WE GOT LUCKY
28 September 2029 Jam 16:40
Bunyi tapak kaki semakin jelas kedengaran, ia bergema di setiap penjuru kedai yang sunyi. Ada yang berat, ada yang ringan, seakan-akan ramai orang sedang bergerak ke arahnya. Khai cuba membuka mata, tetapi pandangannya kabur, dunia sekeliling berputar.
Bayangan-bayangan gelap muncul di tepi rak—tinggi, rendah,kurus, besar dan bergerak dalam kelajuan yang tidak sekata. Ada yang merangkak, ada yang berdiri, ada yang seperti terhuyung-hayang.
"Khai..."
Suara itu berbisik. Bukan satu, tetapi banyak. Bertindih-tindih dalam nada yang mendesak.
"Khai...Bangun...Khai"
Dia cuba bersuara, tetapi mulutnya terasa berat. Telinganya berdengung, seolah-olah dunia semakin menjauh darinya.
Dari sudut matanya, makhluk yang tadi hampir membahamnya masih ada. Tetapi kini, ia tidak bergerak. Hanya berdiri di sana, merenungnya dengan mata merah yang kosong.
Atau... ia tersenyum?
Dada Khai berombak. Dia mahu bergerak, mahu lari, tetapi tubuhnya terasa lumpuh.
Cahaya di kedai itu semakin malap. Bayangan di sekeliling semakin dekat. Nafasnya semakin perlahan.
"Khai..."
Gelap...
Senyap...
Tiada apa-apa lagi.
Namun, di celah kegelapan itu—satu suara. Samar, tenggelam timbul.
"Khai...! Bangun!"
Sesuatu menampar pipinya, tidak kuat tetapi cukup untuk mengusik kesedarannya. Nafasnya masih berat, tubuhnya terasa seakan tenggelam dalam lumpur pekat. Dia cuba menggerakkan jari, tetapi terlalu sukar.
"Khai! Tolonglah bangun!"
Suara itu...
Jemma?
Kepalanya berdenyut, tetapi perlahan-lahan matanya terbuka. Cahaya suram kedai runcit itu menusuk pandangannya, membuatkan dia terpisat-pisat. Siluet seseorang melutut di sisinya, wajahnya kabur tetapi cukup dikenali.
"Kak Jemma...?" suaranya serak, hampir tidak kedengaran.
Jemma menghembus nafas lega. "Kau bodoh ka apa?!" nada suaranya marah, tetapi ada getaran risau di dalamnya. "Kenapa kau ikut aku?! Kau mau mati awal???"
Khai cuba bersandar pada rak, tubuhnya masih lemah. "Aku... Aku dengar sesuatu..."
"Dengar kepala hotak kau! Kalau aku lambat sikit, lama sudah kau jadi lauk dinner dorang. Gila betul kau ni!"
Khai mengerutkan dahi."Benda tu... mana?"
Jemma menoleh ke belakang. Di lantai, mayat makhluk yang tadi menerkam Khai masih terbaring, tetapi kali ini dengan kepalanya yang terbelah. Pisau pemotong daging yang dibawanya telah membelah kepala otak makhluk itu.
Khai menggigit bibir, cuba mengumpulkan tenaga. Dalam keadaan separuh sedar, dia mengikuti langkah Jemma, cuba melangkah walaupun lututnya masih longgar.
Jemma menarik lengan Khai dengan cemas. "Kita mesti keluar sekarang."
Namun, sebelum mereka sempat bergerak—
Tap! Tap! Tap!
Bunyi tapak kaki yang tadi Khai dengar kembali bergema, malah kali ini sangat jelas. Dari luar kedai, bunyi itu semakin kuat, semakin banyak. Seolah-olah puluhan makhluk sedang berkumpul dan menghampiri mereka.
Jemma memandang Khai, wajahnya berubah tegang. "Kau dengar?"
Khai mengangguk lemah. Ini bukan halusinasi.
Mereka betul-betul datang.
Jemma segera menarik Khai ke belakang kaunter, cuba bersembunyi. Nafas mereka tertahan saat bunyi cakaran kedengaran di luar—makhluk-makhluk itu sedang menyondol pintu, mencari sesuatu.
Tiba-tiba—
BAM!
Pintu kedai dirempuh kuat. Bunyi kaca retak berderai memecah keheningan. Jemma menggenggam pisau pemotong daging dengan lebih erat, matanya liar mencari jalan keluar.
"Khai, kau boleh lari?" bisiknya perlahan.
Khai mengetap gigi, cuba mengumpulkan tenaga. "Aku cuba."
Dari celah rak, kelibat pertama muncul—makhluk itu menjenguk masuk dengan gerakan tersentak-sentak, kepalanya menoleh ke kiri dan kanan dengan cara yang tidak normal. Matanya merah, rahangnya terbuka dan tertutup meneteskan air liur hitam yang pekat.
Dan di belakangnya...
Lebih banyak yang datang.
Jemma menggenggam erat pisau pemotong daging. Nafasnya tersekat-sekat, bukan kerana penat tetapi kerana ketegangan yang semakin menekan. Khai di sebelahnya masih berlutut, cuba menstabilkan diri. Bunyi tapak kaki di luar semakin menghampiri—
Tetapi tiba-tiba...
"ARGGHHHHH!! TOLONG!!"
"ARGHHHHHHH!!"
Bunyi jeritan seorang lelaki dari luar memecah kesunyian. Nyaring, meremang bulu roma, seolah-olah seseorang sedang diserang tanpa belas kasihan. Jeritan itu bergema di sepanjang jalan, menembusi udara yang tegang.
Dan sekelip mata, bunyi cakaran di pintu depan terhenti.
Jemma menahan nafas, matanya membulat saat dia mengintai dari celah rak. Makhluk-makhluk yang tadi bersesak menghentak pintu kini mula berpaling, kepala mereka menoleh serentak ke arah sumber bunyi dari luar. Nafas mereka terdengar kasar dan dalam beberapa saat, satu persatu mula bergerak meninggalkan kawasan itu.
Khai menelan liur. "Apa yang-"
Mulutnya ditekup oleh Jemma. Dia tahu mereka masih belum selamat.
Walaupun kebanyakan makhluk telah beredar, masih ada beberapa yang kekal di dalam kedai.
Empat makhluk yang masih tinggal.
BAM!
Bunyi dentuman dari luar mengejutkan mereka. Kedua-dua makhluk itu serentak memalingkan kepala, memberi Jemma ruang untuk bergerak. Tanpa membuang masa, dia menyelinap ke belakang makhluk di bahagian rak, dia mengangkat pisau dan menghentam tepat ke bahagian belakang tengkuknya.
Makhluk itu tersentak, tangannya menggapai-gapai Jemma tetapi—
KRAKKK!
Pisau pemotong daging Jemma tertanam ke dalam kepala makhluk itu
Badan makhluk itu menggelepar sebelum rebah tanpa suara.
Satu mati.
Khai menahan nafas, matanya terpegun melihat kelajuannya. Jemma segera bergerak ke makhluk kedua. Kali ini dia lebih agresif—melompat ke atas kaunter dan menenggelamkan pisau tepat ke tempurung kepala makhluk itu.
Dua mati.
Makhluk ketiga menerkam ke arahnya, tetapi dia mengelak dengan pantas, membiarkan makhluk itu terhumban ke rak berkarat di belakangnya. Dia meluru ke hadapan. Makhluk itu segera bangun ingin menyerang Jemma tetapi Jemma lebih pantas, dia memberikan satu tendangan teep yang padu ke arah perut makhluk itu.
Sekali lagi makhluk itu terbang ke belakang, kali ini membuatkan rak-rak itu patah.
Jemma berlari laju ke arah makhluk itu, kali ini dia melibas kepala makhluk itu secara serong dengan senjatanya, lalu menyentapnya keluar dengan gerakan licin.
Darah hitam tersembur. Sekelip mata makhluk itu mati untuk kali keduanya dan secara rasmi ke Rahmatullah.
Tiga mati.
Makhluk terakhir lebih pantas, meluru ke arah Jemma dengan geraman liar. Kali ini, dia tidak sempat mengelak sepenuhnya—makhluk itu berjaya merobek lengan bajunya.
Tetapi Jemma tidak gentar. Dengan gerakan kilat, dia menendang lutut makhluk itu, menyebabkan ia jatuh melutut, lalu menghentak kepalanya ke rak besi dengan sekuat tenaga. Bunyi tengkorak retak kedengaran.
PRAKKKK!
Kepala otak makhluk itu serta merta pecah.
All Dead.
Jemma berdiri, menarik nafas. Matanya tajam mengamati mayat makhluk-makhluk itu, tangannya berlumuran darah.
Khai yang masih bersembunyi di belakang kaunter meja menelan liur, matanya masih tertancap pada mayat-mayat makhluk yang berselerakan di lantai. Denyut jantungnya laju, belum stabil, bukan kerana takut —dia baru sedar sesuatu tentang Jemma.
Gerakannya pantas. Tepat. Setiap libasan pisaunya tidak tersasar, setiap serangan membawa maut. Jemma bertarung seperti seseorang yang sudah biasa berlawan.
Khai mengerutkan dahi. "Kau belajar semua ni dari mana...?"
"Muaythai" jawab Jemma pendek. Matanya yang tajam masih merenung ke arah pintu, mendengar jeritan di luar. "Kita nda boleh lama di sini."
Darah pada pisau pemotong daging itu dilap dan dia bergerak ke depan pintu untuk mengintai keadaan diluar, seolah-olah pertarungan tadi hanyalah gangguan kecil.
Jalanan sudah sunyi. Makhluk-makhluk itu hilang, berlari ke arah jeritan tadi.
"Kita mesti lari sekarang," katanya, tanpa menoleh.
Langkah kaki diatur untuk keluar, Khai berjalan terhuyung-hayang, lututnya hampir rebah.
Dengan pantas, Jemma menyambar lengannya, memapah tubuhnya sebelum sempat dia jatuh ke lantai.
"Kenapa kau Khai?" Jemma bertanya dengan nada risau.
"Aku rasa kepala aku terhentak kuat dekat rak besi tu. Belakang aku pun... Aduhh... " Khai mengadu kesakitan.
"Tu lah kau, cari masalah lagi."
"Tapi aku cari kau, kak."
"Sebab tu aku keluar diam-diam,
Aku nda mau dicari. Kau risaukan pasal nyawa kau ja Khai, jangan lah kau fikir pasal aku... Aku ni stranger, not your family. Nda berbaloi kau mati untuk aku. Kau faham ka?"
Tiada jawapan kedengaran dari Khai...
Entah apa yang difikirkan olehnya. Mungkin berfikir kenapa dia berani keluar seorang diri hanya untuk mencari seseorang yang baru dikenalinya.
Sekarang mereka perlu mencari tempat berlindung untuk sementara.
Langkah mereka terhenti seketika, Khai ingin melihat jeritan siapakah yang mereka dengar tadi. Namun, bagi Jemma mereka tiada masa untuk memeriksa pemilik suara itu. Sekarang adalah peluang mereka menyelamatkan diri.
Melihat keadaan Khai yang semakin tidak bertenaga, Jemma bimbang dia akan pengsan di tengah perjalanan.
Mencari tempat perlindungan sementara menjadi keutamaan, tetapi keperluan untuk mendapatkan sesuatu bagi merawat kecederaan Khai juga tidak boleh diabaikan.
Darah mula mengalir membasahi kolar baju Khai, nampaknya kecederaan yang di alami Khai bukan kecederaan kecil.
Langkah kaki terus diatur, menyusuri jalan dalam usaha mencari lokasi yang sesuai. Dari kejauhan menara jam Atkinson terlihat.
Perjalanan yang panjang akhirnya membawa mereka ke sebuah deretan kedai satu tingkat yang sunyi di . Mereka memasuki sebuah lot kedai yang kelihatan seperti hotel bajet.
Pesanan diberikan kepada Khai agar berehat, sementara dia berusaha mencari makanan dan ubat di luar. Tiada sebarang bantahan daripadanya, hanya diam sebagai jawapan.
Pintu ditutup rapat sebelum langkah diatur meninggalkan Khai sendirian.
Siapa watak kegemaran anda dalam cerita ini?
Share this novel