BAB 11

Crime Completed 1249

Ketika ini, beberapa titis hujan mula menimpa tubuhnya. Dia menggigil pabila puncak kepalanya mula diketuk titis hujan. “Nama?” Dia cuba mengingat. Namun tiada apa yang berapungan dalam kepalanya.

Sambil berpeluk tubuh, dia berjalan merempuh belukar menuju arah Selatan. Dilihatnya tempat tersebut agak lapang. Sepohon pokok berdaun rendang juga tercancang kaku di situ. Dia kemudiannya berdiri diam-diam sesudah berada di bawah pokok tersebut. Kain nipis yang membalut tubuhnya mula kuyup dan kini bersatu dengan liuk badannya.

Namun itu bukan masalah utama yang harus berada dalam takuk fikirnya. Dia tidak kisah dengan situasi dirinya. Perkara yang paling penting saat ini ialah dia berjaya melarikan diri. “Aku tak bernama ke? Atau aku yang terlupa sebenarnya?”monolognya lantaran tidak berpuas hati. Wajahnya berkerut semacam sedang cuba menembusi dinding ingatan. Namun semua imej yang tersimpan dalam kotak memori kepalanya nampak samar. Wajah-wajah yang berlegar di situ juga kesemuanya kelam seperti belum sempurna bentuknya.

Hujan semakin kuat. Sesekali guruh meningkah dan memancarkan cahaya ke serata buana. Gadis itu terkejut pabila ternampak sekumpulan manusia di depannya. Dia segera beralih ke belakang pokok lalu menyorok. Entah bagaimana, dia tiba-tiba jatuh menggelongsor ke bawah. Dia tersangkut beberapa kali dan kembali menggelongsor kemudian terjatuh semula.

Dia berasa lega pabila terjatuh atas air. Segera dikuaknya permukaan air menuju ke tebing. Dia terkejut pabila mendapati tebing dipenuhi batu-batu besar. Dalam hati, dia bersyukur kerana tidak terjatuh atas tebing batu. Mungkin dia dah jadi arwah jika perkara tersebut berlaku tadi.

Gadis itu bagaikan memerang kebasahan sewaktu memanjat tebing sungai. Dia menggigil kesejukan. Suasana malam yang dibanjiri gelita dan disimbahi titis-titis hujan menyukarkannya bergerak. Namun langkahnya tetap dikayuh. Seeloknya dia berada di tempat yang tersorok. Permukaan batu yang licin membuatkannya hampir tercual beberapa kali. Dia tersenyum setelah berjaya melepasi tebing batu tersebut. Dia kini berada di daratan.

Senyumannya sirna apabila satu cahaya menyuluhnya. Dia cepat-cepat membongkok dan berundur ke belakang. Cahaya lampu yang tersorot arahnya tadi berlalu ke sebelah kiri.Selang sesaat, cahaya lampu itu kembali menyuluh arah tempatnya terpacak tadi. Agaknya tukang suluh tersebut berjaya melihat kelibatnya di situ. Sejurus, lampu suluh itu kelihatan bergerak dan sedang menghampiri lokasi persembunyiannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience