BAB 3

Romance Completed 9263

Dan tanpa sepengetahuan Maisara, dia menjadi tunangan Raqeem. Walaupun ibu bapanya mempunyai niat untuk memberitahu perihal itu kepada Maisara namun Raqeem membantah.

Bila tiba saatnya, Raqeem sendiri yang akan memberitahu Maisara. Raqeem sendiri maklum akan kegilaan Maisara pada lelaki kacak. Tapi dia tidak peduli. Jika ada jodoh antara dia dan Maisara, tidak kiralah walau sepasukan tentera lelaki-lelaki kacak menjadi penghalang mereka pasti akan bersatu.

“Hmm.. Penatlah bu..” Maisara mengadu. Dia berbaring di riba Puan Latifah. Biasa, anak manja! Setelah sekian lama dia tidak menghadap beban-beban berat seperti kertas kerja dan sekarang dia harus mengulang kembali sejarah semasa dia di bangku universiti dulu.

“Habis tu, kamu belajar tinggi-tinggi nak buat apa? Ilmu kalau simpan dalam almari, tak guna jugak. Kalau ayah tahu, mahu tak ayah kahwinkan kamu dulu..” Encik Maliki meleter.

Baru sehari Maisara bekerja tetapi tidak habis-habis mengeluh. Padahal kerjanya di pejabat tadi tidaklah seberat mana. Kalau Maisara sudah berpe’el begitu, dia khuatir bagaimana anak tunggalnya itu akan meneruskan syarikat milik keluarga.

“Ayah ni kan. Asyik-asyik kahwin! Maisara tak nak!” rengek Maisara.

“Sara, ibu rasa umur Sara ni dah cukup elok untuk berumahtangga..” Puan Latifah pula menyampuk. Sengaja menaikkan kemarahan Maisara.

“Ibu pulak..” Maisara mencebik. Dia bangkit dari riba Puan Latifah. Encik Razman dan Puan Latifah hanya tersenyum melihat Maisara.

“Bagus apa kalau kamu kahwin. Suami kamu boleh teruskan perniagaan ayah. Kamu tu pulak, bolehlah berehat sepuas-puasnya.. Kamu ni sebenarnya nak tunggu siapa? Putera raja? Prince William kamu tu dah nikah, dah ada anak pun. Tak payah nak berangan!” Encik Maliki berseloroh. Makin merah wajah Maisara.

“Alah bang, macam tak tahu Sara ni. Dia kan nak kahwin dengan pelakon Korea. Siapa entah namanya. Bae Yong Jun ke apa entahlah..” ujar Puan Latifah. Dia tahu minat anaknya itu. Siang malam asyik dengan drama Korea saja.

“Ibu.. Ayah..” Maisara merajuk. Dia memeluk Puan Latifah. Sudah jadi kebiasaan Maisara setiap kali merajuk, dia akan memeluk ibunya. Manjalah katakan.

“Sara.. ayah serius ni. Sara kena ambil berat akan syarikat kita. Ayah tak ada waris lain selain Sara..” kali ini nada Encik Maliki berubah serius. Maisara hanya setia mendengar. Ayahnya, jika sudah membuka topik perniagaan sudah pasti tiada siapa yang mampu menyangkal.

“Sara tahu ayah.. Bagi Sara masa. Sara janji akan belajar bersungguh-sungguh. Cuma satu je Sara mintak..”

“Apa dia?” tanya Encik Maliki dan Puan Latifah serentak.

“Jangan kahwinkan Sara dulu!” Maisara tergelak. Begitu juga dengan Encik Maliki dan Puan Latifah. Hubungan rapat antara mereka anak-beranak memang tidak dinafikan. Walaupun sibuk dengan kerja, Encik Maliki tidak pernah mengabaikan Maisara. Begitu juga dengan Puan Latifah.

Maisara bangun agak lewat hari itu. Hari Sabtu dan Ahad memang dinantikan oleh Maisara. Hari untuk dia bersenang-lenang. Hari untuk dia melupakan segala tugasan yang menompok di pejabat.

Maisara tidak terus mandi. Dengan pakaian tidur yang masih melekat di badan, dia terus ke tingkat bawah. Dia mencari kelibat ibunya. Dia menjenguk ke luar rumah. Kelihatan ayah dan ibunya sedang berbual-bual dengan seseorang. Dia merapati walaupun belum mandi. Rumah sendiri kenapa nak malu, kan?

“Maisara! Masuk cepat!” Puan Latifah segera membimbing Maisara masuk ke dalam rumah. Anak gadisnya itu memang tidak kenal erti malu. Selamba je dia keluar dengan pakaian tidur. Dah tu dengan rambut yang serabut lagi.

Maisara tergamam. Kenapa lelaki itu ada di rumah mereka? Ibu dan ayahnya pula kenal dengan lelaki yang masih tidak diketahui identiti itu. “Ibu, kenapa lelaki tongkat ali tu ada kat sini?” tanya Maisara tiba-tiba.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience