Sinaran matahari pagi menyinari bilik tidurku. Mama sudah bangun awal pagi untuk siapkan sarapan seperti biasa. Selesai membersihkan diri, aku terus turun ke dapur. Aku bahagia melihat seluruh keluargaku berkumpul bersama di meja makan. Berbagai-bagai lauk dihidang oleh mama di atas meja. Budak-budak yang lain ditempatkan di meja makan kanak-kanak bersebelahan dengan meja makan utama kami. Aku bahagia melihat anak-anak buahku yang kini kian membesar. Rumah ni dah tak macam dulu, kecil dan sempit. Selepas abang-abang aku berkahwin, mereka bersama-sama membesarkan rumah ni. Aku bangga dengan abang-abang aku dan kakak-kakak ipar aku sebab mereka tidak pernah lupa akan jasa dan kasih sayang mama papa terhadap mereka selama ni. Sekarang, rumah ni dah macam rumah banglo dah sekarang. Kalau dulu kami sewa tanah, sekarang tanah ni hak milik kami sendiri. Semua kerana kakak-kakak ipar aku yang sepakat untuk beli tanah ni supaya kami bebas untuk buat apa sahaja dengan tanah ni.
"Ma, Pa, nanti Ana keluar dengan Syuhadah dengan kak Ri." kataku sambil menyuap nasi goreng ke dalam mulut.
"Ana kan baru je sampai semalam. Tak rehat dulu ke? Tak penat ke perjalanan semalam?" kata mama.
"Tak lah. Lagipun Ana nak renew lesen memandu Ana ni. Sekali lah dengan kak Ri. Jadi ada jugalah kawan Ana nanti. Dah lama juga Ana tak jumpa Syuhadah. Mungkin dah besar dah anak-anak dia."
Bercakap punya bercakap, aku sendiri tak sedar yang aku masuk jerat aku sendiri.
"Haa... Yang satu ni bila nak kahwin? Umur tu dah dua puluh lapan tahun bulan depan. Ana lah orang yang paling tua belum berkahwin. Abang-abang Ana ni sebelum umur dua puluh tujuh, dah beranak pinak." sakat abang Nazri.
"Hish, abang Naz ni. Tak habis-habis nak sakat orang. Orang busy la belajar. Tak ada masa nak bercintan-cintun kat sana." aku membela diri.
"Alaaa.... Baru je kita nak feeling-feeling ada adik ipar mat saleh, kan bang Naz." kata abang Nazir menyakat.
Aku hanya memuncungkan bibir. Semua orang bergelak ketawa.
***********
Kak Ri sudah menunggu di hadapan rumah. Kereta Toyota Vios kedengaran sampai dalam ruang tamu. Hon kereta dibunyikan dua kali. Pagar automatik dibuka dari dalam rumah oleh mama. Selesai bersiap, aku mencium tangan dan pipi mama. Mama memberikan aku restu untuk keluar rumah. Kemeja paras lengan yang berwarna merah yang aku padankan dan masukkan dalam seluar berwarna hitam, menjadi fesyen aku hari ni.
"Hai kak. Apa khabar?" sapaku.
"Engkau ni. Balik tak info akak. Semalam akak try call number tu, tak dapat-dapat. Tup tup, dah kat Malaysia dah. So, macam mana?" kata kak Rihana.
"Macam mana apa, kak? Kita tanya khabar, dia tanya kita balik."
Sambil kak Ri memandu, sambil itu aku bercerita.
"Kak, lepas renew lesen, kita pergi cafe kakak Syuhadah. Dia ada kat sana katanya."
Selesai berurusan, kami terus gerak ke cafe kakak Syuhadah.
Dalam cafe kakak Syuhadah, aku melihat sahabatku yang sedang bermain dengan anak kembarnya. Sama dengan mukanya dan semakin membesar. Gambar terakhir Syuhadah hantar dengan aku, semasa ulang tahun anak-anak kembarnya yang ke tiga tahun. Sekarang, dia sedang menunggu kehadiran cahaya mata yang ketiga.
"Adah!"
Sebaik sahaja pintu cafe dibuka, aku terus jeritkan nama Syuhadah.
"Leana!"
Kami berdua berpelukan. Terasa geli bila perut buncitnya menghempap perutku.
"Wau... Dah besar dah. Berapa bulan yang ketiga ni?" soalku.
"Kau rasa? Kau kan dah jadi doktor. Mesti kau tau." kata Syuhadah.
"Aku ni ambil jurusan kardiologi. Aku cuma tahu pasal jantung je. Pasal bidan ni, aku tak berapa mahir. Tapi kalau tengok bentuk perut kau sekarang ni, macam tujuh bulan."
"Haha. Betullah tu, tujuh bulan. Dah nak masuk lapan bulan. Kau bila lagi? Flat je aku tengok perut kau tu."
"Eh, lama lagi. Kena kahwin dengan bapa dia dulu baru boleh buat."
Syuhadah tergelak mendengar ayatku.
"Mana-mana kaulah. Ha, kau tau tak mana satu Syakil mana satu Syaril?" soal Syuhadah.
"Yang tengah main sudu ni, Syakil. Dan yang comot makan coklat ni, Syaril." jawabku.
"Haha. Terang juga mata kau ni ya."
"Mata doktor, mestilah terang." pujiku.
"So, bila start kerja?"
"Permohonan aku dah diluluskan dan mungkin dalam dua minggu lagi aku start kerja. Sebab aku baru sampai semalam. Ni pun aku mohon masa kat Boston dua minggu lepas."
"So, lepas ni kau kerja kat hospital tu lah?"
"Iya lah. Sebab kak Ri kata, hospital diorang memang kurang pakar bedah jantung. That's why aku mohon kat situ. Ni pun kak Ri yang tolong."
"Banyak jasa kak Ri dengan kau kan. First, pengajian kat Boston. Sekarang, kerja kat hospital."
"Dia tu memang murah hati. Sebab aku ni je lah satu-satunya sepupu perempuan yang dia ada belah mama kami. Dia ada abang dan adik lelaki. Mama aku pula hanya ada seorang adik, mama kak Ri tu lah."
"So, kau akan kerja sama-sama lah dengan si Razif tu?"
Nama yang sudah lama aku tidak dengar. Hanya nama samarannya saja yang menjadi sebutan orang yang mengenal dia.
"Tak payahlah kita cakap pasal kita. Ni aku nak kongsi pengalaman aku masa kat Boston."
*****************
"Selamat tengah hari, kak Yun." kata Milah memberi salam.
"Selamat tengah hari. Milah? Eh, masuklah." pelawa Yunita.
"Buat apa tu sampai suara dekat dapur pun kedengaran." soal Milah.
"Tengah masak makan tengah hari ni. Tak lama lagi Hussin balik. Si Aminah lagi belum minum ubat."
Selepas menjemput Milah masuk ke ruang tamu, Yunita pergi mendapatkan Aminah di bilik tidurnya.
"Minah, jom kita keluar. Ada tetamu datang." kata Yunita lembut.
Kerusi roda ditolak oleh Yunita. Kaki dan tangan yang tidak boleh digerakkan sama sekali. Mulut yang tidak boleh mengeluarkan perkataan yang jelas. Sejak kematian Aisyah, Aminah diserang penyakit jantung dan tekanan darah tinggi. Keajaiban terjadi dalam hidupnya kerana dia masih boleh hidup, tetapi dalam keadaan lumpuh setengah badan.
"Aminah, apa khabar? Sihat?" soal Milah lembut.
Aminah hanya mengangguk.
"Doktor cakap apa?" soal Milah.
"Doktor cakap, peluang untuk dia kembali normal, lima puluh lima puluh. Sekalipun dia boleh bercakap, tapi dia mungkin takkan boleh berjalan." terang Yunita.
"Yang penting ada harapan. Ni saya ada bawakan sedikit makanan dari luar negara." kata Milah.
"Luar negara? Nariz baru balik dari penerbangan ke?" soal Yunita.
"Tak lah. Ana yang bawakan. Dia baru balik semalam." jawab Milah.
Sebaik sahaja Milah menyebut nama Ana, Aminah terus meronta-ronta dan menunjuk ke arah biliknya seperti ada sesuatu yang hendak disampaikan.
"Kenapa dia ni, kak?"
"Entahlah. Setiap kali saya cerita atau tersebut pasal Ana, dia terus tak boleh duduk diam. Tangannya selalu ke arah biliknya. Tapi saya tak bagi dia masuk bilik kecuali nak tidur. Kalau tak, hamburlah bilik dia nanti. Dah lah saya ni makin lama makin tua, tak berapa larat nak gerak sini sana. Ni pun nasib baik Hussin tolong."
"Macam tu lah kak. Semakin kita tua, semakin banyak tanggungjawab kita pada keluarga. Ni, Ajib mana? Tak nampak pun batang hidung dia dari saya sampai lagi."
"Ouh, Ajib? Dia kerja petang hari ni. Sepatutnya dia bersiap jam-jam begini, tapi dia kena keluar awal bawa Latisya ke hospital sebab Isya sakit."
"Isya sakit? Sakit apa?"
"Dia demam panas. Dari semalam demam dia tak kebah." kata Yunita risau.
"Rindu arwah mama dia la kot."
"Mungkin lah. Sebab semalam ulang tahun Aisyah."
"Tak sangka kan kak Yun, di usia enam tahun dia dah kehilangan mama dia. Tak sedar masa berlalu, dah setahun lebih meninggalnya arwah Aisyah." kata Milah dengan nada simpati.
"Milah, Ana sihat?" soal Yunita.
"Sihat kak. Dua minggu lagi dia start kerja dengan Rihana. Baru semalam dia sampai, dah keluar nak jumpa kawan dia sekali nak perbaharui lesen memandu dia."
"Ye lah. Kan dah lapan tahun dia tak balik Malaysia. Kakak ni teringin sangat nak jumpa dia. Nanti, Milah ajaklah Ana datang sekali."
"Baiklah kak. Kalau sempat, petang ni juga saya ajak dia datang sekali nanti."
**************
Syakil dan Syaril aku bawa jalan-jalan bersama Syuhadah. Ahmad Zaidi, nama suami Syuhadah yang dia pernah katakan kepadaku semasa dia dipinang oleh pihak keluarga lelaki. Namun, aku belum pernah berjumpa dengan suami sahabatku ni.
"Makin upgrade ya cafe kakak kau. Dulu sebelum aku jalan, cafe kakak kau biasa-biasa je. Sekarang, makin mewah." kataku bangga.
"Rezeki, Leana. Mungkin rezeki anak-anak dia." kata Syuhadah.
"Oh ya? Berapa anak kakak kau?"
"Dah lima. Kata target nak tiga, tetapi tak sangka bertambah dua sebab ada sepasang kembar. Adik beradik kami tak ada yang kembar. Tapi adik beradik mak kami, ada."
"Ok la tu, dah memang dalam darah keluarga untuk ada kembar. Kalau orang yang tak ada keturunan kembar, tu sebab kebetulan sistem badannya berlanggar dengan penggantian sel. Lagipun, rezeki jangan di tolak. Kalau masih kuat, tambah lagi lah. Kau pun, tambah lah lagi anak tu."
"Amboi, sedap je nak mengata orang. Tu yang di sana tu, kenapa tak kahwin-kahwin? Kahwin dulu, buat anak baru nak suruh aku tambah."
Syuhadah menjeling. Aku hanya tergelak.
"Nanti-nanti lah. Belum jumpa calon yang sesuai lagi."
"Kau tu makin lama makin tua. Rahim kau pun makin tua. Kau sekarang dah nak berumur puluh lapan tahun. Kahwin lah, supaya cepat dapat anak." sakat Syuhadah.
Aku hanya tergelak.
Share this novel