BAB 10

Romance Completed 714

MARIANA mengetap bibir kuat. Pedih hatinya mendengar perbualan dua lelaki
itu. Sebegitu besarkah kasih sayang Rayyan terhadapnya sehingga lelaki
itu menangis? Kata orang, bila seorang lelaki menitiskan air mata
disebabkan seorang wanita membuktikan kalau lelaki itu terlalu mencintai
wanita itu. Benarkah?

Selepas kemalangan itu, memang dia langsung tidak mengingati lelaki itu.
Tapi keprihatinan Rayyan terhadapnya sering kali mengusik nalurinya.
Selalu saja Rayyan cuba mengambil hatinya. Malah, setiap malam Rayyan
menghabiskan masa untuk membacakan novel untuknya. Jam 2.00 atau 3.00
pagi barulah lelaki itu tidur.

Dia dilayan seperti puteri raja. Cakap saja apa yang dia mahu pasti
lelaki itu cuba menunaikannya. Tidak cukup dengan itu, Rayyan tidak
pernah menyentuhnya. Bukan kerana tiada keinginan itu. Tapi, Rayyan
sangat menghormatinya. Lelaki itu tidak mahu mengambil kesempatan dengan
keadaan dirinya yang lemah.

Lantaran itu, dua bulan selepas itu dia sudah mampu mengingati siapakah
Rayyan yang sebenarnya. Hanya dua bulan masa yang diperlukan untuk dia
mengingati diri Rayyan . Rayyan lah orang pertama yang diingatinya. Tapi,
disebabkan ego dia berpura-pura lupa.

Betapa berdosanya dia kerana mendera batin lelaki itu. Setiap malam dia
mendengar rintihan Rayyan . Lelaki itu selalu saja merintih ketika dia
sedang tidur. Malah, Rayyan selalu saja berterus-terang mengatakan kalau
kadangkala dia tidak dapat mengawal nafsu lelakinya.

Sungguh, dia seorang isteri yang teruk. Dibiarkan suami sendiri dalam
keadaan begitu. Dosanya pada lelaki itu terlalu banyak. Kalaulah dia
tidak sempat meminta ampun tentu dia menjadi isteri derhaka.

“Awak…” Disentuh hujung jari kaki Rayyan . “Ampunkan saya… saya berdosa.
Banyak sangat dosa saya pada awak. Maafkan saya...” Berjuraian air mata
membasahi pipi Mariana . Sesak nafasnya.

Rayyan terpana. Terkejut dia dengan perbuatan Mariana . Pantas batang
tubuh isterinya itu disentuh. Dipaut bahu Mariana rapat ke tubuhnya. Dia
mahu meredakan kesedihan gadis itu.

“Awak tak ada salah apa-apa pun. Bukan salah awak kalau awak tak ingat
saya. Takdir yang menentukan jalan hidup kita macam ni. Saya redha.”

Mariana menggeleng-geleng. “Tak…tak… saya yang pura-pura lupakan awak.
Dua bulan lepas saya kemalangan tu, awak orang pertama yang saya ingat.”

Rayyan terpempan. Dijarakkan sedikit dirinya dari Mariana . Hatinya bagai
ditoreh-toreh dengan belati tajam. Mendengar pengakuan Mariana itu
merupakan satu-satunya perkara yang paling melukakan hatinya.

Isterinya sendiri berbuat begitu. Selama ini dia bersabar dan terus
bersabar dengan setiap kerenah Mariana . Dia menahan hatinya supaya tidak
menyentuh isterinya sendiri kerana perasaan hormatnya yang terlalu
tinggi pada Mariana . Tapi…

“Saya tahu saya salah. Saya tak sepatutnya balas dendam pada awak. Awak
terima saya sebagai isteri pun dah cukup baik. Saya…”

“Kalau awak tak suka kenapa awak tak cakap je? Kenapa awak masih
teruskan hubungan ni? Saya tak nak memaksa awak kalau memang hati awak
bukan untuk saya lagi,” potong Rayyan .

Mariana terkedu. Dia masih sayangkan Rayyan . Tapi, ego dan kesakitannya
selama ini mendorongnya melakukan perkara sebodoh itu. Dia tidak sedar
semua itu salah sehinggalah hari ini dia melihat sendiri air mata yang
menitis di pipi Rayyan di hadapan Rizqy .

“Saya cintakan awak. Tapi saya rela kalau awak nak lepaskan saya. Saya
rela…” Teresak-esak Mariana menangis.

“Macam mana awak boleh terfikir yang saya akan lepaskan awak?”

“Saya tahu awak marahkan saya. Perbuatan saya memang tak boleh dimaafkan
langsung. Lelaki mana yang nak hidup dengan perempuan jahat macam saya ni?”

Rayyan tersenyum. “Jangan harap saya nak lepaskan awak. Awak ingat
semudah tu saya nak lepaskan awak? Lepas saya bersusah-payah jadikan
awak isteri saya… awak ingat saya akan lepaskan awak macam tu je?”

Mariana memandang tepat ke dalam mata Rayyan . Mata yang redup itu
menenangkan hatinya. Tapi, yang menghairankan tiada langsung api
kemarahan pada mata itu.

“Awak nak balas dendam kat saya pulak ke?” Gugup Mariana bertanya. Dia
takut Rayyan akan mengangguk.

“Ya! Awak kena jadi isteri saya seumur hidup awak. Saya nak anak yang
ramai. Saya nak awak layan saya sebagai suami dalam erti kata yang
sebenar. Bukan hanya title suami yang saya pegang tapi tak ada makna.
Itu harga yang awak kena bayar.”

“Benda senang…” cebik Mariana .

Rayyan tersenyum simpul. Mariana sudah mula faham maksud yang mahu
disampaikan. Memang dia marah. Tapi, dia tahu salahnya pada gadis itu
juga ada. Masing-masing punya silap. Jadi, tidak wajar kalau dia
menghukum gadis itu sedangkan dia juga harus dihukum.

Mariana pun bukannya budak kecil. Gadis itu pasti pandai memperbetulkan
semula apa yang salah. Mereka akan saling berganding bahu untuk memikul
tanggungjawab sebagai suami isteri.

“Awak nak suruh saya buat apa sekarang ni?”

“Urut kaki saya. Lepas tu, masakkan saya makanan yang sedap-sedap. Kalau
tak sedap… kena denda.”

Mariana membuntangkan mata. ‘Banyak cantik? Ingat saya ni orang gaji ke
apa? Oh… nak kenakan saya ya? Awak ingat saya senang terkena ke? Siaplah
awak…’ omel Mariana dalam hati. Dia tersengih-sengih.

“Hah… bukan main lagi tersengih.”

Mariana tidak menghiraukan kata-kata Rayyan . Pantas tanganya mengurut
kaki suaminya itu. Dapat juga pahala. Itulah untungnya berkahwin.
Senang-senang saja mendapat pahala. Untung badan…

“Mariana …” Tangan Mariana ditarik. Rayyan menepuk perlahan sofa yang
didudukinya. Menyuruh Mariana duduk di sebelahnya. “Maafkan saya sebab
selama ni saya tak pernah pedulikan perasaan awak. Saya tak sedar kalau
hati saya pun untuk awak. Maafkan saya…” Tulus Rayyan berkata.

“Saya pun nak minta maaf jugak. Saya tak sepatutnya buat macam tu pada
awak. Kita mulakan semula hubungan kita ni, okey?”

Rayyan mengangguk. Hidung Mariana ditarik perlahan. “I love you forever
and always, my dear. Jangan pernah tinggalkan saya sebab hidup saya tak
bermakna apa-apa tanpa awak.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience