Iman terus dimasukkan ke dalam bilik kecemasan setibanya di hospital.
Adnan yang menunggu di luar sudah tak tentu arah. Ahli keluarganya yang
menyusul, merapati bilik kecemasan itu dengan penuh kegusaran.
Masing-masing bertanyakan keadaan Iman. Adnan hanya mampu menggelengkan
kepala. Penat berdiri, dia duduk. Bila duduk rasa tak kena, dia bangun
berdiri. Serba tidak kena dirasakan saat ini. Akhirnya dia mengambil
keputusan untuk bersolat, meminta perlindungan daripada Allah S.W.T.
“Kamu nak ke mana tu, Adnan?” Datin Suria pantas menyoal bila melihat
anaknya mengatur langkah meninggalkan mereka. Semua memandang ke arah Adnan.
“Saya nak pergi ke surau, mama,” terangnya memandang semua yang ada.
“Kami nak pergi juga,” Hajah Rokiah dan Haji Sanusi pantas mengatur
langkah mengikuti Adnan.
“Abang kalau nak pergi juga, pergilah. Biar saya sorang saje tunggu kat
sini. Kalau semua pergi, takut nanti ade ape-ape,” ujar Datin Suria sebak.
“Takpela, Abang temankan Suria kat sini,” Dato’ Taufik duduk memeluk
bahu isterinya.
Di surau, Adnan dan keluarganya yang lain khusyuk menadah tangan memohon
keselamatan Iman.
“Ya Allah, Ya Tuhanku. Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Penyayang.
Segala puji hanya bagiMu, Ya Allah. Kau selamatkanlah isteriku. Aku
masih perlukan dirinya, Ya Allah. Kau Selamatkanlah anakku, Ya Allah.
Aku masih belum sempat melihat dirinya lagi. Ya Allah, apepun yang
berlaku selepas ini aku berserah padaMu,Ya Allah. Amin Ya Rabbi Alamin,”
menitis air mata Adnan mengungkapkan doa kesejahteraan buat isteri dan
anak yang sedang bertarung nyawa.
Pintu bilik kecemasan yang terbuka mengejutkan Dato Taufik dan Datin
Suria yang sedang membaca surah Yassin. Pantas mereka berdiri.
“Pak cik dan Mak cik ni ahli keluarga pesakit ke?” Soal doktor itu.
“Ya, kami keluarga Iman. Macam mana dengan keadaan Iman sekarang?” Laju
Datin Suria menyoal. Dato Taufik memeluk isterinya erat.
“Keadaan Puan Iman agak kritikal sekarang. Dia mengalami tumpah darah.
Saya terpaksa menjalankan pembedahan secepat mungkin untuk menyelamat
Puan Iman dan bayi di dalam kandungannya. Jadi, saya perlukan
keluarganya atau lebih baik lagi suami Puan Iman untuk menandatangani
borang kebenaran. Boleh saya bercakap dengan suami Puan Iman?” Terang
doktor tersebut memandang tepat keluarga pesakit itu. Dia perlu
keputusan. Setiap masa yang berlalu, semakin parah keadaan pesakit.
“Ya Allah, Abang... Iman abang,” Datin Suria sudah mengonggoi sedih di
dada suaminya. Dato’ Taufik mengusap lembut belakang isterinya.
“Sabar Suria, sabar... Suaminya pergi ke surau tadi doktor. Ha, tu dia
dah balik!” Ujar Dato’ Taufik menunding pada Adnan yang berjalan laju ke
arah mereka. Di belakangnya, ibu dan bapa Iman.
“Kenapa ni, mama? Papa?” Adnan cemas melihat mamanya yang menangis.
“Encik ni suami Puan Iman?” Soal doktor itu lagi. Memandang lelaki yang
kelihatan agak kusut itu.
“Ya, saya suami Iman. Kenapa dengan isteri saya, Doktor Intan?” matanya
mengerling pada tag nama doktor itu.
“Err.. Puan Iman mengalami tumpah darah. Saya perlu membedah dia segera
untuk selamatkan nyawanya dan bayi dalam kandungannya. Oleh itu, saya
perlukan tandatangan encik. Tapi sebelum itu saya perlu
berterus-terang,” berhenti sekejap menarik nafas. Simpati dia memandang
setiap seorang yang berendam air mata. Tapi etika profesional
melarangnya menunjukkan rasa itu.
“Melihatkan keadaan Puan Iman sekarang ni, saya khuatir hanya salah
seorang antara mereka saya boleh selamatkan. Encik perlu buat keputusan
sekarang. Semakin kita menangguhkan pembedahan ini, semakin buruk
kesannya kepada mereka berdua,” jujur dia memberi penjelasan. Bukan niat
nak memberi tekanan tetapi menjadi tugasnya memberitahu kebenaran itu,
walaupun ianya pahit.
“Ya Allah, Iman!” Datin Suria dan Hajah Rokiah serentak terjelepok di
atas kerusi. Dato’ Taufik dan Haji Sanusi memujuk isteri masing-masing.
Adnan tergaman dengan perkhabaran itu. Terduduk dia, menundukkan kepala.
‘Ya Allah, kenapa aku dipilih untuk membuat keputusan sesukar ini.”
“Encik..,” doktor itu menegur lagi. Lelaki itu masih lagi diam. Tunduk
menekur lantai.
“Saya nak isteri saya selamat, doktor,” tegasnya. ‘Maafkan abang,
sayang. Biarlah anak kita pergi. Abang masih perlukan Iman lagi,” bisik
hatinya sebak. Air mata lelakinya gugur lagi. Dibiarkan tanpa malu. Dia
memandang sekilas pada ahli keluarganya yang nyata sebak dengan
perkhabaran doktor itu.
“Mama, papa... ibu, abah.. Adnan minta maaf. Adnan terpaksa pilih Iman.
Walaupun anak itu amat kami nanti-nantikan selama ini tapi Adnan tak
mampu kehilangan Iman. Adnan lebih sayangkan Iman dari anak tu. Maafkan
Adnan,” ujarnya memandang mama dan papanya serta ibu dan abah mertuanya
yang ada di situ.
“Abah faham, Adnan. Kamu berdua masih muda lagi. Boleh cuba lagi,” pujuk
abah mertuanya, Haji Sanusi sambil menepuk-nepuk belakang Adnan. Dia
terkilan tapi apa daya takde rezeki untuk dia menimang cucu yang ini.
Isteri di sisi yang semakin kuat tangisan dipujuk lembut.
“Kami pun faham, Adnan. Janganlah kamu susah hati. Tiada siapa yang
salahkan kamu dalam situasi begini,” giliran Dato’ Taufik pula memujuk
anak lelakinya itu. Dia faham dalam keadaan begini Adnan tertekan.
“Baiklah. Kalau begitu, encik kena ikut saya isi borang kebenaran.
Selepas ini, Puan Iman akan terus dibedah. Kami akan benarkan encik
jumpa Puan Iman sebelum itu,” terang doktor itu lagi, mengarahkan Adnan
mengikutnya.
Iman akan ditolak ke dalam bilik pembedahan. Adnan menemui Iman sebelum
itu setelah dibenarkan oleh doktor. Pucat mukanya mengundang tangis
Adnan. Dia mencapai tangan Iman yang sejuk itu. Dibawa ke pipi sebelum
di kucupnya.
“Iman.. Iman, abang datang, sayang!” Panggilnya lembut. Iman membuka
mata perlahan. Cuba mengukir senyum.
“A.. Abang, Iman minta maaf. Iman tak hati-hati. Maafkan Iman,” air mata
Iman mengalir lesu. Adnan pantas mengelapnya.
“Tak, Iman tak salah. Abang tak salahkan sayang. Iman dengar ni. Iman
kena kuat tau. Abang perlukan Iman,” air mata yang mengalir dibiarkan.
Jari Iman mengelap pula air mata suaminya.
“I.. Iman nak abang janji dengan Iman. Jaga anak kita baik-baik ye.
Hanya inilah tanda cinta Iman pada abang,” tangis Iman sebak. Dia mahu
suaminya berjanji.
“Tak.. Abang hanya mahu Iman. Ape erti anak ini jika abang hilang Iman.
Abang mahu Iman saje. Abang akan doakan Iman dan anak kita selamat,”
Adnan mengucup dahi Iman lama. Protes Iman tidak dipedulikan. Apa yang
penting sekarang adalah Iman.
Share this novel