BAB 2

Humor Completed 16454

“Amy, jangan nak pergi dulu. Tunggu ibu nak cakap sikit.” Panggil Puan Esah apabila Amy keluar dari ruang dapur setelah selesai mencuci pinggan selepas mereka makan bersama tadi.

“Ya, ibu. Ada apa?” soal Amelia buat-buat tak tahu.

“Kamu dah tahu sebenarnya. Tak payahlah pura-pura dengan ibu.” Balas Puan Esah sambil membetulkan duduknya di atas sofa di ruang tamu. Amelia pula buat-buat tak tahu dengan tunduk ke bawah dan merapati ibunya.

“Ibu baru teringat tentang Pak cik Saleh selang tiga rumah tu ha…” kata Puan Esah. Pantas Amelia mencelah kata ibunya. Galak matanya melihat wajah ibunya. Apa pula rancangan ibunya kali ini agaknya.

“Kenapa ibu? Ibu jangan cakap yang Pak cik Saleh tu masuk minang Amy? Haih! Tak sanggup... Tak sanggup! Amy tak nak! Anak Pak cik Saleh tu muda dari Amy kot. Ada hati Pak cik Saleh nak kat Amy?” Amelia menggeleng kepala laju.

"Nak termuntah pula apabila membayangkan lelaki yang perut boroi serta miang keladi itu. Nak pula umur hampir sebaya je dengan ibu. Sudahlah gigi depan pun tak ada. Haih! Naik meremang bulu roma membayangkannya," Tambah Amy lagi.

“Kamu ni dengarlah dulu. Cepat sangat bersangka buruk. Imaginasi kamu ni bukan-bukan ya. Takkanlah Pak cik Saleh tu nak kat kamu. Dia belum gila lagi ibu rasa. Merepek saja budak ini.” Bidas Puan Esah. Amy hanya tersengih dimarahi ibunya.

“Pak cik Saleh kamu tu kata ada kawan dia ni tengah mencari jodoh untuk anaknya. Dia cadangkan kamu. Tapi… ibu tak bagi kata putus lagi. Bimbanglah kalau kamu menolak lagi kan? Buat perangai macam selalu. Alih-alih, ibu juga yang malu. Tapi kamu ni selenga. Tak tahu malu agaknya. Entahlah nak.” Amy tersenyum kambing apabila terasa disindir oleh si ibu.

“Ibu, soal jodoh biarlah Amy saja yang cari. Ibu tak payahlah bersusah payah. Sampai masanya nanti, Amy akan kahwin juga. Janganlah ibu risau.” Pujuk Amelia.

“Nak tunggu tu boleh. Tapi ibu ni tak tahu sampai bila penantian itu akan berakhir. Dengan perangai kamu yang macam ni, ibu rasa adalah lebih baik ibu sama membantu. Yang kamu takut sangat ibu nak carikan jodoh untuk kamu ni kenapa? Dah ada teman lelaki ke apa?” Puan Esah cuba menebak rahsia.

“Eh, mana ada lagi ibu. Amy bukannya apa, risau kalau Amy kahwin terburu-buru dengan lelaki yang Amy tak kenal betul, nanti jadi apa-apa. Ibu dah lupa ke keadaan anak saudara ibu tu, kak Jamilah. Sekarang dah menjanda. Itu kan jodoh yang keluarga yang aturkan perkahwinan mereka. Ibu nak ke saya jadi macam tu nanti?” Amy cuba berlembut. Sengaja dia bicara soal Jamilah, sepupu yang juga anak saudara ibunya.

“Jodoh, ajal, maut semuanya di tangan Tuhan. Kamu tak boleh nak persoalkan. Setiap manusia telah Tuahn tentukan takdirnya. Dah tertulis di Luh Mahfuz, mati bila, jodoh sampai mana.” Kata Puan Esah.

Amelia menganggguk. Sah-sah kata-kata ibunya itu memang betul.

“Kamu tengok ibu dengan ayah. Kekal sampai sekarang. Kami kahwin pun atas pilihan keluarga juga. Tak ada nak cerai berai. Kami pun belajar terima antara satu sama lain dan bercinta macam pasangan lain juga. Tapi semuanya kami rasa lepas jadi suami isteri. Itulah yang lebih manis,” lembut suara Puan Esah memujuk anaknya.

Amelia terdiam. Buntu otaknya mahu menjawab hujah ibunya tadi. Mahu atau tidak terpaksalah dia menurut. Dalam erti kata lain, dia terpaksa bersetuju dengan pilihan ibunya itu untuk dipertemukan dahulu. Dan jika ibunya suka, dia juga terpaksa pasrah dengan pilihan itu untuk mengahwini lelaki pilihan ibunya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience