BAB 7

Crime Completed 1249

Suasana semakin dicengkam gelita. Cahaya bulan yang tercurah tadi beransur hilang. Sang rambulan pula diselimuti awan hitam bukat. Situasi ini membuatkan hutan jadi malap merudum. Membuatkan haluannya tidak bersuluh.

Meskipun begitu, kakinya tetap dihela. Biar gelap, namun itu tidak bermakna kasadnya turut terpadam. “Ini hanyalah permulaan,” katanya lantas tersenyum sinis. Dia semakin rakus merempuh apa saja yang merintang. Tidak diacuhkannya onak dan duri yang kian mengasak. Jika dia terjatuh, dia akan bangkit semula dan meneruskan perjalanan. Jelasnya, masalah dalam hutan tersebut bukanlah halangan besar buatnya.

Bunyi salakan anjing-anjing tersebut semakinhampir. Suara sekumpulan manusia juga kedengaran saling bertingkah. Dia panik. Berbutir keringat kini berbintil di dahi dan serata batang lehernya. Dia tiba-tiba berasa rimas dan berbahang. Otaknya bagaikan terhenti dari berfungsi. “Aku harus cari jalan pulang.” Beberapa imej wajah berapungan dalam tasik fikirnya. Wajah-wajah samar yang tidak diketahui milik siapa.

Namun nalurinya berkata bahawa wajah-wajah tersebut milik insan-insan yang pernah mendampinginya suatu detik dulu. Pernah menyayangi dan mengasihinya. Kerana firasat inilah dia nekad hendak mencari jalan pulang. Dia harus pulang!

Langkahnya semakin panjang. Dia mendongak pabila melihat laluannya mula terang. Nampaknya, sedikit cahaya sedang melimpah dari tubir langit. Walau nampak masih kelam, namun memadailah untuk memudahkannya. Dia terus susup-sasap. Dapat dirasakannya, pergerakannya agak laju walau tak selincah seawal perjalanan.

Tengkorak langit tiba-tiba berderak lalu retak seribu. Guruh menyusul diikuti bilah-bilah kilat berselirat. Sesaat kemudian, angin mula berhembus kasar menyapa batang tubuhnya yang disimbah keringat dingin. Dia rasa nyaman walau dadanya terasa sesak dihimpit situasi yang membekam.

Bunyi angin bersiuran di udara jelas kedengaran. Bunyi nafasnya juga turut mengalun kencang. Dia berhenti sekejap. Nafasnya ditarik kemudian dilepaskan. Tunaknya meliar. Namun tiada apa yang terarca depan matanya. Semua objek dan imej bersatu menjadi bebayang legam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience