BAB 6

Romance Completed 1979

"Buktinya?" tanyaku.

"Buktinya, kau tanyalah Sani sendiri. dia pernah masuk ke sekolah tu." Fajar menjawab. Entah bila dia menyertai kami.

"Lagipun, sebelum Johan masuk ke sekolah itu, dia pernah berkenalan dengan Davida. Dia tu teman lelaki Davida. Kau tak berhak merampasnya!" Fajar menambah. Davida tersenyum-senyum sambil mencebik kepadaku.

"Oklah. Kami pergi dulu. Waktu rehat tinggal berapa minit lagi. Ingat ya, pesan kami." Amaran Davida singgah di telingku.

Petang itu aku termenung. Betulkah berita itu?

"Kenapa ni, Thia ? Macam ikan baung pengsan aje. Monyok semacam," tanya Johan yang entah bila munculnya di tepi padang itu. Aku membisu.

"Hei! Kenapa ni?" tanyanya lagi.

"Tak ada apalah, Jo. Jangan kacau Thia !" balasku. Agak kasar. Johan terus meninggalkanku. Aku menoleh ke belakang. Kulihat dia menuntun basikalnya lalu berkayuh pergi.

"Jo!" Air mataku jatuh.

Semenjak hari itu perhubungan kami agak renggang. Kami tidak lagi mesra seperti dulu. Aku merasa bersalah kerana bersikap kasar terhadapnya di tepi padang pada petang kelmarin. Walaupun kami duduk sebelah-menyebelah, namum kami jarang berbual. Kami seolah-olah tidak mengenali antara satu sama lain.

Suatu pagi, kulihat matanya lebam dan dahinya luka. Aku tidak dapat menahan hatiku.

"Kenapa ni, Jo?" Terpacul pertanyaan dari mulutku tanpa kusedari. Dia memandangku. Air mukanya kelihatan redup. Sinar matanya layu. Pertanyaanku berlalu dibawa angin tanpa berjawab. Aku terasa sebak. Aku cuba memujuk hatiku. Waktu pelajaran sudahpun bermula. Waktu Cikgu Usman. Dia memberi kami sedikit kerja lalu keluar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience