Surat yang diberikan oleh Latisya aku simpan di dalam laci meja dalam bilik tidurku. Aku belum sedia untuk mengetahui isi kandungan surat tersebut. Sampul tersebut sangat tebal. Aku tidak tahu berapa banyak helai kertas yang ada dalam sampul itu. Adakah dia marah, kecewa, atau insaf atas apa yang terjadi, aku tak tahu.
"Ana, macam mana tadi?" soal mama.
"Ma, okey je. Mak cik Aminah pun okey dengan Ana tadi. Ana dah jumpa Latisya. Muka dia sama macam arwah Aisyah tetapi kehadirannya sama macam....."
Lama mama menunggu jawapanku.
"Tidurlah, nak. Dah malam ni. Selamat malam sayang."
Ubun-ubunku dicium oleh mama. Tak henti-henti kasih sayangnya ditunjukkan kepada aku sejak aku pulang. Mungkin kerana selama lapan tahun lebih kami berjauhan. Kerana aku juga tidak tahu, apakah aku membawa diri, ataupun memang aku yang tak nak lepaskan peluang. Aku keliru dengan apa yang terjadi pada diriku.
*SEMINGGU KEMUDIAN...
Sinaran matahari pagi menerangi celah-celah bilik yang terdedah. Mama memasuki bilik tidurku lalu membuka langsir dan membangunkanku.
"Sayang, bangun nak. Dah pagi dah ni."
"Ma, good morning."
Entah kenapa aku rasa tak nak bangun sama sekali. Mungkin sebab tak sedar bersembang dengan kawan-kawan kat Boston semalam melalui panggilan video sampai subuh.
"Good morning. Ni kenapa ni? Ngantuk lagi? Semalam pukul sebelas setengah, mama asyik dengar kamu bercakap je dalam bilik."
"Semalam Ana video call dengan kawan-kawan masa kat Boston dulu." terangku.
"Patutlah. Dah, bangun dulu, lepastu sarapan. Lepas sarapan, sambunglah tidur. Ni, mama dengan papa nak pergi bank, abang Nariz kamu ada flight, dan Geeta dah start masuk kerja hari ni. Jadi kamu jaga baby Giana dan Farhan ya? Sebab Ana sendiri je kat rumah ni."
"Ok ma, nanti Ana jaga baby dengan Farhan." kataku teruja.
Aku suka jaga baby. Entah kenapa sejak aku nak masuk umur tiga puluhan ni, aku tertarik dengan budak-budak. Sebab tu mama gesa aku kahwin, tapi aku mana ada calon.
*
Aku mengintip di celah langsir sambil mendukung Giana apabila aku mendengar bunyi enjin kereta Toyota Corolla silver yang dipandu oleh seorang lelaki tiba di hadapan rumah. Kereta yang aku tidak kenal dengan nombor plat yang baru aku lihat. Hon dibunyikan. Aku membuka pintu untuk mengenal pasti kelibat lelaki itu.
"Mak cik Milah!" panggil lelaki itu yang menyangka mama yang membuka pintu.
Suara yang sudah lama aku tidak dengar. Suara yang menjadi sebab kekecewaan dan kesakitan yang berparut di dalam hatiku. Aku melangkah keluar dengan mendukung Giana yang sedang tidur dalam dukunganku. Ajib keluar dari kereta dengan memegang tangan Latisya. Enjin kereta dimatikan lalu kunci kereta dicabut.
"Sorry, mama tak ada kat rumah." kataku.
Sebaik sahaja mata kami berdua bertemu, kunci kereta yang dipegang Ajib terjatuh daripada tersangkut di jari telunjuk Ajib.
"Aunty Ana!" jerit Latisya gembira.
Mata Ajib turun kepada Latisya yang dipegangnya.
"Hai Isya. Sorrylah aunty tak boleh bagi masuk ni sebab tak ada orang kat rumah." kataku yang hanya memfokuskan pandanganku pada Latisya
"Tak apa aunty. Lagipun, nek Milah yang suruh Isya datang sini. Isya tak ada kawan kat rumah. Nenek Yun dengan nenek Minah pergi hospital, papa pula kerja. Atuk Hussin pun kerja." terang Latisya.
"Kalau macam tu, marilah naik."
Pintu pagar kecil di kaki lima aku buka. Latisya menyalam tangan Ajib lalu naik ke rumah.
"Papa, sebelum jalan, jangan lupa kunci kereta yang terjatuh tu. Nanti papa nak jalan, kunci kereta tak ada." sindir Latisya.
Kecil-kecil dah pandai mengejek papanya.
Latisya meninggalkan Ajib lalu menaiki anak tangga dan menghampiriku. Jari telunjuk kecil dinaikkan ke mulut tanda senyap. Latisya melihat bayi yang aku dukung sedang tertidur. Aku hanya tersenyum dan kagum melihat telatah Latisya. Sebaik sahaja pintu rumah ditutup, bunyi enjin kereta Ajib meninggalkan perkarangan rumah. Dengan cepat aku cuba elak dari berpandangan dengan Ajib kerana takut Latisya salah sangka.
"Aunty, ni baby aunty ke?" soal Latisya.
Aku terkejut dan serta merta menafikan.
"Eh, bukanlah. Ni anak buah aunty. Aunty belum kahwin lagilah." kataku.
"Kalau macam tu, aunty kahwinlah dengan papa. Jadi, Isya pun boleh ada adik."
Gulp! Uhuk! Aku tersedak. Sampai ke situ budak ni berfikir.
"Isya, aunty dengan papa Isya tak bercinta. Macam mana nak kahwin?" kataku cuba mengelak topik Latisya.
"Ooo... Kalau nak kahwin, mesti ada cinta la ya?" soal Latisya.
"Iya. Cinta itu kunci kebahagiaan."
"Kalau macam tu, aunty bercintalah dengan papa."
Puk! Aku menepuk dahi dengan tangan kanan. Tangan kiriku masih kukuh mendukung Giana yang masih tidur tanpa gangguan.
"Isya, kita cakap pasal ni lain kali. Sekarang ni, Isya dah makan?" soal ku cuba menghentikan topik perbualan kami.
"Isya belum makan sebab Nenek Yun tak sempat masak tadi sebelum jalan." kata Latisya.
"Tak pa. Aunty letak dulu baby kat katil dia baru kita pergi dapur cari apa boleh di makan."
Aku meletakkan Giana di katilnya lalu aku dan Latisya pergi ke dapur. Nuget Tempura aku goreng untuk Isya.
Selesai mengisi perut, aku membawa Isya masuk ke bilikku.
"Isya, ni lah bilik aunty."
"Wah, cantiknya. Luas dan kemas." puji Latisya.
"Terima kasih. Ni, Isya ngantuk tak? Kalau ngantuk, Isya boleh tidur sini." pelawaku.
"Terima kasih, aunty. Isya pun rasa ngantuk ni."
"Kalau macam tu, aunty keluar dulu."
Aku meninggalkan Latisya bersendirian. Aku hairan kerana Latisya seorang yang periang, tetapi fizikalnya lemah dan warna kulitnya juga pucat lesu.
**
Latisya dijemput oleh Makcik Yunita semasa dalam perjalanan pulang ke rumah. Kak Geeta baru balik dari kerja. Selesai sahaja kak Geeta membersihkan diri, Giana aku serahkan kembali kepada mamanya. Walaupun tadi sempat merengek, tetapi Giana kembali terlelap. Malam nanti, kena berjagalah kak Geeta ni sebab dari tengah hari sampai ke petang, Giana asyik tidur je.
Selesai memindahkan Giana, aku masuk ke bilik tidur untuk membersihkan diri. Suatu botol kecil menarik perhatianku sebaik sahaja aku masuk ke dalam bilik.
DIGOXIN.... Perkataan yang tertulis pada botol itu. Botol itu aku angkat lalu aku goncang. Botol itu berbunyi seperti setengah daripada botol itu berisi. Aku membuka botol itu dan aku hidu lalu aku melihat pil-pil yang memenuhi setengah botol kecil itu.
"Latisya ada masalah jantung?"
Botol kecil itu aku belek-belek. Beberapa pil yang dipotong setengah-setengah sesuai untuk jumlah dos bagi kanak-kanak seperti Latisya. Sampul surat yang diserahkan oleh Latisya aku keluarkan kembali lalu aku buka. Entah mengapa hatiku tergerak nak tahu kandungan surat itu.
Share this novel