BAB 6

Romance Completed 8482

AKU yang sedang menguyah keropok lekor yang baru dibeli sambil berjalan menyusuri dari satu gerai ke satu gerai melebarkan pandangan mata ke sekeliling mencari kelibat abang dan kakakku. Hish, geram betul. Suka sangat tinggalkan aku. Dahlah orang ramai, jenuh aku nak redah gerai-gerai yang terdapat di ekspo ini. Mahu pening kepala aku.

“Aduh, mana depa ni. Cepat je lesap. Tak boleh tunggu betul.” Rungutku. Sempat lagi tu membebel. Aku berjalan perlahan sambil perlahan-lahan menguyah keropok lekor.

Sedang berjalan, langkah kakiku terhenti di sebuah gerai yang terdapat novel dan komik. Wah, aku memang suka tengok buku. Lagi-lagi novel. Komik pun minat jugak.

Aku terhenti di meja yang dipenuhi dengan novel-novel dan tanganku galak membelek satu per satu novel. Manalah tahu ada yang berkenan. Boleh tambah koleksi. Yihaaa!

“Heh, Aina Sofia kan?”

Aku yang sedang khusyuk membaca sinopsis di belakang sebuah novel yang berada dalam genggamanku, tersentak mendengar suara yang menegurku itu. Pantas wajahku yang menunduk diangkat dan dijeling ke sebelah kiriku. Aku macam nampak seseorang yang berdiri tidak jauh dariku. Siapa ya?

“Ahmad Fakhrul Akthar.” Hah, ambik. Sekali nama penuh dia aku sebut. Cit, minda aku ni ingat je maklumat pasal dia. Sebut je nama penuh dia berserta bin sekali aku boleh sebut. Hari lahir dia aku tahu. Dia asal mana aku tahu jugak. Sekolah menengah dia pun aku tahu. Nama panggilan dia dalam keluarga dia dan panggilan kawan-kawan dia pun, aku… tahu. Ek!

Heh! Aku mengedipkan mataku berulang-ulang kali. Betul ke apa yang aku nampak. Dialah. Biar betik. Aku sudah tidak senang berdiri. Mulalah cemas semacam. Aku tak boleh dia berada dekat dengan aku, mesti gelabahlah. Rasa semacam tak kena je. Tangan pulak automatik sejuk dan menggeletar.

“Buat apa dekat sini? Bukan tempat tinggal awak dekat Pahang ke?” Soalnya dengan senyuman terukir di bibir.

Mungkin pelik kut tetiba aku boleh terbang ke belah utara. Iyalah ingat dekat ke selatan ke utara. Jauh jugak.

Aku berdehem kecil. Nafas cuba distabilkan. Rileklah Sofie. Kau kan cool. Aku memberi semangat kepada diri sendiri.

“Ha’ah. Memang saya duduk Pahang pun. Saja singgah rumah abang. Jalan-jalan.” Jawabku dengan suara yang sedikit bergetar. Rasa macam tak terkeluar pulak apa yang aku katakan. Aduh, apa aku ni. Cool okey!

“Oh. Rumah abang dekat mana? Sini-sini jugak ke? Kebetulan saya tinggal dekat area Kedah jugak.”

Tahulah. Aku tahu dia orang Kedah. Dari mana aku tahu. Rahsia… Biarlah rahsia. Ececeh aku ni.

Aku tersenyum nipis.

“Ha’ah. Tak jauh pun dari sini. Area kepala batas.”

“Oh…” Terangguk-angguk kepala dia.

“Beli novel ke?”

Aku mengalihkan pandangan ke arah tanganku yang tergenggam sebuah novel.

“Tengok-tengok je.” Aku mengetap gigi. Tak tahu nak bercakap apa dengan dia. Serta-merta fikiran aku jadi blur.

“Nanti bukak fb tau. Bila-bila nak bukak pun takpe. Ada sesuatu saya nak bagitahu awak.”

“Hah…” Aku sedikit ternganga. Fikiran blur dan lambat untuk pikap.

“Sorang je ke?” Soal dia.

Aku menelan liur yang bercampur dengan sos keropok lekor.

“Tak. Datang sini dengan abang dan kakak. Kena tinggal.”

Dia tergelak kecil. “Macam mana boleh kena tinggal.”

Aku menjungkitkan bahu. Mulut terkatup rapat semula.

“Nah!” Hulur dia tetiba. Berkerut dahiku melihat huluran sesuatu dari tangan dia.

“Apa ni?” Tanyaku walaupun sudah tahu. Fikiran dah blur, benda yang tahu pun boleh jadi tak tahu.

“Buku.” Jawab dia sepatah.

Ek! Aku tahulah buku. Untuk apa dia bagi aku. Aku menjeling tajuk buku kecil yang agak tebal itu. ‘Don’t be sad. La Tahzan. Jangan bersedih. Jadilah wanita yang paling bahagia.’

Heh! Aku ada buku ini. Tapi, buku yang aku beli tu agak nipis sikit. Yang ini bukan main tebal lagi. Mesti banyak kandungan di dalamnya dan kata-kata yang menarik. Aku suka baca buku ini. Menarik sangat.

“Ambillah. Saya hadiahkan buku ini untuk awak. Ada masa bacalah. Dan kalau ada kata-kata yang menarik, sharelah dengan saya.”

Aku teragak-agak untuk menyambut buku itu. Betul ke dia ni?

“Terima kasih.” Ujarku perlahan.

“Hurm, sama-sama. Saya minta diri dulu Aina Sofia. Assalamualaikum.”

Aku memerhatikan langkah dia yang semakin menjauh dariku. Aku mengeluh kecil.

“Waalaikummussalam.” Jawabku setelah kelibat dia sudah tidak kelihatan. Berlegar di fikiranku tentang kata-katanya itu.

“Hah, dekat sini pun kau. Jenuh orang mencari boleh pulak belek-belek novel.” Jerkah Hayati.

Aku memandang muka kakakku tidak puas hati. Nasib baik aku bukan kaki latah. Kalau tidak, aku tenyeh-tenyeh muka kakakku ini dengan plastik keropok lekor.

“Yang kau senyum-senyum ni kenapa?”

Aku pantas menarik senyumanku. Hihi, tak perasan pulak aku boleh tersenyum.

“Aku senyum pun salah ke? Senyum itukan sedekah.”

“Nampak macam lain macam je senyuman kau tu.”

“Mana adalah. Kenapa? Aku nampak comel ya bila senyum. Terima kasih.”

Hayati sudah terbatuk-batuk. “Piiirah. Jom, Abang Del nak belikan baju untuk kau. Kau kena pilih yang mahal-mahal tau. Nanti bolehlah kita tukar-tukar baju.”

“Tak nak. Apa barang main tukar-tukar.” Ujarku lantas mengekori langkah kakakku itu.

“Eleh! Macam tak biasa. Buku apa ni? Bukan ke dekat gerai tadi jual novel dan komik je kan? Bila masa pulak boleh ada buku ni?” Tanya Hayati dengan riak muka pelik. Dia sudah terintai-intai buku yang aku pegang. Aku pantas menyorokkan buku itu di belakang badanku.

“Jalan pandang depanlah. Karang terlanggar orang pulak.” Tegurku.

“Nak tengok buku apa tu? Kedekut pulak.”

“Menyeboklah kau ni Kak Yati. Nah! Tengok jelas-jelas.” Pantas aku melekapkan buku itu di mukanya. Nak tergelak aku. Kan dah kena.

“Hish, dia ni… Oh, kau memang patut pun baca buku ni.” Terangguk-angguk kepala Hayati.

Aku mengetap gigi. Aku pulak yang dikenanya. Tolak karang. Percuma dapat masuk longkang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience