BAB 11

Romance Completed 9306

Alor Gajah, Melaka.

Willis terkedu melihat seutas gelang emas berlingkar di dalam kotak baldu berwarna putih salji. Matanya berkaca-kaca dek linangan airmata. Dia teringat Erzat pernah bertanya kenapa dia tidak pernah memakai seutas pun perhiasan emas. Katanya pada Erzat, dia tidak suka warna kuning emas. Dia hanya suka pada platinum. Erzat mengejek dan mengatakan dia terlalu memilih.

Tentunya Erzat membelikan gelang emas ini untuk menyakiti hatinya dan memaksanya memakai walaupun dia tidak suka. Cara Erzat menzahirkan kasih-sayang memang cukup pelik. Willis ketawa dalam tangisan. Gelang emas itu dicapai dan digenggam kemas. Airmata berjuraian jatuh bagaikan hujan. Ezzry memandang simpati. Dia tahu dan dapat merasakan kesakitan itu.

“Kenapa cepat sangat dia pergi? Kenapa saat saya tak ada kat Malaysia? Kenapa saya tak dapat merasa bahagia dengan orang yang saya sayang selama bertahun-tahun? Sedangkan dia pun sayang saya.. Tapi kenapa dia bazirkan masa tiga tahun kami ni, abang Ezzry?”

Willis tersedu-sedu. Diari kusam Erzat direnung. Didalam diari itu segalanya terungkai. Kisah hidup dan cinta Erzat, betapa Erzat mencintainya tapi terlalu pengecut untuk satu komitmen.

“Abang tak tahu, Willis. Abang tak tahu. Kami tak rapat sangat dan dia bukan jenis yang suka bercerita dengan abang.”

Willis geleng. Hatinya tersayat. Erzat pergi dengan satu kenangan yang pahit, hanya meninggalkan sebuah diari lama untuk tatapan dan seutas gelang emas yang tidak Willis sukai. Pun begitu, perlahan-lahan Willis menyarung gelang itu di pergelangan tangan. Dia berjanji didalam hati bahawa gelang emas itu tidak akan ditanggalkan selagi dia mampu.

“Masa saya kat Jepun, dia ada emel saya tapi saya lupa nak balas. Saya kesal saya tak berpeluang berbicara dengan dia buat kali terakhir. Kenapa saya kena hadapi semua ni abang? Dan masa kat Jepun, saya ada nampak seorang lelaki seiras Erzat. Mungkin itu cukup untuk menandakan yang saya tak akan melihat seraut wajah dia lagi. Abang Ezzry, saya tak kuat..”

Willis terhinggut-hinggut menangis. Ezzry hanya mampu menepuk-nepuk bahu gadis di hadapannya itu. Dia pun merasakan keperitan kehilangan seorang adik yang periang dan nakal seperti Erzat, dan pasti gadis muda di hadapannya ini juga sakit kehilangan seorang lelaki yang disayangi disaat cinta mereka sepatutnya bertaut.

“Sabarlah, dik. Benda dah terjadi, Tuhan lebih sayang dia dari kita. Nanti kita lawat pusara arwah.”

Willis terus-terusan menangis.

“Erzat, saya sayang awak. Saya terlalu sayang awak. Sampai bila-bila”.

Diari Erzat dikecup. Dia membuka halaman terakhir pada diari itu dan mencoret sesuatu.

‘01 APRIL 2000, 8 pagi, Alor Gajah Melaka.

Mohd Erzat bin Rosli.

Meninggal pada 30 MAC 2000, meninggalkan kenangan cinta yang sangat pahit untuk dikenang. Arwah meninggal pada pukul 2.00 pagi di meja tulis selepas selesai menghantar sepucuk emel kepada Nur Willis Nabila bt Syukri yang berada di Tokyo, Jepun dan kematiannya hanya disedari pagi keesokannya.

Sebab kematian tidak diketahui dan diklasifikasikan mati mengejut.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah. Amin.’

Diari kusam ditutup rapat. Sebagaimana berakhir coretan di dalam diari itu, berakhir juga kisah cinta yang tidak pernah diungkapkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience