HOTEL
27 September 2029, Jam 21:12
Hotel tempat mereka berlindung itu kosong dan selamat selepas Zaquan dan beberapa orang lelaki memeriksa bilik-bilik hotel itu. Nasib mereka baik kerana tiada sesiapa yang berada di sana termasuklah makhluk-makhluk pemangsa.
Dalam keadaan gelap gelita Pakcik Aman cuba menghidupkan lampu tetapi dilarang oleh Zaquan.
"Jangan pakcik... Saya rasa benda tu tertarik dengan cahaya."
Pakcik Aman hanya mengangguk faham, akur dengan larangan Zaquan. Mungkin sebab itulah mereka diserang sewaktu berlindung dalam kedai MR.DIY, hampir semua lampu didalam kedai menyala.
Mereka sedang berada di tingkat 2 hotel. Sebahagian daripada mereka masuk ke bilik hotel yang kosong mencari tempat untuk berehat. Ada bilik yang masih kemas seolah-olah baru sahaja dikemaskan, ada juga bilik yang berselerak menunjukkan ia ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa.
Kini hanya Jemma, Zaquan dan Khai yang berada di koridor hotel. Mereka yang lain sudah tidur nyenyak di dalam bilik.
Jemma berdiri di tepi tingkap yang separuh terbuka, memerhati jalan raya yang semakin gelap. Lampu jalan masih menyala di beberapa tempat, suasana di luar sunyi dan menakutkan. Beberapa kenderaan terbiar di tengah jalan, ada yang pintunya terbuka luas seolah-olah ditinggalkan dalam keadaan panik.
Zaquan bersandar pada dinding dengan batang besi di tangannya. Matanya tajam, seakan sedang menilai seseorang.
"Macam mana keadaan di luar sebelum kau sampai sini? kau memang stay di hotel ni kah?" Jemma bertanya, cuba mendapatkan maklumat.
Zaquan mengangkat bahu sedikit. "Memang huru-hara sudah masa tu... Aku pula baru balik dari kerja, tiba-tiba pula motor aku kena langgar... Nasib baik nda mati.. Tempat ni ja paling dekat. Mau lari masa tu pun kaki aku sakit."
Khai yang duduk di kerusi plastik pun menyambung, "aku dengar orang cakap ada seranganlah, rusuhanlah, orang gilalah, vaksinlah...Macam-macamlah."
Zaquan mengetap bibir. "Entahlah. Nda nampak macam rusuhan pun. Sebab orang-orang tu macam bertindak diluar kawalan. Tapi yang pelik, aku nampak kalau kau digigit atau bersentuhan dengan benda tu kau akan terjangkit".
Mereka berdua terdiam, menyedari bahawa ini bukan sekadar kejadian biasa. Tiada di antara mereka yang pernah berhadapan dengan situasi genting seperti ini apalagi sehingga nyawa menjadi taruhan.
"Kamu ada rancangan?" Zaquan tiba-tiba bertanya.
Jemma berfikir sejenak sebelum menjawab pertanyaan Zaquan, dia belum mempercayai lelaki itu lagi tetapi dia juga tidak mempunyai rancangan yang sebenarnya.
"Belum ada solid plan. Aku nda tau pula yang lain macam mana. Tapi kalau aku.. Aku mau cari kawan-kawan aku dulu" jawab Jemma sambil memandang Khai seolah-olah sedang menanti jawapannya juga.
Khai perasan pandangan Jemma terhadapnya dan bersuara.
"Aku? aku ni banyak plan bunuh diri seja."
"Aku mau cari keluarga aku pun nda tau macam mana sebab tiada petunjuk. Kami janji mau jumpa di Centre Point." Sambung Khai lagi.
"Oh, patutlah kau ada d Mr.Diy tu kan?" Soal Jemma.
"Iya, tu pun sebab Pakcik Aman yang paksa aku masuk. Ikutkan hati aku, memang aku lari ja."
Jemma hanya menganggukkan kepala apabila mendengar jawapan Khai. Sama seperti Khai, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menyelamatkan diri jika bukan berlari dari kekacauan yang berlaku di bandar Kota Kinabalu. Jemma hanya bersyukur kerana terjumpa Pakcik Aman, walaupun mereka tidak dapat bertahan dalam kedai MR.DIY itu, sekurang-kurangnya dia tidak bersendirian dalam dunia yang menakutkan.
Beberapa jam telah pun berlalu, hanya suasana janggal yang mengisi ruang di antara mereka. Mungkin kerana mereka masih belum mempercayai antara satu sama lain atau takut untuk bersuara.
Khai yang duduk tidak jauh dari kedudukan Jemma beralih sedikit mendekatinya. Mata Khai melirik ke arah Zaquan, yang masih duduk di sudut, berjaga-jaga. Sesekali, lelaki itu memandang ke luar tingkap kecil di pintu, seakan mengawasi sesuatu.
Jemma masih berjaga, fikirannya sedang kacau dan tertekan menyebabkan dia sukar untuk tidur.
Mereka dapat rasa ketegangan di dalam ruang kecil itu. Khai pula seperti ingin mengatakan sesuatu tetapi teragak-agak. Akhirnya Khai duduk disebelah Jemma. Dia berbisik perlahan kepadanya.
"Kau rasa dia siapa?"
Jemma mengerutkan dahi. "Maksud kau?"
Khai menjeling ke arah Zaquan. "Dia nampak tenang betul. Macam... dia biasa berhadapan situasi ni."
Sejujurnya rasa ingin tahu Khai membuak-buak menyebabkan dia tidak senang duduk. Walaupun mereka sudah bertukar maklumat sebentar tadi namun sepertinya Zaquan sedang menyembunyikan sesuatu.
Jemma memandang lelaki itu sekali lagi. Memang dari awal, Zaquan kelihatan berbeza. Dia tidak panik, tidak keliru, malah terlalu bersedia. Seolah-olah dia sudah pernah menghadapi keadaan ini lebih awal daripada mereka semua. Jarak mereka berdua duduk dari Zaquan tidak begitu jauh yang membolehkan Zaquan mendengar suara mereka jika bercakap pada nada biasa.
Zaquan tiba-tiba bersuara tanpa berpaling. "Kalau ada soalan, tanya ja."
Khai terkedu. Matanya membulat sedikit. "Tiada juga soalan cuma... Kau nampak tenanglah bang."
Zaquan masih tidak berpaling, tetapi suaranya jelas di dalam bilik itu. "Sebab ni bukan first time aku nampak benda tu."
Jemma beralih sedikit ke hadapan dari tempat dia bersandar. "Maksud kau?"
Zaquan menghela nafas, akhirnya berpaling sedikit ke arah mereka. "Aku pernah berhadapan dengan benda ni."
Khai menelan liur. "Orang mati hidup balik?"
Zaquan tidak menjawab segera. Dia seperti sedang mempertimbangkan kata-katanya. Akhirnya, dia bersuara perlahan.
"Ya orang mati kembali bernyawa. Tapi hilang kemanusiaan"
Jemma mengetap bibir. Ada sesuatu dalam nada Zaquan yang membuatkan dia tidak senang duduk.
Zaquan mengangkat wajahnya sedikit, memandang mereka dengan pandangan tajam.
"Tapi apa yang aku tahu dan pasti, benda ni sudah berlaku dua minggu sebelum huru-hara terjadi."
Zaquan memejamkan mata sejenak, seolah-olah cuba menahan sesuatu dalam fikirannya. Kemudian, dia bangun perlahan-lahan, mendekati mereka. Dia berdiri berdekatan dengan tingkap.
Jemma dan Khai terdiam saling berpandangan, pelbagai persoalan bermain dalam fikiran.
"Kau sendiri berhadapan dengan benda tu kah atau macam mana?"
Zaquan tidak terus menjawab. Dia menunduk sedikit, jari-jarinya mengetuk perlahan pada batang besi di tangannya.
"Aku ada urusan di satu tempat beberapa minggu lepas," katanya perlahan. "Satu kawasan dikawal ketat, orang luar nda boleh masuk. Aku pun masuk sekejap ja."
Jemma dan Khai diam, menunggu jawapan selanjutnya dari Zaquan.
"Di sana... aku nampak sesuatu yang nda sepatutnya jadi, sangat mustahil untuk berlaku lah... Kalau kamu dua nampak apa yang aku nampak, kamu pun nda dapat berfikir." Sambungnya lagi.
Jemma merasakan bulu romanya meremang. "Apa kau nampak?"
Zaquan mengangkat wajahnya, matanya tajam. "Orang yang sudah mati... Bangun balik selepas jatuh dari tingkat 10. Sangat mustahil untuk manusia biasa macam kita hidup balik lepas jatuh dari ketinggian macam tu."
Khai menelan liur cuba memproses segala maklumat.
"WTF, tingkat 10." Khai bersuara perlahan, "So apa jadi dengan orang tu?"
Zaquan mengangkat bahunya sedikit. "Diorang bawa ke hospital lah, apa lagi." Dia berhenti sejenak sebelum menyambung.
"Aku rasa... ada orang yang tahu benda ni akan jadi sebelum kita semua sempat sedar." Jemma pula bersuara.
Zaquan mengangguk.
"Ya betul aku pun rasa begitu. Kes yang jadi di sana pun dirahsiakan. Aku adalah cuba-cuba cari dalam internet pasal kejadian tu... Ya lah, orang jatuh dari tingkat 10, takkanlah nda masuk berita kan? Tapi tiada apa-apa aku jumpa. Kalau orang tu sudah dijangkiti, aku rasa dari awal dia dibawa ke hospital sudah ramai orang yang terjangkit."
"Tapi beberapa minggu ni macam biasa seja kan? Makin ramai pelancong datang lagi. Aku rasa itu sebab kes tu didiamkan. Ada pihak yang takut rugi. Ya lah tahun ni kan Malaysia tuan rumah untuk Sukan Sea. Tahun 2027 tu cancel sebab ada khabar angin pasal kes virus macam COVID-19" sambung Zaquan lagi.
Jemma memejamkan mata sejenak. Banyak perihal yang bermain dimindanya. Jika benar apa yang Zaquan katakan, bermakna ada rahsia di sebalik semua ini.
Setiap ayat yang keluar daripada mulut Zaquan diteliti oleh Khai dan Jemma, cuba mencari punca dan bagaimana perkara ini terjadi.
Jemma menarik nafas panjang dan memandang ke arah Zaquan yang sudah pun duduk tidak jauh dari mereka berdua. Dia ingin bertanya lebih lanjut, tetapi dia tahu ada sesuatu tentang dirinya yang tidak mahu diceritakan.
Tiba-tiba, bunyi geseran kecil kedengaran dari hujung koridor.
Khai segera berpaling. "Apa tu?"
Zaquan sudah menggenggam batang besinya dengan erat.
Jemma bangun perlahan-lahan, matanya tertumpu ke arah sudut gelap di hujung koridor.
CITTT..CITTT
Tiba-tiba seekor tikus melintas dengan pantas memasuki ke dalam lubang di dinding.
Mereka bertiga menghela nafas lega.
Khai mengeluh dan mengusap wajahnya. "Gila. Tikus pun boleh buat jantung aku mau pecah."
Jemma tersenyum kecil sambil memandang Khai yang tidak henti-henti mengusap dadanya sendiri.
Zaquan kembali duduk dan meletakkan batang besinya ke lantai dengan perlahan. "Kamu rehatlah dulu. Aku rasa kita selamat buat masa sekarang" katanya.
Jemma mengangguk, tetapi dia tahu—tidak akan mudah untuk tidur malam ini.
Satu demi satu, mereka akhirnya membiarkan keletihan menguasai diri.
Khai yang paling awal terlelap, bersandar di dinding dengan kepalanya sedikit terkulai ke sisi. Nafasnya teratur, tetapi sesekali tubuhnya bergerak gelisah, seolah-olah masih dibayangi ketakutan dari hari yang panjang.
Melihat Khai yang tertidur dalam keadaan duduk Jemma memasuki salah satu bilik hotel untuk mengambil bantal tidur.
Jemma menyentuh bahu Khai dan memberikan bantal kepadanya.
"Makasih kak." Khai bersuara dengan matanya yang tertutup tapi tidak pasti sama ada dia masih sedar atau tidak kerana dia tiba-tiba memanggil Jemma dengan panggilan 'kak'. Namun Jemma tidak hairan, mungkin Khai teringatkan keluarganya. Tambahan pula memang sesuai Jemma dipanggil kakak kerana dia lebih tua daripada Khai.
Sebuah lagi bantal diberikan kepada Zaquan yang hanya duduk berdiam diri seperti merenung. Dia tidak bersuara dan tidak juga menyambut bantal yang diberikan oleh Jemma. Bantal itu hanya diletakkan disisi Zaquan.
"Sombongnya." Jemma bersuara dalam hati.
Jemma cuba tidur, tetapi fikirannya masih ligat memikirkan apa yang berlaku sejak tiga hari lalu. Semua berlaku terlalu pantas—dari saat dia, Ann dan Mikayla menikmati percutian di Pulau Manukan hingga keadaan di Kota Kinabalu yang bertukar menjadi huru-hara tanpa amaran. Dia teringat Ann dan Mikayla... Di mana mereka sekarang? Adakah mereka masih selamat?
Zaquan masih berjaga di sudut, bersandar pada dinding dengan batang besi di sisi. Matanya sesekali melirik ke arah pintu dan tingkap, memastikan keadaan tetap selamat. Namun, setelah beberapa ketika, kelopak matanya mula memberat. Dia menarik nafas dalam dan akhirnya membiarkan dirinya terlelap.
Suasana hotel sunyi dan gelap hanya bertemankan lampu suluh solar milik Zaquan.
Angin malam yang masuk melalui celahan tingkap yang sedikit terbuka membawa rasa dingin ke dalam ruang itu.
Untuk beberapa jam, hanya kesunyian menemani mereka.
Share this novel