BAB 9

Other Completed 4028

“ Ya Allah.. Ya Tuhanku. Pencipta Sekalian Makhluk. Yang Menitipkan rasa cinta dalam hati setiap makhluk. Ya Allah, aku pohon.. andai dia itu jodohku, Engkau peliharalah hati kami agar kami tidak leka dengan cinta yang telah Kau pinjamkan buat kami. Andai dia tercipta buatku, Engkau berikanlah aku petunjuk agar aku tidak lagi lelah dalam pencarianku ini. Agar aku tidak berharap pada insan yang salah. Ya Allah, tetapi andai telah Engkau tetapkan bahawa dia itu bukanlah Adam yang diciptakan buatku, aku pohon, jauhkan hatiku dari rasa ini. Peliharalah aku dari rasa yang tidak pasti.

Duhai Sang Penciptaku.. aku mohon, Engkau yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu. Oleh itu, aku mohon, Engkau tetapkanlah hatiku hanya buatMu. Biarlah cintaku hanya bersemadi buatMu. Lindungi aku daripada tipu daya syaitan. Jauhi aku dari permainan dunia. Pelihara hatiku, ya Rabb. Pelihara jiwaku. Pelihara jua tingkahku, dan peliharalah jua diriku. Engkau yang Satu. Tiada Tuhan selainMu. Engkau Penciptaku. Amin ya Rabbil Alamin..”

Usai berdoa, aku menyembam muka ke atas sejadah. Sungguh, hatiku terasa keliru. Hatiku rasa sakit sekali. Setiap kali berdoa, pasti itu jua akan aku pinta. Ya, aku mahu jawapan yang pasti. Aku tidak mahu terus dihuni rasa yang tidak pasti. Rasa itu terlalu sakit untuk aku alami. Benar, mustahil Allah akan menganiyai umatNya. Aku tahu itu. Dan aku akan tidak pernah putus asa dalam memohon petunjuk dariNya..

Malam itu, perjumpaan diadakan antara pelajar batch kami. Seawal jam 9 malam, aku, Syafa, Nurain dan Fatiha sudah berada di dalam Dewan Anjung Mutiara. Aku lebih selesa memilih ber ‘skirt’ labuh dengan baju muslimah berbanding kawan-kawanku yang selesa dengan pakaian kasual. Kami duduk di atas lantai sahaja memandangkan ia bukanlah perjumpaan rasmi. Pengerusi kami, Adam memulakan mesyuarat dengan Ummul Kitab dan doa pembuka majlis. Mesyuarat berjalan seperti biasa. Satu jam kemudian, Nurain mula gelisah. Begitu juga dengan Syafa.

“ Korang kenapa?” bisikku.

“ Ain dengan Syafa kan ada meeting rakan kolej pukul 10. Lewat dah ni..”

“ Minta izin keluarlah. Bukan Adam marah pun,” aku memberi cadangan.

“ Boleh ke?” aku angguk.

Mereka berdua akhirnya berlalu setelah Adam memberikan kebenaran. Aku pula yang jadi gelisah. Bukan kerana aku juga ada mesyuarat, tetapi kerana sedari tadi aku perasankan ada mata yang mencuri pandang ke arahku. Tetapi, aku cuba untuk berfikiran positif. Seperti biasa, aku menganggap ia hanya anggapanku. Mana mungkin dia memerhatikanku, bukan?

“ Aira? Ada apa-apa masalah ke?” aku terkedu dengan pertanyaan Adam. Aku memandang sekeliling. Semua sedang memandang ke arahku. Tika itu jugalah aku sempat menangkap pandangan Aril ke arahku.

“ Er.. Ai.. Aira ada meeting!” hanya itu sahaja alasan yang dapat aku berikan untuk mengelak daripada dikesan tidak memberikan tumpuan.

“ Dah tu, kenapa tak cakap dari tadi? Duk diam je kat situ buat apa? Pergilah. Nanti lambat pula,” aku senyum ke arah Adam tanda mengucapkan terima kasih. Pantas aku bangkit, dan tanpa memandang sesiapa, aku terus berlalu meninggalkan Fatiha yang pastinya tercengang kerana pastinya dia tertanya-tanya tentang mesyuarat yang aku katakan tadi.

“ Sekali lagi.. saya mengesan sesuatu yang tidak kena.. Hmm..”

Nurain bersuara ketika kami sedang duduk menjamu selera. Fatiha tidak turut serta. Hanya kami bertiga. Aku, Syafa dan dia.

“ Apa pula kali ni, Ain?”

“ Ingat tak, malam meeting hari tu?” Syafa aku lihat terangguk-angguk. Aku hanya menyedut jus epal dengan straw tanpa mempedulikan perbualan tersebut.

“ Ain perasan Aril asyik pandang Aira laaa..”

Tersedak aku tika itu. Syafa sudah menghulurkan tisu. Nurain pula menepuk-nepuk belakang badanku.

“ Apa Ain cakap ni? Mengarutlah..”

“ Eh.. betul apa.. Ain tak tipu. Meeting kali pertama pun macam tu tau! Ain kan duduk sebelah Aira. Mungkin Aira tak perasan waktu tu. Aira duk termenung je kan.. Ain terpandang dia tengah pandang Aira. Lepas tu, dia senyum. Kali kedua pun macam tu,”

“ Ain confirm ke dia tengok Aira?” soal Syafa. Aduh! Perbualan tentang Aril lebih menarik perhatian mereka daripada makanan yang terhidang di hadapan mata.

“ Betul! Ain serius. Ain memang confirm 200% yang dia tengok Aira. Kenapa, ada sesuatu yang Ain tak tahu ke ni? Aira couple dengan dia ke?”

Sekali lagi aku tersedak. Mereka mengulangi perbuatan yang sama. Seorang memberikan aku tisu, dan seorang lagi menepuk belakang badanku. Mahu saja aku cubit lengan si Nurain ini. Bercakap langsung tak pandang kanan kiri.

“ Jangan nak mengarut! Dah, makan!” aku cuba mengakhiri sesi temubual tersebut. Bimbang seandainya Nurain dapat menangkap perubahan wajahku.

“ Yalah tu.. Kalau tak betul, takkanlah muka Aira tu dah merah..” untuk kesekian kalinya, aku terbatuk. Memang nak kena si Nurain ini!

“ Asyik tersedak je Aira ni.. Ada orang sebut ke? Hahahaha,” Syafa mula mengusik.

“ Kenapa Syafa? Betul ke apa yang Ain teka?”

“ Aira, baik kita cerita dekat Ain. Kesian pula dia terus berteka teki. Dia sajalah orang yang perasan yang si Aril tu asyik pandang Aira.. Boleh, kan?”

Nurain sudah mula membuat muka kasihannya. Syafa mengulum senyum saat aku mengangguk. Ya, Nurain juga perlu tahu. Tetapi, cukuplah ia rahsia antara kami bertiga dan Allah. Aku hanya termenung tika Syafa rancak bercerita tentangku dan Aril. Sekali sekala Nurain menepuk-nepuk bahuku. Aku hanya diam. Berfikir tentang apa yang dikhabarkan oleh Nurain sebelumnya. Jika benar semua itu, ia bermakna mataku tidak tersilap mentafsir. Atau mungkin kerana hatiku yang cuba menidakkan semua itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience