nak suruh dia langgar aku semata-mata nak mengundang sakit tersembam badan kena lantai? Fikirlah Adrian..." Nada Inara kedengaran sudah lelah untuk menjelaskan. Lalu bakul yang berada di atas lantai itu diraih perlahan sambil memasukkan makanan dan minuman yang diambil tadi.

Adrian diam memerhati.

"Dah tu, aku tengok mesra semacam je." Fikir Inara lelaki itu sudah kehabisan kata-kata, rupanya sempat menyambung bicara walau hanya kedengaran perlahan menyapa telinga.

"Dah dia serba salah terlanggar aku, mestilah aku maafkan dia cara baik. Itulah namanya berbudi bahasa. Takkan nak mengherdik tak bertempat." Inara balas mudah. Lalu kaki sudah berura-ura ingin melangkah ke hadapan tetapi deheman tiba-tiba dari Adrian membuatkan niatnya terurung serta-merta.

Dengan terpaksa, malas-malas dia berpaling kembali ke arah lelaki itu. "Apa lagi encik?" Perlinya.

"Sekarang ni aku tanya kau. Kau nak ke mana bawak bakul tu?"

Inara kerut kening. "Pergi kaunterlah apa lagi. Nak bayarkan?"

"Ha, itulah bengong. Kaunter mana yang kau nak pergi tu? Kaunter ghaib ke? Benda ada dekat belah kanan tu yang kau pergi depan sana nak buat apa? Takkan tu pun tak nampak? Ke nak aku suluh mata kau tu kasi terang." Adrian kembali menyembur. Nampaknya lelaki itu memang tidak mahu memberikan ruang untuk Inara bernafas dengan tenang.

"Kau sendiri yang hilangkan fokus aku." Inara sudah lelah ingin berbalah lagi, lalu arah laluan terus di ubah untuk belok ke kanan. Adrian pula hanya menyusul dari belakang.

Sampai saja di hadapan kaunter, Inara terus meletakkan barang-barang di atas kaunter itu untuk di scan. Ketika matanya tertancap pada makanan miliknya sendiri, Inara baru teringat yang mereka harus membayar asing.

"Er kak... Yang ini bayar asing ya?" Melihat wanita di hadapannya itu sudah ligat meng-scan barang-barang itu membuatkan Inara diam-diam mengeluh perlahan. Habislah, keropok dia tadi dah terscan sekali. Macam mana ni?

"Eh, tapi yang keropok satu ni saya dah terscan, tak apa ke?" Wanita kaunter itu garu kepala.

"Err... Kalau cancelkan tak boleh k-"

"Tak apa kak. Bungkus je terus makanan tu dalam plastik saya, saya bayar." Tak sempat Inara menghabiskan bicara, Adrian sudah memotong laju.

Wanita kaunter itu hanya mengangguk. Inara pula sudah pandang Adrian tak percaya. Namun lelaki itu hanya menayang wajah datar. Tak beriak sama sekali padanya.

Lalu Adrian mula menghulurkan kad banknya untuk membayar. Selesai saja pembayarannya, lelaki itu terus membawa plastiknya dan berlalu keluar terlebih dahulu dari supermarket itu.

Setelah itu, Inara buru-buru membayar lebihan makanannya pula. Takut di tinggal lelaki itu sekali lagi memang mati kutu dia di sini.

Setelah semuanya selesai. Inara terus menuju ke arah parking kereta. Sampai saja di situ, langkahnya mati.

Muncul lagi satu masalah melandanya. Mana Adrian letak kereta ya? Kerana sungguh, Inara masih belum mengingati selok belok kawasan bandar ini. Apatah lagi mengingati di mana letaknya kereta Adrian.

Kerana sebetulnya mereka tadi berhenti agak jauh dari sini kerana parking di depan supermarket sudah dipenuhi dengan kenderaan lain.

Sedang kepalanya sibuk mencari-cari, Inara tiba-tiba terfikir, jangan-jangan lelaki itu meninggalkannya lagi seperti tadi? Inara tidak habis fikir. Tidak mungkinlah. Padahal tadi lelaki itu tidak sampai berapa minit pun keluar dari supermarket tadi?

"Alahai... Tak kan nak aku bentang karpet merah betul-betul kut baru kau nak jalan. Nak aku tunggu sampai bila ni? Tahun depan?"

Mengenali suara sinis itu, membuatkan Inara yang menoleh ke kanan tadi terus memandang ke hadapan. Kelihatan sosok Adrian sudah berdiri tegak di seberang jalan sambil memeluk tubuh bersama wajah meluatnya itu.

Aduh... Nasib baik lelaki itu tak menjerit untuk menyedarkannya walaupun jarak mereka agak jauh. Tak pasal-pasal orang awam nanti terdengar dan merasai aura mereka yang bagai anjing dengan kucing ini.

Tidak ingin menanggung malu akibat lupa di mana letaknya kereta lelaki itu, Inara terus tayang riak muka biasa sambil kaki laju membuka langkah. Tidak ingin berlama-lama menghadap wajah lelaki itu. Sudahlah mereka sekarang ini berdiri berhadapan. Gaya macam bapak tunggu anak lintas jalan pun ada.

Namun akibat tidak melihat kiri dan kanan sebelum melintas, sebuah kereta yang datang secara tiba-tiba ke arahnya membuatkan Inara terkejut bukan kepalang. Seiring dengan itu pemilik kereta itu menekan hon nyaring, memberi amaran kepada Inara untuk mengelak cepat. Tetapi malangnya Inara tidak dapat mencerna situasi itu dengan lebih cekap. Tika itu kakinya bagai di gam tidak mampu bergerak. Inara mati akal. Ketakutan pula menguasai diri sehingga yang dia mampu hanya memejamkan mata serapat-rapatnya.

Dan alhasil...

BRUK!!

Fikirnya tubuh badannya akan melayang ataupun di gilis kereta, namun sebaliknya malah terhempap pada jalan tar. Namun rasanya tidak terlalu sakit kerana tubuh belakangnya bagai ditahan dengan sesuatu.

Pelbagai rasa menguasai diri. Namun tetap, kelopak mata dibuka perlahan. Tatkala itu matanya bersambung pandang dengan renungan tajam Adrian yang berada tepat-tepat dihadapan mukanya.

Sedarlah Inara, bahawa lelaki itu yang menolak dia ke sisi jalan sehingga mereka sama-sama jatuh terjelupuk di atas jalan tar ini. Bahkan kedua tangan lelaki itu melekat sempurna pada belakang badannya dari benar-benar menghempap permukaan jalan tar yang kasar dan tidak rata ini.

Tidak sempat Inara mahu bertenang dan menghela nafas lega...

"Kau gila?!" Satu jerkahan sudah menyapa corong telinga.

Terhinjut bahu Inara dikeranakan terkejut. Tidak habis dari peristiwa tadi, sekarang makin bertambah luruh jantung Inara setelah mendengar suara jerkahan Adrian yang agak kuat itu.

"Kau memang nak mati ke? Tak kan lintas jalan pun tak pandai? Nak aku tunjuk tutorial dulu ke baru nak pandai sikit otak kau tu? Budak-budak pun pandailah kalau mak bapak ajar tengok kiri kanan dulu sebelum melintas! Ini tak, main redah je macam jalan ni kau punya!" Adrian tidak dapat membendung lagi kekesalannya. Sehari memang tidak sempurna kalau wanita dihadapannya ini tidak melakukan sesuatu perkara yang menguji kesabarannya.

Sudahlah banyak menyusahkan. Ini mahu menambahkan lagi masalah dan beban untuknya. Tak kan nak dibiarkan saja anak orang di langgar depan mata? Adrian tidak gila lagi untuk lepas tangan sebegitu. Ini soal nyawa. Mana mungkin mahu ambil mudah begitu saja.

Inara ketap bibir. "A-Aku tak sengaja..." Perlahan dia membuka mulut.

Adrian tak menjawab. Hanya menghantar pandangan maut yang tidak lepas dari memandang wanita itu tajam. Membuatkan Inara jadi sedikit gerun untuk membalas tatapan itu.

Kemudian, terlepas keluhan berat dari bibir lelaki itu sebelum batang tubuhnya segera diangkat menjauh dari Inara.

Inara juga tidak tunggu lama untuk turut bangun dari kekal terbaring di atas jalan itu.

Dengan gerakan perlahan mereka berdua serentak berdiri sambil menepuk-nepuk sedikit pakaian yang agak berpasir akibat terkena pada permukaan jalan tadi.

Tidak peduli dengan pandangan orang-orang sekeliling, mereka cuba berlagak biasa. Pemilik kereta yang hampir melanggar Inara tadi pun sudah melesap pergi. Mungkin kerana tahu kemalangan tadi dapat dielakkan, jadi tiada guna mahu keluar dari kenderaan.

Inara juga tidak mengambil pusing tentang hal itu. Kerana dia tahu situasi ini terjadi pun disebabkan kesalahan dan kecuaiannya sendiri. Ada Adrian menolongnya walau kelihatan terpaksa sekalipun sudah cukup untuk Inara bersyukur tika ini. Setidaknya dia masih bernafas di atas muka bumi ini. Dalam diam, terbit perasaan terhutang budi pada lelaki itu.

"Ikut aku cepat." Tidak tunggu lama, Adrian sudah memberi arahan. Kali ini mereka terpaksa jalan beriringan, kalau tidak, kejadian tidak diingini yang lain juga turut boleh terjadi. Dan jujur, Adrian tiada kuasa untuk menghadapnya lagi.

Tatkala mereka mahu melintas jalan kembali, Adrian menoleh pada Inara di sampingnya. Bagai memberi amaran untuk wanita itu tidak melakukan kesalahan buat kali kedua.

Menerima pandangan atau lebih tepatnya jelingan maut itu membuatkan Inara menelan ludah payah. Lalu seperti kerbau di cucuk hidung, Inara mula menoleh ke kiri dan kanan dalam gerakan perlahan.

Ketika sudah memastikan tiada kenderaan sama sekali, Inara toleh pula pada Adrian yang berada di sisi. Mahu mendapatkan green light dari lelaki itu.

"Tau rupanya nak melintas. Ingatkan tak tau." Sempat Adrian menambah lagi.

Inara hanya berdiam diri. Tidak berniat untuk membalas. Kali ini dia tidak harus mempertahankan diri ketika dibidas lelaki itu. Kerana dia mengaku kesalahannya sendiri. Jadi mengalah buat sementara pun tidak rugi sama sekali baginya.

Melihat Adrian sudah membuka langkah untuk melintas terlebih dahulu membuatkan Inara turut menyusul gerak geri lelaki itu.

Sampai saja di dalam kereta, masing-masing mula memakai seatbelt. Lalu kereta Adrian mula bergerak untuk meneruskan perjalanan.

Dalam pada itu, Inara mula teringat tentang makanan yang dibayar Adrian tadi. Kalau tidak silap, harganya dalam seringgit dua puluh sen sahaja. Lalu buru-buru dia menyeluk beg tangannya untuk mengeluarkan nilai wang sesuai dengan harga makanan itu tadi.

Setelah kira-kira untuk memastikan nilainya mencukupi, Inara menghulurkan duit itu kepada Adrian.

Adrian yang sedar akan itu hanya pandang huluran Inara sebelah mata.

"Tak payah. Aku malas sekarang ni nak berurusan dengan kau. Jadi aku nak kau duduk diam-diam sekarang sampailah jejak rumah mama nanti." Akhirnya keluar bicara dari lelaki itu. Dan itu membuatkan huluran Inara tadi terus jatuh ke sisi.

Tak apalah. Dia akan pulangkan duit ini kembali setelah mereka tiba nanti. Atau mungkin... Dia akan menambah lagi nilainya sebagai tanda terima kasih? Ergh... Seorang Inara jarang sekali berkelakuan baik hati sebegini di hadapan Adrian. Kalau berkeras nak buat sekalipun, harus menebalkan muka di hadapan lelaki itu. Tak pasal-pasal makin kuat perliannya nanti.

Tapi tak salahkan mencuba? Kerana hal ini juga dikira sebagai niat baik untuk membalas pertolongan lelaki itu tadi.

It's been a while...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience