Iman meletakkan kembali telefon bimbitnya di atas meja solek. Seusai
berborak dengan suaminya tadi, Iman bergegas mengemas meja makan. Rasa
melekit pula tubuhnya setelah habis mengemas rumah pagi itu.
Memandangkan suaminya tiada di rumah, Iman malas hendak memasak hari
ini. Tiada selera hendak makan sorang-sorang.
Iman mencapai tuala. Dia hendak mandi bagi menghilangkan rasa melekit di
tubuhnya. ‘Bagus juga kalau dapat berendam sekejap ni,’ fikirnya. Pintu
bilik air dibuka dan tub mandi ditujunya. Pili air dibuka. Sedikit
minyak aromaterapi dititiskan ke dalam tub. Pili air ditutup bila air
separuh penuh. Alunan muzik alam Kitaro berkumandang daripada laptopnya.
Iman memang gemar menggunakan muzik alam itu bila dia inginkan
bertenang. Dengan bekas-bekas lilin kecil dipasang memenuhi ruang bilik
air dan bilik tidurnya, Iman berasa cukup tenang. Berendam memang
menjadi aktiviti yang amat digemari Iman bila diri dirasakan tidak bermaya.
……………………………………………………………………………………………………... .
Sudah dua hari suaminya menghadiri seminar di Johor. Esok suaminya itu
akan pulang. Mungkin malam sampainya kalau ikut apa yang suaminya
beritahu semasa mereka berbual tadi. Ucapan rindu sentiasa meniti di
bibir bila berjauhan begini. Semalam Iman meminjam anak-anak Kak Zah
sebagai peneman tidurnya. Riuh rumah itu dengan gelak ketawa mereka.
Ajakkan mama untuk tidur di rumahnya ditolak dengan baik. Tidak mahu
mama berkecil hati, Iman meluangkan satu hari di rumah mamanya.
Kebetulan semua adik-beradik suaminya ada, Iman tambah seronok. Hilang
sebentar rindu pada suami tersayang.
Tapi malam ini, Iman tiba-tiba menjadi rindu pada suaminya padahal
mereka baru sahaja berbual selepas Isyak tadi. Entah kenapa rasa tidak
sedap hati berbolak-balik di dalam hatinya. Tidak mahu melayan perasaan
itu, Iman bangun mengambil air sembahyang. Sempat dia melirik pada jam.
Tepat pukul 9:15 malam. Awal lagi.
Iman mengerjakan sembahyang sunat Hajat, Tasbih dan Istikharah meminta
ditenangkan hati serta meminta petunjuk dari Allah S.W.T. Disambung
dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Semoga hatinya bisa tenang
selepas ini. Seusai dia menghabiskan bacaan surah An-Nisa, telefon
bimbitnya berbunyi nyaring.
Dicapainya telefon yang berada di atas katil itu. ‘Siapa ni? Nombor aje
naik,’ dalam kehairanan dia tetap menekan punat hijau.
“Assalaimmualaikum, Puan Iman?” Suara asing memberi salam.
“Waalaikummussalam. Ye saya bercakap. Siapa ni?” Iman pantas bertanya.
Saat itu hatinya berdebar hebat. Rasa tidak sedap hati tadi kembali.
“Saya Yazid. Staf suami puan, Encik Adnan Iskandar,” balas suara tadi.
Iman dapat mengesan nada cemas lelaki itu.
“Ye, kenapa ni Encik Yazid. Ada ape-ape ke yang berlaku pada suami
saya?” Soal Iman pantas. Cuba menarik nafas setenang mungkin.
“Saya harap puan dapat bertenang dan bersabar dengan ape yang saya nak
beritahu ni,” sedikit putus-putus suaranya. Iman semakin berdebar.
Kemungkinan yang bermain di fikirannya cuba ditolak ke tepi.
“Kenapa dengan suami saya. Cepat cakap!” Semakin mendesak Iman hendak
mengetahui berita suaminya.
“Suami puan kemalangan. Dilanggar kereta masa nak melintas jalan,” Iman
meraung mendengar perkhabaran itu. Beristighfar dia. Perkataan
seterusnya yang diucapkan olah pemanggil tidak didengarinya. Suara di
hujung talian masih memujuk.
“Di.. di mana suami saya sekarang?” Tanya Iman setelah bertenang. Dia
cuba memujuk hati.
“Encik Adnan telah di bawa ke Hospital Sultanah Aminah, puan. Doktor
tengah menyelamatkan dia sekarang,” terang Yazid sejelas mungkin.
“Ya Allah. Teruk ke keadaan suami saya tu, Yazid?” Tanya Iman cemas.
Berharap.
“Saya kurang pasti puan. Doktor tak keluar lagi. Tapi doktor ade cakap
nak berjumpa dengan ahli keluarga Encik Adnan,” beritahunya, serba-salah.
“Saya faham tapi saya tak mungkin akan sampai malam ni. Saya wakilkan
awak dulu. Kalau ade apa-apa yang doktor beritahu, awak telefon saya,”
pesan Iman.
“Baiklah puan,” balas Yazid sebelum memutuskan panggilan.
Iman pantas mendail nombor mamanya untuk memaklumkan berita tersebut.
Bergegas dia menyalin pakaian dan mengemas pakaian yang hendak dibawa
bila papanya meminta dia datang dahulu ke rumah mereka sebelum bertolak
ke Johor.
Share this novel