BAB 7

Romance Completed 714

TERKEJUT besar Rayyan saat kad jemputan perkahwinan dari Mariana ada di
tangannya. Gadis itu akan berkahwin dalam masa dua minggu lagi. Sungguh,
dia tidak pernah menduga Mariana akan senekad itu mahu menjauhinya.
Sangkanya, Rizqy yang akan menjadi pengantin lelaki. Tapi, nama yang
tertera di situ bukanlah Rizqy .

“Izhan, siapa yang nak kahwin dengan Mariana ni?” Pantas Rayyan bertanya
ketika suara Izhan menampan gegendang telinganya.

Izhan terpaku. Mariana akan berkahwin? Dengan siapa? Bila? Persoalan itu
terus-terusan menghantui benaknya. Dia abang Mariana . Masakan sebagai
abang dia tidak diberitahu tentang berita gembira itu? Mustahil!

“Hello… hello… Izhan! Kau dengar tak? Adik kau nak kahwin dengan siapa?
Kenapa aku tak tahu?”

“Kau tanya kenapa kau tak tahu? Aku pun tak tahu ni…”

Berlapis-lapis dahi Rayyan . “Dah tu… kad apa pulak ni?”

“Kad apa pulak?”

“Adik kau hantar kad jemputan ni.”

Terhambur ketawa Izhan. Pasti Rayyan sudah terkena dengan permainan
Mariana . Boleh saja adiknya itu mencetak sekeping kad jemputan lalu
menghantarnya ke rumah lelaki itu semata-mata kerana tidak mahu lagi
diganggu Rayyan . Padahal, bukannya Mariana tidak tahu kalau perkara itu
akan terbongkar juga nanti.

“Kenapa kau ketawa?” soal Rayyan .

“Adik aku dah tipu kaulah. Kau pun… apasal lurus bendul sangat?”

Rayyan tersenyum kelat. Dia ditipu hidup-hidup oleh Mariana . Ah… entah
bagaimana dia boleh tertipu. Mungkin kerana selama ini gadis itu selalu
jujur dengannya.

“Sejak bila pulak adik kau pandai menipu aku ni?”

“Sejak kau sakitkan hati dia. Itulah kau… dulu masa dia nak, kau tak
nak. Sekarang kau pulak yang kejar dia. Memang padan dengan muka kau.”

“Mana aku tahu nak jadi macam ni.”

Izhan ketawa. Geli hati dengan pengakuan Rayyan . Kalau ikutkan hati
memang dia sepatutnya marahkan Rayyan kerana melukakan hati adik
kesayangannya. Tapi, dia tidak mahu masuk campur dengan urusan peribadi
dua orang insan itu.

“Okeylah… nanti-nantilah aku call kau. Aku nak cari adik kau.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience