BAB 8

Crime Completed 1249

Dia tidak berlama-lama. Perjalanannya dilanjutkan semula. Kali ini lebih tangkas berbanding tadi. Bunyi anjing menyalak dan suara manusia terpekik-pekik kembali menghantuinya. “Aku tak akan jadi milik sesiapa lagi,” getusnya menekan suara.

“Kenapa kau cakap berbelit-belit?” Seth meradang. Waktu ini, dia baru selesai memarkir kereta di belakang Padang Bandaran, Bandaraya Kota Kinabalu. Menurut Ken , Keluang 001 berada di situ. “Aku tanya ni! Kenapa kau cakap berbelit-belit?” ulangnya bertambah berang pabila melihat Ken acuh tak acuh.

Ken menoleh. “Engkau yang tak faham sebenarnya.” Keluhannya berhamburan. Pintu kereta ditolaknya lalu melompat turun. Seth meningkahnya. “Aku hairanlah. Apa yang penting sangat benda tu kat kau?” suanya setelah Seth terpacak di sebelahnya.

“Aku nak gunakan benda tu untuk melampiaskan dendam.”

“Dendam? Apa pula dendam kau kat Mr.Q?”

“Itu urusan aku. Kau tak perlu ambil tahu.”

“Yalah tu.” Ken membuang langkah. “Kita cari 001.”

Tanpa sebenih kata, Seth membuntuti langkah Ken . Bunyi guruh berdentum menyentakkannya. Dipandanginya dada langit. Hitam kelam tanpa sebutir bintang. Pandangannya beralih apabila terdengar suara Ken bertanyakan seseorang. “Haiya! Itu Cip sudah mampuslor. Itu hari ar.. ada tiga lelaki mari sini hantam dia.” Demikian jawapan lelaki yang ditanya. Dipandanginya Ken dan Seth silih-berganti.

“Betulkah tidak oh?!” Ken ragu-ragu. Atau sebenarnya dia tidak berpuas hati terhadap jawapan tersebut.

“Itu kau punyapasallah.” Lelaki Cina itu berpaling.

“Wong, sudah berapa lama kau tak nampak Cip?”

Lelaki bermata sepet itu memandangnya semula. “Sudah 2 minggu. Apapasal lu cari dia? Bagus jangan tanyapasal dialah. Nanti masalah mari. Kami pun ikut susah oh,” kata Wong menasihatinya pula. “Lu tau ah? Itu hari ah kawan Cip ar mati kena bunuh,” bisiknya lagi sambil menunjukkan isyarat leher dikelar. “Sekarang ar, kita orang semua banyak takut.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience