Bab 3

Drama Series 22843

Risau Malik apabila mendengar tangisan Nurul Natasha dari telefon. Jelas kedengaran esak tangisnya.

"Tasha, awak kenapa ni? Ada apa-apa masalah ke? Kenapa nangis macam ni?" Tanya Malik ambil berat.

"Malik, papa marah Tasha. Sebab tulah Tasha nangis." Tenggelam timbul suara Nurul Natasha dek esakan yang menjadi-jadi.

"Lah... Kenapa pulak papa marah Tasha? Tasha ada buat apa-apa ke? Kalau tak, takkanlah sampai papa marah Tasha?"

"Tasha tak siapkan kerja yang sepatutnya Tasha kena buat."

"Oh, patutlah. Tasha tu patutnya fokuslah dekat kerja sebelum nak buat benda lain. Kerja tu kan penting." Malik cuba memberi nasihat.

"Tasha bukan tak fokus, cuma tak ada masalah Malik. Tak tahulah nak cakap apa lagi. Serabutlah fikiran Tasha sekarang ni." Jelas Nurul Natasha.

"Mengadu dekat kekasih hati?" Tiba-tiba Nurul Nabila muncul dalam bilik itu.

Terkejut katak Nurul Natasha apabila suara kakaknya kedengaran tanpa sapaan. Haih, paling-paling pun bagilah salam dulu. Tak pun ketuk pintu sebelum masuk. Haish! Omel hatinya.

Pantas Nurul Natasha mengelap air mata yang merembes-rembes jatuh di pipinya. Panggilan dengan Malik dimatikan.

"Kenapa tak jawab soalan akak? Ingat akak tak tau yang adik mengadu dengan siapa nama dia tu? Ha, Malik!" Sangka Nurul Nabila.

Nurul Natasha mengerutkan dahi. Takkanlah Nurul Nabila dengar perbualan dia dengan Malik kot?

"Eh, tak adalah kak! Mana ada. Kawan adik call adik tadi. Ada benda yang dia nak cakap." Nurul Natasha cuba menyangkal sangkaan kakaknya.

Alah, macamlah aku tak tau! Aku dengarlah kau berbual dengan Malik tu! Bisik Nurul Nabila dalam hati.

"Ni, akak datang bilik adik ni kenapa?" Soal Nurul Natasha.

"Ni, akak nak adik tolong akak buat kerja yang tergendala tu. Kalau akak buat sendiri tak siaplah jawabnya. Nak mintak tolong papa, kesian pulak dia penat kerja. Sebab tulah, akak nak mintak tolong adik. Apa-apa yang adik tak tau tanya aje akak." Jelas Nurul Nabila.

Nurul Natasha hanya tersenyum dan mengangguk. Nurul Nabila menyerahkan fail kerja yang belum sempat disiapkannya kepada Nurul Natasha. Mereka berdua lalu keluar dan buat kerja tersebut di ruang tamu.

Semasa menyiapkan kerja itu, nampak Nurul Natasha dan Nurul Nabila sudah berbaik sesama mereka. Alah, adik-beradik gaduh lama mana. Nak sorok-sorok pun tetap jumpa berdepan. Senang berbaik sahaja. Habis cerita.

Bibik menjenguk sedikit ke arah ruang tamu. Nampak kemesraan Nurul Natasha dan Nurul Nabila. Betullah ada pepatah yang mengatakan air dicincang tak akan putus. Macam tulah hubungan Nurul Natasha dan Nurul Nabila. Dingin macam mana pun mereka, tak lama kemudian berbaik semula.

Bibik tersenyum sendiri. Dia juga turut rasa bahagia melihat adik-beradik itu. Tidak lama kemudian, Bibik menyambung kerjanya di dapur.

Nurul Natasha sudah bersiap untuk ke officenya. Baju kurung warna merah dikenakan dengan tudung hitam menyerikan penampilannya. Dengan kulitnya yang putih, terserlah keayuannya. Pasti sejuk hati siapa yang memandangnya. Sopan nampak penampilannya.

Erm, tapi peliklah. Selama ni tak reti nak tutup aurat tiba-tiba hari ni boleh pulak mengikut perintah Allah SWT dengan menutup auratnya. Kali ini kedengaran Nurul Natasha mendengus. Merah mukanya kerana terlalu marah. Siapa yang buat hal dengan dia hari ini mahu meletus gunung berapi. Bukan setakat gunung berapi, bapak gunung berapi sekali meletus.

Mungkin pada orang lain rasa sejuk hati memandang penampilan Nurul Natasha yang sopan itu. Tapi tidak padanya, hatinya rasa begitu panas. Terasa nak menjerit kuat-kuat yang dia tak suka pakai macam tu.

Nurul Natasha mengibar-ngibarkan tudungnya. Heiii, panas betullah tudung ni! Jerit hatinya! Pada kala ini, kata-kata papanya singgah di kepala.

Nurul Natasha yang kira-kira nak bertolak ke office terhenti apabila Tan Sri Zainal menegurnya.

"Hey, Nurul nak pergi mana? Pakai baju ketat macam tu?" Tanya Tan Sri Zainal mahukan kepastian.

"Tasha nak pergi office lah pa. Nak pergi mana lagi? Kan hari ni kita ada meeting. Tasha kena cepat pergi office. Oh ya! Before i forgot, can you stop calling me Nurul pa? That's kinda kampung namelah pa! I don't like it!"

Ingatkan bila gaduh dengan papanya dah tak kisah pasal hal tu. Rupanya dibangkitkan balik. Nurul... Nurul... Eh, silap! Tasha... Tasha... Ada-ada jelah.

"Tak kisahlah Nurul ke, Tasha ke. Asalkan nama tu baik maknanya. Daripada papa panggil sundal. Tak ke naya? Dengan pakaian macam nak pergi clubbing." Sempat pulak Tan Sri Zainal mengutuk anaknya.

Tajam mata Nurul Natasha memandang papanya. Tak habis-habis nak cari pasal! Bentak hatinya. Geram betullah!

"Dah-dah, forget about it. Ni, Nurul lupa ke apa syarat yang papa bagi? Setiap kali nak pergi meeting, papa nak Nurul pakai pakaian yang sopan. Menutup aurat. Bukan pakaian macam ni. Apa benda ni?"

"Alah, sekali-sekala bolehlah pa. Kira halallah. Bukan selalu Tasha pakai macam ni." Nurul Natasha cuba mempertahankan dirinya. Demi nak pakai pakaian yang mencolok mata itu, sanggup dia cari beribu alasan. Nauzubillah...

"Apa? Bukan selalu? Hei, berapa kali Nurul pakai pakaian yang tutup aurat boleh dihitung dengan jari tau! Tak ada, papa nak Nurul tukar baju tu! Kalau tak, papa tak nak Nurul datang office dan papa akan potong gaji! Nurul tahu kan kalau sekali Nurul ponteng kerja tanpa sebab yang boleh diterima, papa akan sekat kad kredit Nurul. Duit belanja cuma duit gaji Nurul tu aje." Tan Sri Zainal seakan mengugut.

Jelas dengar Nurul Natasha merengus. Dengan muka kerang busuk dia pergi ke biliknya untuk menyalin pakaian seperti yang dikehendaki papanya. Tan Sri Zainal nampak sedikit muram wajahnya. Terdengar dia mengeluh.

"Papa nak sangat Nurul berubah. Tak apalah kalau papa dapat tengok Nurul tutup aurat walaupun sekejap, dah cukup buat papa gembira nak." Kata Tan Sri Zainal perlahan.

Tanpa berlengah dia pergi ke luar rumah sambil membawa begnya. Pak Rusdi terus mengambil beg Tan Sri Zainal dan memasukkannya ke dalam kereta. Pintu kereta awal sudah dibuka. Setelah Tan Sri Zainal masuk, pantas Pak Rusdi menutup semula pintu kereta itu dan memandunya.

"Cik Tasha dah siap ke?" Suara lembut Imran Hakim menyedarkan Nurul Natasha yang mengelamun itu.

Nurul Natasha memandang sekilas lelaki itu lalu pergi menuju ke kereta yang biasa dibawanya. Imran Hakim hanya memandang dengan senyuman tidak lekang di bibirnya. Terserlah lesung pipit lelaki itu. Hensem jugaklah Si Imran Hakim ni. Kalau nak compare dengan Malik, lagi hensem dia kot. Hmm, sebab tulah Nurul Nabila terpesona melihat senyuman lelaki itu.

Sedari tadi Nurul Nabila hanya memandang Imran Hakim yang tidak lekang senyuman itu. Hmm, comelnya! Bisik hatinya.

Imran Hakim yang terperasan Nurul Nabila yang sedari tadi memandangnya itu terus melebar senyumannya. Bukan sebab miang atau gatal, sebab dia malu. Yelah, perempuan pandang lelaki semacam. Mana tak malu beb!

Nurul Natasha meraba kocek beg tangannya. Agak lama dia meraba kocek beg tangan itu. Tapi, barang yang dia hendak tak ada pulak!

"Hish, mana ni!" Dia merengus.

"Adik! Papa kata dia tak bagi adik bawak kereta. Kunci kereta papa dah ambil. Adik dengan akak naik kereta ni. Imran yang bawak." Malu-malu pula suara Nurul Nabila apabila menyebut nama Imran itu.

Nurul Natasha sempat menghentakkan kakinya sebelum menuju ke kereta yang akan dipandu Imran Hakim itu. Protes!

Semasa dalam perjalanan ke tempat kerja, tak habis-habis mulut Nurul Natasha menceceh sahaja. Nurul Nabila rasa meluat jugak bila dengar bunyi bising tu.Yang Si Imran Hakim tu tak payah cakaplah, memang senyum aje kerja dia. Tak apalah, senyum kan satu sedekah. Dengan senyum jugak hidup lebih bahagia dan harmoni. Tak gitu?

"Hish, papa ni saja aje nak kenakan adik. Panaslah pakai tudung ni! Dengan baju labuh macam baju kelawar. Eiii... Panas betullah!" Bebel Nurul Natasha.

Mulanya Nurul Nabila nak biarkan sahaja, tapi kalau dah merepek sampai cakap satu kewajipan tu merimaskanlah apalah memang nak kena ceramahlah jawabnya!

"Adik! Adik sedar tak apa yang adik cakap ni? Kan sebagai perempuan kita kena tutup aurat dengan sempurna. Itu kan perintah Tuhan. Lagi satu, adik kata apa? Panas pakai tudung? Akak okey aje pakai tudung. Kereta ni ada aje air-cond. Berfungsi lagi. Adik kira bersyukur tau sekurang-kurangnya hidup adik senang. Cuba kalau macam orang miskin, ada diantara diorang yang sanggup berpanas semata-mata nak ikut perintah Allah dengan menutup aurat. Papa sebenarnya nak sangat tengok adik tutup aurat. Sebab tulah, setiap kali ada meeting papa nak adik pakai pakaian yang menutup aurat, yang sopan. Papa cakap dengan akak, tak dapat tengok selalu, sekali-sekala pun jadilah." Panjang ceramah Nurul Nabila kepada adiknya. Memang kena diajar adiknya yang keras kepala tu! Kalau tak, mahu sampai ke sudah macam tu ajelah jadinya.

"Betul apa yang Cik Bella cakap tu. Cik Tasha, kita sebagai orang Islam wajib ikut suruhan Allah. Salah satunya dengan menutup aurat." Tambah Imran Hakim yang sedang memandu itu. Kedengaran seperti memuji Nurul Nabila.

Tersenyum lebar Nurul Nabila. Manis senyumannya. Sukalah tu lelaki idaman dia memuji. Nurul Natasha pula mencebikkan bibir.

"Alah, akak ni. Nanti bila adik dah tua nanti adik taubatlah. Tutup aurat. Jaga semua tu. Sekarang ni adik muda lagilah." Balas Nurul Natasha tak nak kalah.

Inilah dia kalau bercakap tak fikir panjang. Apa dia ingat tu taubat waktu tua aje ke? Dia lupa ke yang ajal maut ni tak kira umur. Hmm...

"Ya Allah! Apa yang adik cakap ni? Kita ni kalau dah tertulis ajal kita, memang waktu tulah kita mati. Tak kira tua ke muda ke. Apalah adik ni cakap macam tu pulak."

Sekali lagi Nurul Natasha hanya mencebikkan bibir. Daripada kena ceramah lagi dengan kakaknya dan disampuk dengan Imran Hakim, Nurul Natasha terus sahaja memejamkan mata. Tak larat dia nak dengar bebelan mereka berdua. Tak habis-habis nak salahkan aku! Gerutunya.

Nurul Natasha... Nurul Natasha... Semoga dia akan dijodohkan dengan lelaki yang baik dan luhur hati budinya. Semoga suaminya nanti dapat membimbingnya hingga ke jannah. Eh, tapi kalau Malik sesuai ke? Entahlah. Tengok ilmu agama dia macam cetek aje. Masih bersentuhan dengan yang bukan mahram. Hmm...

Sampai sahaja di bangunan syarikat megah kepunyaan Tan Sri Zainal itu, Imran Hakim terus memarkirkan kereta. Nurul Natasha kelihatan masih di alam mimpi. Entah apa yang dimimpikan tu tak pastilah. Nurul Nabila pula bersiap-siap untuk keluar dari kereta.

Imran Hakim membuka pintu belakang kereta. Nurul Nabila lantas mengejut adiknya yang sedang tidur itu. Imran Hakim hanya tersenyum melihatnya.

"Adik... Adik bangunlah! Kita dah sampai dah ni. Cepat meeting dah nak mula ni." Nurul Nabila menggoyang-goyangkan badan adiknya. Sambil-sambil itu sempat dia mengerling jam tangannya. Dalam 30 minit lagi meeting akan bermula. Yang Nurul Natasha buat hal. Tidur pulak!

Nurul Natasha yang merasa seperti ada orang menggoyangkan badannya, terus sahaja dia membuka mata. Dengan mata terpisat-pisat dia bangun dan melihat ke sekeliling. Orang baru bangun tidur, tahu-tahu jelah ayat yang akan keluar di mulut.

"Kita dekat mana ni?" Tanya Nurul Natasha sambil menggosok-gosok matanya.

"Kita dah dekat alam barzakh." Nurul Nabila mengenakan adiknya.

Bulat mata Nurul Natasha memandang kakaknya. Nak terbeliak matanya. Ketawa Nurul Nabila melihatnya.

"Apalah akak ni! Ingat orang ni budak kecik ke nak cakap macam tu! Hello! I am 23 okay! I dah besar!" Seperti tidak puas hati nadanya.

"Ha, tak kisahlah. Adik pun harap je nak tua bangka, tapi perangai macam budak-budak. Dah cepat! Meeting dah nak start ni. Mulut tu banyak air liur basi." Nurul Nabila mengenakan adiknya.

Nurul Natasha dengan terkocoh-kocoh mengelap mulutnya. Takutlah kalau ada air liur ngencis keluar dari mulut tu. Kalau pekerja-pekerja lain nampak, eiii mau kena bahan jenaka satu office. Malu!

Setelah mengelap mulutnya, dia melihat ke arah tangannya. Tak ada pun air liur. Tapi, dia masih tak puas hati. Nurul Natasha mengambil telefon pintar dan membuka aplikasi kamera. Dia melihat di sekeliling bibirnya. Hmm, tak adalah air liur.

"Mana ada air liur! Akak ni kan!" Marah Nurul Natasha. Dia menepuk bahu kakaknya.

"Aduh!" Nurul Nabila separuh menjerit. Sakit juga kena tepuk dengan adiknya.

Alah, lagipun kalau ada air liur basi yang keluar dekat mulut Nurul Natasha tu bukannya ada apa-apa masalah pun. Bibir dia kan dikenakan gincu mahal. Lepas tu, tebalnya mahu 5 inci. Kalau air liur keluar pun, mahu meresap ke dalam gincu tu. Habis cerita.

Nurul Nabila dan Nurul Natasha keluar dari kereta. Sampai di luar Nurul Nabila sempat mengucapkan terima kasih kepada Imran Hakim.

"Terima kasih ya Imran sebab tolong hantarkan Bella dengan Nurul ke sini." Lembut tutur katanya.

"Sama-sama. Alah, lagipun memang Imran selalu hantar Cik Bella ke sini. Cuma, Cik Nurul kuranglah. Mungkin Cik Nurul selesa bawa kereta sendiri kot." Balas Imran Hakim mesra.

Nak terkeluar biji mata Nurul Natasha memandang Imran Hakim. Nasib baiklah Imran Hakim jenis yang tak kisah. Kalau orang lain mau habis air liur ditelannya kerana memandang muka ganas perempuan itu.

"Excuse me! Kau panggil aku apa? Cik Nurul? Cik Tasha! Tasha! Nurul tu nama kampung!" Marah Nurul Natasha. Pada hujung ayatnya kedengaran lagak bunyinya.

"Eh, dah-dah. Imran, Bella dengan Nurul pergi dulu ya?" Nurul Nabila cuba untuk memotong kata adiknya. Kalau tak, mahu sampai ke esok bising mulutnya hanya kerana memanggilnya Nurul. Okey apa nama Nurul tu. Sedap nama itu kalau dipanggil.

Imran Hakim hanya mengangguk dan tersenyum. Nurul Nabila tanpa berkata apa terus pergi menuju ke office. Dia menarik tangan adiknya. Imran Hakim hanya melihat dari jauh dua beradik itu.

Tak sampai satu minit telefon pintar berdering tanda ada panggilan masuk. Imran Hakim melihat ke skrin telefon. Umi menghubunginya.

"Assalamualaikum, umi. Umi apa khabar?" Imran Hakim terlebih dahulu menyapa.

"Waalaikumussalam. Alhamdulillah, umi sihat. Imran macam mana? Sihat ke?"

"Alhamdulillah, Imran sihat mi. Adik macam mana mi? Sihat?" Imran Hakim bertanyakan tentang adiknya pula.

"Alhamdulillah, Wani pun sihat. Anak dara tu biasalah main aje kerjanya dengan anak Farida, Si Danish. Tembam betul pipi anaknya." Tersenyum riang Puan Hanisa bercerita tentang anak Farida.

"Alhamdulillah... Farida dah bersalin ya mi? Dah berapa tu umur anaknya?"

"Dah dekat empat bulan. Ha, Imran kalau ada masa lapang datanglah jenguk umi kat kampung. Lama Imran tak balik. Umi ni bukannya apa, bosan dekat kampung ni. Asyik menengok muka adik kamu aje. Kalau ada Imran kan meriah sikit rumah ni."

"Insya Allah, umi. Kalau ada masa lapang nanti Imran datang jenguk umi ya. Imran busy sikitlah umi. Dalam hujung bulan ni kalau berkesempatan, Imran balik kampung jenguk umi dengan Wani ya."

"Iyalah kalau kamu dah cakap macam tu. Jaga diri dekat Kuala Lumpur tu. Umi doakan semoga dipermudahkan segala urusan dekat sana. Moga melimpah ruahlah rezeki Imran kat sana ya nak."

Syukur Imran Hakim mendengar doa uminya. Alhamdulillah, dia dianugerahkan seorang umi yang mengambil berat dan penyayang.

"Terima kasih umi. Umi, Imran nak gerak dah ni. Nanti umi kirim salam dengan Wani ya?"

"Ya, insya Allah."

Belum sempat Imran Hakim hendak memutuskan talian, suara uminya menerobos di telefonnya.

"Eh, Imran kejap! Adik kamu nak bercakap dengan kamu ni."

Wani yang sedang mendukung Danish itu terus mengambil telefon dari uminya. Umi mengambil Danish dari dukungan Wani. Sempat dia mencium pipi tembam Si Comel itu.

"Assalamualaikum, abang." Wani memberi salam.

"Waalaikumussalam. Ha, adalah apa-apa yang dia nak tu sebab tu cakap dengan abang ni kan?" Imran Hakim membuat sangkaan.

"Abang, adik nak mintak tolong sikit. Tolong belikan adik phone baru boleh?"

Hmm, Imran Hakim dah agak dah. Kalau bercakap dengan abangnya, tak sah kalau tak mintak apa-apa.

"Lah... Kan adik dah ada handphone, buat apa nak beli handphone lagi?" Tanya Imran Hakim kepada adiknya yang tukang habiskan duit aje kerjanya tu.

"Handphone adik dah rosaklah. Hari tu jatuh lepas tu skrin dalam pecah. Nak repair mahal, baik adik beli baru aje." Wani buat nada seakan minta simpati. Drama lebihlah dia ni.

"Ha, kalau macam tu adik beli jelah baru." Saja Imran Hakim nak kenakan adiknya.

"Alah, abang ni! Boleh je adik pergi beli tapi adik kan jenis yang tak tahu brand phone apa yang bagus. Abang kan tau pasal semua tu? Abanglah carikan yang rare punya."

"Ha, yelah yelah. Nanti abang belikan. Adik tu janji dulu dengan abang belajar betul-betul. Tahun ni STPM kan? Buat betul-betul biar adik dapat masuk U."

"Terima kasih abang! Okey, adik janji adik akan belajar betul-betul sampai U macam abang. Abang Wani kan terror dah sampai master. Wani nak tanya abang sikit ni, abang tak nak sambung PhD ke? Kan nanti tertera nama abang, Doktor Imran Hakim bin Rahman." Kata Wani siap dengan gayanya. Menggeleng Puan Hanisa melihat anak daranya itu.

"Abang buat apa yang termampu aje dik. Adiklah yang kena belajar sampai PhD. Banggakan umi. Banggakan abang sekali."

"Eleh, abang ni. Orang cakap dia, dia suruh orang pulak. Ni, abang ni bila nak bawak bakal kakak ipar Wani balik kampung ni? Tak sabar Wani nak ada kakak. Yelah, kita pun adik-beradik dua orang aje."

"Eh, sibuk ajelah dia ni! Nanti dah ada abang bawak baliklah. Adik tu doakan abang supaya abang dijodohkan dengan orang yang baik-baik."

"Adik sentiasa doakan abanglah. Moga abang dijodohkan dengan perempuan yang baik-baik. Amin..."

Tersenyum Imran Hakim mendengarnya. Wani tu biasalah, tak habis-habis tanya pasal kakak ipar. Haih...

"Abang nak dengar suara Danish tak?" Suara Wani menyentakkan Imran Hakim yang berkhayal itu.

"Boleh jugak. Abang belum pernah jenguk dia ni." Balas Imran Hakim.

Wani mendekatkan telefon pintar ada Danish. Dalam masa yang sama, Wani menggomol Si Comel. Mengekek-ngekek ketawa dia. Lesung pipit kelihatan di kedua-dua belah pipinya. Suka Imran Hakim mendengarnya. Umi juga tersenyum riang.

"Okeylah, adik. Abang nak gerak dah ni. Nanti kita cakap lagi. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Imran Hakim memutuskan panggilan itu.  Dia kemudian memasukkan telefon pintarnya itu ke dalam poket seluarnya. Tanpa berlengah, dia masuk ke dalam kereta dan memandunya pergi dari situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience