Bab 5

Thriller Series 156

MR.DIY CENTRE POINT

27 September 2029 Jam 18:01

Matahari semakin tenggelam di ufuk barat, langit bertukar jingga kehitaman. Dalam kedai MR.DIY, suasana tegang. Mereka semua tahu, bila malam tiba, keadaan di luar akan menjadi lebih berbahaya.

Jemma menggenggam erat kayu besbol yang diambil dari bahagian sukan. "Kalau kita mau keluar, kita mesti buat sekarang."

"Nda boleh," balas Pakcik Aman pantas. "Langit sudah mula gelap. Kalau kita keluar sekarang, kita nda akan nampak apa yang menanti di luar."

Hana mengangguk setuju. "Bunyi di luar pun seram. Kalau kita bergerak dalam gelap, tiada peluang kalau bertembung dengan sesuatu."

Khai menggigit bibir, matanya liar memerhatikan sekeliling.
"Jadi kita tunggu sampai pagi?"

Jemma menghela nafas. Mereka keletihan, kelaparan, dan dalam keadaan tertekan. Tapi dalam situasi sekarang, bergerak tanpa rancangan hanya akan membunuh mereka lebih cepat.

"Hmm. Okey" akhirnya dia bersuara. "Kita tunggu pagi. Tapi kita mesti bergilir berjaga. Kita nda tahu apa akan jadi malam ini."

Pakcik Aman mengangguk. "Saya boleh berjaga duluan."

Mereka semua berdiam diri seketika. Di luar, bunyi kaki menyeret sesuatu masih kedengaran. Sesekali, ada hentakan kecil di pintu kaca.

Malam ini mungkin akan menjadi malam paling panjang dalam hidup mereka.

Walaupun keadaan di dalam kedai itu terang-benderang ketakutan terus menyelubungi mereka.

Hanya bunyi nafas orang-orang yang bersembunyi di dalam kedai dan sesekali deruan angin di luar yang kedengaran.

Jemma duduk di satu sudut, matanya masih berjaga. Kayu besbol masih erat dalam genggaman. Tubuhnya letih dengan fikiran kusut.

Tidak jauh dari sisi kanan Jemma ada sosok lelaki— Khai, berdiri sambil menyandarkan badan pada rak besi yang penuh dengan perkakas rumah. Sesekali dia memandang ke arah Jemma yang duduk di sudut kedai.

Dari awal Khai seperti ingin memulakan perbualan dengan Jemma tetapi teragak-agak. Akhirnya setelah beberapa minit berlalu Khai memberanikan diri untuk mendekati gadis Korea itu.

"Kau rasa kita selamat disini?" Khai memulakan perbualan dengan satu pertanyaan, ingin mencari kepastian daripada seseorang yang tidak dikenalinya.

Jemma tidak terus menjawab. Matanya tertumpu ke arah Hana dan beberapa orang lain yang cuba tidur. Pakcik Aman duduk tidak jauh dari pintu utama, berjaga seperti yang dijanjikan.

"Mungkin..." akhirnya Jemma membalas, suaranya perlahan.

Beberapa saat kemudian tiba-tiba bunyi hentakan kuat pada pintu kaca mengejutkan mereka semua.

DUMM!

Hana terjaga serta-merta. Beberapa orang lain yang tidur juga terus berdiri, panik.

Pakcik Aman berdiri, memegang erat tukul besi di tangannya. Matanya tajam ke arah pintu utama. Bayangan di luar semakin banyak.

DUMM! DUMM!

Hana menggigit bibir. "Mereka tahu kita di sini."

Jemma menarik nafas dalam. Pagi terasa masih terlalu jauh.

Suasana dalam MR.DIY menjadi tegang. Semua mata tertumpu pada pintu kaca yang kini bergetar setiap kali dihentak dari luar.

Bayangan-bayangan itu bergerak liar, sesekali menekan tangan atau muka mereka ke kaca, menimbulkan kesan tompok yang menyeramkan.

DUMM! DUMM!

Salah seorang perempuan dalam kumpulan itu, yang kelihatan masih remaja, menekup mulutnya, cuba menahan esakan tetapi ditenangkan oleh seorang lelaki yang kelihatan seperi abangnya. Jemma dapat lihat air matanya bergenang dan tubuhnya menggigil.

Pakcik Aman berbisik tegas. "Jangan buat bunyi."

Hana menoleh ke arah belakang kedai. "Pintu kecemasan boleh dibuka?" bisiknya dalam nada tegas.

Seorang lelaki kelihatan seperti pekerja kedai itu mengangguk. "Ya boleh, tapi kami jarang buka pintu tu."

Jemma merapatkan diri kepada Khai yang kini sudah berdiri seolah-olah sedang bersedia untuk bertindak.

"Kalau mereka terus hentak pintu macam ni, lama-lama boleh pecah."

Khai mengetap bibir. Dia tahu Jemma betul. Mereka tidak boleh berlindung di sini.

Tiba-tiba, bunyi kaca retak kedengaran. Semua orang tersentak, pandangan mereka serentak beralih ke pintu depan.

Retakan kecil mula terbentuk di bahagian atas kaca.

"Sial," bisik Hana, wajahnya pucat dan kakinya automatik berundur selangkah ke belakang.

Jemma menggenggam erat kayu besbolnya. Mereka hanya ada sedikit masa sebelum semuanya pecah berderai.

Mereka perlu buat sesuatu—sekarang.

Retakan pada kaca semakin merebak, garis-garis halus bercabang seperti sarang labah-labah. Bunyi hentakan dari luar makin kuat, membuatkan semua orang dalam MR.DIY menahan nafas. Semakin lama, semakin bertambah bilangan makhluk-makhluk itu diluar.

DUMM!

DUMM!

KRRRAKKK!

Sebahagian kaca pecah, serpihannya jatuh ke lantai. Jari-jari pucat dan berlumuran darah mula menyelinap melalui lubang yang terbentuk.

Pakcik Aman segera memberi arahan. "Semua lari ke belakang! Pintu kecemasan!"

Keadaan jadi huru-hara. Mereka berebut-rebut ke arah belakang kedai, ada yang menolak sesama sendiri kerana panik. Seorang lelaki hampir jatuh tetapi sempat ditarik oleh Khai.

Jemma bergerak pantas ke arah pintu kecemasan bersama Hana dan Khai. Dia menoleh ke depan sekejap —bayangan di luar semakin banyak. Bunyi geraman kuat yang menyeramkan mula kedengaran di sebalik kaca yang semakin retak.

"Buka pintu cepat!" jerit salah seorang dari kumpulan mereka.

Pekerja kedai yang memegang kunci cuba membuka mangga pintu, tetapi tangannya menggigil kuat. Jemma segera meluru ke arahnya.

"Bagi aku!" katanya, merampas kunci dan segera membuka mangga dengan tangkas.

"Cepat!" Pakcik Aman menolak beberapa orang terlebih dahulu.

Sebelum Jemma sempat membuka kunci mangga, tiba-tiba kaca depan kedai pecah sepenuhnya dengan bunyi berdentum yang menambahkan panik.

Makhluk-makhluk itu menerpa masuk.

Jemma tidak sempat melihat berapa banyak, tapi cukup untuk membuatkan bulu romanya berdiri. Dia tidak berfikir panjang dia segera menendang pintu kecemasan sekuat hati, dengan dua kali cubaan sahaja pintu itu terbuka dan menolak yang lain keluar, termasuk Pakcik Aman.

Di belakangnya, jeritan pertama kedengaran.

Entah bagaimana tapi seorang daripada mereka tidak sempat menyelamatkan diri.

Jeritan bergema di dalam MR.DIY, mengiris ketakutan ke dalam setiap orang yang masih berlari menuju pintu kecemasan utama bangunan Centre Point.

Jemma berpaling seketika dan melihat seorang lelaki—mungkin salah seorang pelanggan yang berlindung bersama mereka—terjatuh ke lantai. Tangannya terkapai-kapai meminta pertolongan, tetapi sebelum sesiapa sempat membantu, makhluk-makhluk itu telah menerkam ke arahnya.

Bunyi koyakan daging serta raungan kesakitan menusuk ke telinga.

"Lari!" Pakcik Aman menjerit, menarik seorang wanita yang hampir terhenti kerana terkejut.

Jemma menggenggam kayu besbolnya dengan kuat dan berlari melalui laluan belakang bersama yang lain.

Jemma berpaling ke arah pintu kecemasan MR.DIY yang mereka baru keluar tadi. Makhluk-makhluk itu terus mengejar mereka tanpa henti, walaupun terjatuh beberapa kali makhluk-makhluk itu pantas bangun.

Akhirnya mereka sampai di pintu kecemasan bangunan Centre Point. Lambat beberapa minit sahaja mereka akan menjadi santapan makhluk-makhluk itu.

Pakcik Aman dan seorang lagi lelaki sedang menolak pintu rapat, cuba menahan makhluk-makhluk itu daripada menembusi.

Jemma menoleh ke sekeliling. Di hujung laluan, ada meja panjang dan almari kecil.

"Khai, tolong aku!" Jemma meluru ke arah meja itu, memegang tepi meja dan menolak ke arah pintu. Khai segera membantunya, menolak dengan sepenuh tenaga.

DUMM! DUMM!

Makhluk-makhluk itu sudah mula menghentam pintu dari dalam.

Pakcik Aman menekan pintu dengan tubuhnya, menahan sekuat tenaga. "Cepat!!"

Dengan satu tolakan terakhir, Jemma dan Khai berjaya menolak meja itu menghalang pintu. Mereka kemudian menambah almari kecil di atasnya, cuba menambah beban agar pintu tidak mudah ditolak dari dalam.

Sunyi seketika.

Mereka semua berdiri diam, mendengar bunyi hentakan di sebalik pintu yang semakin kuat tetapi tersekat. Ia mungkin tidak akan bertahan selamanya, tapi sekurang-kurangnya memberi mereka sedikit masa.

Jemma memandang wajah-wajah yang masih selamat. Mereka perlu cari tempat baru—dan cepat.

Mereka keluar dari bangunan Centre Point dan berlari tanpa henti, nafas mereka semakin berat. Jalan di belakang bangunan kedai gelap, hanya diterangi lampu jalan.

Khai menggenggam lengan Jemma, menariknya ke arah kanan, ke jalan utama. Memandangkan mereka berdua dihadapan, yang lain hanya mengikuti langkah mereka.

"Sana! hotel tu!" Khai menunjuk ke sebuah bangunan beberapa meter di hadapan mereka, sebuah bangunan tiga tingkat.

Jemma tidak berfikir panjang. Mereka semua bergegas ke arah pintu masuk hotel yang tertutup. Jalan raya di sekitar sunyi, tetapi bayang-bayang di kejauhan menunjukkan bahawa ancaman belum berakhir.

Tiba-tiba—

"Masuk cepat!"

Seorang lelaki berdiri di pintu masuk hotel, memegang batang besi panjang di tangannya. Dia tinggi, rambutnya kemas dan wajahnya serius. Jemma segera perasan otot lengannya yang kuat seperti dia bersedia melawan jika perlu.

Jemma tidak berlengah. Dia berlari masuk, diikuti oleh yang lain. Lelaki itu membantu menarik masuk seorang gadis remaja yang hampir tersadung. Sebaik sahaja semua orang masuk, dia menutup dan mengunci pintu kaca hotel.

Lelaki itu kemudian menolak sebuah almari besar yang berukuran sama seperti pintu kaca hotel.

DUMM!

DUMM!

Hanya beberapa saat selepas itu, makhluk-makhluk itu berada di luar, menghentak-hentak pintu kaca.

Lelaki itu menghela nafas perlahan. Dia menghidupkan lampu suluh namun hanya sedikit cahaya yang keluar kerana dia menutup lampu suluh itu dengan tapak tangannya.

"Kamu semua dari mana?" suaranya tenang tetapi penuh dengan kewaspadaan. Dalam keadaan gelap gelita dia cuba memerhatikan semua orang yang ada dihadapannya.

Jemma masih tercungap-cungap. "Kami dari Centre Point."

Lelaki itu hanya mengangguk mendengar jawapan Jemma.

Jemma memandang ke arah kumpulannya—mereka semua masih dalam keadaan panik. Mereka kemudian mengambil tempat untuk berehat, ada yang masih berdiri.

Beberapa jam berlalu, bunyi hentakan dan geraman makhluk-makhluk tadi pun semakin perlahan. Nampaknya makhluk-makhluk itu sudah beredar ke tempat lain.

Keadaan di lobi beransur sunyi. Hanya bunyi deruan angin dari luar dan sesekali dentingan besi longgar dari struktur hotel yang kedengaran. Lelaki yang baru sahaja menyelamatkan mereka tadi memeriksa pintu sekali lagi, memastikan ia selamat.

Jemma menarik nafas perlahan. Dia dapat merasakan ketegangan dalam kumpulan itu. Masing-masing cuba menyembunyikan kegelisahan tentang nasib seterusnya.

"Aku Jemma, ini Khai, itu Pakcik Aman dan depan kau tu Hana." Jemma bersuara memperkenalkan diri dan kumpulannya kepada lelaki itu.

"Aku Zaquan" balasnya.

Dia melihat ada beberapa orang lagi yang tidak dikenalkan oleh Jemma tetapi dia tidak bertanya dengan lebih lanjut.

"Nunu sid savat?" tiba-tiba salah seorang daripada kumpulan Jemma bersuara. Ini adalah kali pertama mereka mendengar suara lelaki itu. Dari bahasanya kedengaran seperti bahasa Dusun.

"Ah sorry, saya Raveko ni adik sa Rebekah" pemuda itu memperkenalkan diri sambil memegang bahu adiknya.

Mereka semua memandang lelaki itu kehairanan kerana semasa berada di MR.DIY dia tidak pernah berkomunikasi dengan sesiapa. Tetapi mereka faham, mungkin dua beradik itu masih trauma dan sedang menyesuaikan diri dengan situasi baru.

"Okey Raveko. Aku pun belum tau apa ada di atas, jadi sekarang ini aku mau beberapa orang lelaki ikut aku untuk check." Zaquan kemudiannya mengeluarkan sebuah lagi lampu suluh bersaiz kecil.

Zaquan menghulurkan lampu suluh itu kepada Pakcik Aman yang sudah bersedia untuk mengikutinya naik ke atas.

Beberapa orang lelaki termasuk Khai dan Raveko kini sedang menuju naik ke tingkat atas. Jemma dan beberapa orang perempuan lagi tinggal di lobi hotel.

"Hati-hati" Jemma mengingatkan Khai dan Pakcik Aman untuk berwaspada.

Khai mengangguk faham, raut wajahnya jelas menunjukkan kerisauan, entah apa yang sedang menunggu mereka di atas.

Author ajar sikit slang Sabahan dan 2 perkataan rungus, mungkin perkataan ini akan selalu digunakan.
sa / sia : saya
Nunu/ nuh : Apa
savat : atas / tinggi (maybe)
nunu sid savat : apa di atas
nda : Tidak /tak
pigi : pergi
mau : mahu
limpas : lalu
miring : tempang ( tidak lurus )
sot : gila

Nanti author tambah di bab lain okey, :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience