BAB 4

Romance Completed 1979

"Alah……" Beberapa saat kemudian, bagaikan sudah kenal lama, kami berbincang, sekali-sekala kami ketawa. Aku semakin seronok tanpa menyedari ada sepasang mata memandang kami berdua dengan perasaan marah bercampur geram.

Masa begitu pantas. Kini telah sebulan dia di sini. Di Sekolah Seri Jaya Delima. Joe, itulah nama yang kugelarkan untuk dia. Kami semakin rapat. Ke mana sahaja pasti berdua. Aku tahu ramai yang menjauhiku. Ada juga yang merasa jengkel. Kononnya aku menumpang kepopularitian Johan. Apa tidaknya, di dalam masa sebulan sahaja, Joe telah mula dikenali oleh kebanyakan pelajar di Sekolah Seri Jaya Delima itu. Tambahan pula, Joe adalah jaguh bola sepak.

Di samping itu juga, tidak kurang pula yang gemar mengejek-ejek kami. Nama 'belangkas', 'kembar ', 'kanggaru' kami sambut dengan penuh kelucuan. Aku berasa senang apabila bersamanya. Pelajaran bahasa dan sainsku bertambah baik semenjak aku rapat dengannya. Tapi aku merasa agak hairan melihat perubahan beberapa orang temanku. Sejak kebelakangan ini, kulihat, Davida mulai rapat dengan Fajar yang terkenal dengan gelaran 'Minah Gossip'. Dan, Khairy pula, kulihat semakin liar. Tidak lagi ke perpustakaan seperti selalu dan mula menjauhi buku. Kini, Khairy tidak ubah seperti samseng atau budak nakal semenjak dia menyertai Zubir, Steven dan Sani.

Suatu petang seperti yang dijanjikan, aku menunggu Johan di perpustakaan. Kami terus masuk setelah mendaftar nama di kaunter dan mengambil tempat yang biasa kami duduki. Kami bersama-sama membuat kerja sekolah yang terbengkalai. Sekali-sekala aku ataupun Johan bangun mencari bahan rujukan. Kemudian, kami menelaah sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan SPM yang bakal menjelang. Hari semakin petang. Kami pun keluar.

"Thia, ingat tak masa perhimpunan tadi, Cik Quek asyik memegang wayar pembesar suara dengan kaki?"

"Yalah. Kelakar betul. Nasib baik mikrofon tu tak jatuh. Dah tu pulak dia asyik tersentap-sentap wayar tu. Macam badut."

"Hish! Tak baik cakap macam tu. Nanti tak berkat ilmu tau."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience