Masa
yang berdetik sememangnya tidak menunggu sesiapa. Iman ditempatkan di
wad setelah hampir lima jam dibedah. Alhamdullilah, Iman dan anaknya
dapat diselamatkan. Kesan ubat bius membuatkan Iman hanya tidur selepas
itu. Adnan dan ahli keluarganya yang lain memanjat kesyukuran ke Hadrat
Illahi. Anaknya sedang diawasi oleh doktor bagi mengelakkan sebarang
kompilasi lanjutan.
Adnan setia menunggu Iman sedar. Keluarganya baru sahaja pulang setelah
semalaman menunggu Iman selesai dibedah. Tangan Adnan tidak lepas
mengenggam tangan Iman. Tidak dapat digambarkan perasaannya bila doktor
memberitahu anak dan isterinya selamat.
Setelah lima jam menunggu selepas Iman ditolak ke dalam bilik
pembedahan, lampu dipadamkan dan pintu terbuka menolak katil yang
menempatkan Iman. Semua menerpa ke arah itu. Berdebar-debar.
“Iman... ” Adnan lebih dulu mencapai tangan Iman. Semua mengeruminya.
“Bagaimana dengan Iman, doktor?” Soal Hajah Rokiah tidak sabar. Wajah
pucat Iman dipandang sayang. Yang lain menumpukan pada apa yang bakal
diluahkan oleh doktor itu.
“Alhamdullilah, berkat doa semua Puan Iman dan bayinya selamat. Tapi
kesan ubat bius dan kehilangan darah yang agak banyak membuatkan
keadaannya agak lemah sekarang. Mungkin Puan Iman tidak akan sedar dalam
masa terdekat ini. Tapi jangan risau, keadaan Puan Iman stabil,”
maklumnya bila semua agak risau dengan keadaan Iman yang masih belum sedar.
“Itu bayinya. Tahniah, encik dapat anak lelaki. Dia sihat tapi kami
perlu mengawasinya terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kompilasi
kerana dia tidak cukup bulan. Tapi jangan risau, itu hanya prosedur
biasa. Bayi dan isteri encik kuat,” ucap doktor itu memandang troli bayi
yang ditolak jururawat. Ahli keluarga Adnan yang lain menyerbu pula
troli bayi itu. Semua teruja dengan bayi comel yang baru mengenal dunia
itu. Walaupun doktor menyatakan hanya salah seorang dapat diselamatkan
tetapi takdir Allah S.W.T. mengatasi segala andaian.
Iman yang bergerak-gerak mengejutkan Adnan yang terlena. Terus dia
menegakkan badan. Tersenyum memandang isteri yang mula membuka mata.
Hampir semalaman Iman tidak sedarkan diri. Kata doktor itu kesan dari
ubat bius dan kehilangan darah. Walaupun mengangguk faham tetapi hatinya
tetap risau. Akhirnya Iman membuka mata jua.
“A... Abang, Iman dahaga,” agak sukar dia hendak bersuara kerana
tekaknya agak kering. Adnan menyuakan air kosong dan straw agar senang
Iman minum.
Iman tersenyum memandang suaminya. Kemudian dia teringat sesuatu.
Tangannya meraba-raba perut yang sudah berubah bentuk itu. Cemas dia.
“Anak kita. Mana anak kita?” Soalnya cemas mengoncang tangan suaminya.
“Sabar Iman, sabar. Anak kita selamat. Kita dapat baby boy. Sekarang
doktor tengah monitor dia,” Adnan menenangkan Iman yang hendak bangun
itu. Dia tersenyum untuk menyakinkan Iman yang semuanya selamat. Setelah
beberapa ketika, Iman sudah dapat bertenang. Itupun setelah beberapa
kali Adnan mengulang ayat yang sama.
“Betul anak kita selamat?” ujarnya masih tidak yakin. Memandang tepat ke
arah si suami. Di situ dia menyedari sesuatu tapi dia tidak berani
menegur. Takut tersalah teka.
“Iya.. anak kita selamat. Nanti Iman dah kuat sikit, kita pergi tengok,
okey?” Janji Adnan.
“Dah fikir nama untuk anak kita? Seingat abang dulu, Iman selalu cakap
kalau dapat anak lelaki nak letak nama.. erm nama Muhammad Irfan Haiyan,
kan?” Soalnya pada isteri yang masih terkebil-kebil memandang dirinya.
Iman pantas menekup mulutnya. ‘Macam mana suaminya boleh ingat nama yang
mereka bincangkan bersama, melainkan... !’
“Abang dah ingat? Abang dah ingat balik semuanya?” Iman memandang
suaminya yang masih tersenyum-senyum. Adnan mengangguk-angguk mengiakan.
Gembira dia melihat wajah Iman yang sudah beransur merah kembali.
“Bila abang ingat balik ni?” Soal Iman lagi berusaha untuk bangun. Adnan
membantu isterinya bangun dan meletakkan bantal untuk Iman bersandar.
Sedikit berkerut Iman bila duduk begitu. Pasti kesan jahitan dari
pembedahannya. Adnan lantas duduk di atas katil berhadapan dengan Iman.
“Semalam masa semua tengah kalut Iman jatuh dalam bilik air tu. Rasanya
abang masa tu terhantuk meja masa nak ambil sudu yang jatuh,” ujarnya
tersengih. Iman pantas memeluk suaminya. Patutlah tadi dia seakan
ternampak Adnan yang lama, yang penuh dengan cinta di mata. Walaupun
Adnan yang hilang ingatan masih lagi suaminya, yang juga menyayangi
dirinya tetapi cahaya cinta di mata itu tidak sama. Iman bersyukur
sangat-sangat. Kini keluarganya sudah lengkap. Bertimpa-timpa berita
gembira sebaik sahaja sedar. Semakin erat pelukannya.
“Ada sesuatu yang abang nak bagitau Iman,” ujar Adnan tanpa melepaskan
Iman. Diam Iman membuatkan dia menyambung kata. Tubuh Iman diusap-usap
lembut
“Sebenarnya sebelum Iman dibedah, doktor suruh abang buat pilihan antara
Iman dan bayi kita, abang buntu Iman! Akhirnya abang putuskan supaya
doktor selamatkan Iman dulu... ” Iman terkejut. Diregangkan pelukan.
Tajam dia memandang suaminya yang menunduk. Adnan mengangkat mukanya.
Pandangan tajam Iman menikam hatinya. Iman marah.
“Kenapa abang pilih Iman? Sepatutnya abang pilih bayi kita. Kita kan dah
lama tunggu anak itu,” air mata menitis laju. Adnan menyekanya pantas
dan meraih Iman kembali ke dalam pelukannya. Diusap belakang Iman lembut.
“Sebab abang perlukan Iman. Abang nak ganti masa setahun yang abang
hilang dari Iman walaupun abang ada di sisi Iman. Anak kita boleh
usahakan lagi. Tapi Iman takde ganti. Abang hanya mahukan Iman,” Adnan
makin mengeratkan pelukan bila dirasakan Iman membalas pelukannya.
“Tapi alhamdullilah, Allah itu Maha Penyayang. Dia selamatkan
kedua-duanya. Abang bersyukur sangat,” menitis air mata kedua-duanya.
Syukur dengan keagungan dan kebesaran Allah S.W.T.
“Iman pun mahukan abang. Abang juga takde ganti bagi Iman. Syukur, jodoh
kita masih panjang,” dalam esak tangisnya Iman bersyukur. Petang itu
bilik Iman gamat dengan kunjungan ahli keluarga dan sahabat handai.
Semua datang mengucapkan tahniah dengan kelahiran orang baru itu. Adnan
tidak berenggang langsung dari Iman. Bila ditanya, dia akan kata dia nak
ganti saat-saat dia ada dalam tiada dulu. Semua hanya ketawa.
Share this novel