BAB 3

Drama Completed 393

Marina mulai berasa runsing. Buku lukisannya telah hilang. Dia terlupa di mana kali terakhir dia meletakkan buku lukisan yang berwarna merah lembut tersebut. Seluruh kamarnya telah digeledah, dipunggah, dibelek, namun sedihnya masih belum dijumpai. Dia hampir putus asa dan hampir menangis.

"Mar ada salah letak di mana-manalah tu. Nanti jumpalah, biasanya macam tulah kan?" kata-kata Abang Mus langsung tidak dapat melenyapkan kesedihan hatinya. Dia telah bertanya kepada seluruh penghuni teratak rumah itu, sama ada mereka terlihat akan buku berwarna merah lembut yang tertulis ‘ALAMANDA’ di kulit hadapannya. Namun semuanya menggeleng atau menjungkit bahu. Ketiga-tiga adiknya juga kelihatan tergeleng-geleng kepala menafikan mereka ada terjumpa buku lukisannya. Amran yang paling bongsu, berumur empat tahun kelihatan takut-takut apabila Marina menyoalnya dengan serius. Shifa , adiknya yang berumur tujuh tahun itu yang sangat suka menyuruh umi mengikat rambutnya bertocang dua pula siap menjerit mengatakan dia tidak pernah terjumpa atau mengambilnya.

"Sein pun tak ambil dan tak terjumpa pun kat mana-mana," Hussein, adiknya yang berumur 12 tahun menafikan dengan keras sebelum sempat Marina bertanya kepadanya. Sekarang, fikirannnya sudah buntu. Dia amat sayangkan buku lukisan yang diberi nama Alamanda itu.. Ia merupakan hadiah hari lahirnya yang kelima belas yang dihadiahkan oleh Kak Da, satu-satunya kakaknya. Kak Da telah pun berumah tangga dua bulan yang lalu, tinggal bersama suaminya di sebuah apartmen di negeri suaminya itu.

Di sekolah, dia kelihatan sugul. Rakannya, Zamina telah sedia maklum apa yang menyebabkan rakannya itu bermuram durja. Zamina , gadis rendah dan kecil molek, berkaca mata dan berkulit sawo matang. Zamina cuba membuka topik supaya dapat menghilangkan sebentar kegusaran Marina . Mereka ketika itu sedang berjalan kaki pulang ke rumah selepas tamatnya sesi persekolahan.

"Oh ya, kau tahu tak.. Aku ternampak si senior kita yang terlebih famous nak mampus tu tersenyum seorang diri di belakang blok form 5. First time aku nampak dia senyum, boleh tahan jugak," ujar Zamina sambil tersengih seorang diri.

"Senior mana pulak ni? Headboy ke?" soal Marina malas, tidak berminat.

"Hish..kau ni. Kalau dah terlebih famous siapa lagi kalau bukan si Mikail tu, yang selalu buat onar kat sekolah ni," terang Zamina sambil memandang tidak percaya kepadanya. Spontan otak Marina mencerna apa yang diberitahu oleh Zamina . Mata Marina kemudiannya membulat, bersinar harapan.

"Alamandaku! Aku dah ingat kali terakhir aku letak kat mana! Thanks Ami, aku sayang kau.. Esok aku belanja kau makan, kau minta saja apa yang kau nak. Mari jalan cepat, aku ada tempat nak pergi nanti." Ujar Marina bersemangat. Zamina terkebil-kebil mekihat rakannya yang telah sembuh daripada kesedihannya sebentar tadi. Seolah-olah telah diberikan ciuman oleh prince charming?

"Mar…apa.."

"Esok aku terangkan. Mari temankan aku ke taman mini di kawasan perumahan kita sekejap." Marina menarik lengan Zamina supaya Zamina mengikutinya.

"Nak buat apa?"

"Ikut sajalah!"

Zamina kemudiannya menurut tanpa banyak soal padahal ketika itu dia merasakan ingin mengasak Marina dengan bertubi-tubi soalan. Mereka tiba di taman mini di mana terdapat sebuah tasik kecil di tengahnya dan terdapat beberapa pohon yang rendang di sekelilingnya. Terdapat sebuah jambatan melengkung di tasik itu membolehkan pelawat menikmati panorama di taman mini itu. Bangku juga tersedia di taman permainan untuk kanak-kanak tidak jauh dari tasik itu.

"Kau datang sini nak ajak aku main gelongsor? Atau buaian? Atau jongkang-jongkit?" sindir Zamina . Marina tidak mendengar dan terus menuju ke pohon rendang yang dia berehat di situ pada hari pertemuan yang tidak disangka dengan senior Mikail . Zamina mengikutinya dari belakang. Marina berpusing mengitari pohon itu sebanyak tiga kali dan apabila dia masih melalut mencari-cari untuk kali keempat, Zamina mencelah;

"Kau buat lawak tak jadi apa ni? Tolonglah jangan buat macam orang tak betul macam tu,"

"Aku tengah cari Alamanda! Baru aku teringat, aku tertinggal buku lukisan tu kat sini bila kau buka cerita pasal Mikail . Tapi mana ni, tak ada pun.." Marina kelihatan hampa. Zamina mengerutkan dahi.

"Apa kena mengena Mikail dalam hal ni pulak? Watak utama sebagai hero penyelamat?"

"Ami!!"

"Yelah, yelah.. Boleh tak kau cerita satu persatu apa yang dah jadi sebenarnya supaya aku tak buat andaian aku sendiri?" pinta Zamina penuh berharap. Lalu mereka duduk di bawah pohon tersebut, melepaskan beg mereka lalu diletakkan di sisi sambil Marina menceritakan seluruh kisah yang ingin diketahui oleh Zamina dari awal hingga akhir.

"Haha.. Boleh je kau blah camtu? Kalau aku, dah lama aku hambur balik pada dia. Apa dia ingat tempat ini nenek moyang dia yang punya ke?" komen Zamina sambil tersenyum lucu.

"Apa kes nenek moyang ni cik adik?" suatu suara garau gemersik menyampuk entah dari mana. Marina dan Zamina terkedu, diam sejenak. Lalu Marina memandang ke kirinya. Beberapa tapak dari tempat mereka berteduh, berdiri seorang jejaka yang tinggi lampai, berkulit sawo matang dan bermata kecil tetapi tajam menikam sedang mengangkat alis kanannya apabila Marina memandangnya. Di tangan jejaka itu terdapat sebuah buku berwarna merah cerah. Marina serta-merta berdiri, begitu juga dengan Zamina .

"Assalamualaikum, maaf kerana mengganggu. Ini buku lukisan awak ke..?" soal Mikail sambil menghulurkan buku berwarna merah cerah tersebut. Anehnya, dia kelihatan ramah sahaja hari ini. Siap memberi salam lagi, tidak seperti pertemuan pertama dahulu. Jarak kedudukan mereka sama seperti tadi kerana Mikail langsung tidak melangkah mara ke depan tetapi masih berdiri di tempatnya tadi. Zamina di sebelahnya termengkelan tetapi mereka berdua serentak menjawab salam jejaka tersebut. Mikail juga ketika itu mungkin baru pulang dari sekolah kerana dia masih memakai pakaian seragam sekolah. Memang selekeh sekali dia ini.

"Ya, memang buku saya." Jawab Marina apabila mengambil buku lukisannya itu dan membelek isi di dalamnya. Marina memandang curiga ke arah Mikail .

"Maaf, saya telah membelek bahagian isinya di dalam. Awak tertinggal buku ni pada hari tu.." ayat Mikail mati di situ dan dia menundukkan wajahnya. Marina dapat merasakan yang Mikail mungkin berasa bersalah akan pertemuan mereka yang dingin dan kedinginan itu diwujudkan oleh Mikail sendiri.

"Maaf pasal hari tu.."

"Takpe, saya faham. Terima kasih sebab memulangkan buku ni. Kami pergi dulu," Marina pantas memotong sebelum Mikail sempat menghabiskan kata-katanya. Marina menggalas beg sekolahnya dan mengambil beg sekolah Zamina lalu menarik lengan Zamina dan berniat ingin meninggalkan tempat ini secepat mungkin.

"Tunggu dulu!"

Belum sempat Marina melangsungkan niatnya, Mikail memintanya tunggu. Zamina senyum bermakna pada Marina .

"Boleh kita berkenalan?" pinta Mikail dengan suara garau gemersiknya itu. Wajahnya tampak bersahaja, sukar ingin menebak tujuan sebenarnya. Marina terkedu.

"Boleh, apa salahnya. Saya Zamina binti Osman. Ini kawan saya, Marina binti Marzuki . Kami sekelas di Tingkatan 4 Kejora dan juga satu kampung di kawasan perumahan ni. Salam perkenalan," Zamina dengan seenaknya menyambut permintaan Mikail . Marina merasakan wajahnya hangat disimbahi darah merah di dalam badannya yang menyerbu ke muka.

"Nama saya Ahmad Mikail bin Mahfuz . Tingkatan 5 Cengal dan juga tinggal di kawasan perumahan ni. Salam perkenalan juga.. Awak berdua tinggal di rumah nombor berapa?" soal Mikail mesra sahaja, dan watak ‘mesra’ dan ‘ramah’ langsung tidak terlintas di fikiran Marina yang ada pada Mikail kerana khabar-khabar angin mengatakan Mikail ini pendiam dan perengus. Jadi siapakah yang berada di hadapannya hari ini? Jembalang Mikail ?

"Maaf, kami terpaksa pergi sekarang. Assalamualaikum," pintas Marina sebelum Zamina sempat menjawab soalan Mikail . Lengan Zamina ditarik mengikutinya dan mereka berlalu meninggalkan Mikail yang ketika itu sedang tersenyum simpul.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience