BAB 8

Other Completed 4028

Kelas Prof. Aman berakhir setelah jam menginjak ke angka 12.50 tengah hari. Kesejukan menyengat diri. Walaupun sudah dua semester belajar dalam bilik yang berhawa dingin, aku masih tidak mampu menyesuaikan diri. Mudah saja selsema datang apabila perubahan cuaca berlaku. Almaklumlah, tubuhku ini sudah 21 tahun berada dalam suasana kampung, dan apabila didedahkan dengan perubahan cuaca pasti aku akan berdepan dengan masalah seperti ini.

“ Aira, kami pergi dulu lah ye! Nanti lambat ke kelas pula! Bye!”

Aku melambai tangan ke arah Nurain dan Syafa. Jadual kami pada petang ini tidak sama. Kelas Syafa dan Nurain di blok 9, manakala aku dan Fatiha di blok 7. Dekat dengan kelas Prof. Aman. Aku memandang sekeliling. Wajah Fatiha masih belum kelihatan di mana-mana. Memikirkan kemungkinan dia masih berada di dalam kelas, aku melangkah kembali ke sana.

Pintu kelas E-12 aku buka. Terasa darah hangat menyerbu muka saat melihat insan-insan yang berdiri di hadapanku tika itu. Sekali lagi, jantungku berdegup lebih laju daripada biasa. Pantas aku menundukkan wajah, sambil tangan terus membuka pintu untuk mereka yang ingin keluar. Aku perasan akan ketawa kecil yang keluar dari mulut mereka, tetapi aku sendiri tidak pasti ia keluar daripada mulut siapa. Pintu itu terus aku pegang, sehinggalah terasa ada yang menolaknya dari arah berbeza. Aku angkat wajah.

“ Eh, apa kau buat kat sini Aira?”

Aku sengih kepada Fatiha. Mukaku sudah terasa panas sedari tadi. Teringat kata-kata Nurain tentang perubahan wajahku yang akan ketara apabila aku malu.

“ A..a..aku tunggu kau!” laju saja mulutku menjawab.

“ Dia tunggu kau ke, Tiha? Aku ingat dia jadi ‘jaga’ pintu tadi,” Kayrul mengusik. Aku hanya membisu. Wajah tetap aku tundukkan.

“ Pemalu juga kawan kau ni, Tiha. Muka blushing semacam je.. Kenapa, Aira?” usik Safuan pula. Aku gigit bibir. Keterlaluan sangatkah perubahan warna di wajahku?

“ Ti.. Tiha! Jomlah. Lambat pula ke kelas nanti. Dah lah panas ni..”

“ Oo.. panas rupanya!”

Aku menjeling ke arah Muaz. Mahu saja aku sepak kakinya itu! Bersekongkol dengan yang lain untuk mengusikku! Memang aku tahu alasan yang aku berikan itu tidak logik. Masakan duduk di dalam kelas berhawa dingin tiba-tiba boleh menjadi panas? Itu panas hati namanya!!

“ Aira je ke nama dia? Kenapa pelik?” aku dengar Kayrul bertanya.

“ Aira Fittiya. Kau tanyalah bapak dia sebab apa bagi nama pelik,”

“ Tapi nama tu unik..” suara itu kedengaran. Degup jantungku yang baru ingin kembali normal, mula kencang lagi.

“ Amboi.. kau Aril..” selepas itu ketawa mereka kedengaran. Aku memejamkan mata. Perasaan indah menyelinap ke dalam jiwa.

“ Aira! Tercegat apa kat tengah panas tu?!” Fatiha menjerit lantang. Aku gigit bibir. Terdengar ketawa lagi dari belakang. Seronok ketawakan akulah tu!

Semenjak daripada peristiwa di kelas suatu ketika dahulu, perasaan maluku kepada Aril makin menebal. Apabila kami terserempak, aku akan menundukkan kepala, dan tika itulah jantungku akan bergerak lebih kencang daripada biasa. Hanya dengan dia. Dengan lelaki lain, tidak pula aku rasakan semua itu. Jika bersua muka sudah mampu untuk membuat aku tunduk malu, apatah lagi seandainya kami diberi peluang untuk berbicara. Ah, adakah ini juga penangan cinta? Aku sendiri tidak pasti dengan perasaan sendiri. Kata Syafa ketika perkara ini aku suakan kepadanya, dia hanya ketawa.

“ Aira, nanti obvious sangat Aira tu suka kat dia. Syafa suka kat Muaz pun tak ada pula sampai macam tu sekali..”

“ Itulah masalahnya.. Aira bimbang nanti dia perasan pula yang Aira ni suka dekat dia,”

“ Bukan memang Aira suka ke?”

“ Syafa!” Syafa ketawa.

“ Dulu, dengan bekas pakwe Aira, tak adalah pula Aira rasa macam ni. Langsung tak ada rasa berdebar bila tengok muka dia, bercakap dengan dia pun sama. Tapi, dengan Aril lain. Aira malu sangat-sangat. Syafa, macam ni…”

“ Aira selalu kata kat Syafa, kalau hati kita tak pasti, cuma ada satu jalan untuk kita selesaikannya..” Syafa menunjukkan jari telunjuk ke atas. Aku mengerti maksudnya.

“ Ya, Aira tahu, dan sehingga sekarang Aira masih berdoa pada Allah. Tapi, Aira masih tak temukan jalan. Aira buntu sangat sekarang. Syafa, Aira takut.. Aira takut perasaan Aira ni akan buat Aira alpa. Syafa pun tahu, Aira dalam proses berubah ke arah yang lebih baik sekarang. Aira takut, sebab terlalu fikirkan perasaan ini, Aira akan leka sampai Aira lupa pada janji yang Aira buat pada diri dan ALLAH..”

Syafa senyum. Aku memejam mata. Cuba mencari secalit ketenangan. Semenjak aku bergelar mahasiswi, fikiranku juga berubah ke arah dewasa. Apa yang aku sedari, sejak aku mengenali Aril, aku juga telah menjaga pandanganku dengan lelaki bukan muhrim. Tidak salah jika aku katakan bahawa Aril Ridzuan juga penyebab aku berubah untuk menjadi seorang muslimah yang lebih baik. Dahulu, aku tidak segan untuk bergurau senda dengan lelaki, tidak malu untuk bersembang dengan mereka, tetapi kini, aku sedaya upaya menjaga batas pergaulanku dengan lelaki. Perasaan itu timbul secara sendiri. Saat itu, hanya air mata yang mengalir di pipi. Betapa aku bersyukur dengan segala yang Allah berikan kepadaku tika itu, dan aku sendiri sedar bahawa masanya sudah tiba untuk aku memperbaiki diri ke jalan yang lebih diredhai Allah.

Kehadiran Aril mencorakkan perubahan ini. Ditambah pula dengan azamku sendiri yang tika melihat perempuan bertudung labuh, menerbitkan rasa ngilu di hati. Aku malu dengan diri sendiri. Ya, mungkin bertudung labuh tidak bermakna mereka itu baik dari segala segi, tetapi sekurangnya mereka berusaha menutup aurat mereka daripada bukan ajnabi. Aku juga ingin menjadi sebahagian daripada mereka. Kini, aku mengenali stoking kaki, stoking tangan, ‘inner’, dan sebagainya, tetapi aku masih belum bersedia untuk bertudung labuh kerana bimbang perubahan itu akan sementara cuma. Biarlah aku berubah perlahan-lahan.

“ Dah sampai mana Aira?” soalan Syafa membuat aku kembali ke dunia realiti. Aku hulurkan senyuman kepadanya.

“ Aira, hati kita milik Allah. Perasaan kita, milik Allah juga. Allah takkan titipkan perasaan itu kalau DIA tahu perasaan itu akan melalaikan kita. Allah juga takkan berikan kita dugaan kalau DIA tahu kita tidak mampu untuk menghadapinya. Mustahil Allah akan menganiyai umatNYA, kan? Ini yang selalu Aira katakan dekat kami, dan Aira lebih arif tentang hati dan perasaan daripada kami. Syafa pasti, dan Syafa yakin, Aira mampu menghadapinya. Kuatlah sahabat, kami ada di sisimu..”

Tangan Syafa aku genggam erat. Sungguh aku gembira mempunyai sahabat seperti mereka. Mereka sentiasa ada di sisi saat aku terasa rindu pada keluarga. Antara kami tiada rahsia. Kami seperti adik-beradik, berlainan ibu bapa, tetapi terpaut ukhwah itu kerana keikhlasan yang menjalar di jiwa. Allah, pelihara hubungan kami agar ia kekal hingga ke akhir hayat ini..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience