BAB 4

Humor Completed 6405

Ardi isi air sirap ke dalam cawan polisterin. Lega rasanya bila dapat minum sirap yang sejuk itu tengah hari buta macam ni. Majlis pertunangan adik dia ni dah hampir selesai. Cuma masih ada beberapa lagi kaum kerabat keluarganya yang masih berborak-borak di khemah makan. Ardi duduk di kerusi yang berdekatan dengan meja bufet. Penat berdiri dari tadi.

Dari jauh, dia nampak kelibat Nadiah yang tengah bersembang dengan ibu dan Hana.

Nadiah.

Nadiahtul binti Mohamad Jusafri.

Gadis yang dah hancurkan hati dia tiga tahun lepas.

Ardi tak sangka dia akan jumpa semula dengan gadis itu. Riak muka Nadiah memang nampak sangat terkejut bila berselisih dengan dia tadi. Orang bersalah, memang macam tu la air muka dia kan? Dia pun tak tahu apa yang Nadiah buat di rumah dia. Mungkin Nadiah salah seorang kawan Hana. Dia pun bukannya kenal sangat pun dengan kawan-kawan adiknya itu.

Dan Ardi yakin, daripada riak muka Nadiah, gadis itu tak tahu yang dia sebenarnya abang Hana. Dan Ardi pula, selepas bagi pandangan maut pada Nadiah, dia terus turun tangga dan ke ruang depan. Dia masih ada perasaan marah dan dendam pada Nadiah walaupun dah hampir tiga tahun hal itu berlalu.

“Abang.”

Ardi menoleh bila bahunya ditepuk oleh Fikree. “Hmm.”

“Family bakal adik ipar kau dah nak balik dah tu. Jom pergi depan.” Fikree menunjuk ke arah pintu pagar rumah. Azim sekeluarga dah berura-ura untuk balik dan bersalaman dengan semua orang.

Ardi berdiri dan meletakkan cawan polisterin dia di atas meja. Dia dan Fikree sama-sama berjalan ke arah pintu pagar itu. Dan pada masa yang sama, dia nampak ibu, Hana, dan Nadiah tengah bersembang dengan keluarga Azim di depan pintu pagar itu. Sekarang ni dia dah confuse – Nadiah ni kawan Hana ataupun saudara mara daripada pihak Azim?

“Fik.” Ardi menyiku lengan adiknya di sebelah.

“Ha.”

“Perempuan tu saudara Azim ke?”

“Perempuan mana?” tanya Fikree.

“Tu, yang pakai tudung corak-corak tu.”

Fikree mencari-cari kelibat ‘perempuan yang pakai tudung corak-corak’ itu. “Hisy, dia tu kawan aku la. Bestfriend forever tu. Kau tak pernah jumpa dia ke?”

‘Pernah, beberapa tahun lepas.’

Ayat itu cuma bermain-main di minda Ardi saja. Dia tak pasti sama ada Fikree tahu atau pun tidak ‘kisah silam’ dia dengan Nadiah. Takkanlah Nadiah tak pernah cerita apa-apa? Atau pun gadis itu tak sanggup nak buka pekung di dada sendiri?

“Oh, lupa. Kau kan jarang balik sini. Tu la, duduk lagi jauh-jauh kat Johor tu. Macam la kat KL ni tak ada kerja.” Fikree dah mula membebel.

Dia bukannya apa. Dia cuma pelik dengan abangnya yang seorang itu. Kat KL ni punyalah banyak peluang pekerjaan, tapi Ardi tetap nak bekerja kat Johor tu. Konon nak mencari pengalaman. Sampaikan ibu dengan ayah syak yang Ardi dah terpikat dengan salah seorang gadis Johor kat sana. Sebab tu Ardi dah jarang balik sini. Lagipun abangnya itu bukannya muda lagi, dah 31 tahun. Dia pun tak tahu kenapa Ardi liat sikit bab-bab mencari jodoh ni.

Ardi buat muka bodoh bila dengar bebelan Fikree itu. Alih-alih dia tukar topik. “Aku tak nampak pun awek kau. Dia tak datang ke?”

“Tukar topik.” Fikree mengejek Ardi. “Sue pergi Melaka, kakak dia kahwin kat sana.”

“Sue tahu ke bestfriend forever kau tu datang sini?” tanya Ardi lagi.

“Tahu la. Nadi dengan Sue tu kawan baik kot.”

“Kau jangan, Fik. Aku tak percaya sangat dengan perempuan tu. Better kau jangan rapat sangat dengan dia kalau Sue tak ada.”

Fikree dah berkerut dahi. Dia pelik dengan kata-kata abangnya itu. “Kenapa kau cakap macam tu?”

Ardi diam. Dia malas nak cakap apa-apa. Kalau dia cakap lebih-lebih nanti, mahunya cerita-cerita lama dia dengan Nadiah itu terkeluar.

“Nadi tu baik la, bang. Kau tak kenal dia lagi. Cuba kalau kau kenal dia, mesti kau suka dengan dia.”

‘Aku dah kenal dia, dan aku benci dia.’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience