BAB 9

Drama Completed 393

Yes! Paper akhir!! Marina menarik nafas lega. Satu lagi kertas; add math. Kertas fizik tadi pun alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat jugalah dia jawab. Jawab kertas peperiksaan akhir tahun bagaikan kalah menjawab kertas peperiksaan SPM pula rasanya. Padahal lagi tahun hadapan dia akan mengadap ujian besar tersebut! Bahangnya seakan terasa pula.

"Mar, dapat jawab last paper tadi?" soal Zamina ketika mereka sama-sama dalam perjalanan ke kantin sekolah.

"Alhamdulillah, boleh la. Cuma takut terkejut sakit jantung aja bila result sampai kat rumah cuti nanti." Jawabnya sambil tergelak kecil. Yalah, dia bukannya sepintar gadis kecil molek berkaca mata di sebelahnya ini yang berada dalam top 10 ranking sekolah!

"Terkejut konon. Manalah tahu result kau nanti kasi gegar satu sekolah. Nama aku pun boleh tumpang naik sekali." Zamina berkata sambil tergelak kecil. Marina menjungkit bahu sambil mengeleng kepala. Apa yang dia sedar sekarang, dialah sebenarnya yang tumpang sekaki dengan nama baik Zamina yang pintar itu.

"Mar, aku ada benda nak bagi pada kau balik sekolah nanti. Kita duduk-duduk dekat taman dulu ya."

"Okey." Marina bersetuju tanpa banyak soal. Lantai kantin dihentam dengan kaki-kaki mereka dan beberapa pelajar yang lain. Kantin lengang sahaja. Maklumlah, hari-hari akhir persekolahan tahun biasanya pelajar dibenarkan pulang awal dari sekolah.

Dalam perjalanan pulang dari sekolah, mereka melalui kawasan perumahan mereka menuju ke taman mini. Cuaca agak panas sedang matahari memacak di atas, meresap ke ubun-ubun kepala. Jam di tangannya sudah menunjukkan pukul 1.12 petang. Wajah Marina yang kulitnya putih pucat itu sudah mulai memerah. Matanya yang sedikit sepet itu mulai mengecil.

"Kau nak bagi aku big hug ke dekat aku ni? Pelik benar aku rasa.. sampai kena ajak pergi ke taman?"

"Tak kuasa aku nak peluk kau yang baru balik sekolah. Nanti habis bau badan kau melekat kat tubuh aku! Huh!" Zamina menyambut gurauan Marina sambil tersengih-sengih.

"Tak boleh ke beri benda tu dekat rumah aku je?"

"Tak hendak aku tengok muka abang kau yang tersayang tu!" suara Zamina sudah meninggi sedikit nadanya. Marina pantas menampar dahinya, terlupa yang Zamina jarang ke rumahnya sejak peristiwa Abang Mus memarahi mereka berkawan dengan Mikail . Dia tidak menyangka yang Zamina masih belum dapat melupakan peristiwa hari tersebut. Atau Zamina ada menyimpan perasaan pada Mikail ? Sebab itulah dia terlalu marah dan tidak dapat menerima Abang Mus mencela Mikail ?

Hati Marina berdegup dengan lebih kencang. Barulah dia terfikir, apakah ‘benda’ yang ingin diberi oleh Zamina padanya? Mungkinkah sebenarnya Zamina sebenarnya ingin memberitahunya tentang isi hatinya tentang Mikail ? Mengarut! Marina menggeleng kepalanya sendiri separa sedar.

"Geleng-geleng kenapanya? Memang betul pun, Abang Mus tu dah melampau sangat-sangat." Kata Zamina pantas apabila melihat Marina menggeleng kepalanya sebentar tadi. Padahal sebenarnya Marina memikirkan hal yang lain.

"Huh?"

"Okey.. Destinasi kita dah sampai!" ujar Zamina sambil menunjukkan telunjuk kanannya tepat pada pokok yang rendang di taman tersebut. Pokok yang membawa nostalgia pada mereka. Kakinya pantas melangkah menuju ke pohon tersebut meninggalkan Marina yang jauh ke belakang yang masih terpinga-pinga. Marina berlari-lari anak mengekori rakannya itu. Di bawah pohon tersebut, Zamina melepaskan beg sekolah berwarna kuning cairnya lalu dibuka zip. Marina hanya memerhati. Sebuah kotak hadiah yang berwarna merah jambu pudar dikeluarkan.

"Untuk kau." Zamina menghulurkan kotak hadiah itu kepadanya. Marina mempamerkan raut wajah yang kehairanan. Tanpa diduga, Marina ketawa galak. Sah la Ami ni kena virus demam pelik, apahalnya bagi aku hadiah ni?

"Gelak nak mati ni kenapa? Mana ada aku buat lawak?" marah Zamina sambil menepuk bahu Marina yang masih ketawa. Wajah Marina yang merah dek terkena panasnya pancaran matahari semakin memerah.

"Okey.. okey.. Maaf la.. Kau buat lawak tak dirancang la, Ami. Birthday aku dah lepas berkurun lamanya. Kau kan dah bagi hadiah buku ‘Jangan Bersedih’ oleh Dr. Aidh Al-Qarni tu.. Aku dah sempat khatam lima kali dah.." Tawa Marina masih bersisa. Pada ulangtahun hari jadi Zamina yang keenam belas, Marina telah menghadiahkannya novel ‘Tautan Hati’ oleh Fatimah Syarha. Kemudian pada hari ulangtahun keenam belas Marina , Zamina menghadiahkannya buku terjemahan ‘La Tahzan’ itu. Ustazah mereka pernah menasihati, jika ingin menghadiahkan sesuatu buat orang lain, hadiahkanlah sesuatu yang boleh dimanfaatkan oleh penerima tersebut. Kelak, mungkin kita juga akan mendapat pahala yang berterusan jika menghadiahkan sesuatu yang bermanfaat.

"Tulah, aku belum habis cakap lagi kau dah gelak. Cubalah teka hadiah kali ini untuk apa?" wajah Zamina yang kelat sebentar tadi berubah manis semula. Marina menjungkit alis kanannya.

"Hadiah sempena tamatnya alam persekolahan tingkatan empat?"

"Salah."

"Hadiah sebab kau nak bodek aku untuk dapatkan sesuatu..?"

"Kepala hotak kau. SALAH."

"Kau nak suruh aku bagi kotak tu untuk Abang Mus?"

"Sah la kau nak kena hempuk dengan beg aku ni, Mar!" suara Zamina sudah mulai meninggi. Marina tertawa kecil sambil mengundur tiga langkah. Kononnya takut dengan ugutan Zamina .

"Kau dah pandai loyar buruk sekarang ni ya? Belajar daripada siapa ni? Besi buruk?"

"Aku belajar dengan kaulah, Zamina binti Osman!"

"Marina budak bertuah!! Tak naklah aku kasi gift box ni kat kau." Zamina sudah naik berang dengan sikap Marina yang selayaknya seperti anak kecil. Serta-merta Marina berhenti ketawa.

"Yalah.. Aku seriuslah ni. Aku tak tahu inferens apa kau nak beri hadiah tu. Sungguh." Marina memberikan ekspresi wajah yang meminta simpati. Zamina mencebir.

"Lagi lima minit nanti kau akan tahu sendiri." Katanya pabila mengerling jam tangan Quartz berwarna biru lembut yang dipakai kemas di pergelangan tangan kirinya. Marina menghembus nafas panjang. Menjeling Zamina seketika. Dia melepaskan beg daripada bahunya, lalu duduk di atas salah satu akar besar yang timbul di tanah pada pohon tersebut..

"Kalau nak kenakan aku lain harilah, Ami. Aku nak balik rumah, solat zuhur dulu. Sudah hendak pukul 1.30 dah ni.." rayu Marina , tidak sedap hati melihat raut wajah pelik Zamina pada awal petang itu. Tetapi tidak pula dia berasa ada sifat ingin tahu atau curious dengan apa yang bakal berlaku nanti, yang dirancang oleh Zamina . Entahlah, mungkin disebabkan Zamina itu rakan karibnya menyebabkannya tidak perlu berprasangka yang tidak baik.

"Alah, sekejap la.." Zamina masih lagi berdiri sambil matanya melilau ke sana ke mari. Sesekali dia mengerling jam tangannya. Irama lagu ‘Hasbi Rabbi’ oleh Sami Mikail berkumandang perlahan daripada beg kuning cair miliknya. Pantas Zamina meraba di dalam poket kecil di hadapan beg sekolahnya itu. Punat ditekan.

"Assalamualaikum.."

Marina yang sedang duduk meluruskan kakinya di bawah pohon itu hanya memerhati gelagat Zamina yang sedang berdiri. Wajah Zamina berkerut.

"Kenapa?" Zamina menyoal pada empunya di talian. Marina mengambil daun gugur yang berhampiran lalu menguis tanah untuk menghilangkan rasa bosan. Wajah Zamina yang kelihatan hampa itu disertai dengan keluhan di bibirnya.

"Okey..okey.. Aku sedang beritahu dia ni. Bye. Wa’alaikumussalam." Zamina mematikan perbualannya lalu memandang Marina dengan wajah kelat.

"Mikail kirim salam. Dia kasi gift box ni dekat kau."

Marina hanya memandangnya dengan wajah yang kosong..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience