BAB 9

Other Completed 2916

Dia tidak tersilap rumah. Rumah kosong dan kelam ini hanya didiami rakannya yang bernama Nordin. Tingkap dan langsir tidak terbuka. Hanya kegelapan dan kesunyian yang dirasakannya apabila masuk ke dalam rumah ini. Bagaimana manusia boleh hidup di sini pun dia tidak tahu.

Dia terus ke bilik Nordin. Bau busuk yang menusuk hidungnya membuatkan dirinya bersedia dengan apa-apa kejutan yang berlaku. Jadi apabila dia melihat mayat rakannya yang terkangkang sambil tangan mengerkot ke dada, dia tidak terkejut lagi.

Hanya kesedihan yang bersarang di hatinya. Dia hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala melihat keadaan yang mengerikan dengan darah memercik merata-rata. Di lantai, di dinding dan langsir.

Semuanya tidak berbaki. Namun dari sudut hati Nizam, dia tidak merasakan kengerian yang sepatutnya dirasakannya. Hanya sedih bersarang dihatinya melihat wajah sahabatnya yang kering dengan mulut yang ternganga dan dahi yang hancur.

Nizam ingin mengambil sesuatu untuk menutup wajah sahabatnya itu, namun dia membatalkan niatnya kerana mungkin polis mempunyai idea yang lebih baik untuk menangani perkara seperti ini. Dia hanya mampu mengeluh sambil menekan nombor telefon polis pada telefon bimbitnya.

Sepanjang hidupnya, Nordin hanya mengeluh tentang perjalanan hidupnya yang tidak menentu, cita-cita yang tidak terlaksana dan pekerjaannya yang menemui jalan buntu. Nizam hanya mampu menasihatkannya supaya bersabar kerana kerja itulah yang membayar bilnya dan memberinya makan.

Bukanlah dia seorang pesimis, tetapi dia percaya yang dia seorang realis tidak seperti Nordin. Mengambil risiko ada hadnya. Dia teringat kata-kata Warren Buffet :

Jika hendak mengukur kedalaman sungai, jangan hulurkan kedua-dua belah kaki.

Dan itulah yang selalu dikatakannya kepada Nordin.

Ketika melangkah keluar dari rumah itu menunggu polis datang, Nizam memerhatikan lagi rumah kosong dan kotor itu dan membayangkan bagaimanakah rutin hidup Nordin setiap hari sehingga Nizam mula memikirkan apakah maksud kehidupan pada mata Nordin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience