Rate

2 (3)

Romance Series 15981

Bella menerpa ke arah kawan baiknya, Farah dan Ika, sebaik sampai di kelas 5 Sains. Ternyata sahabatnya itu terperanjat besar. Mujurlah tiada guru dalam kelas saat itu.
"Eh budak ni, terperanjat aku. Ada yang kena hempuk ni karang!" Farah mengurut dadanya.
Ika pula sudah ketawa terbahak-bahak melihat reaksi Farah.
Bella hanya mampu tersengih sebelum melabuhkan punggungnya di kerusi kayu yang terletak betul-betul di bahagian belakang dan di tepi tingkap kelas.
Meja kelas 5 Sains disusun secara berpasang-pasangan untuk memudahkan para pelajar berbincang dengan sahabat mereka. Namun, bilangan pelajar kelas itu seramai 39 orang. Ketika para pelajar 5 Sains berebut untuk duduk berpasangan, Bella sukarela ingin duduk seorang diri asalkan Farah dan Ika duduk di hadapannya. Dan, siapa pula yang berani membantah keputusannya itu?
"Eh, budak kecik, yang kau ketawa apa hal. Tau gelakkan orang aje kerja kau erk?" Bella bangun dari kerusi, lantas menggrip di kepala Ika yang digelarnya budak kecik.
Ika yang muda beberapa bulan daripada Bella dan Farah, mempunyai tubuh yang agak bantut jika hendak dibandingkan dengan ketinggian Farah dan Bella.
Ika yang masih mengekek-ngekek ketawa walaupun hampir lemas di bawah lengan Bella. Dan kerana sikapnya yang hyper happy itulah, Bella mampu bersahabat baik dengannya. Tambahan lagi, Bella telah mengisytiharkan Ika sebagai adik angkatnya yang pertama.
Memang pelik apabila mendengar Ika memanggil Bella dengan gelaran akak kerana umur mereka sebaya. Walaupun begitu, siapa pula berani mempertikaikan hubungan adik-beradik angkat antara mereka?
Farah sendiri masih ingat bagaimana Bella beria-ia mahu menjadikan Ika sebagai adik angkatnya tahun lepas walaupun mereka sebaya.
"Ika, kau jadi adik angkat aku nak tak?" Bella bertanya saat mereka bertiga makan di kantin sewaktu rehat.
"Emm... Ika memang tak kisah, tapi umur kita kan sama?" Ika terkebil-kebil melihat wajah Bella yang tenang meneguk setin Mountain Dew.
"A'ahlah Bell, umur kita bertiga kan sama? Kenapa pula kau nak angkat Ika sebagai adik angkat kau? Macam tak logik saja?" Farah menyampuk perbualan mereka.
"Peduli apa logik atau tak. Apa yang aku tahu, Ika lebih muda daripada aku walaupun dia lahir beberapa bulan setelah aku dilahirkan. Ada apa-apa masalah ke?" Bella jawab ringkas pertanyaan Farah.
"Err... tak ada, tapi kenapa pula kau nak jadikan Ika adik angkat kau? Aku pun nak jadi adik angkat kau juga... Aku kan lahir sebulan selepas kau dilahirkan. Jadi, aku pun lebih muda daripada kau." Farah tersengih-sengih menanti respons sahabat baiknya itu.
"Ah, jangan nak mengada sangat. Aku nak jadikan Ika adik angkat aku sebab dia tu kecil, agak bantut, selalu kena buli, tak macam kau. Ada faham?" Bella menjawab selamba.
Farah sudah mengekek-ngekek ketawa geli hati. Dia hanya bergurau.
Ika yang mendengar Bella menyenaraikan kelemahan dirinya hanya mampu tersenyum sumbing. Dia langsung tidak terasa hati. Ini kerana semua perkara yang dikatakan Bella adalah benar belaka. Hanya disebabkan tubuhnya yang agak kecil dan bantut berbanding gadis berusia 17 tahun yang lain, dirinya selalu dibuli oleh para pelajar senior. Mujurlah Bella muncul dalam hidup Ika dan mengubah segalanya.
"Okey, aku faham. Baik kau terima ajelah Ika tawaran Bella untuk jadikan kau adik angkag dia. Lepas ini, bila satu sekolah tahu yang Bella ialah kakak angkat kau, aku pasti tak ada sesiapa pun berani untuk buli kau lagi." Farah menyokong pula pendapat Bella.
"Baiklah Kak Bella, Ika sangat senang hati sebab dapat jadi adik angkat akak."
Serentak dengan jawapan Ika, Bella dan Farah sama-sama tersenyum lebar. Mulai hari itu, bermulalah hubungan adik-beradik angkat antara Bella dan Ika.
"Oi! Berangan ke?" sergah Bella apabila melihat Farah seperti hilang di dunia nyata.
Farah yang terkejut, hanya tayang sengih.
"Yalah tu..." ujar Ika turut tersenyum.
"Tak penting! Ada yang lagi penting ni... Bell, kau ada dengar gosip terbaru tak?" Farah memusingkan kerusinya kebelakang, berhadapan dengan meja Bella apabila gadis itu sudah kembali ke mejanya.
Ika pula duduk di kerusi kosong di sisi Bella. Baru masuk kelas, dah nak bergosip. Itulah kerja mereka bertiga setiap hari.
"Apa? Pasal pertandingan sorak ke? Petang ni Naz paksa aku pergi latihan sorak. Boring betul."
"Akak ni cakap macam dia sorang aje yang masuk pertandingan tu. Kita orang masuk juga. Tahulah akak tu cheerleader, tapi janganlah lupa kat ahli lain."
Rungutan Ika membuatkan Bella menggrip leher Ika sekali lagi. Setelah Ika menjerit kecil, barulah dia melepaskan tangannya.
"Bukan pasal cheer tournamentlah Bell, tapi pasal sekolah kita yang bakal digabungkan dengan sekolah sebelah selepas pertandingan sorak berlangsung. Kau tak rasa jengkel ke?" Farah bertanya. Bunyinya agak serius.
"Nak jengkel apa bendanya. Papa aku yang sibuk sangat nak gabungkan sekolah kita dengan sekolah sebelah. Katanya sekolah ni tak cukup besar untuk aku, tu yang dia nak gabungkan dua buah sekolah sekali gus."
Bella mengeluarkan sekeping majalah hiburan Inggeris dari beg sekolahnya, lantas membuka dan tenggelam di balik helaian buku itu.
"Bagus betullah ayah akak. Sekolah kita yang dah gila punya besar ni pun dia kata tak cukup besar untuk anak dia ni. Isy, isy, isy... betullah nak membina sekolah untuk seorang puteri." Ika membebel.
Farah hanya mengangguk-angguk.
Tan Sri Iskandar memang sangat ambil berat tentang keperluan puterinya. Semuanya mesti tampak sempurna. Masakan tidak, setiap kelas di Sekolah Tinggi Persendirian Merien mempunyai penghawa dingin dan dua buah lif dibina walaupun sekolah mereka cuma berketinggian tujuh tingkat. Semuanya untuk memastikan Bella selesa di sekolah itu.
"Tapi kan kak, kita dengan pelajar Omega kan tak seteru. Mesti kecoh bila kita satu sekolah dengan dia orang kan?" Ika. memandang wajah Bella yang menghadap majalah, menanti satu jawapan.
"Siapa yang kuat, dialah kat atas. Siapa yang lemah, dia kat bawahlah. Kata pepatah yang aku pun tak tahulah dengar kat mana. Dalam dunia yang pentingkan diri sendiri, orang yang pentingkan diri sendiri berjaya." Bella menjawab dengan penuh keangkuhan.
Farah dan Ika sudah tersenyum sinis.
"Dan, kita orang pastilah menjadi sayap kanan dan sayap kiri gangster princess ni..." Farah menyambung.
Ika ketawa lagi.
Perbualan mereka terganggu apabila Jeremy merangkap ketua kelas menghampiri Bella sambil membawa sekeping buku. Wajahnya comel saja, tidak seperti pelajar lelaki lain yang suka berlagak cool bila berhadapan dengan Bella.
"Err... sorry Princess, I don't know how to make the conclusion for this Malay essay. Can you teach me?"
Jeremy ialah pelajar berbangsa Cina kacukan British. Seorang pelajar yang agak skema. Oleh kerana Sekolah Tinggi Persendirian Merien ialah sekolah persendirian elit, ramai ibu bapa yang kaya-raya juga terdiri daripada pelbagai bangsa menghantar anak mereka ke sekolah ini.
Dan kerana Bahasa Melayu ialah mata pelajaran wajib untuk menduduki SPM, ramailah pelajar bukan Melayu yang bersusah payah untuk mempelajari bahasa ibunda tersebut.
Jeremy agak terkejut apabila sepasang mata Bella yang sedari tadi memandang majalah kini memandangnya tajam.
"How can I teach you that Malay essay, if you don't practise Malay language when you talk to another person in this school Jeremy. Now, I want you to repeat your word to me in Malay, can you?"
Jeremy menggaru rambut perangnya yang agak kusut-masai sebelum tersengih-sengih. Bella memanglah idolanya sejak pertama kali dia menjejakkan kaki ke sekolah itu. Bella sangat cool dalam pandangannya. Bukan saja cantik dan popular, bahkan gadis itu turut tersenarai dalam lima pelajar terpandai sekolah mereka.
"Maaf... pu... teri, saya tidak tahu bagaimana nak buat kesimpulan esei bahasa Melayu ini. Boleh puteri mengajar saya?"
"Puteri? Puteri apa? Puteri Gunung Ledang?"
Ika terus dengan ketawanya sebelum Bella mengarahkan dia agar diam.
Jeremy hanya terpinga-pinga. Tidak mengetahui dimana silapnya.
"Hah, macam tulah baru betul Jeremy. Lain kali kalau kau nak pandai dalam bahasa Melayu, mestilah selalu bercakap dalam bahasa Melayu. Gunakan bahasa Melayu dalam perbualan harian macam kau gunakan bahasa Cina atau bahasa Inggeris, faham?"
"Faham, puteri." Jeremy mengangguk-angguk penuh teruja. Macamlah mendengar arahan raja saja lagaknya sewaktu berhadapan dengan Bella. Nasihat daripada Bella tersemat di dadanya.
"Kau tak payahlah panggil aku puteri, geli telinga aku dengar. Princess is much better, got it?"
"Okay, Princess."
Bella menutup majalahnya dan mula mengajar Jeremy.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience