Sudah hampir sebulan Adnan menghuni wad itu. Tangannya yang patah sudah
hampir pulih. Sudah boleh digerakkan walaupun terhad. Sejak dia
dipindahkan ke Damai Medical Centre ini, tidak putus-putus dia
dikunjungi oleh ahli keluarga serta teman rapat dan teman sekerja.
Walaupun dia masih tak dapat mengingati apa-apa namun semua yang melawat
dilayannya sebaik mungkin. Namun dalam ramai-ramai yang datang entah
kenapa kehadiran seorang perempuan muda yang dipanggil Iman sentiasa
membuatnya tertunggu-tunggu. Puas dia memikirkan kaitan dirinya dengan
perempuan itu tetapi bila dia mengerahkan otaknya berfikir, pasti dia
sakit kepala.
Perempuan muda itu selalu datang menemaninya. Bercakap dengannya
walaupun hanya perbualan satu hala kerana kebanyakan masa hanya
perempuan itu yang bercakap. Dia hanya mendengar. Dia tidak tahu nak
membalas apa. Perempuan itu tidak pernah berputus asa menarik minatnya
bercakap tetapi dia masih tetap bisu. Dia bingung sebenarnya. Terpegun
dengan kelembutannya sehingga membuatkan dia sering kelu. Senyuman
perempuan itu menjadi igauan mimpinya setiap malam. Dia cuba bertanya
siapa perempuan itu pada wanita yang selalu datang menjaganya, wanita
yang mengelarkan dirinya mama tetapi saat hendak bertanya, dia tiba-tiba
jadi segan. Malu sendiri. Dia tidak tahu kenapa dia jadi begitu sekali.
Seingatnya mama dia ada memberitahu apa kaitan dirinya dengan perempuan
muda itu tetapi dia lupa.
Pagi itu sekali lagi dia ternanti-nanti kedatangan perempuan muda itu.
Selalunya pukul 8:30 pagi begini, kelibat perempuan itu akan muncul.
Membawa bekalan untuk dia. Mereka akan bersarapan bersama. Dia selalu
ternanti-nanti saat ini. Dia sudah duduk menunggu. Matanya asyik memaku
pada pintu yang tidak bergerak-gerak sejak dari tadi. Sesekali dia
melihat pada jam di dinding. Dadanya berdebar hebat.
‘Dah pukul 9:00 pagi ni, kenapa dia tak datang lagi,’ hatinya bertanya
sendiri. Dia mengeluh sendiri. Disaat dia hampir putus asa, pintu
ditolak dari luar. Bulat matanya memandang pada pintu yang terbuka.
Senyuman pantas terukir di bibir. Namun dia hampa apabila bukan
perempuan yang ditunggunya muncul. Sekali lagi dia mengeluh. Berubah
terus air mukanya.
Datin Suria yang masuk, tersenyum apabila menyedari anaknya itu kecewa
bukan Iman yang datang pagi ini.
“Assalammualaikum, anak mama ape khabar hari ni?” Ujarnya sambil
meletakkan bekal yang dibawa di atas meja di tepi katil. Tangan pantas
mengelus rambut anaknya lembut. Matanya sempat menangkap riak hampa pada
air muka anak muda itu.
“Waalaikummussalam. Baik mama,” balasnya menyalami Datin Suria. Dia
sudah boleh membahasakan mama dan papanya walaupun awal-awal dahulu agak
kekok. Dia ingin bertanya pasal Iman tapi lidahnya kelu.
“Ermm... mama datang sorang aje ke?” Tanyanya berlapik padahal hati
ingin bertanya tentang perempuan yang bernama Iman.
Terukir senyuman di bibir wanita yang bergaya itu bila mendengar
pertanyaan daripada anaknya. “Tak lah, mama datang berdua. Angah tengah
park kereta kat bawah. Nanti dia naik,” ujarnya lagi tidak mahu
berterus-terang walaupun faham dengan pertanyaan anaknya itu.
Hati Adnan yang berlagu riang bila mendengar kata-kata mamanya kembali
suram bila bukan Iman yang datang menemani mamanya. Dia hanya
memerhatikan mamanya menbuka bekal yang dibawa. Entah kenapa pagi itu,
tiba-tiba dia tidak berselera untuk menjamah makanan. Mindanya hanya
mengingati Iman. Hanya Iman.
“Iman tak datang ke?” Entah kenapa persoalan yang difikirnya boleh
terluah di bibir. Malu dia apabila perasaan mama memandang tepat ke arahnya.
“Hmm... boleh pun sebut nama Iman. Ingatkan dah keras lidah nak sebut
nama Iman tu,” tersenyum Datin Suria dengan keadaan anaknya yang
tiba-tiba gelabah itu. Adnan hanya tersengih. Tak tau nak balas apa.
“Iman tak dapat datang hari ni. Dia tak sihat tapi dia kirim bekal ni.
Dia pesan suruh Adnan habiskan,” ujarnya sambil mengunjukkan bekal yang
sudah terhidang.
“Iman tak sihat? Dia sakit ape mama?” Tanya Adnan lagi, cemas. Dia hanya
memandang hidangan di depannya itu.
“Sakit biasa aje. Biasalah kalau dah jadi macam Iman tu. Alahan. Esok
kamu dah nak discharge. Mungkin Iman datang esok. Nanti kamu tanyalah
dia ye. Dah lah tu, makan dulu. Nanti kalau Iman tahu kamu tak nak
makan, merajuk pula dia. Iman tu kalau merajuk payah nak dipujuk, kamu
tau,” ugut Datin Suria pada anaknya yang jelas masih terpinga-pinga.
Tersenyum dia apabila Adnan mula menyuap perlahan bubur yang disediakan
Iman.
Pagi ini Iman muntah teruk, oleh itu Datin Suria memaksa dia berehat di
rumah sahaja. Malah ibunya turut menyetujui apa yang diperkatakan oleh
mertuanya itu. Dia rindukan suaminya. Dia pasti suaminya itu sedang
menantikan kedatangan dia tetapi dia tidak larat. Mahu tidak mahu, Iman
akur. Dia hanya berbaring di atas katil. Nasib baik ibunya masih belum
pulang ke kampung, bolehlah menjadi peneman di rumah.
Setelah lama berbual dan memastikan keperluan anaknya sempurna, Datin
Suria dan adik Adnan yang datang meminta diri.
“Mama dan Angah nak balik dulu ni. Tengahari nanti kami datang lagi.
Sebelum tu, Iman pesan suruh bagi kamu album ni. Dia suruh kamu tengok,
mana tahu ingatan kamu pulih,” ujar Datin Suria menghulurkan album
cantik berenda putih pada Adnan.
“Mama balik dulu,” ujarnya menghulurkan tangan. Adnan pantas menyambut
dan menyalaminya.
“Angah pun minta diri Along. Nanti Angah datang lagi,” adiknya pula yang
bersalam dengannya. Adnan menghantar ahli keluarganya itu dengan
pandangan mata. Dia sudah tidak sabar membuka album ditangannya.
Perkataan OUR WEDDING menarik minatnya. Dibuka album itu perlahan-lahan.
Terserlah wajah perempuan yang menjadikan tidurnya tak lena kebelakangan
ini di depan mata. Perempuan itu ayu berbaju kurung putih susu,
tertunduk malu di atas katil. ‘Ooo... perempuan ni dah kahwin rupanya,’
rasa terkilan terbit di hatinya. Tetapi rasa ingin tahu siapa suami
perempuan itu membuatkan tangannya terus membelek. Terserlah pula gambar
seorang lelaki yang juga berbaju melayu putih susu lengkap bersampin
sedang memegang tangan tok kadi. Tergaman dia sebentar. Bulat matanya
merenung gambar itu. Pantas dia membelek helaian seterusnya. Lelaki yang
sama sedang menunaikan sujud syukur. Dibelek lagi. Tangannya terhenti
pada gambar lelaki itu sedang mengucup dahi Iman. Lama matanya merenung
gambar itu. Rasa syahdu tiba-tiba hadir dalam diri.
“Ya Allah, Iman isteri aku rupanya,” ucapnya setelah lama terdiam. “Iman
isteri aku. Aku suami Iman. Ya Allah... ” ujarnya lagi tidak percaya.
Dibeleknya lagi gambar-gambar yang ada sehingga habis. Pelbagai gelagat
Iman dan dia diperhatikan tanpa jemu. Tersenyum dia. Dibelek lagi album
itu berulang kali sehingga puas.
‘Patutla aku rasa dekat sangat dengan Iman. Rupa-rupanya, Iman isteri
aku,’ bisik hatinya gembira. Mata melekat pula pada gambar Iman
tersenyum malu bila dia mengelap air mata isterinya yang mengalir
selepas majlis pembatalan air sembahyang. Dia tersenyum mengelus gambar
itu perlahan. Malam itu tidurnya lena memeluk album di dada. Tidak sabar
menunggu esok.
Share this novel