BAB 9

Family Completed 5207

“ Ohhh, ibu…” aku tiba-tiba berasa sedih. Hatiku merintih menangis. Aku mahu cepat-cepat balik ke rumah. Kalau boleh aku mahu terbang jika itu mempercepatkan perjalananku yang masih jauh.

Selepas maghrib baru aku sampai ke kampung yang dihuni oleh kakakku, anak-anak saudara dan ayahku yang sudah uzur. Kemunculanku petang itu mengejutkan mereka semua.

“Kenapa kau tiba-tiba pulang ni Dean?” tanya kakakku. Hairan dengan kejutan yang kuhadiahkan pada mereka semua. Seperti biasa, aku hanya tersenyum. Tidak menjawab.

Selepas beberapa hari barulah aku menceritakan pada kakakku ketika ayah dan anak-anak saudaraku tiada di rumah. Semuanya ku ceritakan dengan kesedihan dan penyesalan dan kakakku menjadi pendengar setia.

“ Kakak tak sangka kau sanggup buat begini pada mak Dean. Kau sanggup pendamkan rasa dendam kau pada mak selama bertahun-tahun.” Tukas kakakku juga menangis bersama saat aku selesai menghabiskan ceritaku.

“ Saya menyesal kak. Saya tahu saya salah. Bila mak muncul di depan saya masa koma, baru saya sedar sikap saya selama ini memang salah. Mungkin itu balasan yang Allah berikan kepada saya untuk menyedarkan saya supaya tidak berdendam lagi dengan ibu kak.” Ucapku dengan hati yang masih bersisa dengan kesedihan.

“ Kau tidak sepatutnya membenci mak sampai begitu sekali Dean. Walau siapapun dia, syurga itu ada di telapak kaki ibu. Lebih-lebih lagi kau ini anak lelaki. Yang mengutamakan ibu selama-lamanya. Punyalah kami menunggu kau saat ibu mahu dikebumikan tapi rupanya kau sengaja pulang lambat. Sampai hati kau buat begini pada kami dan ibu. ”

“ Saya tahu salah kak, saya insaf. Apa yang boleh saya lakukan supaya ibu ampunkan segala kesalahan saya?”

“ Mintalah keampunan dari Allah, dan sedekahkan al-Fatihah kepada ibu. Jangan lupa juga berdoa untuknya. Mudah-mudah Allah akan tolong kau mengirimkan keampunanmu itu kepada ibu.” Terang kakakku. Aku mengesat air mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience