Bangun saja dari tidur, badan Inara terus rasa sakit semacam. Mungkin efek dari kerja mengemasnya semalam. Nak jalan pun rasa macam nak tumbang.
Sarapan pagi itu pula ala kadar saja. Dia hanya membuat beberapa roti telur. Macam biasa, Raisya makan bersamanya. Adrian? Lantaklah sana. Dia tak nak ambil tahu.
Disebabkan hal malam tadi, Inara jadi tidak ada mood nak menghadap lelaki itu. Hatinya masih panas sekarang.
Usai makan, Inara terus mengemas apa yang patut.
Setelah itu, langkahnya diatur masuk ke bilik. Bajunya yang masih lembab dimasukkan ke dalam bakul kecil. Bakul itu terus dibawa keluar.
Satu persatu bajunya disidai pada ampaian. Mujur saja matahari tengah terik sekarang. Cepatlah bajunya kering nanti.
Selesai saja kerjanya, Inara terus masuk ke dalam. Dia ingin kembali berehat di bilik.
Sampai saja bilik, badannya terus direbahkan pada katil. Leher belakang yang terasa sakit terus diusap perlahan. Inara tersenyum kelat. Sakit... tolonglah pergi.
⋆.˚ ᡣ? .?˚
Sebelah tangan mengetuk-ngetuk meja. Bibir pula bersenandung kecil sambil menunggu air panasnya siap.
"Pak ngah."
Adrian mendongak. "Apa?"
"Emm... Ica nak aiskrim boleh?" Pintanya. Mimik muka dibuat secomel mungkin.
Adrian tayang muka menyampah. "Mana boleh makan selalu. Nanti gigi rosak baru tau."
Raisya mencebik. "Ica selalu gosok gigilah!"
"Heleh. Yela tu." Adrian kembali fokus dengan kerjanya. Air yang sudah panas dituang dalam cawan. Bersiap untuk membancuh coklat panasnya.
"Ala... Bolehlah pak ngah..." Baju Adrian ditarik perlahan.
Adrian hela nafas. "Tak cukup lagi ke semalam? Ica beli dua pulak tu."
Raisya menggeleng laju. "Semalam punya dah habis. Ica nak beli lagi."
"Cepatnya? Kan pak ngah dah kata makan satu-satu." Bebel Adrian. Air coklatnya dihirup perlahan.
Raisya hanya buat tidak endah. Tak kan lah dia nak kantoikan aiskrim satu lagi dia bagi dekat Inara? Memang tak lah.
"Bolehlah..."
"No. Lain kali lah. Mana boleh selalu."
Raisya terus terdiam. Terherot-herot bibirnya menahan sebak.
Wajah anak buahnya itu dikerling. Nak nangislah tu. Akhirnya keluhan dilepaskan.
"Pandai betul ya Ica nak bodek pak ngah? Pergi ambik kunci kereta cepat."
"Nak buat apa?"
"Beli aiskrimlah apa lagi?"
Bulat terus mata Raisya. Air mata yang mahu tumpah tadi seakan naik kembali. Laju saja tubuh Adrian dipeluk.
"Sayang pak ngah..."
⋆.˚ ᡣ? .?˚
Jam dinding dikerling. Pukul sebelas. Hari ini Inara bercadang untuk melawat Damesha di hospital. Dan sekarang dia berada di dapur. Ingin membuatkan nasi ayam untuk sahabatnya itu.
Walaupun badannya belum pulih sepenuhnya, dia tetap mengagahkan diri untuk keluar. Apa salahnya nak buat kawan sendiri happykan?
Sedang dia fokus membuat kerja, tiba-tiba bunyi pintu dibuka dari luar. Serta-merta pergerakannya terhenti. Siapa pulak tu?
Brak!
Inara mengusap dadanya. Terkejut woi!
"Tutup pintu slow-slow lah Ica."
Dengar saja suara itu, taulah Inara siapa yang berada di depan pintu itu. Cepat-cepat dia kembali fokus memasak. Kalau boleh, dia tak nak tengok muka lelaki tu. Marahnya masih belum reda.
"Ehem! Ehem!"
Inara senyum. Tak payah tengok pun dia tau itu suara siapa. Siapa lagi kalau bukan budak kecik tu.
"Mak ngah... Sinilah tengok apa Ica beli ni." Raisya mula menjuih bibir. Sampai hati tak nak layan!
"Ica beli apa?" Sambil menjawab, Inara fokus memotong sayur.
"Tengoklah."
Disebabkan ingin melayan karenah Raisya, pisau terus diletakkan ketepi. Dia berpaling ke belakang.
"Jeng! Jeng!" Raisya sudah menepuk-nepuk tangan. Teruja punya pasal.
Bulat terus mata Inara. "Banyaknya Ica..."
Seriously? Dua kotak aiskrim diorang beli?
Raisya sudah tersengih. "Kita makan ni kongsi-kongsilah. Dengan pak ngah sekali." Jari telujuk dihalakan pada Adrian disebelah. Entah bila lelaki itu duduk situ.
"Kita kongsi berdua je." Adrian tayang muka selamba. Tenang saja dia minum air coklat yang disimpan sementara di peti sejuk tadi.
"Eh! Mana boleh. Kongsi dengan mak ngah sekali lah!" Raisya menggeleng tak setuju.
"No. Duit pak ngah suka hati pak ngahlah." Bidas Adrian. Pipi Raisya dicubit geram.
Raisya tayang muka cemberut. Pipi yang sakit diusap-usap. Kejam betul!
"Tak naklah kawan pak ngah. Ica nak kawan dengan mak ngah je." Tangan didekapkan pada dada. Nak merajuk!
"Eleh. Nanti pak ngah pujuk eloklah tu."
Inara pula hanya diam sedari tadi. Senyuman kecil dilemparkan pada Raisya sebelum dia kembali menyambung kerjanya yang tergendala.
Huh! Setakat aiskrim murah macam tu pun dia boleh beli lah! Kerek betul! Hatinya mula membebel tak puas hati.
"Pak ngahlah ni! Tengok mak ngah dah merajuk." Marah Raisya. Lengan Adrian dipukul.
Adrian hanya diam. Tidak peduli.
"Mak ngah buat apa tu?" Kepalanya dijengahkan sedikit ke depan.
"Em... Nasi ayam." Jawab Inara. Dia duduk sebentar untuk menghilangkan rasa penatnya.
Raisya mengangguk. "Mak ngah tak nak aiskrim ke?"
Inara diam sejenak. Wajah Adrian dikerling. Lelaki itu hanya mengangkat dagu dengan pandangan tak puas hati. Seolah-olah berkata, "Apa pandang-pandang?"
"Tak apalah, mak ngah tak ada selera nak makan." Memang sekarang ini dia tidak lalu untuk makan. Last makan pun sarapan pagi tadi.
"Kalau malam ni kita makan sama-sama nak? Sambil tengok tv." Cadang Raisya. Mukanya jelas kelihatan teruja.
Inara diam lagi. Takkanlah nak makan aiskrim tu? Kang tak pasal-pasal ada singa mengamuk nanti.
"Tak naklah aiskrim. Tak sihat makan banyak-banyak. Kalau mak ngah buat kek coklat nak?"
"Sama je. Dua-dua tak sihat." Sampuk Adrian.
Sekali lagi lengan Adrian dipukul. Muka pak ngahnya dipandang tajam. Jari telunjuk diletakkan pada bibir memberi isyarat untuk senyap.
Adrian senyum. "Alala... Nak marah pak ngah ke? Tapi pak ngah tak takut pun." Kedua pipi Raisya ditonyoh-tonyoh dengan jari telunjuknya.
"Ish! janganlah pegang pipi Ica. Ica kan dah kata tak nak kawan pak ngah!" Mukanya berubah masam. Kali ni dia merajuk betul-betul.
Adrian tidak mengendahkan. Dia makin galak mengusik pipi Raisya. Suka tengok anak buahnya itu marah.
"Mak ngah! Tengok pak ngah ni!" Adunya. Muka tak puas hati ditayang.
Inara hanya menggeleng kepala.
"Mak ngah masuk bilik dulu tau? Ada kerja ni." Badan bingkas bangun. Dia harus bersiap cepat. Tak sabar nak jumpa Damesha punya pasal.
⋆.˚ ᡣ? .?˚
Lama Inara perhatikan pakaiannya dicermin. Hari ini, dia cuma memakai baju t-shirt biasa. Malas rasanya nak bersiap lawa-lawa. Setelah berpuas hati, dia mencapai beg tangannya dan berlalu keluar dari bilik.
Keluar saja, dua ketul manusia tadi masih lagi melepak di dapur sambil fokus makan aiskrim. Talifon yang disandarkan pada botol kicap menjadi tumpuan mata mereka. Entah apalah yang ditengoknya. Dia pun malas nak ambil peduli.
Inara mula mengambil bekas kecil untuk membungkus nasi ayam yang dimasak tadi.
"Mak ngah nak pergi mana?" Raisya sudah kerut kening.
"Nak keluar kejap."
"Makanan tu untuk siapa pulak?" Tanya Raisya lagi sambil menunjuk ke arah plastik
yang sudah siap dibungkus tadi.
"Ni untuk kawan mak ngah."
"Kau nak jumpa Damesha?" Adrian yang tadi fokus dengan talifonnya mendongak.
"Bukan urusan kau." Jawab Inara selamba.
"Bak." Tangan Adrian terhulur ke depan.
Inara mengeryit. "Kau nak apa?"
"Bak lah plastik tu. Banyak songeh betul." Jawab Adrian kesal.
"Kau nak buat apa?" Wajah Adrian dipandang tajam. Plastik yang dipegang dibawakan ke belakang badan.
"Dekat luar tengah hujan. Bagi jelah aku yang hantar." Tangannya masih terulur. Naik rimas pulak bila bercakap dengan minah ni.
"No. Aku yang nak jumpa dia. Jadi biarlah aku yang hantar." Inara masih berkeras. Suka-suka atok dia je nak mengarah.
Adrian hela nafas. "Kau ni memang degilkan? Kalau kau nak keluar pun, kau nak naik apa?" Ni yang nak marah ni.
"Aku boleh tumpang teksi." Jawab Inara tak puas hati.
"Ada ke teksi nak datang sini dengan hujan lebat macam ni? Kang tak pasal-pasal terlanggar tiang sebab kena sambar petir." Pedas mulutnya membalas.
Inara membulatkan mata. "Mulut kau tu kan... Memang dah lama tak makan penampar ke?"
"Aku tak ada masa sekarang ni. Bak plastik tu." Tangannya cuba merampas plastik yang dipegang Inara.
"Boleh tak jangan paksa!" Marah Inara. Kakinya diundurkan ke belakang untuk mengelak dari Adrian.
Tapi Adrian lebih pantas. Kedua-dua tangan Inara digenggam kuat supaya tidak bergerak. Dengan satu tarikan, plastik itu berjaya dirampas.
"Apa masalah kau ni hah?!" Muka Inara mula memerah. Marah sangat punya pasal.
Adrian hanya mengangkat bahu dengan senyum sinis dibibir. Kunci keretanya diambil lalu dia mula membuka langkah untuk keluar dari rumah.
Inara tak tinggal diam. Langkah Adrian di ikuti laju. Sampai saja depan pintu, lengan Adrian direntap kuat. Terus tubuh lelaki itu terpaling ke belakang.
"Kau nak apa?" Adrian tayang muka tak puas hati.
"Bagi baliklah! Aku nak hantar sendiri dekat Sha!" Lengan Adrian dipukul-pukul. Kepalanya terasa ingin pecah bila kena menghadap perangai bebal Adrian yang satu ini.
"No. Aku nak jumpa dia sekarang ni. Kau duduk rumah diam-diam." Bahu Inara ditolak ketepi.
"Adrian! Itu aku pu-"
"Nooo!!" Jerit Inara lantang. Matanya membulat seperti mahu terkeluar biji mata. Adrian ikut terkejut sama, serentak dengan itu tangannya terus menutup kedua telinganya. Bingit nak mampus!
Dengan pandangan tak percaya, Inara terus berlari menghampiri pagar. Baju-bajunya yang disidai pagi tadi sudah pun bertempiaran keluar.
Adrian yang melihat kejadian itu terus menghamburkan tawa. Lebih tepat lagi ketawa mengejek.
"Tulah... Lain kali jangan jadi derhaka dengan aku. Tengok tuhan dah bayar cash." Adrian menarik senyum sinis.
Mata mencerlung tajam pada Adrian. Tanpa pedulikan lelaki itu Inara terus meluru keluar dari pagar. Lantaklah baju yang dia pakai ni basah ke apa. Janji baju dia yang lain selamat.
Lepas saja dari bumbung rumah, air hujan terus membasahi tubuhnya. Rasa macam tengah mandi hujan batu pun ada. Berderu-deru hujan yang lebat itu menghentam tubuhnya.
Inara jadi kelam-kabut mengutip baju-bajunya. Ada yang nak dah terjatuh longkang, ada pula yang tercicir jauh sampai rumah jiran sebelah.
Adrian pula hanya diam jadi pemerhati. Seronok agaknya dapat tengok isteri sendiri tersiksa.
Setelah mengutip satu persatu, Inara terus berlari masuk ke dalam pekarangan rumah. Baju yang berada ditangan dibelek satu-satu. Kejap! Macam ada yang tertinggal.
Inara terdiam. Tak lama itu matanya kembali membulat. Kain batik! Kain batik aku tak ada!
Baju yang berada ditangan diletakkan ke tepi. Dia kembali berlari keluar dari pagar. Terbongkok-bongkok dia mencari kainnya itu di bawah kereta jiran sebelah. Kain oh kain. Mana kau hilang pulak ni? Inara sudah menggerutu dalam hati.
Hujan yang lebat tidak dipedulikan dari tadi. Kain batik nombor satu sekarang ni!
"Kau gila ke main redah macam tu?" Akhirnya Adrian bersuara. Pelik betul dia melihat Inara dari tadi. Macamlah tak boleh tunggu hujan berhenti dulu.
Inara mendongak. "Apa kau cakap?" Tanyanya separuh menjerit. Bunyi hujan kuat sangat punya pasal. Telinga pun automatik jadi pekak sekejap.
Adrian hela nafas. Lantak kaulah. Malas aku nak ulang lagi. Bazir air liur je. Dia mula membuka pintu kereta. Baru berura-ura ingin masuk, suara Inara kembali membingitkan telinganya.
"Adrian!"
Adrian mendengus. "Kau nak apa?!" Jawabnya kesal. Tak pasal-pasal dia kena ikut serta menjerit sebab bunyi hujan kuat sangat. Haih... Boleh rosak anak tekak kalau macam ni lama-lama.
Termengah-mengah Inara menghampiri Adrian. "Aku dah jumpa kain batik aku."
"So? Apa kaitannya dengan aku?"
"Masalahnya, kain tu tersangkut dekat pokok jiran sebelah! Aku nak mintak tolong kau ambikkan. Kau kan tinggi. Aku mana sampai nak ambik. Kang tak pasal-pasal diorang tuduh aku nak mencuri pulak." Terang Inara.
Adrian hela nafas. "Aku tak ada masa untuk semua tu. Blah. Aku nak undur kereta." Tangannya dilibas-libaskan pada muka Inara lagak seperti orang menghalau.
Inara mendengus. "Alah kau ni... Tolong sekejap je. Kau dah curi nasi ayam aku kenalah tanggungjawab sikit." Tangan Adrian ditarik paksa. Bukan selalu dia merayu macam ni. Ini semua pun sebab terpaksa.
Adrian berdecit tak suka. "Mana kainnya?"
Inara menghela nafas lega. Nasib baik dia nak tolong. "Sini ikut aku."
Mereka berdua terus menghampiri pagar luar. Baru setapak ingin melepasi bumbung rumah, Adrian menghentikan langkahnya.
"Kau seriouslah nak aku keluar dengan hujan macam ni?" Wajah Inara dipandang tajam.
"Yelah. Habis tu nak macam mana lagi?" Tudung yang sedikit terlucut ke belakang dibetulkan.
"Tak boleh ke tunggu hujan berhenti dulu?"
Inara menggeleng. "Tak nak aku. Malulah nanti kalau jiran sebelah tengok ada kain tersangkut dekat pokok diorang."
"Dahlah! Cepat sikit. Sekali sekala mandi hujan. Bukannya selalu." Tubuh Adrian terus ditolak kedepan. Serta-merta baju Adrian mula basah.
Adrian tergamam. "Seriously Inara?" Muka Inara kembali dipandang. Kali ni lebih tajam.
Inara garu kepala. Mula sedar dengan ketelanjurannya. "Err... Aku tak sengaja. Dah cepatlah! Kau dah basah pun kan?" Tangan Adrian kembali ditarik. Kalau berdiri je dekat sini, sampai esok pun tak habis.
Adrian terpaksa menurut. Kalau baju dah basah, tak ada guna pun nak patah balik.
Rumah sebelah dihampiri. Betul lah, memang ada pokok dekat sini. Walaupun kurang jelas buahnya, tapi Adrian yakin yang ini adalah pokok mangga.
"Tu. Cepat ambik." Arah Inara. Mulut pula dimuncungkan menunjuk ke arah kain batiknya yang elok tersangkut di situ.
"Kalau aku ambik ni, aku dapat apa?" Tanya Adrian. Kening diangkat sebelah.
"Kau kan dah dapat nasi ayam tadi." Inara mengingatkan. Dahlah main rampas je! Nasib baik aku tak cekik dia ni hidup-hidup.
"Tapi itu kan untuk Damesha."
"Kalau macam tu, kau makanlah nasi ayam dalam rumah nanti. Aku buat banyak."
"Aku tak nak nasi ayam."
"Habis tu?" Haih... Naik serabut pulak bila bercakap dengan mamat ni.
Adrian tak menjawab. Tangannya terhulur kedepan untuk mengambil kain batik yang tersangkut itu. Dapat saja, dia terus berikan pada Inara.
Tengok. Semudah ABC je dia ambik. Tak payah nak jengket-jengket.
"Kau betul ke nak buat apa yang aku nak?"
Inara mengangguk. Disebabkan terhutang budi, dia kenalah setuju. Siapa je nak redah hujan lebat macam ni semata-mata untuk ambik kain batik yang tersangkut ni?
"Balik je aku dari hospital nanti, aku nak kau buatkan aku takoyaki."
Inara terdiam. Takoyaki? Makan favourite aku tu!
"Boleh ke tak?" Muka Inara dipandang malas. Lambat respon betul.
"Mestilah boleh!" Inara sudah senyum-senyum sendiri.
Tak tunggu lama, Adrian mula masuk kembali ke dalam pekarangan rumah.
Inara pula hanya diam. Air hujan yang terkena tubuhnya mula ditadah menggunakan kedua tangan.
Seakan sedar Inara tiada di belakangnya, Adrian berpaling. "Kau nak buat kerja gila ke apa?"
Inara menggeleng. "Aku dah lama tak mandi hujan."
Adrian hela nafas. "Otak kau ni dah terjatuh agaknya. Seriously kau nak mandi hujan?"
Inara hanya mengangguk. Tiba-tiba teringat zaman kecilnya. Memang mandi hujan sudah jadi salah satu hobinya.
"Lantak kaulah." Adrian berlalu masuk ke dalam rumah.
⋆.˚ ᡣ? .?˚
Setelah selesai ganti baju, Adrian mengambil kunci keretanya. Tak lupa payung di tepi pintu turut diambil. Memang taklah dia nak basahkan baju lagi sampai hospital nanti.
Raisya pula sudah leka dalam dunianya sendiri. Dari tadi sibuk tengok Didi and friends dalam talifon. Kiri kanan pun dah tak tengok.
Keluar saja, keretanya terus dihampiri. Baru ingin membuka pintu kereta, pergerakannya terhenti.
Dia tertegun disitu. Tubuh yang sedang terbaring kaku di luar itu dipandang dengan pandangan tak percaya.
"Kau biar betul nak baring dekat situ?" Adrian sudah kerut kening.
Sedar tiada jawapan, pagar luar dihampiri. "Kau jangan main-main boleh tak? Tak lawak langsung." Ucapnya lagi.
Diam.
"Inara, aku tengah cakap dengan kau ni."
Tiada balasan.
Adrian terkedu. Sedarlah dia yang Inara tidak main-main. Tanpa berlengah, payung ditangan terus dibuka. Dia berlari keluar dari pagar menghampiri tubuh yang sudah terkulai lemah itu.
Share this novel