Riang sungguh hatinya apabila lagu-lagu yang diputarkan di radio memenuhi cita rasanya. Naqib kelihatan seronok mendengar lagu-lagu tersebut. Sesekali terdengar siulan kecilnya. Dia menekan pedal minyak. Kereta Ferrarinya bergerak semakin laju. Mujur sahaja jalan raya itu tidak begitu sesak.
Dua buah kereta berjaya dipotongnya. Dia baru sahaja pulang daripada temu janji bersama tunangnya. Dia tersenyum sendirian. Mengenangkan hari pernikahannya akan berlangsung dalam masa tidak sampai dua bulan lagi. Wajah cantik tunangnya tergambar dalam benak fikirannya.
Dia berharap agar semuanya berjalan dengan lancar. Dari kejauhan, dia terlihat lampu isyarat di hadapannya menunjukkan warna hijau. Nasibnya begitu baik. Dia meningkatkan lagi kelajuan pacuan empat rodanya. Tiba-tiba sebuah kereta Toyota Camry menghampirinya dari arah kanan.
Bagaimana boleh bertembung? Sepatutnya kereta itu berhenti mengikut lampu isyarat. Naqib segera menekan brek. Namun kereta itu tidak juga berhenti. Pemandu kereta itu memusingkan stereng kereta untuk mengelak tetapi sudah terlalu lambat.
BUMMM! Kereta Naqib dilanggar. Sisi kanan keretanya remuk. Keretanya ditolak lalu bergerak menghampiri sungai. Kenderaan itu terhumban ke dalam sungai. Dahi Naqib terasa amat sakit akibat terhantuk. Begitu juga seluruh badannya. Dia tidak sempat menekan beg udara. Semuanya sudah terlambat. Dia tidak sedarkan diri.
Kereta Toyota Camry itu berhenti. Dahi pemandu itu berdarah.Kepala berdenyut-denyut. Walaupun dia sudah menekan beg udara, kepalanya terhantuk pada cermin tingkap kereta .Terasa amat perit. Dia hairan mengapa brek keretanya tidak berfungsi. Dia segera keluar daripada perut kereta. Bahagian hadapan keretanya remuk.
Tanpa membuang masa, dia mencapai handsetnya dan terus membuat panggilan kecemasan. Sementara itu, dia menghampiri sungai sambil berjalan terjengkit-jengkit. Kaki kanannya terseliuh. Wanita itu berasa takut. Dia tidak takut jika dia dikenakan tindakan tetapi dia takut sekiranya pemandu yang dilanggarnya cedera parah. Dia tidak mahu meragut nyawa sesiapa.
Orang ramai mula mengerumuni tempat kejadian. Beberapa orang lelaki turun ke sungai. Mereka berjaya menarik Naqib ke atas jalan. Wanita itu terkejut. Dia kenal siapa lelaki itu. Dia amat kenal! Tiba-tiba kepalanya terasa amat sakit. Dia rebah . Pihak polis dan ambulans tiba. Naqib terus dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah. Begitu juga dengan perempuan itu.
***********
“Doktor, bagaimana anak saya? Dia tak apa-apa kan doktor?” Riak sugul Puan Fatimah tergambar pada raut wajahnya. Dia berasa amat bimbang.
“Tangan kanan anak puan patah. Kedua-dua belah kakinya lumpuh tapi hanya sementara sahaja. Sekarang dia masih belum sedarkan diri. Nasib baik anak puan tidak mengalami kecederaan dalaman.”
“Tapi boleh sembuh kan doktor?”
“Memang boleh cuma memakan masa. Puan, saya harap puan bersabar. Anak puan ada masalah lain.” Doktor Hairul menarik nafas.
“Kenapa dengan anak saya doktor?”
“Anak puan buta. Kecacatan itu kekal.”
“Ya Allah..anak aku.. Naqib..” Puan Fatimah terjelepuk di atas lantai. Dia menangis. Suaminya, Tuan Othman cuba menenangkannya. Karina, tunang Naqib seakan tidak dapat menerima berita itu. Dia terus beredar dari situ. Hatinya sebak. Izzati hanya melihat mereka semua bersedih. Dia menyorok di balik pintu namun setiap butir bicara mereka dapat didengarnya dengan jelas.
‘Ini semua salah aku. Aku dah sebabkan Naqib buta. Aku hanya mendatangkan kesedihan kepada keluarga Naqib. Sekali lagi aku dah buat kau menderita. Naqib, maafkan aku..’ Hati kecil Izzati berbisik. Air matanya mengalir deras.
Setelah tersedar saja tadi, dia terus mencari Naqib dengan bertanyakan kepada jururawat yang berada di kaunter. Dia berasa amat bersalah. Dialah punca utama. Dia terus menyalahkan dirinya. Dia masih tidak dapat lupakan apa yang telah dilakukannya kepada Naqib pada suatu masa dahulu.
Puan Fatimah dan suaminya masuk ke dalam wad 127. Sudah lima hari anaknya tidak sedarkan diri. Naqib tidak lagi memakai alat bantuan pernafasan. Kelihatan anak lelaki tunggalnya sedang terlantar di atas katil. Hati Puan Fatimah berasa sayu. Dahi Naqib berbalut. Dia cuba menerima kenyataan itu.
‘Ya Allah, kenapa ini semua berlaku kat anakku?’ Dia mengelus rambut anaknya. Kelopak mata Naqib bergerak-gerak. Tanda dia mahu membuka matanya. Kelopak matanya berkelip-kelip. Dia hairan. Pandangannya menjadi gelap gelita. Dia tidak nampak apa-apa pun. Dia menggosok-gosok semula matanya. Benar. Semuanya gelap. Dia terdengar suara ibunya menangis tersedu-sedan.
“Ibu, kenapa Along tak nampak apa-apa ? Semuanya gelap.”
“Along, sabar .. Along buta. Along sabar ye nak..”
“Buta? Along tak nak buta! Mesti Along buta sementara je kan bu? Doktor pun mesti cakap macam tu kan? Sementara je kan?” Berita buruk yang didengarinya merupakan satu tamparan hebat.
“Tak Along.. Along tak boleh melihat selamanya. Ibu harap Along boleh terima hakikat tu. Along sabar. Ibu sentiasa ada kat sisi Along.”
“Tapi Along tak nak buta! Along nak lihat macam biasa! Ibu panggil lah doktor! Mesti doktor tu salah! Along takkan jadi orang cacat! Along tak nak!” Naqib mengamuk. Bantal yang ada di atas katil hospital itu dicampaknya. Tuan Othman terkejut melihat anaknya. Puan Fatimah sedih melihat keadaan anaknya. Naqib menangis semahu-mahunya.
Share this novel