Hari-hari yang berlalu mengeruhkan lagi hubungan mereka, tetapi mereka berpura-pura menunjukkan kemesraan di depan Tuan Mukhriz supaya orang tua itu tidak risau. Saif sedar yang Tihani hanya memberi senyuman dan ketawa yang palsu setiap kali mereka bercakap atau bergurau senda. Oleh kerana, majlis resepsi semakin dekat, Saif terpaksa mengajak Tihani pergi ke butik pengantin untuk mencuba pakaian pengantin tempahan babanya berserta mengambil gambar perkahwinan. Saif tersedar satu perubahan pada Tihani, isterinya tidak lagi memakai baju berlengan pendek dan seluar ketat seperti hari pertama mereka berjumpa dulu. Dia senang hati dengan perubahan itu tetapi dia tidak mengucapkan ia.
Mereka tidak berkomunikasi langsung semasa sesi fotografi dijalankan. Sepatah Saif atau pekerja butik bertanya, sepatah sekerat dia jawab, itu pun nak tak nak. Jurugambar sempat bergurau dengan mengatakan Tihani sedang *angkat bendera merah* sebab mood dia tidak baik. Aksi dia di depan kamera juga tidak mesra dengan Saif.
“Okey. Sekarang untuk gambar terakhir, boleh awak buat aksi spontan.?”
Saif memandang Tihani untuk meminta pendapat dia, tetapi dia kecewa apabila Tihani tidak memberi sebarang respon. Agguk tidak, geleng pun tidak. Nampaknya, Saif terpaksa bertindak sendiri. Buat apa pun, Tihani isteri dia.
“Okey! 1,2,3…”
Bibir Saif melekat di atas hidung Tihani sebaik sahaja jurugambar menghitung nombor, lama bibir mengucup hidung mancung gadis itu. Nasib baik tidak tergelincir ke bawah untuk bibir mereka bertaut. Tihani mengeraskan tubuhnya, walaupun dia agak terkesan dengan perlakuan Saif, dia cuba memujuk hatinya yang Saif hanya melakukan tugasnya untuk memudahkan urusan bergambar hari ini.
“Semuanya sudah selesai. Cuba tunggu untuk majlis resepsi itu sahaja nanti.” Saif cuba memulakan perbualan dengan Tihani di dalam kereta.
“Mmmm…”
“Awak nak pergi makan dulu sebelum kita balik.”
“Tak perlu.” Dingin jawapan daripada Tihani.
“Kita pergi makan dahulu!” Tihani menjadi senyap apabila Saif menjadi tegas dengan dia. Akhirnya, dia terpaksa mengikut permintaan Saif dengan berat hati.
Saif sibuk memesan makanan, dan pada masa yang sama, seorang lelaki yang segak memakai sut mahal menegur Tihani. Mereka ketawa kecil apabila mata mereka bertembung. Tihani ketawa dengan ceria hari ini. Saif yang terkebil-kebil melihat kemesraan mereka hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu mengganggu walaupun dia berasa tercabar dengan kehadiran lelaki tersebut.
“Hani aku dah lama cari kau. Kita lost contact macam tu saja lepas tamat belajar.” Lelaki itu tersenyum mesra.
“Aku pun cari kau tapi tak ada sesiapa pun ada nombor kau. Fb pun kau dah tak aktif, twitter lagilah. Kau sekarang sudah banyak berubah. Apa cer?” Tihani berbual mesra sehingga dia lupakan Saif yang berpura-pura membaca mesej di telefonnya.
“Kita cerita kemudian. Ini siapa gerangannya?” Lelaki tadi mengalihkan perhatian Tihani terhadap Saif yang sudah mengukirkan senyuman. Fikirannya terbejat seketika. Jadi, Saif terpaksa memperkenalkan dirinya sendiri.
“Saif Amar.” Dia menghulurkan tangannya dengan sopan. Kawan Tihani yang agak terkejut segera menyambut huluran tangan Saif.
“Saya, Afiq. Kawan Hani sejak Universiti.”
“Dia ni…”
“Saya juga kawan Maryam!” Saif sempat memotong kata-kata Tihani. Gadis itu terkedu dengan seketika. Dia hampir ingin menangis di situ juga kerana Saif sanggup menggelarkan dia sebagai kawan daripada isteri.
“Wow, menarik! Jarang orang panggil budak ni, Maryam.” Afiq cuba menceriakan keadaan apabila dia tersedar dengan perubahan Tihani. “Hani, ini kad aku. Kau telefon aku bila-bila masa. Banyak yang kau perlu ceritakan kepada aku.” Afiq menghulurkan sekeping kad ke dalam tapak tangan kawannya.
“Insya-Allah.”
“Wajib call aku.”
Afiq berlalu pergi meninggalkan pasangan suami isteri itu. Mereka tidak membahaskan hal tersebut kerana itu akan membuatkan keadaan menjadi lebih serius. Tihani sedaya upaya menelan makanan jatuh ke dalam kerongkong yang tersekat akibat menahan kesedihan. Malukah Saif mengaku dia isteri atau Saif tidak mahu menjatuhkan air mukanya? Tihani menguyah makanan yang terasa tawar di lidahnya.
Share this novel