Kepulangan Ke Kota Kinabalu, Sabah.
23 September 2029 Jam 17:50
Jemma melangkah keluar dari kapal terbang Boeing 737 lalu menyedut udara hangat yang berbeza dengan udara musim sejuk di Seoul.
Bunyi enjin kapal terbang, pengumuman para pramugari dan suara orang berbual bercampur menjadi latar belakang yang biasa.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sibuk seperti selalu, dipenuhi pelancong dan rakyat tempatan yang baru pulang dari perantauan.
Jemma menghela nafas dan meregangkan tubuh untuk menghilangkan kekejangan selepas duduk lama dalam penerbangan yang panjang. Di tangan, dia menggenggam tali beg sandangnya dengan erat.
Gadis berumur 23 tahun itu menolak rambut pendeknya ke belakang, potongan ala-ala tomboy yang sentiasa kemas dan tidak pernah mengganggu pergerakannya. Badannya tidak terlalu kurus atau berisi, tetapi cukup untuk menampakkan otot yang terbentuk hasil dari latihan bertahun-tahun. Setiap langkahnya tenang, setiap pergerakannya terkawal—seolah-olah dia sentiasa bersedia untuk berlawan, walaupun sekadar berjalan di jalanan biasa.
Dia meneruskan langkah kakinya ke arah kaunter imigresen untuk pemeriksaan dokumen pengenalan diri dan passport.
Sebelum keluar ke pintu utama, dia menunggu bagasinya keluar dari kargo.
Setelah itu, Jemma menuju ke pintu utama untuk menunggu kereta e-hailing yang baru saja ditempah olehnya. Maxim atau Grab itulah aplikasi yang sering dia gunakan jika ingin ke destinasi yang lain sepanjang tinggal di Kota Kinabalu.
Tidak seperti di negara kelahirannya, dia boleh memandu ke sana sini sendiri tanpa perlu menumpang sesiapa pun.
Beberapa minit kemudian, sebuah kereta Proton Saga berwarna kelabu gelap berhenti di seberang jalan dengan nombor plat kenderaan yang sama seperti dalam aplikasi Maxim.
Jemma menyeberang jalan sambil menarik bagasinya. Selesai memasukkan kesemua barangan, dia duduk di tempat duduk penumpang belakang sambil melihat ke luar jendela kereta.
Perjalanan pulang ini terasa seperti kebiasaan—langkah pertama kembali ke rutin sebagai pelajar universiti. Tahun 2029 merupakan tahun terakhirnya menjadi penuntut Universiti Malaysia Sabah.
Namun, sesuatu terasa berbeza.
Bukan suasana perjalanan yang berbeza, tetapi firasat dalam dirinya. Rasa resah yang dia sendiri tidak faham. Sejak dari hari sebelum dia pulang ke Malaysia, ada sesuatu perasaan yang menyelubungi jiwanya itu.
Namun dia hanya membiarkan perasaan itu hilang untuk menikmati perjalanan balik ke rumah sewa.
Kelihatan jalur bebenang cahaya matahari yang terpancar dilangit.
Jelas menandakan matahari hampir terbenam di balik cakrawala.Ia memberikan sentuhan keemasan sebelum malam menyelubungi. Jemma mengagumi pemandangan itu.
Jemma menggeleng perlahan, cuba mengabaikan perasaannya. Mungkin dia hanya letih. Atau mungkin dia belum terbiasa kembali ke Malaysia selepas berminggu-minggu berada di Korea Selatan.
'Seri Maju Sepanggar Ria Apartment' terpapar pada pagar masuk. Tepat jam 7.45 malam Jemma tiba di kediaman rumah sewanya.
Perjalanan mengambil masa yang panjang kerana kesesakan lalu lintas. Tapi itu hal biasa untuk Jemma kerana dia sudah terbiasa terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Maklumlah membesar di bandar Incheon, Korea Selatan.
Jemma melangkah keluar dari kereta selepas memberikan bayaran tambang kepada pemandu. Dengan kaki yang berat dan mata yang kuyu dia mengangkat bagasi dan juga barang yang lain untuk dibawa naik ke rumah sewanya.
Keluar saja dari lif apartment di tingkat 3, Jemma meluru laju ke pintu rumah sewanya. Suasana pada malam ahad di apartment ketika itu sangat sunyi hingga hanya kedengaran bunyi tapak kaki diikuti bunyi bagasi yang ditarik.
Jemma menarik nafas panjang sebaik saja masuk ke dalam rumah. Tanpa membuang masa dia terus mengambil tuala dari dalam almari dan menuju ke bilik mandi untuk membersihkan diri.
"Fuh, begini baru segar!" Katanya.
Selepas mengenakan pakaian, dia terasa lapar. Kali terakhir dia menikmati makanan adalah pada jam 11 pagi sebelum berlepas. Dengan pantas, Jemma mengambil telefon pintar miliknya untuk memesan makanan secara dalam talian.
Peti sejuk yang kosong memaksanya untuk memesan makanan. Namun jika berisi dengan bahan basah, dia tetap mahu memesan makanan kerana sudah rindu pada makanan lokal di Sabah.
Ding-dong!
Bunyi loceng pintu yang lantang memenuhi ruang tamu, memecah kesunyian yang melingkari rumah itu. Petanda makanan yang dipesan sudah sampai.
Jemma menikmati makanannya, bakso campur yang ditambah dengan sambal lada.
Sedapnya bukan main!
Bakso campur merupakan makanan kegemaran Jemma dan makanan yang paling dirindui ketika dia berada di Korea Selatan.Walapun makanan Korea sedap-sedap semuanya namun tiada yang setanding bakso di Sabah.
Sambil makan, dia sempat menghantarkan pesanan kepada sahabatnya dengan mengatakan bahawa dia sudah balik ke rumah sewanya itu.
Tepat jam 9.30 malam, Jemma merebahkan badan dikatil dengan telefon pintar dalam genggaman. Belum sampai 5 minit dia melayari media sosial, matanya tertutup dengan sendiri kerana terlalu mengantuk ditambah pula perut yang kenyang.
Kringg! Kringg!
Jam penggera berbunyi mengejutkan Jemma dari tidur yang lena. Dia melihat jam menunjukkan angka 8:00.
"Awal la pulak terbangun." Keluhnya.
Tangannya mencapai telefon pintar yang sudah terjatuh dari atas katil semasa dia tidak sedarkan diri malam semalam.
Dengan mata yang separuh sedar dia membuka aplikasi WhatsApp. Terdapat pesanan baru dari kumpulan sembang dan juga dari beberapa orang sahabatnya.
Jemma menghabiskan masa lebih kurang sejam untuk melihat info-info semasa di media sosial dan maklumat terkini.
"Kemungkinan besar negara Malaysia akan mengalami masalah kekurangan bekalan makanan pada 3-4 bulan akan datang."
"Sempadan Amerika ditutup untuk semua negara tanpa pengecualian."
"China telah menutup ruang udara mereka untuk semua penerbangan antarabangsa."
"Indonesia sedang mengalami krisis kekurangan sumber ubat-ubatan."
Dari kesemua hantaran itu, Jemma hanya tertumpu pada satu hantaran.
"Bersedialah untuk menghadapi masalah besar akan datang. Mulakan prepping dari sekarang."
Tarikh hantaran pula sudah lama berlalu.
2 Februari 2029.
Sepertinya hantaran itu menjadi topik hangat selepas beberapa bulan kerana berkait rapat dengan krisis global yang berlaku sekarang.
Mungkin hanya kebetulan, fikir Jemma. Setelah puas melayari media sosial, dia segera bangun dan mandi untuk bersiap. Hari ini dia perlu ke pasar raya untuk membeli keperluan asas.
Seperti biasa, Jemma hanya menaiki kereta e-hailing untuk ke pasar raya yang terletak hanya 2 kilometer dari apartment tempat tinggalnya.
Jemma memasuki pasar raya Bataras dengan menolak troli membeli-belah yang telah diberikan oleh pekerja disitu.Dalam masa sejam sahaja Jemma selesai mengambil barang keperluan dan beberapa bahan basah yang lain.
Beras, minyak masak, sayur-sayuran, ayam, ikan dan lain-lain.
Fikiran Jemma masih terganggu dengan hantaran yang dibacanya dalam media sosial. Tetapi dia tetap berfikiran positif. Dia tidak mahu mengalami keresahan dan kegelisahan kerana terlalu memikirkan tentang hantaran-hantaran yang dibaca olehnya awal pagi tadi.
Ketika hendak membuat pembayaran di kaunter, Jemma perasan ada beberapa individu yang membeli makanan tin dengan jumlah yang banyak. Ada juga yang membeli beras sehingga 10 kampit, lilin berkotak-kotak dan air mineral.
Untuk menenangkan perasaannya dia hanya terfikir bahawa individu-individu tersebut ada sebab-sebab tertentu. Tidak mahu persoalkan orang lain, dia hanya mahu fokus pada diri sendiri.
Jam 11:00 pagi, setelah balik dari pasar raya Jemma terus mengemas dapur dan meletakkan barang-barang yang dibeli pada tempat yang sesuai lalu menyediakan bahan masakan. Oleh kerana dia tertidur awal semalam dan tidak sempat membersihkan rumah, pagi itu menjadi pagi yang amat sibuk untuk Jemma
Dalam kesibukan Jemma mengemas, satu pesanan ringkas masuk ke telefonnya diikuti dengan panggilan.
Skrin telefonnya memaparkan nama 'Ann My Bestie'. Jemma mengangkat panggilan tersebut.
Ann: Annyeong Jemma! Kau dimana ni?
Jemma: Hello Ann, aku dirumah sewa ni, baru balik dari Bataras. Kenapa?
Ann: Oh tiada, tanya saja hehehe. Call kau ni sebab mahu tanya bah kalau kau free 26 dan 27 haribulan.
Jemma: Hmm. Jamkkanman.—
Jemma melihat kalendar pada telefonnya sebelum menyambung perbualan.
Jemma: Ya, free juga bah. Wae?
[jamkkanman: tunggu sebentar]
[Wae: kenapa?]
Begitulah cara komunikasi mereka. Jemma sering menggunakan bahasa Korea dan bahasa Melayu yang bercampur dengan loghat negeri Sabah.
Walaupun Jemma membesar di Korea Selatan, mereka sekeluarga sering berkunjung ke Sabah untuk melawat keluarga sebelah ibunya sejak dia berumur 12 tahun. Maka tidak hairanlah mengapa Jemma fasih menggunakan loghat negeri Sabah seperti orang tempatan.
Ann: Mantap! Aku mahu bawa kau dengan si Mikayla pigi healing dekat Pulau Manukan. Aku sponsor.
Jemma: Bah boleh juga tu, aku pun lama sudah tidak pigi healing ni. Di Korea hari tu pun aku sibuk tolong bapa aku di kedai makan dia. Rindu betul aku sama kamu dua ekor. Hahahaha!
Ann: Aku tahu. Siapakah tidak rindu orang comel macam saya ni.
Jemma: Banyaklah kau punya comel sana. Comel lagi aku!
Mereka kemudian tertawa mendengar telatah masing-masing. Ann seterusnya menetapkan masa dan lokasi mereka untuk berkumpul sebelum pergi ke Pulau Manukan.
Malam itu Jemma tidur lebih awal kerana dia mahu bangun pada awal pagi untuk bersenam setelah seminggu berehat kerana sibuk membuat persiapan balik ke Sabah.
Share this novel