Tok! Tok! Tok!
Bertalu-talu ketukan di pintu rumah. Bunyinya bagai nak merobohkan pintu tesebut. Ashraf yang sedang lena tidur terkejut lalu terduduk di atas katilnya. Ashraf keluar menuju ke pintu hadapan untuk melihat siapa yang datang ke rumahnya pada malam-malam begini. Sebelum tiba di pintu hadapan, matanya sempat mengerling jam yang tergantung di dinding berdekatan pintu rumahnya. Baru jam 2.30 pagi.
“Sekejap. Saya datang. Siapa di luar?” kata Ashraf dengan suara yang sedikit tinggi.
Tiada sahutan. Tombol pintu dipulas dan apabila pintu dibuka, tiada sesiapa pun di luar. Ashraf merasa aneh. Dipandangnya ke kiri dan kanan namun tetap tiada sesiapa.
Ashraf menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Pelik. Mana orangnya? Siapa yang mengetuk pintu rumah banglonya bertalu-talu?
Rasa mengantuk mengatasi fikirannya ketika itu. Pintu rumah kembali ditutup dan Ashraf melangkah pergi dari situ menuju ke biliknya.
Dalam fikirannya dia menyalahkan kanak-kanak di sekitar rumahnya. Mungkin mahu menggangggu kerana mereka tahu dia tinggal seorang diri di rumah besar tinggalan keluarganya.
“Budak-budak nakal ni kot. Aku buka pintu tadi, tak ada sesiapa pula di luar,” kata Ashraf sendirian sambil melabuhkan badannya ke tilam dan memejamkan mata.
Tiba-tiba datang bayangan seorang wanita dalam persalinan kebaya hitam berdiri di tingkap biliknya. Disebabkan cahaya di luar dari lampu jalan masih benderang, wajahnya tidak dapat dilihat dengan jelas.
Ashraf yang sedang mahu memejam mata kembali membuka matanya. Dilihatnya wanita itu masih di situ dalam posisi sama. Terus jantungnya berdegup laju. Setahunya, dia tinggal keseorangan dalam rumah itu dan semua pintu sudah dikunci sebelum dia masuk tidur tidak lama tadi.
Wanita itu tidak berpaling dan tidak juga berganjak. Masih dalam posisi sama. Ashraf memberanikan diri cuba bertanya namun suaranya tersekat di kerongkong.
Di saat itu wanita berkebaya hitam itu tersenyum dan mahu berpaling ke arah Ashraf. Namun belum sempat Wanita itu menampakkan wajahnya, Ashraf sudah terjaga dek bunyi jam dari telefonnya yang sudah diset sebelum subuh.
Berpeluh-peluh tubuh Ashraf. Mujur ia hanya mimpi.
Share this novel