Bab 7

Drama Series 22843

Imran Hakim memberhentikan motorsikal di depan rumah yang nampak agak besar itu. Warna ungu rumahnya. Cantik. Itulah rumah yang diduduki oleh Azrul, Farida, Danish Si Comel dan Mak Yah, ibu kepada Farida.

Imran Hakim baru balik beli barang dari kedai runcit kepunyaan Pak Khir. Barang beli dapur sikit. Barang dapur kat rumah dia pun dah kurang. Itu yang beli sekejap kat kedai. Alang-alang dah keluar tu, Dia singgahlah sekejap dekat rumah Farida. Kalau nak ikutkan jarak rumah dia dengan rumah Farida selang dua rumah aje. Jalan kaki tak sampai lima minit sampai.

Wani cepat-cepat turun dari motor sebab tak sabar nak jumpa dengan Danish. Wani sama aje macam Darwish. Pantang kalau jumpa dengan anak kecil, memang sampai tak ingat dunia. Imran Hakim hanya ikut dari belakang. Sampai di depan pintu Wani memberi salam.

"Assalamualaikum. Mak Yah! Oh, Mak Yah! "

Mak Yah yang sedang menyusukan bayi itu terhenti. Terus dia menuju ke pintu. Farida dengan Azrul tak ada dekat rumah. Farida dengan Azrul sama-sama usahakan kilang kerepek sendiri. Mak Yah lah sifu buat kerepek. Segala jenis kerepek kalau dari air tangan dia memang sedap-sedap. Lepas tu, resipi itu diajar pada Farida. Dia pulak bercadang nak usahakan kerepek-kerepek tu. Sebab tu dibuat kilang kat hujung kampung.

"Waalaikumussalam. Kejap ya Wani." Mak Yah menjawab salam sambil membuka pintu. Dia dah kenal dah empunya suara yang bagi salam tu. Siapa lagi kalau bukan Wani. Dah memang dia selalu datang rumah tu. Nak bermain dengan Danish punya pasal.

Pintu sudah dibuka. Wani terus menyalam dan mencium tangan Mak Yah. Terkejut jugak Mak Yah bila nampak Imran Hakim pun ada sama.

"Eh, Imran! Bila balik kampung? Tak tahu pun Mak Yah? Wani tak cakap dengan Mak Yah pun abang Imran balik."

Wani hanya tersengih. Lupa pulak dia nak bagitahu Mak Yah.

"Baru aje semalam petang. Mak Yah apa khabar? Sihat?" Tanya Imran Hakim sopan.

"Alhamdulillah. Mak Yah sihat aje. Wani kalau bagitau Mak Yah yang Imran balik, boleh Mak Yah masakkan kari ayam. Abang Imran kamu ni kan suka makan kari ayam." Kata Mak Yah sambil menepuk bahu Wani.

Mak Yah dengan Imran Hakim ni walaupun hanya berjiran dah anggap macam anak sendiri dah. Asal Imran Hakim balik aje, memang siap terhidanglah kari ayam atas meja. Tinggal nak di 'ngap' aje. Imran Hakim pun makanan kegemaran dia memang kari ayam.

"Eh, jemputlah masuk. Apa pulak berbual dekat luar ni? Panas." Pelawa Mak Yah ramah.

Wani dan Imran Hakim segera masuk ke dalam rumah. Apabila melihat baby Danish yang sedang baring di atas sofa itu, terus sahaja Wani mendekatinya. Si comel itu didukung dan dicium pipinya berkali-kali. Mak Yah pergi ke dapur sebentar. Mungkin ada benda nak diambilnya.

Wani menggomol perut buncit Danish. Mengekek-ngekek dia ketawa. Kecil-kecil dah jadi periang. Senang ketawa. Dah besar nanti peramah agaknya dia.

"Comelnya awak. Siapa nama dia Wani? Lupa pulak abang." Tanya Imran Hakim sambil mengelus-elus pipi tembam Danish. Sesekali dia mencubitnya. Geram sangat dengan pipi Si Tembam tu. Semangat betul budaknya.

"Baby, cakap dengan Uncle Imran nama saya Muhammad Danish Haizy bin Azrul Hairy." Kata Wani. Di kala itu boleh pulak Danish bercakap. Hmm, kecik lagi dah becok mulutnya. Dah besar mau jadi cikgu nanti.

Ketawa Wani dan Imran Hakim mendengar Danish bercakap dengan bahasa yang dia seorang sahaja yang faham. Imran Hakim lalu menghulurkan tangan kepada Danish. Danish beralih arah kepada Imran Hakim. Kepalanya dilentukkan di bahu Imran Hakim. Manja dia. Danish ni memang baik budaknya. Tak banyak kerenah. Dengan sesiapa pun dia okey aje. Periang pulak tu.

Dalam Imran Hakim dan Wani bermain dengan Si Kecil itu, Mak Yah datang dengan membawa dua balang berisi kerepek-kerepeknya. Balang ditangan kanannya berisi kerepek ubi pedas dan sebelah kiri pulak rempeyek. Sedapnya! Mak Yah memang digelar sifu kerepek dalam kampung ni. Segala kerepek yang dibuatnya sedap-sedap belaka. Ramai yang suka. Bukan sahaja orang kampung, malah orang luar pun ada membeli kerepek keluarannya.

"Eh, Mak Yah buat apa susah-susah bawa kerepek tu semua?" Ujar Imran Hakim yang masih mendukung Danish.

Wani pula segera mengambil balang-balang dari tangan Mak Yah. Mak Yah menghulurkan balang-balang tersebut kepadanya.

"Tak adalah susah mana. Tetamu datang takkanlah kita tak hidang apa-apa? Tetamu kan bawa rezeki." Balas Mak Yam pula.

"Kita kan berjiran Mak Yah. Dah macam saudara sendiri. Hurm, Farida dengan Azrul tak ada ya Mak Yah?" Tanya Imran Hakim. Sedari tadi dia tak nampak pun kelibat Farida dengan Azrul.

"Tak ada. Imran tahu-tahu ajelah diorang tu biasanya waktu macam ni dekat kilang kerepek sana. Nanti kejap lagi diorang baliklah tu." Beritahu Mak Yah.

Imran Hakim hanya mengangguk. Tengah bual-bual tu Mak Yah baru teringat yang dia belum hidang minuman.

"Imran dengan Wani jemputlah makan. Maaflah Mak Yah belum masak lagi, cuma ada kerepek aje kat dapur tu. Mak Yah nak pergi buat air kejap."

"Eh tak apalah, Mak Yah. Ni dah kira lebih dari cukup. Mak Yah tak payah susah buat itu ini."

Mak Yah hanya tersenyum. Dia kemudian berlalu menuju ke dapur. Tidak sampai sepuluh minit Mak Yah datang semula menuju ke ruang tamu sambil membawa dulang yang diletakkan teko dan beberapa buah cawan di atasnya. Imran Hakim dan Wani pula masih leka bermain dengan Danish.

Suka Imran Hakim melihat gelagat Si Comel itu. Dengan pipinya yang tembam dan badannya yang semangat betul tu. Sesekali dia mencium pipi Danish.

"Danish ni kadang-kadang nakal budaknya. Bila malam-malam aje ajak Mak Yah main. Tak mau tidur dia." Mak Yah bercerita.

Tersenyum Imran Hakim dan Wani mendengarnya. Imran Hakim mengagah Danish. Mengekek-ngekek dia ketawa. Ceria betul.

Suka Mak Yah tengok Imran Hakim dan Wani bermain dengan cucunya.

"Imran dengan Wani jemputlah minum air teh tu. Kerepek tu makanlah. Ini aje yang Mak Yah boleh sediakan." Pelawa Mak Yah mesra.

"Terima kasih Mak Yah. Kerepek dengan air teh tu pun dah cukup." Balas Imran Hakim ramah.

Danish dibaringkan atas tilam kecil. Kemudian beberapa mainan Wani ambil dan berikan kepadanya. Suka Wani melayan Danish.

"Danish ni sebenarnya dah nak tidur tadi. Bila Imran dengan Wani datang tak jadi tidur dia. Biasa memang macam tulah asal ada orang datang dia tak jadi tidur. Suka ajak main dengan orang. Kadang-kadang sebelum orang datang Mak Yah dah tidurkan dia dulu dekat bilik. Kalau tidak, takut dia mengacau orang lain." Seronok Mak Yah bercerita. Pandai pulak Danish ni ajak orang main dengan dia. Dahlah comel, pandai pulak tu. Ikut mama dialah tu. Idea nak usahakan kerepek buatan Mak Yah dengan membina kilang itu pun daripada dia.

"Pandainya dia ajak orang main. Nakal jugak ya. Taulah yang awak tu comel." Balas Imran Hakim sambil mencuit pipi tembam Danish.

"Haa." Boleh pulak dia membalas Imran Hakim cakap. Faham pulak dia yang orang tengah cakap pasal dia. Pandai.

Mak Yah melihat sahaja Imran Hakim bermain dengan Danish. Nampak mesra betul dia dengan Si Kecil tu. Dah memang Imran Hakim pun jenis yang sukakan budak-budak. Nak buat macam mana?

Sampai satu ketika otak Mak Yah mengeluarkan isyarat untuk menanyakan satu soalan kepada Imran Hakim. Soalan ni memang famous di kalangan orang-orang tua atau yang dah berumur. Kalau jumpa aje, soalan nilah biasa ditanyanya.

"Mak Yah tengok Imran suka benar dengan budak kecik. Imran tak fikir ke nak bina rumah tangga? Dah ada calon?" Kan! Dah agak, ini soalan yang akan ditanyanya. Tapi tak apa, Imran Hakim faham. Orang yang dah berumur memang biasa tanya soalan ni. Jadi, jawab ajelah.

"Mak Yah ni ke situ pulak. Imran memang suka budak kecik. Tapi tak adalah terfikir sampai nak berkahwin bagai. Imran tak ready lagilah Mak Yah nak jaga anak dara orang. Lagipun, siapalah yang nak dekat Imran ni?" Jawab Imran Hakim.

Tapi kan, jawapan tu macam tak boleh diterima oleh Wani. Nampak dia mencebikkan bibir seakan mengejek. Banyaklah alasan abang ni. Omelnya. Kemudian dia memberikan botol susu kepada Danish sambil menepuk perlahan badannya.

"Mak Yah ni bukannya apa tanya soalan macam tu. Mak Yah ni kadang-kadang terfikir jugak, kamu kan umur nak masuk 30-an takkan tak naik pelamin lagi. Nak cakap pasal tanggungan, kamu memang mampu kan?" Ujar Mak Yah.

"Eleh, Mak Yah nak tahu tak. Abang tu sebenarnya alasan aje tak ready nak jaga anak dara oranglah, tak ada yang berkenanlah. Padahal ada aje yang nak, abang tu yang jual mahal." Wani yang bermain dengan Danish sedari tadi menyampuk.

"Sibuk aje adik ni!" Imran Hakim memarahi adiknya. Wani hanya mencebikkan bibir.

Kemudian Wani seakan memikirkan sesuatu. Perlahan-perlahan senyuman mula terukir di bibirnya.

"Ke abang dah berpunya? Yelah, bila adik dengan umi pilihkan abang tak nak. Cuba abang cakap dengan adik betul-betul. Abang dah ada eh? Abang kalau dah ada jangan berahsia dengan adik sendiri."

Bulat mata Imran Hakim memandang adiknya. Entah apa yang dia makan tadi sampai fikir macam tu sekali. Senang cerita dah biul. Cakap entah apa-apa aje.

"Apalah adik ni merepek! Tak nampak ke ada Mak Yah ni?" Imran Hakim menegur adiknya. Kalau nak tuduh-tuduh macam tu biarlah bertempat. Ini tak, dahlah depan mereka berdua ada Mak Yah. Malulah dibuatnya. Haih, mulut murai betullah Si Wani ni.

Mak Yah sudah tersenyum melihat mereka adik-beradik. Biasalah tu tengking gaduh-gaduh manja.

"Kalau betul macam apa yang Wani cakap tu alhamdulillah lah. Mak Yah pun tumpang gembira. Mak Yah ni bukan apa. Kalau Imran dah ada pilihan hati, jumpakan dengan Mak Yah ya? Mak Yah nak kenal-kenal jugak dengan bakal isteri Imran nanti." Kata Mak Yah tersenyum-senyum.

Aduh, malu Imran Hakim dibuatnya. Merah pipinya menahan malu. Wani punya pasallah ni! Reka cerita entah apa-apa dah panjang hal jadinya. Kalau awal-awal lagi Imran Hakim tau yang Wani nak cakap macam tu, memang dah distepler mulut adiknya itu. Tak cukup lagi, disalotip lima lapis. Biar tak boleh cakap terus. Hei, buat masalah betul budak ni. Saja cari pasal.

Imran Hakim memandang adiknya. Wani dah macam orang menahan gelak. Dia terus menjegilkan mata. Wani mengangkat tangan tanda berserah. Hai, kesian abang Imran Hakim dia. Kena berdas-das hari ni.

Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi kereta sampai di perkarangan rumah. Mak Yah dah mengagak dah siapa yang datang tu. Wani menjenguk ke luar tingkap. Dia kenal kereta siapa tu.

"Ha, tu Farida dengan Azrul dah balik. Mak Yah pergi buka pintu sekejap."

Terdengar Azrul memberi salam. Mak Yah jalan menuju ke pintu. Pintu rumah itu lalu dibuka. Imran Hakim ikut dari belakang. Dia pun memang nak jumpa Azrul dan Farida.

Azrul mula mengerutkan dahi apabila nampak Imran Hakim. Sejak bila pulak dia balik? Soalnya.

"Imran! Bila kau balik kampung?" Soal Azrul mesra. Waktu itu Farida keluar dari kereta sambil membawa beberapa kerepek dalam plastik.

"Baru aje semalam. Tahniahlah aku ucapkan, dapat baby boy."

"Dah nak empat bulan baru nak ucap tahniah. Anyway, alhamdulillah dapat baby boy. Jadi geng dengan papa dia."

"Hurm, jadi geng tu okey. Jangan nanti bila dah sekolah nakal macam papa dia sudah. Suka ngongkel masa bulan puasa." Imran Hakim mengenakan Azrul. Azrul cepat-cepat meletakkan jari telunjuknya di bibir isyarat senyap. Aduh, tak reti diamlah Imran ni! Hmm, sama ajelah dengan adik dia. Semua sudah ketawa mendengarnya.

Azrul dengan Farida duduk sebelah kampung aje. Dulu masa kecil, sekolah rendah sampailah sekolah menengah mereka sekolah sama-sama. Dah tertulis jodoh mereka berdua. Jarak yang dekat tidak menghalang cinta. Sudah ditetapkan Allah SWT jodoh mereka.

Imran Hakim mengalihkan pandangan kepada Farida. Farida ni sebenarnya dulu kurus bagai nak rak. Memang diet ajelah kerja dia. Kalau bab makan tu memang jaga betul-betul. Sekali bila dah kahwin, dengan Azrul sekali kena jaga makan. Nasib dialah dapat yang berdisiplin macam tu. Azrul senang pergi gym aje. Ha, sampai berketul-ketul badan dia angkat berat. Padahal sebelum ni badan dia bukan ada six pack, tapi one big pack. Sejak berkahwin dengan Farida, berubah terus dia. Alah, masa dia kat sekolah menengah dulu pun memang badan macam tu yang dia impikan. Cuma dia agak malas dan keadaan yang tidak mengizinkan.

Sekarang memang sesuailah dia dijodohkan dengan Farida. Apa yang dia impikan jadi kenyataan. Itulah namanya saling melengkapi antara satu sama lain.

"Farida, dah makin berisi Imran tengok sekarang?" Tanya Imran Hakim.

Farida rasa malu juga bila ditanya macam tu. Tapi tak apalah. Orang lepas beranak, biasalah kalau makin berisi tu.

"Hehe... Biasalah Imran. Ida pun kan baru lepas bersalin. Itu yang makin berisi badan tu. Nasib baik abang Rul masih sayang. Tak gitu bang?" Farida sempat mengenakan suaminya.

Hai, terkena lagi. Tadi Imran Hakim, sekarang kena dengan bini sendiri. Apalah nasib. Tak apalah. Lagipun, memang dia sayang bini dia. Azrul hanya tersenyum dan mengangguk sebagai membalas pertanyaan isterinya tadi.

Imran Hakim melihat Azrul yang sudah merah mukanya. Hmm, dua kali dia terkena hari ni. Mereka semua lalu masuk ke dalam rumah. Imran Hakim sempat berbual sebentar dengan Azrul. Biasalah, dah lama tak jumpa. Kalau dah jumpa ada sahaja yang nak dibualnya.

"Makin sado kau sekarang ya? Apa rahsia tiba-tiba jadi macam ni? Sebelum ni aku tengok badan kau biasa aje?" Tanya Imran Hakim. Azrul tersenyum sebelum menjawab.

"Hmm, orang tu duduk Kuala Lumpur lama lepas tu tak reti-reti balik memanglah tak tahu pasal orang kat sini. " Jawab Azrul.

Imran Hakim nampak tak puas hati. Itu bukan jawab soalan, tapi cerita pasal benda lain.

"Aku bukan tak reti balik, okey. Aku sibuklah Rul kat Kuala Lumpur tu. Kau tau-tau ajelah kat sana. Tempat mana aje yang tak sibuk? Banyak benda aku nak kena handle tau tak? Kau tak jawab lagi soalan aku. Asal tiba-tiba berubah pulak kau ni. Makin sado badan." Imran Hakim cuba menjelaskan. Kemudian, dia kemukakan lagi soalan yang sebenarnya.

"Biasalah, kau macam tak kenal Si Ida tu. Dia kan kalau bab-bab makan memang disiplin habis. Nama aje tauke kerepek, tapi dia bukan makan mana pun. Dah dia disiplin dengan makanan, jadi dengan aku sekali terjebak. Senang, aku pergi gym ajelah. Alang-alang buat badan sekali. Tu yang makin sado ni." Azrul menjawab. Pada akhir-akhir katanya ada kedengaran sedikit lagak.

"Patutlah. Nasib baik kau kahwin dengan Farida, kalau tak makin boroilah perut kau." Tergelak Imran Hakim.

"Itulah pasal. Syukur alhamdulillah aku dapat bini macam dia. Tak sangka dari kecil sampai besar bersama akhirnya ke jinjang pelamin. Kau pulak pun apa kurangnya. Aku tengok makin sado badan. Biceps pun besar." Kata Azrul sambil memegang lengan sasa Imran Hakim.

Imran Hakim pula sengaja mengeraskan tangannya supaya makin besar dan keras ototnya. Sampai keluar urat-urat ditangannya. Ketawa Azrul melihatnya.

"Aku dari dulu badan biasa-biasa aje. Tak gemuk sangat tak kurus sangat. Kau aje Rul yang pelik. Dulu gemuk sekarang terus sado. Kalau kau pergi KL, mau terbeliak mata semua perempuan tengok kau. Dahlah hensem, sado pulak tu. Memang taste dioranglah!" Imran Hakim menyakat kawannya. Gelak besar Azrul mendengarnya.

Farida pelik jugak mendengar suaminya gelak besar. Entah apa yang dibualkannya dengan Imran Hakim. Imran Hakim dan Azrul duduk agak jauh dengan Farida, Wani dan Mak Yah. Imran Hakim seakan mengingati sesuatu.

"Eh, sebelum aku terlupa Darwish kirim salam dengan kau."

"Waalaikumussalam." Azrul membalasnya.

Kemudian Imran Hakim menghala mukanya ke arah Farida.

"Farida, Darwish kirim salam." Dia menaikkan sedikit suaranya.

"Waalaikumussalam." Balas Farida yang sedang mendukung Danish. Manja nampak dia. Lebih-lebih lagi bila dengan mamanya, memang terlebih manjalah jawabnya.

Imran Hakim mengerling jam tangannya. Dah nak pukul 12.30 tengah hari. Lama jugak dia duduk berborak kat rumah Mak Yah. Dah tak ada apa-apa nak dibuat, rasanya baik dia minta diri dulu. Waktu solat Zuhur pun dah nak masuk.

"Eh, kalau dah tak ada apa-apa aku balik dululah." Imran Hakim minta diri.

"Ha, yelah." Balas Azrul.

Mereka berdua bersalaman. Imran Hakim lalu memanggil adiknya yang masih lagi bermain dengan Danish. Suka betul dia dengan budak-budak.

"Wani, jom balik. Farida, Mak Yah, kami minta diri dulu ya."

Imran Hakim jalan ke luar rumah. Wani mengikut dari belakang. Sebelum keluar rumah, sempat Wani bercakap dengan Danish.

"Nanti Cik Wani datang jumpa Danish lagi ya?"

Danish bolehkan tersenyum. Comel mukanya. Wani turut tersenyum. Dia lalu keluar rumah dan menaiki motosikal. Mak Yah, Azrul dan Farida yang sedang mendukung Danish itu melihat dari pintu rumah. Wani melambaikan tangan. Mereka menyambutnya. Tidak sampai seminit motosikal itu hilang dari mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience