BAB 8

Drama Completed 393

"Dia pindah ke Selangor ikut keluarganya minggu lepas." Cerita Zamina padanya pada waktu petang yang membingitkan di taman mini kawasan perumahan mereka. Di bawah pohon rendang yang dahulunya sebahagian merakam cerita mereka di taman tersebut.

"Emm.."

"Terkejut? Aku lagi terkejut, tahu last minute bila dia telefon kasi tahu yang dia sudah pindah sana. Bukannya nak kasi tahu awal-awal pada kita." Bebel Zamina lagi. Marina hanya diam walhal pada awalnya dia juga terkejut dengan berita tersebut. Hatinya terasa terkilan. Potret lukisan yang dipinta oleh Mikail baru sahaja dia siapkan semalam, setelah seminggu bertungkus-lumus melukisnya. Tup tup, Mikail pindah ke Selangor tanpa pemberitahuan mereka. Dan mungkin juga dia terkilan kerana.. Mikail hanya memberitahu Zamina yang dia telah pindah ke Selangor? Soal hatinya sendiri. Tanpa sedar, dia telah meramas pasir dengan tangan kirinya. Menggigil tangannya.

"Lukisan tu dia belum ambil lagi.." Marina mengeluarkan suaranya tika ini seolah-olah suaranya tadi tersekat di kerongkong.

"Oh, pasal lukisan tu dia suruh kau simpan dulu. Maklumlah, dia kan pindah tergesa-gesa. Belum sempat aku tanya lebih lanjut, dia sudah letak telefon. Dia tak nak kita contact dia kut, tu pasal dia call aku guna public phone."

Tangan Marina makin kuat mencengkam pasir di atas tanah bawah pohon tersebut. Dia masih ingat lagi sebulan yang lepas, Mikail memberinya sepucuk gambar ketika dia berjalan pulang dari sekolah. Katanya, tolong lukiskan gambar orang di dalam gambar tersebut. Kemudian, dia hanya beredar meninggalkan mereka berdua begitu sahaja. Agaknya dia tahu bahawa Abang Mus tidak suka dia mendekati mereka. Ataupun Abang Mus telah berjumpa dengan dia memberi amaran? Entahlah, dia tidak berani meneka, apatah lagi bersangka buruk pada abangnya sendiri.

Dia dan Zamina meneliti gambar tersebut. Seorang gadis manis sedang bersimpuh sopan di atas bangku. Latar belakang tempat dia berada itu seperti di sebuah taman rekreasi. Gadis tersebut memakai sepasang baju kurung berona merah jambu lembut dengan corak bunga-bunga kecil berwarna merah terang, dipadankan dengan tudung hitam. Bibir gadis itu mengukir senyum. Kulitnya putih bersih, wajahnya bujur dan bermata bulat tajam. Zamina membuat andaian yang gadis itu mungkin adik Mikail , bukannya ‘makwe’ seperti yang Marina andaikan. Sampai di rumah, dia hanya membiarkan gambar tersebut di dalam buku lukisan Alamanda.

Esokan harinya dia dan Zamina terserempak lagi dengan Mikail seperti hari-hari kebiasaannya. Dia mengambil peluang tersebut untuk bertanya pada jejaka itu.

"Dia adik saya, Mastura ." Jawapan yang ringkas, tetapi cukup untuk membuatkannya puas hati. Zamina pula asyik mengacahkannya sepanjang pulang ke rumah pada hari tersebut.

"Macam mana dia tahu nombor handset kau?" Soalnya tanpa ditahan-tahan pada saat ini, kepada Zamina .

"Seminggu sebelum dia pindah, dia ada minta. Katanya penting untuk berhubung suatu hari nanti. AKu ingatkan dia buat lawak ke apa." Zamina mengeluh. Jadi, di sinikah semuanya berakhir? Beginikah? Marina menarik nafas panjang. Mikail , siapa kau sebenarnya? Sepanjang perkenalan mereka hampir tujuh bulan, tiada apa pun perkara tentang Mikail diketahui oleh mereka. Dia peramah, tetapi langsung tidak pernah menyentuh hal peribadinya. Mereka juga tidak menyangka dia mempunyai seorang adik. Patutlah mata gadis itu mirip sahaja dengan mata Mikail . Sesenang Mikail berkawan dengan mereka, sesenang itu jugalah dia meninggalkan mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience