Barika mula mengugut. Banduan tersebut mengekek ketawa mendengarkan kata-kata berbaur amaran itu. Nasib baiklah sel banduan tersebut bertentangan dengan sel yang menempatkan Barika. Mereka berdua dipisahkan dengan jeriji besi. Kalau tidak memang boleh bertumbuk dibuatnya ketika itu.
Barika rasa hendak tinju-tinju saja muka banduan wanita yang tidak diketahui namanya itu. Alang-alang hatinya sudah membengkak,biarkan saja dia bengkak-bengkakkan muka banduan wanita yang menyanyi kelaut itu. Biar puas hati Barika yang sedang mendidih marah.
Entah mengapa Barika yang penyabar orangnya sebelum ini sudah bertukar menjadi pemarah. Mungkin keadaan persekitaran yang mendorong dia menjadi begitu. Barika sudah bergelar pembunuh dan dia juga seorang pendosa. Dia berdosa kerana membunuh suaminya sendiri. Dosa sesama manusia. Dosa kepada Tuhan.
‘’Tapi dia memang patut mati!Lelaki tak guna itu pengkhianat cinta!Dia mungkir janji!’’
Suara hati Barika mula berkata. Suara hati yang bertunjangkan bisikan syaitan. Barika ketawa mengekek pula. Dia berasa puas hati dapat membunuh lelaki itu. Pengkhianat cinta memang patut dibunuh! Berkali-kali hati Barika menegaskan kenyataan itu. Seakan menyokong tindakannya sebelum ini adalah sangat tepat sekali. Tidak perlu ragu-ragu lagi.
‘’Gila!’’
Banduan wanita tersebut mencelah apabila mendengar Barika berkata-kata sendiri sambil mengekek ketawa. Barika sudah terbawa-bawa dengan perasaan sendiri tanpa memperdulikan banduan wanita itu lagi. Sekejap-sekejap dia menangis. Sekejap-sekejap pula dia mengekek ketawa lalu mengilai macam Pontianak. Barika tidak peduli dengan suara-suara lain yang menyuruh dia senyap termasuklah warden. Dia terus berada dalam dunianya sendiri. Jiwa kacau.
Share this novel