Tak ada yang lain selain dirimu
Yang selalu ku puja
Ku sebut namamu di setiap hembusan nafasku
Ku sebut namamu, ku sebut namamu
Aduhai, lagu yang dikeudarakan di Era FM ni bukan main mengusik jiwa. Alunan suara jantan Once dari kumpulan Dewa 19 menyanyikan lagu ‘Satu’ seraya mengingatkan Adnan pada memori cintanya bersama isteri tercinta.
Eh pelik, perasaan apa yang tiba-tiba datang menerpa ini. ‘’Mana bini aku?’ bingkas Adnan bangun dari sofa dan mula mencari sang isteri.
Adnan terhendap-hendap di sebalik dinding dapur memerhatikan telatah
isterinya yang sedang ralit menyediakan sarapan pagi. Menguntum senyuman
apabila akal nakalnya mula mengatur strategi untuk mengusik si isteri.
Dengan senyuman nakal, dia mengatur langkah perlahan mendekati si isteri.
“Hah!” Sergahan kuat dengan pelukan kejap di pinggang mengejutkan Iman
yang sedang menghiris cili untuk ditaburkan pada bihun goreng bagi
sarapan pagi itu. Terlepas pisau di tangannya. Lemah semangatnya
pagi-pagi ini bila disergah begitu sekali. Namun, cara pelukan dan aroma
Hugo Boss yang menyapa hidungnya meredakan gelora di dada. Iman kenal
sangat dengan bau tersebut. Bau suaminya.
Iman terus membasuh tangan di singki sebelum berpaling ke belakang
mengadap si suami. “Abang ni kan suka tau usik Iman macam ni. Nasib baik
pisau kat tangan Iman tak kena jari. Kalau tak, jadi raja bersiong abang
nanti,” marah Iman manja. Tangan diletakkan di atas bahu si suami.
Meletus ketawa Adnan mendengar omelan isterinya. Gamat dapur dengan
ketawanya. Pelukan yang longgar tadi diketatkan. Suka dia melihat wajah
cemberut Iman tu.
Mata Adnan masih ralit memerhatikan wajah Iman yang sudah mulai merah.
Iman yang tadi cemberut sudah tersipu-sipu malu bila menyedari mata
suaminya sedang meneroka segenap inci wajahnya. Cahaya cinta yang
terpancar dari sinar mata si suami membuatkan dirinya berasa sangat
bertuah kerana memiliki insan sesempurna Adnan Iskandar.
Bibir mungil Iman kemudiannya di renung Adnan penuh minat. Wajahnya
semakin mendekat. Iman yang menyedari tingkah suaminya itu bertindak
memegang kejap pipi suaminya. Tindakan Iman itu menghentikan pergerakkan
suaminya. Terdengar keluhan hampa Adnan, tangannya yang tadi memeluk
kejap pinggang isteri spontan dijatuhkan. Suaminya itu merajuk. ‘Macam
budak-budak,’ detik hatinya nakal. Iman hanya tersenyum nakal.
Gilirannya pula mengenakan sang suami. Wajah hampa suaminya direnung
penuh kasih. Iman bertindak mendaratkan bibirnya di pipi Adnan. Seketika
kemudian senyuman mula terukir di bibir suaminya. Iman hanya menggeleng
dengan telatah suaminya itu.
“Abang ni kan memang macam budak-budak. Kalau tak dapat ape yang dia
hendak, mulalah merajuk. Apelah Iman nak buat dengan abang ni,” omel
Iman dengan telatah suaminya tadi.
“Abang bukan ape. Abang nak tuntut morning kiss. Iman belum bagi lagi
pagi ni kan?” Bantah Adnan pantas, mempertahankan tindakannya. Senyuman
terbit di bibirnya. Buntang mata Iman mendengar balasan suaminya.
Terletus ketawa galak suaminya.
“Ape-apelah abang. Kalau dengan abang, memang Iman tak menang punya.
Iman nak hidang breakfast ni,” ujarnya berpaling sambil mengangkat
mangkuk berisi bihun goreng namun di sambar pantas oleh Adnan dan terus
membawanya ke depan. Iman tersenyum senang dengan perangai suaminya yang
satu ni. Ringan tulang tanpa perlu disuruh.
Iman melangkah menuju ke meja makan membawa dulang minuman. Tersenyum dia melihat bihun goreng tadi dah siap dihidangkan dalam pinggan. “Ni yang buat Iman makin sayang kat abang ni,” pujinya sambil menuang air
teh ke dalam cawan suaminya. Adnan hanya tersengih mendengar pujian dari
bibir isterinya. Satu kucupan lagi hinggap di pipi suaminya. Semakin
lebar sengihan suaminya.
Mereka makan sambil diselangi gelak ketawa. Namun gelak tawa itu
tiba-tiba terhenti apabila Adnan menyedari bihun goreng di pinggan Iman
hanya sedikit terusik. Manakala Iman pula asyik merenung ke arahnya.
Terhenti suapan yang mahu masuk ke mulutnya. Sudu diletakkan kembali di
pinggan.
“Iman… Iman kenapa ni? kenapa tak makan? Iman tak sihat ke?” lantas
tangannya cepat-cepat menjamah dahi isteri tercinta. “Biasa saje. Tak
panas pun,” tegurnya namun Iman masih lagi seperti tadi. Memerhatikan
dirinya ralit.
“Iman!” panggilnya kuat, berpindah duduk di sebelah si isteri. Iman
sedikit tersentak. “Iman fikir ape ni. Abang cakap dengan Iman, Iman
diam aje,” sedikit risau dengan tingkah Iman pagi itu. Semakin kalut dia
apabila tiba-tiba air mata mengalir di pipi Iman. Pilu dia melihat air
mata yang mengalir itu. Pantas jarinya mengusap pipi itu, menghilangkan
kesan air mata.
Tindakan suaminya itu membuatkan Iman semakin sebak. Lantas Iman memeluk
suaminya erat-erat. Air mata yang mengalir dibiarkan. Tangan Adnan masih
mengusap-usap belakang Iman. Memujuk. Tingkah Iman itu menerbitkan tanda
tanya di hati Adnan. Dibiarkan sahaja dahulu. Seketika kemudian Iman
kembali tenang. Adnan menghulurkan tisu untuk Iman.
“Okey, sekarang boleh beritahu abang ape yang buat Iman sebak sangat
ni?” tanyanya berhati-hati pada Iman yang tertunduk di hadapannya. Dagu
Iman dicapai dan diangkat supaya memandangnya. Air mata masih lagi
mengalir walaupun tidak selebat tadi. “Iman marahkan abang ye. Iman
marah abang usik Iman tadi?” Iman hanya mengeleng dengan pertanyaan
suaminya.
“Habis tu, ape yang Iman sedihkan sangat ni?” Masih lembut lagi Adnan
menyoal, tidak mahu mencalarkan perasaan Iman. “Abang tak payahla pergi
ke seminar tu ye. Abang duduk aje kat rumah. Iman tak sedap hati la,”
beritahu Iman sambil memegang erat tangan suaminya.
Meletus ketawa Adnan dengan kata-kata Iman tu. tergeleng-geleng
kepalanya. “Iman… Iman! Abang ingatkan ape la tadi. Buat abang risau
aje. Kan abang dah beritahu, abang sebagai senior partner kena la pergi.
Untung-untung boleh bawa bisnes masuk. Rata-rata yang datang nanti
orang-orang yang terlibat dalam bidang kejuruteraan ni. Boleh exchange
expertise lagi. Kan untung tu,” terang Adnan lembut sambil menuang air
kosong ke dalam gelas isterinya. “Nah… minum ni,” dihulurnya gelas pada
Iman.
Iman menyambut gelas huluran suaminya itu. Meneguknya habis. Dilihat
suaminya sudah kembali di kepala meja menyambung suapan yang terhenti
tadi. “Itu Iman tahu. Tapi bukannya wajib pun abang kena pergi. Abang
suruhla staf-staf lain yang pergi. Bukannya dekat tu bang. Johor! Jauh
tu. Abang tak kesiankan Iman ke. Tinggal sorang-sorang kat rumah ni,”
rayu Iman lagi. Dia bangun dan memeluk lembut leher suaminya dari
belakang. Adnan meletakkan cawannya. Sedikit pelik dia dengan tingkah
Iman pagi ni. Selalunya apabila dia hendak pergi ke mana-mana tidak
pernah Iman membuat perangai seperti pagi ni. Semalam elok saja Iman
mengemas pakaian yang hendak dibawanya.
Tangan Iman dicapai dan tubuh Iman dibawa ke depan. Di dudukkan di atas
pehanya. “Hei… sayang abang ni kenapa? Cuba pandang abang,” pujuknya
lembut pada Iman yang sedang menunduk. Iman tidak mengendahkan pujukan
suaminya itu. Jemarinya masih lagi bermain dengan tie dipakai Adnan.
Satu kucupan di pipi membuatkan wajah Iman terangkat. Suaminya tersenyum
memandang namun, wajahnya masih cemberut.
“Abang memang tak sayangkan Iman,” ujarnya membuat kesimpulan. Tersentak
Adnan mendengar tuduhan Iman itu. Tak sangka sampai macam itu sekali
Iman menpersoalkan kasih sayangnya. Tangan Iman yang masih memegang tie
dicapai dan dibawa ke dadanya. “Iman cuba rasa degupan jantung abang ni.
Degupan jantung ini milik Iman seorang saje tau. Hanya milik Nur Iman
Insyiqah. Kalau Iman nak tau, jantung abang ni sentiasa menyebut nama
Iman. Tak pernah sesaat pun ia lupakan Iman. Iman kena ingat tu,”
terangnya panjang lebar. Lirih dengan tuduhan sang isteri.
Iman sayu mendengar kata-kata suaminya itu. Dia tahu dia tak patut
mempersoalkan kasih sayang suaminya namun dia sudah habis daya untuk
menghalang suaminya dari pergi. Entah mengapa dia takut untuk melepaskan
suaminya pergi pagi itu. Seakan-akan ada perkara buruk yang akan
berlaku. Dia tak tahu macam mana lagi nak fahamkan suaminya dengan rasa
hatinya itu.
Dicapai tangan suaminya sebelum mengucupnya lama. “Maafkan Iman. Iman
tak patut cakap macam tu tadi. Iman sayangkan abang,” dirangkul suaminya
erat.
“Abang pun sayangkan Iman. Jangan fikir bukan-bukan lagi. Abang pergi
bukannya lama pun. Tiga hari aje. Pejam celik aje abang dah balik nanti.
Okey?” Pujuknya lagi bila Iman melepaskan rangkulan di lehernya.
“Lagipun, abang bukannya pergi sorang. Abang pergi dengan Yazid dan
Leong. Sayang jangan risau ye,” pujuknya menenangkan emosi si isteri.
“Tadi cakap abang macam budak-budak. Sayang pun ape kurangnya. Merajuk
macam budak-budak jugak,” ujarnya lagi sambil memicit hidung mancung
isterinya lembut. Mengekek ketawa Iman. Melihat Iman sudah boleh ketawa,
hati Adnan senang kembali. Nasib baik tidak panjang rajuknya kali ni.
‘Iman… Iman,’ hatinya berbicara sendiri.
Iman tiba-tiba mengucup bibir suaminya. Lama. Suasana terasa hening
seiring dengan perlakuan suami isteri itu. Sehinggalah bunyi hon dari
luar mematikan suasana romantis antara mereka. Berpandangan seketika
sebelum kedua-duanya menunduk melihat jam tangan di tangan Adnan. “Hmm…
dah pukul 8:30. Mesti Yazid dan Leong tu,” ujar Adnan sebelum bangun dan
menuju ke pintu rumah. Dibuka dan mengangkat tangan sekadar memberi
isyarat tunggu. Iman pantas mengapai tisu di atas meja sebelum melangkah
mendekati suaminya. Dihampiri sang suami yang sedang menyarung stoking.
Iman memerhatikan suaminya, tidak mahu sesaat pun lepas. Adnan berdiri,
menunduk sedikit pada isteri yang masih memandangnya. Tersenyum.
Dihulurkan tangan untuk bersalam tetapi tidak disambut Iman. Berkerut
dahinya. Tanpa mengendahkan kerutan di dahi suaminya, Iman pantas
mengelap bibir suaminya yang sedikit comot dengan kesan gincu sambil
tersengih. Adnan yang menyedari sebab tindakan isterinya itu turut
tersengih. Selesai mengelap kesan gincu, Iman memeluk suaminya. Pelukan
itu dibalas erat oleh Adnan. Jika tadi Iman yang tak nak lepaskan dia
pergi, kini dia pula yang merasakan sedemikian. Rasa sayang dan sedih
nak melepaskan tubuh isterinya datang menghimpit.
Bunyi hon yang kedua membuatkan Adnan melepaskan juga pelukan pada
isterinya itu. Iman mengemaskan sedikit baju kemeja suaminya yang
sedikit renyuk. Tangan suaminya digapai dan dikucup lembut. Adnan
mengucup lama dahi Iman. “Abang pergi dulu. Kunci rumah baik-baik. Kalau
Iman nak pergi mana-mana abang izinkan. Asalkan jaga maruah Iman sebagai
isteri abang,” pesannya lembut sambil jarinya bermain seketika di bibir
mungil Iman. Iman hanya mengangguk.
Mereka beriringan ke pintu pagar. “Abang pergi dulu. Nanti dah sampai
abang call Iman. Take care. Abang sayang Iman,” ujarnya sebelum masuk ke
kereta yang sedia menunggu. “Iman pun sayangkan abang,” ucap Iman
beserta lambaian. Iman masih berdiri di pintu pagar rumahnya sehinggalah
kereta yang dinaiki suaminya hilang dari pandangan. Setelah memastikan
pintu pagar dikunci, dia melangkah masuk ke rumah.
“Assalamualaikum Iman,” Iman menutaskan pandangan pada suara yang
menegur. Senyuman terukir di bibir. “Waalaikumussalam, Kak Zah. Eh,
awalnya jemur kain!” ujarnya pada jiran yang selalu ramah menegurnya.
“Nak kejar panas, Iman. Kenalah sidai awal-awal. Lagipun banyak ni. Tau
ajelah budak-budak ni. Asyik salin baju aje kerjanya,” tutur Kak Zah
ramah sambil tangannya laju menyidai kain yang penuh sebaldi tu. Iman
tersenyum mengiakan kata-kata Kak Zah itu.
“Tadi akak nampak Adnan bawa beg pakaian, nak ke mana dia tu?” Tanya Kak
Zah mengambil tahu. Tersenyum Iman dengan pertanyaan itu. Terasa
menggebu rindu pada suaminya yang baru lima minit meninggalkan rumah.
“Abang kena attend seminar, akak. Kat Johor,” beritahu Iman jujur.
“Oooo…. berapa lama tu?” tanya Kak Zah sambil terangguk-angguk. “Tiga
hari akak,” balas Iman lagi. Membicarakan soal suaminya membuatkan Iman
dilanda sebak tiba-tiba.
“Habis tu, Iman tinggal sorang-sorang la tiga hari ni ye?” Hanya
anggukkan menjadi balasannya. “Kalau Iman takut tidur sorang-sorang,
Iman datang la tidur kat rumah akak ni. Tak pun kalau Iman segan, akak
bagi pinjam anak-anak akak buat teman Iman?” Cadang Kak Zah jujur. Iman
tergelak mendengar cadangan Kak Zah itu. Tercenggang-cenggang Kak Zah
dengan gelagat Iman. ‘Aku salah cakap ke?’ soalannya dalam hati.
Iman yang menyedari ketidaksopanannya cepat-cepat meminta maaf. “Maaf
akak. Iman geli hati. Ade ke akak nak bagi pinjam anak-anak akak tu kat
Iman,” berair sedikit matanya.
“Eh, kamu ni Iman ade aje nak kenakan akak pagi-pagi ni! Akak bagi
pinjam sekejap aje. Siangnya bagi balik. Untung-untung kamu pinjam semua
anak akak tu, bolehla malamnya akak ber-honeymoon dengan Abang Aziz
kamu,” ujarnya sambil tergelak-gelak. Bersatu gelak ketawa mereka.
“Ala akak ape susah. Tak payah tunggu abang takde, kalau akak rasa nak
ber-honeymoon dengan Abang Aziz, akak hantar aje budak-budak tu kat
Iman. Iman tak kisah punye,” sambung Iman menambah keceriaan pagi itu.
“Hisy.. kamu ni Iman. Kalau akak hantar masa Adnan ade, akak pulak yang
ganggu honeymoon kamu berdua,” ujarnya sambil tersengih. Kain sudah
habis disidainya.
“Abang tak kisah la, akak. Abang tu suka budak-budak. Kalau dah
berkumpul adiberadik kat rumah mama ke, ibu ke, dia la yang paling rajin
melayan semua anak saudaranya,” beritahu Iman jujur. Kak Zah
terangguk-angguk.
“Tapi tu lah, kami aje yang belum ade rezekinya,” sayu suara Iman
mengundang simpati Kak Zah. “Sabar la Iman. Belum rezeki kamu.
Entah-entah nanti dah dapat berderet-deret pulak. Macam Kak Zah ni.
Sampai dah tak menang tangan,” pujuknya tergelak-gelak. Iman hanya
tersenyum. Sedang leka berbual terdengar tangisan dari dalam rumah Kak
Zah. Kedua-duanya serentak berpaling.
“Tu hero akak dah buat orkhestra dah. Akak masuk dulu ye. Ape akak kata
tadi tu betul-betul tau. kalau nak pinjam cakap aje. Assalamualaikum!”
Ujarnya sebelum masuk ke dalam rumah. Iman hanya mengangguk, menjawab
salam dalam hati sebelum melangkah masuk ke dalam rumahnya.
Berseorangan di rumah membuatkan Iman semakin merindui suaminya. Iman
meliarkan pandangan ke segenap ruang rumahnya itu. Setiap ruang
mempunyai cerita tersendiri. Setiap ruang mempunyai aura suaminya. Iman
semakin jatuh cinta dengan suaminya. Seakan-akan terbayang suaminya di
setiap ruang yang dipandang.
‘Tak boleh jadi ni. Baik aku kemas meja makan tadi,’ getus hatinya
mengalihkan tumpuan pada perkara yang lebih penting. Iman melangkah ke
meja makan. Pinggan sarapan dikumpul dan dibawa ke dapur. Melihat cawan
suaminya yang masih bersisa, Iman menghabiskan air dengan melekapkan
bibirnya pada kesan bibir suaminya pada cawan. Terasa seolah-olah
bibirnya mengucup bibir suaminya. ‘Abang, Iman rindu kat abang,’ bisik
hatinya hiba. Dalam kesayuannya itu, Iman terdengar sayup-sayup bunyi
telefon bimbitnya.
Share this novel