BAB 2

Drama Completed 393

Mikail duduk bersandar di bawah pokok rendang di taman tersebut. Memikirkan siapa gadis pengecut yang melarikan diri tanpa sepatah bicara. Melawan tidak, menjawab tidak. Huh, penakut! Hatinya menafsir sendiri. Dia menarik nafas. Kakinya dilunjurkan. Tangannya disilangkan rapat ke perut. Tiba-tiba matanya menangkap sesuatu di sisinya. Terletak sebuah buku sebesar buku log berwarna merah lembut tergeletak di situ. Tertera tulisan tangan di atas kulit buku tersebut yang bulat-bulat dan tegak, tertulis ‘ALAMANDA’. Tangannya mencapai buku itu. Apabila dibuka, di tengah helaian muka suratnya terdapat sebatang pensel dan pemadam. Dilihatnya muka surat itu.

Sebuah lukisan cantik terlukis indah. Pemandangan sebuah taman, terdapat tasik yang berjambatan, angsa-angsa sedang berenang di tasik dan burung-burung berterbangan. Terdapat juga teratai di permukaan tasik dan bunga-bunga liar tumbuh di tebing tasik. Warna dan bayangan lukisan tersebut diwarnakan dengan pensel sahaja. Tetapi kelihatan sungguh cantik. Senikah ini? Cetus hatinya. Dialihkan pensel dan pemadam tersebut.

Halaman-halaman yang lain dibeleknya tanpa rasa bersalah menceroboh hak milik orang tanpa izin. Pada halaman yang pertama terdapat lukisan sekuntum bunga Alamanda yang dilukis cantik sekali dan hanya diwarnakan dengan pensil juga. Terdapat lukisan potret sebuah keluarga yang besar.

Terdapat seorang lelaki yang berada di tengah, mukanya sedikit berkedut. Berjanggut sedikit lebat dan berkopiah. Mungkin ini seorang bapa. Di sebelah kanannya pula seorang wanita yang juga berkedut sedikit di wajahnya. Bertudung labuh dan sedang tersenyum. Di kiri lelaki itu terdapat pula dua orang lelaki dewasa yang lain. Seorang berkaca mata manakala yang seorang lagi tidak. Di kanan wanita tadi pula terdapat gambar dua orang gadis. Seorang berselendang labuh manakala seorang lagi bertudung labuh. Di hadapan mereka terdapat tiga orang kanak-kanak. Yang paling kanan seorang kanak-kanak lelaki yang rambutnya kusut-masai yang sedang tersengih. Di tengahnya pula terdapat seorang kanak-kanak perempuan yang rambut panjangnya ditocang dua. Seorang budak lelaki yang botak berada di sisi kirinya.

Keluarga yang besar.

Dia terus membelek. Terdapat lagi lukisan-lukisan bertemakan flora dan fauna seperti bulan yang cahayanya dipantulkan ke dasar laut. Lukisan kucing yang sedang tidur, titisan hujan dan embun di dedaunan.

Ah, sungguh berbakat!

Barulah hatinya diterpa perasaan ingin tahu siapakah pemilik buku berwarna merah lembut ini. Dia membuka lembaran paling hadapan yang terlukis sekuntum bunga alamanda tadi. Baru dia tersedar di bahagian bawah di sudut kiri sebuah tulisan bulat-bulat dan tegak ditulis dengan saiz yang kecil;

MARINA MARZUKI a.k.a. MAR 4 KEJORA .

Mikail tersentak. 4 Kejora ? Dia bersekolah di SMK Merantau jugakah? Siapa? Dia mula berfikir. Gadis tadikah? Aneh, dia berasa baru pertama kali melihat gadis itu. Tidak pernah dia bertemu wajah itu di sekolah, agaknya. Dia tersenyum.

Gadis ini memang berbakat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience