BAB 8

Romance Completed 4297

Aku merenung kiri dan kanannku. Semua orang sedang lena dibuai mimpi, yang mungkin menakutkan, atau yang indah-indah belaka hinggakan mereka tak mahu bangun lagi menghadap hari esok. Aku mengeluarkan sebatang pen dan kertas. Ya, dalam poketku sentiasa ada pen dan buku nota kecil. Ini kerana, kerjaku sentiasa memerlukan aku untuk mencatat perjalanan keluar masuk stok buku. Rindu betul dengan kerja stor aku tu, rindu buku.

-Aku Afham. Aku pekerja stor buku sebelum kau. Aku terperangkap di Kampung Ara dan kampung ini sedang diserang oleh Garagasi.- Aku menggulung kertas tersebut dan masukkan ke dalam Cahaya dengan harapan esok akan ada balasan daripada perempuan tu. Aku baring berbantalkan lengan, terasa ingin menangis namun tiada air mata yang mengalir. Tiba-tiba, ada gulungan kertas keluar dari Cahaya.

-Aku Ain. Aku manusia dan kau hantu.- Aku segera membalas.

-Kenapa kau tak balik lagi?-

-Aku kena stayback, nak prepare buku untuk event esok. Eh, kenapa pulak aku kena beritahu hantu, kan.-

-Ain, aku bukan hantu. Aku manusia. Aku terperangkap.-

-Baik, tulis kalimah syahadah.- Aku tulis kalimah syahadah lalu aku masukkan ke dalam cahaya. Aku tunggu balasan daripada Ain. Lima minit, namun masih tiada balasan. Aku duduk berteleku di hadapan Cahaya sambil bertekad kalau aku selamat, aku takkan abaikan orang yang dalam kesusahan tak masuk akal macam aku ni. Itu pun kalau aku selamat.

-Sorry. Tadi ada kontena bawa buku baru. Macam mana kau boleh terperangkap?- Aku segera menceritakan semuanya. Nampaknya Ain boleh terima cerita benar daripada aku.

-Afham, aku rasa suis rosak ni dah makin rosak. Mungkin silap aku. Aku cas telefon sebab tak ada nota pun yang menandakan suis tu rosak. Minggu lepas, hujan. Mungkin petir sambar suis tu dan suis tu meletup, sekali dengan telefon aku meletup. Lepas dah meletup tu baru aku perasan ada kertas kecil kat bawah rak buku, nota kecil yang sepatutnya terlekat kat suis tu. Sekarang ni nak buat macam mana? Kau keluar masuk ikut suis ni, sekarang ni suis ni dah rosak.- Aku garu kepala. Ada tepukan di bahuku.

“Kenapa tak tidur lagi?” Tanya Rusdi. Segera aku tunjukkan gulungan-gulungan kertas kepada Rusdi. Rusdi segera memanggil Pak Mail.

“Pak Mail, nampaknya Afham dapat berhubung dengan rakannya.” Pak Mail membelek gulungan-gulungan kertas tersebut. Pak Mail menghulurkan sehelai kain kepadaku.

“Ini, daripada Almarhum Sultan.” Aku buka dan aku hamparkan ke tanah. Tulisan jawi buat aku merangkak-rangkak untuk baca.

“Kau carilah Afham demi memahami cerita tiada bertulis. Celikkan matamu demi mimpi-mimpi yang memberi alamat kebijaksanaan. Kau carilah Za’ga dalam damai. Kita tidak menang, Za’ga tidak kalah. Carilah.” Rusni membaca tulisan tersebut, senafas. Aku menjeling dia.

“Lambat!” Dia memeluk tubuhnya.

“Aku tak suruh pun kau baca?”

“Sudahlah.” Kedengaran Rusdi mengeluh.

“Tadi aku keluar melihat kampung kita, kebanyakan rumah sedang dibaham api. Satu keperluankah bertengkar dalam waktu begini? Kalau dengan pertengkaran kalian boleh menghalau Garagasi. Boleh mengamankan kampung kita, bertengkarlah hingga sepurnama pun.” Aku tak salah. Aku terus menjeling Rusni yang kelihatan serba salah.

“Ok. Sekarang ni apa maksudnya?” Aku mundar-mandir. Cerita tak bertulis? Cari Za’fa dalam damai? Ketua Garagasi tu nak ke berdamai? Aku ambil tuliskan nota untuk Ain.

-Ain. Kau ada lagi ke?-

-Ada. Kau dah ada jalan ke nak keluar dari situ? Ada apa-apa yang nak aku tolong kau? Kalau perlu aku tidur stor jek malam ni.-

-Kau tak takut ke? Tidur stor sorang-sorang?-

-Ada jaga kan kat depan, nak takut apa? Cepatlah apa yang kau nak aku tolong?- Aku terdengar Rusni berdehem. Eh sakit pulak hati aku dengan perempuan ni.

-Apa yang kau faham tentang ayat ni; ‘Kau carilah Afham demi memahami cerita tiada bertulis. Celikkan matamu demi mimpi-mimpi yang memberi alamat kebijaksanaan. Kau carilah Za’ga dalam damai. Kita tidak menang, Za’ga tidak kalah. Carilah.’-

-Afham tu kau. Cerita tiada bertulis tu mungkin kau ada cerita tapi kau tak tulis, tak pun buku tak siap tulis ke? Mimpi tu aku tak tahulah. Kau ada mimpi apa-apa? Tentang Za’ga tu mungkin suruh korang berdamai kot. Aku tak tahulah. Ini yang aku faham jek.- Aku terdiam seketika. Cuba mencari jalan untuk balik dan menyelesaikan masalah yang ada kat Kampung Ara ni. Buku tak siap tulis?

-Ain, cuba kau cari buku-buku yang ada halaman tak bercetak. Mungkin kau boleh cari kat rak rejek.-

-Aku cuba.- Aku harap sangat semua ni boleh diselesaikan segera dan aman. Aku tak tahu apa yang patut aku buat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience