BAB 12

Romance Series 8958

Sesampai di rumah mertuanya, dan-dan itu telapak tangan Inara serasa berpeluh. Perasaan gugup mulai datang bertandang.

Melihat Adrian selamba keluar dari kereta tanpa mengeluarkan sepatah kata membuatkan Inara lekas mengikuti jejak lelaki itu.

Lelaki itu ke bonet kereta, Inara juga ikut sama. Sambil-sambil itu tangan menggapai plastik makanan yang dibelinya tadi. Memang niatnya mahu berkongsi makanan itu bersama Raisya.

Sedangkan Adrian, mula mengangkut buah tangan yang di beli tadi. Ketika kedua tangan bagai mahu penuh dengan plastik, membuatkan dia mengalihkan plastik yang bersangkut pada tangan kanan ke arah Inara.

Inara tidak banyak bicara, hanya menyambut huluran itu mudah. Kali ini rasanya masing-masing harus bertolak ansur. Kerana tidak mungkinkan mahu menunjukkan sikap yang tidak sopan di depan orang tua nanti?

"Kau pergi dulu. Aku nak ambik barang yang tertinggal dekat seat depan." Adrian keluarkan arahan yang membuatkan Inara bagai terketar lutut untuk tetap berdiri.

Dia benar-benar tidak sedia untuk menjelmakan diri jika dia seorang saja yang terpacul di muka pintu nanti. Lebih sanggup menunggu Adrian jalan dulu!

"Kau dengar tak?" Suara Adrian bagai menyentaknya dari kekal diam.

"Ya. Aku tak pekak lagi." Inara hela nafas perlahan. Seiring dengan mencari keberanian diri untuk menghadap mertuanya nanti.

"So nak tercegat apa lagi dekat sini?" Kalau bukan di rumah mama papanya, sudah pasti suaranya ini telah memetir tidak sabaran. Lambat benar tindak balas wanita di depannya ini.

"Aku nak pergilah ni..." Inara pasrah. Kemudian kaki mulai melangkah ke arah pintu masuk hadapan yang masih terkatup rapat itu.

Sesekali mata mengerling pada sosok Adrian yang sedang membungkukkan separa tubuhnya untuk masuk ke dalam perut kereta itu. Fokus benar wajah lelaki itu ketika meraba-raba barang yang ingin di ambil.

Kemudian, pandangan kembali ditalakan pada pintu di hadapannya ini. Tidak mahu membuang masa, butang loceng di sisi pintu ditekan perlahan.

Dan tidak perlu untuk menunggu lama, pintu itu sudah di buka dari dalam. Liana muncul bersama senyuman yang mula mengembang di wajah.

"Alhamdulillah... Datang pun Inara." Bahu menantunya itu dirangkul perlahan dan terus dibawa ke dalam pelukan.

Walau kaku, Inara tetap membalas pelukan itu bersama senyuman canggung.

"Jomlah masuk. Kita sembang-sembang dekat dalam." Liana terus mempelawa, ruang di muka pintu di buka sedikit lebar.

Inara mengangguk, kaki mula melangkah masuk ke dalam rumah itu.

"Oh... Dah jumpa orang yang mama nak, anak sendiri terus tak pandang dah?" Adrian yang baru muncul itu menarik perhatian mereka berdua.

"Apa pulak macam tu. Kamu tu... Lambat betul batang hidung nak nampak. Mama sambutlah dulu tetamu istimewa ni." Liana geleng kepala. Seiring dengan itu, Adrian menghulurkan tangan untuk bersalaman dan kemudiannya disambut oleh Liana. Terus kedua pipi anak lelakinya itu dicium lembut. Hal biasa bagi dua beranak itu.

"Macam biasa, another gift for you." Kotak yang diambil dalam kereta tadi disuakan pada Liana.

"Ya Allah Ad... Berapa banyak lagi kamu nak kasi mama? Jangan cakap ni rantai kali yang ke tiga? Kamu tau tak hari tu punya pun mama belum pakai gilir-gilir lagi tahu?" Liana hela nafas panjang. Memang dia sudah dapat meneka hadiah apa kali ini, kerana jenama pada kotak itu pun sudah menjelaskan semuanya.

Adrian tergelak. "Okeylah... Ini last rantai dari Ad. Next time hadiah lain pulak. Okey ma?"

Dan tentunya bicara itu sama sekali tidak dapat melegakan hati Liana. "Dah dah lah tu Ad. Bazir duit aje. Mama tak mintak apa-apa pun dari kamu."

"Tak kisah lah kalau mama tak mintak apa-apa pun. Yang penting Ad nak bagi lagi."

Dan itu membuatkan Liana bulat mata pandang anak lelakinya itu. Aduhai... Lain benar perangai anaknya yang satu ini. Degil, tidak mahu mendengar kata.

Sedangkan Inara yang berada di situ hanya menjadi saksi perbualan antara mak dan anak itu.

Sehinggalah pandangan Liana berlabuh pada Inara membuatkan wanita itu buru-buru mengajak mereka berdua untuk masuk ke dalam. Tidak mahu berlama-lama di muka pintu.

Jejak saja di ruang tamu, kelihatan sudah ramai yang berada di situ. Masing-masing sibuk bersembang mesra. Dan itu makin menambahkan debaran di dada Inara walaupun semua orang di situ sudah saling bertemu dengannya, tetapi tetap Inara masih belum terbiasa dengan suasana keluarga Adrian ini.

"Pak ngah, mak ngah dah sampai!" Satu suara meneriak heboh. Dan membuatkan semua orang di situ berpaling ke arah mereka.

Kelihatan Raisya terkedek-kedek berlari ke arah mereka berdua. Lalu kaki Inara dan Adrian yang berada sebelah menyebelah itu di peluk erat bagai tidak mahu lepas. Tidak padan dengan badan kemetotnya.

Inara senyum tipis, rambut anak kecil itu dibelai lembut.

Adrian pula tidak tahan dari terus membawa Raisya dalam dukungannya. "Kenapa excited semacam ni?"

Bibir Raisya memuncung kecil. "Rindu pak ngah dengan mak ngah."

"Alahai... Baru tinggal berapa hari dah rindu?"

"Mestilah. Lagi-lagi Ica paling rindu dekat mak ngah!" Tangan kiri memegang pundak Adrian untuk memaut badan manakala tangan kanan mula disuakan ke arah muka Inara.

Inara yang tidak faham mula terkebil-kebil memandang tangan si kecil yang bagai tergantung sebelah itu.

"Ica nak apa ni?" Melihat tangan Raisya sudah melambai-lambai ke udara membuatkan Inara akhirnya mengajukan soalannya.

"Nak pegang tangan mak ngah." Akhirnya si kecil menyuarakan hasratnya.

Tak dapat Inara tahan dari tersenyum melihat gelagat Raisya itu. Lalu tangan kanan si kecil itu mula diraih dan dibawa dalam genggaman.

Tersengih suka Raisya. Badan pula sudah dilentokkan ke arah Inara. Membuatkan Adrian yang mendukung si kecil itu terpaksa menggerakkan tubuhnya sekali menghadap Inara.

Alhasil kedudukan mereka saling berhadapan tatkala senyum Inara masih mengembang buat Raisya.

Kalau dilihat dari sudut pandang orang lain, pasti sudah dianggap seperti keluarga kecil yang bahagia. Namun nyatanya, sangat jauh dari kata itu.

Seakan tersedar, senyum Inara perlahan memudar. Mata bergerak mencari wajah lelaki itu. Tatkala itu tidak sengaja mata mereka saling bersambung pandang.

Adrian menghantarkan pandangan tegas, tidak ada kata lembut sama sekali. Manakala Inara memandangnya dengan pandangan canggung.

Sebelum...

"Amboi Ica... Tak sudah-sudah mengacau pak ngah mak ngah nya itu. Diorang baru sampai tu. Jomlah makan dulu." Nadia memecahkan suasana hening di antara mereka itu.

Setelah itu Raisya terus diambil dari dukungan Adrian. Si kecil itu pula tidak banyak bunyi, hanya menurut pada sang ibu.

***

Kini, mereka semua sudah berkumpul di meja makan. Dan tentunya sudah banyak juga sapaan dari mereka untuk Inara, dan Inara hanya menyambut sapaan dan soalan dari mereka dengan hangat walau masih belum terbiasa.

Kebanyakannya pertanyaan mereka lebih tertuju ke arah kesihatannya. Khabar bahawa dia pernah pengsan sebelum ini pun sudah sampai ke pengetahuan mereka semua. Lebih-lebih lagi Liana, prihatin sungguh dengan dirinya. Berulang kali memastikan keadaannya walaupun Inara sudah menjaminkan keadaannya sendiri.

"Aaaa." Raisya sudah mula nganga mulut. Dan Inara kembali menyuapkan makanan ke dalam mulut si kecil itu.

Dari awal lagi Raisya sudah merengek mahu makan dan disuapkan olehnya, jadi alhasil sekarang, mereka berdua kini duduk bersebelahan untuk berkongsi satu pinggan.

"Mak ngah kenapa ketepikan sayur? Ica nak sayur." Raisya tiba-tiba bersuara.

"Eh? Mak ngah ingat Ica tak suka sayur."

"Ica sukalah. Mama kata makan sayur boleh cantik. Ica nak cantik macam mak ngah. Nanti ramai orang suka." Raisya senyum, kemudian menoleh ke arah Adrian yang sedang fokus menguyah makanan.

"Pak ngah pun suka mak ngah sebab mak ngah cantik kan?" Raisya menyoal polos. Matanya bulat pandang Adrian.

Suasana jadi hening sesaat. Liana menahan senyum, tidak tahan dengan soalan cepumas si kecil itu. Nadia pula sudah tepuk dahi. Beginilah jika punya anak yang sering kali salah menanggapi bicara emaknya sendiri.

Inara tunduk, senyuman terpaksa diukir canggung sambil menguis nasi. Si kecil ini kalau boleh semua mahu ditanyanya. Tak padan dengan tubuh kecil tapi mulut becok!

"Siapa kata?" Adrian sudah keluarkan suara. Dan itu membuatkan Inara di sebelah sudah panas punggung. Sesiapa tolong, jangan benarkan Adrian sambung bicara. Kerana semua perkataan yang keluar dari bibir lelaki itu benar-benar tajam belaka. Tiada tapisan sama sekali.

Melihat tiada tanda-tanda sesiapa mahu menyelit, membuatkan Inara menghela nafas sejenak seiring menyaksikan lelaki itu sudah berura-ura ingin membuka mulut untuk menyambung bicara,

“Cantik tu boleh pudar Ica. Tapi kalau hati tak pernah cantik, kita takkan nampak apa-apa pun lepas tu.”
Nada Adrian perlahan, hampir seperti berbisik kepada angin.

Dan ianya tentu menusuk masuk ke dalam hati Inara. Ayat itu bagai menghantar mesej padanya. Inara tahu benar bagaimana mahu menafsirkan itu. Mungkin segala tuduhan Adrian tentang dia sebelum ini dapat membuktikan keseluruhan hati seorang Inara pada mata lelaki itu. Yang busuk, penuh drama dan seorang penipu buat Adrian. Jadi itulah maksudnya, muka cantik kalau hati hitam pun tiada guna.

Namun wajah tetap tidak berubah reaksi. Tidak mahu terkesan dengan ayat itu. Bicara lelaki itu hanya diambil sepintas lalu.

"Apa maksudnya pak ngah? Ica tak faham." Raisya sudah melangut wajah pandang pak ngah nya itu bersama muka blur.

"Raisya, makan dulu. Jangan tanya soalan macam reporter." Ujar Liana, menyelamatkan suasana.

Raisya hanya senyum manis, lalu mulut kembali dibuka ingin menerima suapan dari Inara lagi walaupun mulutnya masih penuh dengan makanan yang belum dikunyah dengan sempurna itu.

Tergeleng kepala Nadia melihat tingkah anaknya itu.

Ilham pula yang menjadi saksi perbualan mereka sedari tadi mula buka bicara, "Inara okey ke dekat rumah sana? Ad bagi makan tak?"

Dan soalan itu membuatkan Inara bungkam mahu menjawab.

Adrian pula sudah mencuri pandang ke arah wanita itu.

"Makan cari sendiri je lah pa." Adrian selamba menyampuk.

"Apa pulak macam tu? Kamu dah jadi suami, wajib tanggung isteri." Ilham menasihati. Memang sudah menjangka balasan Adrian sebegitu.

"Ad pun dipaksa. Dalam keadaan mental dan fizikal Ad belum bersedia untuk dirikan rumah tangga. Jadi kenapa papa nak expect Ad jadi suami mithali untuk dia?" Bicara itu kedengaran halus, tapi sungguh makan dalam. Membuat semua di situ bagai bungkam. Dan hawa udara disekeliling mulai berubah dingin.

Ilham mengeluh perlahan. Dia tahu maksud bicara lelaki itu. Memang benar, Adrian dipaksa secara tiba-tiba untuk mengahwini Inara. Tetapi apa salahnya, cuba untuk menjalankan kewajipan sebagai seorang suami di sisi agama? Apa salahnya, jika lelaki itu cuba mengurangkan jarak antara mereka?

Dan apa salahnya juga, untuk cuba menerima Inara?

Inara yang mendengarkan bicara Adrian hanya menarik senyum tipis. Dia tahu, bicara lelaki itu benar-benar dari lubuk hati yang paling dalam. Secara tidak langsung, lelaki itu mahu meluahkan apa yang terbuku di dalam hati.

"Pak ngah marahkan mak ngah ke?" Raisya yang menyaksikan perbualan tegang itu terkebil tidak mengerti. Yang pasti, dia melihat pandangan Adrian bagai mahu menelan Inara di sebelahnya. Benar-benar tajam.

"Tak adalah. Pak ngah tengah belajar terima kenyataan. Kadang-kadang hidup ni bagi kita benda yang kita tak minta, tapi kena hadap jugak." Adrian senyum miring. Dalam benar makna kata-katanya.

Dan sekali lagi, membuatkan si kecil itu tayang wajah buntu. Niat mahu menyambung bicara tetapi Nadia yang berada di sebelah cepat-cepat menutup mulut yang lancang berceloteh itu. Tidak mahu si kecil itu merosak suasana lagi.

"Kadang-kadang... Benda yang kita tak minta tu lah sebenarnya ujian untuk ajar kita erti sabar." Ilham senyum pahit.

Adrian angkat kening, suara makin mendatar. "Kalau sabar tu bawa ketenangan, baguslah. Tapi kalau sabar tu cuma buat kita makin sakit hari-hari... Itu bukan ujian. Itu siksaan."

"Adrian, cukup. Papa tak suruh kamu untuk libatkan perasaan dalam hubungan ini. Cukup untuk saling hormat. Itu dah memadai untuk menjaga rumah tangga." Ilham tahu isu ini sangat sensitif untuk diketengahkan dihadapan ahli keluarga yang lain. Lebih-lebih lagi ada Raisya di antara mereka. Tetapi dia sudah tidak tahan untuk tidak melontarkan peringatan supaya lelaki itu benar-benar hadam.

Adrian senyum tawar. "Hormat datang dengan ikhlas, pa. Bukan sebab status yang dipaksa."

Dan ya... Ayat terakhir lelaki itu bagai meruntuhkan ketenangan Inara yang dari tadi dia cuba kawal. Bersama tangan di bawah meja yang mula dikepal erat dia mula buka bicara, menyentakkan semua di situ,

"Maafkan saya kalau saya bawa beban dalam keluarga ini. Kalau tak sudi, saya boleh undur diri." Ayat itu bukan ditujukan untuk Adrian seorang, lebih tepatnya pada seisi keluarga yang kini sudah beralih pandangan ke arah Inara.

Dan nyatanya... Tanggapan wanita itu salah besar. Kerana ahli keluarga Adrian sangat mengalu-alukan kedatangan Inara di sini.

Walaupun... Takdir tidak terlalu manis untuk memihak pada pertemuan pertama mereka.

Sekian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience