BAB 1

Humor Completed 16440

Sedang Amelia mencari kunci keretanya di ruang simpan yang tergantung di dinding, dia dirapati oleh ibunya, Puan Esah.

“Lambat kamu balik malam tadi. Nak mengelak dari ibu ke? Kamu jangan ingat boleh lari. Sebab ibu akan tanya soalan yang sama sampai kamu dapat bagi jawapan yang ibu mahukan. Cubalah berusaha.” Kata Puan Esah sebaik saja melihat kelibat anak tunggalnya itu.

"Eh, ada ke situ pula fikirnya. Taklah ibu. Bukan macam tu. Kan Amy dah beritahu ibu semalam. Amy keluar dengan Sasha. Kami keluar makan. Kalau dah keluar makan tu, biasalah Sasha, banyak benda dia nak cerita," jawab Amy panjang.

Puan Esah sudah mula menjeling tak puas hati.

"O. Mungkin ibu lupa. Tu yang ibu tanya," kata Puan Esah perlahan.

Amy cepat-cepat berkemas beg gantungnya dan mahu naik semula ke bilik. Tapi langkahnya terhenti dengan soalan maut ibunya.

"Cepat-cepat ni nak ke mana? Kamu jangan nak mengelak ya. Amy, kamu dah jumpa calon ke belum?” soal Puan Esah sambil bercekak pinggang. Dia tahu anak gadisnya itu cuba melarikan diri dan tidak mahu menjawab soalan tentang kahwin yang sering ditanyakan. Niatnya hanya mahu Amy bahagia sebab itulah dia sedikit mendesak.

“Ibu boleh tak tanya soalan tu nanti-nanti je? Amy penatlah ibu,” ujar Amelia selamba. Dia meletakkan kunci disisi sofa. Tak jadi niatnya mahu keluar lalu membelok ke bilik terus.

Lantas dia membaringkan tubuhnya di atas katil. Tangan diletakkan ke dahi tanda protes dia penat menjawab soalan yang sama. Dalam fikirannya kenapalah ibunya tidak mahu memahami keadaannya itu.

“Kalau kamu belum ada sesiapa… biar ibu je yang carikan calon untuk kamu!” Laung ibunya dari luar bilik. Amy yang baru hendak melelapkan mata terus saja bangun dari pembaringan. Bibirnya terketar-ketar menahan geram mahu menjawab. Tapi ditahan sebentar kerana tidak mahu tersalah cakap pada ibunya sendiri.

“Ibu... janganlah buat macam tu. Buat malu je zaman sekarang ni ibu bapa yang carikan jodoh. Ma… macamlah anak ibu ni tak laku,” ujar Amy tidak puas hati. Duduknya ditegakkan.

“Habis, kalau dah banyak lelaki datang meminang kamu… semuanya ditolak mentah-mentah, bilanya kamu nak kahwin? Ibu ni bukannya makin muda.” Pedas ayat yang keluar dari bibir Puan Esah.

Amy memicit dahinya. Terasa sesak otaknya hari-hari disoal tentang ‘kahwin’.

“Ibu, Amy tak ada niat nak tolak mereka semua. Tapi kalau yang datang meminang tu semua dah tua, perut boroi, muka tak boleh nak tahan tenung, pemalu mengalahkan perempuan, apa nak buat. Ibu nak ke menantu macam tu semua? Amy tak sanggup.” Amy menjawab tenang. Dia cuba memberi alasan.

Tiba-tiba Puan Esah ketawa mendengar ayat terakhir anak gadisnya itu. Amy mengerutkan dahi kehairanan. Eh, dah kenapa pula ibu aku ni?

Kenapa pula ibu tiba-tiba gelak. Aku buat lawak ke tadi? Selamba saja Amy mengutuk ibunya di dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience