Bab 4

Thriller Series 156

JESSELTON POINT, KOTA KINABALU

27 September 2029 Jam 09:41

Bot mereka semakin merapat di jeti Jesselton Point, suasana yang menyambut mereka terasa jauh berbeza daripada ketika mereka berlepas dua hari lalu. Biasanya, kawasan ini sibuk dengan pelancong yang baru tiba atau pulang dari pulau, tetapi kali ini keadaan kelihatan lebih huru-hara.

Beberapa orang berlari tergesa-gesa, ada yang bercakap kuat di telefon, sementara yang lain memandang sekeliling dengan wajah bingung dan takut. Di kejauhan, beberapa ambulans meluncur laju dengan siren berbunyi nyaring.

"Aku rasa macam dalam filem apokalips pula. Seram." Mikayla bersuara perlahan, matanya liar memerhati keadaan sekeliling.

"Kita pergi cari teksi dulu. Aku nda mau tunggu lama-lama dekat sini," Jemma mencadangkan, cuba kekal tenang walaupun hatinya sudah mula rasa tidak sedap.

Mereka segera menarik beg masing-masing dan bergerak keluar dari kawasan jeti. Namun, ketika mereka sampai di jalan utama, lebih banyak tanda-tanda pelik mula kelihatan. Beberapa kedai sudah menutup awal, dan orang ramai berkerumun di hadapan skrin besar di luar sebuah kedai elektronik, menonton siaran berita secara langsung.

Di skrin, seorang penyampai berita bercakap dengan wajah serius:

"Kami masih belum mendapat penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai kejadian yang berlaku sejak dua hari lalu. Namun, terdapat laporan mengenai individu yang bertindak ganas secara tiba-tiba, menyerang orang awam tanpa sebab yang jelas..."

Jemma berhenti melangkah, menarik lengan Ann dan Mikayla supaya mereka juga melihat.

Di skrin, mereka dapat melihat rakaman kabur dari sebuah hospital-kakitangan perubatan berlari ketakutan, seorang lelaki dengan pakaian pesakit meluru ke arah seorang doktor dan menerkamnya ke lantai. Rakaman itu terputus selepas seseorang menjerit.

"Apa benda ni...?" Ann berbisik, suaranya bergetar.

Jemma menggenggam tali begnya dengan kuat. "Kita mesti lari dari sini cepat."

Mikayla mengangguk pantas. "Aku setuju. Kita cari teksi sekarang!"

Mereka bertiga berlari ke tepi jalan, berharap dapat menahan mana-mana teksi yang masih beroperasi. Namun, keadaan di jalan raya semakin kacau. Kereta bergerak perlahan, ada yang membunyikan hon berkali-kali, dan di kejauhan, kedengaran lagi jeritan dari arah yang mereka tidak pasti.

Dunia yang mereka kenali sedang berubah-dan kali ini, mereka berada betul-betul di tengah-tengahnya.

Jemma, Mikayla, dan Ann berdiri di tepi jalan, mata mereka liar mencari teksi. Namun, hampir semua kenderaan yang lalu penuh dengan penumpang, dan kebanyakan pemandu tidak berhenti.

"Macam semua orang tengah cuba lari dari sesuatu," Mikayla bersuara, nada suaranya kini lebih serius.

"Kita nda boleh tunggu di sini lama-lama. Kalau keadaan makin teruk,nanti kita terperangkap," balas Jemma.

Tiba-tiba, satu kereta berwarna hitam berhenti mengejut di hadapan mereka. Pemandunya, seorang lelaki pertengahan umur dengan wajah berpeluh, menurunkan tingkap.

"Mau ke mana? Saya boleh bawa, tapi kita kena cepat!" katanya dengan nada cemas.

"Tempat yang jauh dari sini!" jawab Mikayla tanpa berfikir panjang. Walaupun dia tahu selok-belok bandar Kota Kinabalu tetapi pada masa-masa sekarang dia sendiri buntu hendak pergi ke mana.

Lelaki itu mengangguk dan segera membuka pintu belakang. Mereka bertiga melompat masuk dengan beg mereka. Sebaik sahaja pintu ditutup, Kereta itu terus memecut laju ke jalan utama.

Di sepanjang perjalanan, mereka melihat lebih banyak tanda-tanda bahawa sesuatu yang buruk sedang berlaku. Beberapa kedai sudah ditutup dengan tergesa-gesa, ada yang kelihatan seperti dipecah masuk. Orang ramai berkumpul di hadapan farmasi dan pasar raya, seolah-olah cuba mendapatkan bekalan secepat mungkin.

"Apa sebenarnya jadi, bang?" tanya Jemma kepada pemandu itu.

Lelaki itu menggeleng, matanya tidak lepas dari jalan. "Saya pun kurang pasti, tapi orang kata ada sejenis wabak sedang merebak. Orang yang dijangkiti jadi ganas... mula menyerang orang lain."

Ann menelan liur. "Macam zombie kah?"

Pemandu itu menjeling ke arah mereka melalui cermin pandang belakang. "Saya nda tahu. Tapi saya dengar dari kawan yang kerja di hospital-pesakit yang sudah mati pun boleh bangun balik."

Mikayla merapatkan tubuhnya ke tempat duduk, merasakan bulu romanya meremang.

"Kita kena cari tempat selamat dulu, kau rasa mana tempat yang selamat sekarang Mika?" Tanya Jemma kepada Mikayla.

"Weh, susah aku berfikir sekarang. Aku pun nda tau mana yang selamat. Lebih baik kalau kita keluar dari kawasan bandar dulu." Jawab Mikayla.

Ketika mereka menghampiri pusat bandar, keadaan jalan semakin huru-hara. Ada kereta terbengkalai di tengah jalan, dan di kejauhan, mereka dapat melihat sekumpulan manusia berlari-dikejar oleh sesuatu yang bergerak dengan cara yang tidak normal.

Jemma mengepalkan tangannya. "Kita mesti ready."

Mikayla dan Ann mengangguk. Menyedari bahawa percutian mereka yang sepatutnya indah kini berubah menjadi satu perjuangan untuk terus hidup.

Ketika kereta yang dinaiki mereka semakin menghampiri pusat bandar Kota Kinabalu, keadaan bertambah kacau. Kesesakan lalu lintas tidak bergerak langsung, dan bunyi hon serta jeritan bergema di udara. Pemandu kereta itu menggenggam stereng dengan erat, matanya liar memerhati sekeliling.

"Saya nda boleh bawa kamu lebih jauh. Jalan jem betul ni. Saya nda mau ambil risiko" katanya dengan nada tegang.

"Nda apa bang. Kami turun sini. Terima kasih banyak-banyak bang." kata Jemma pantas. Mereka terpaksa turun di Gaya Street Market tempat di mana pasar malam dijalankan pada setiap hari jumaat dan sabtu.

Mereka bertiga segera keluar dari kereta, membawa beg masing-masing. Ann melihat ke sekeliling "jadi pigi mana kita sekarang?"

Mikayla menunjuk ke arah sebuah lorong kecil di sebelah kanan jalan. "Kita elak jalan besar dulu. Cari jalan pintas ke tempat yang lagi selamat" katanya.

Mereka bertiga berlari memasuki lorong Bank. Namun, baru beberapa langkah, satu dentuman kuat bergema dari arah jalan utama. Bunyi kaca pecah dan jeritan membuatkan mereka berpaling serentak.

Sebuah kereta telah melanggar kedai berhampiran, dan beberapa saat kemudian seorang lelaki dengan rahang yang hampir tercabut merangkak keluar. Mulutnya berlumuran darah, matanya kosong-sebelum dia tiba-tiba menerkam seorang wanita yang cuba bangun menyelamatkan diri.

Wanita itu menjerit ngeri sebelum suara jeritannya lenyap, digantikan dengan bunyi daging dikoyak.

"LARI!" Jemma menjerit.

Tanpa membuang masa, mereka bertiga berpusing dan berlari sekuat hati ke arah lorong yang lebih dalam. Namun, dalam panik itu, mereka tidak menyedari beberapa orang lain turut berlari ke arah mereka-sama ada menyelamatkan diri atau sudah dijangkiti.

Jemma sempat berpaling dan melihat Mikayla yang berada di belakangnya, tetapi Ann sudah tertinggal jauh di belakang.

"Ann! Cepat!" jerit Mikayla.

Tetapi lorong itu semakin sesak dengan orang yang berlari dari arah lain. Dalam kekalutan, seseorang merempuh Mikayla dengan kuat, menyebabkan dia jatuh ke tepi jalan dan terpisah daripada Jemma.

Jemma kemudian bangun dan berpusing, ingin kembali mendapatkan Mikayla, tetapi orang ramai yang berlari membuatkan Jemma ditolak semakin jauh.

"Mikayla! Ann!" Jemma menjerit, tetapi suara mereka tenggelam dalam huru-hara yang semakin membesar.

Dalam sekelip mata, mereka bertiga sudah terpisah di tengah-tengah kekacauan bandar.

Beg mereka sudah jatuh tercicir. Telefon dan beberapa barang penting juga ada di dalam beg itu. Namun Jemma tidak sempat untuk kembali mengambilnya.

Jemma terhenti seketika, matanya liar mencari Mikayla dan Ann di tengah-tengah lautan manusia yang berlari panik. Nafasnya tercungap-cungap, jantungnya berdegup kencang. Namun, tubuh manusia yang bertolak-tolakan menjadikannya mustahil untuk kembali ke arah mereka.

"Mikayla! Ann!" Jemma menjerit lagi, suaranya nyaring, penuh kegelisahan. Tetapi tiada jawapan-hanya kekacauan yang semakin menggila.

Matanya menangkap bayang seseorang yang mirip Ann di hujung sebuah lorong kedai, tetapi sekelip mata sahaja, tubuh itu hilang ditelan arus manusia yang panik.

Jemma mengepalkan tangan, akalnya menjerit untuk terus lari, tetapi hatinya enggan pergi tanpa mereka.

Tiba-tiba, seorang lelaki merempuhnya dari belakang, hampir membuatnya jatuh. Dia segera mengimbangkan diri dan tersedar-jika dia berdiri di sini lebih lama, dia juga mungkin akan dihanyutkan oleh kekacauan ini atau lebih teruk, menjadi sasaran makhluk-makhluk itu.

Jemma memaksa dirinya berlari ke satu arah tanpa berfikir panjang. Dia menyelinap melalui celah bangunan, cuba mencari tempat selamat untuk bersembunyi. Nafasnya masih tidak stabil, tetapi dia tahu dia perlu bertenang dan berfikir dengan jelas.

Dia terus berlari menjauhi situasi yang huru-hara itu. Jemma berlari dan terus belari meninggalkan kawasan sesak tadi sehinggalah dia sampai di papan tanda yang terpapar 'JALAN KAMPUNG AIR 5'.

Di seberang jalan, dia melihat sebuah kedai MR.DIY dengan pintu separuh terbuka. Dari dalam, terdapat beberapa orang yang kelihatan seperti sedang cuba menutup pintu utama.

"Masuklah kalau kau mau selamat!" seorang lelaki tua di dalam kedai menjerit.

Jemma tidak berfikir panjang. Dia berlari ke arah kedai itu, menyelinap masuk tepat sebelum pintu ditutup dan dihalang dengan meja kayu yang ditolak ke depan.

Dari luar, jeritan masih kedengaran, dan bayang-bayang manusia-atau makhluk-bergerak melintasi cermin kaca kedai.

Jemma menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri.-

Dia kini terperangkap di dalam kedai MR.DIY bersama beberapa orang asing. Dalam keadaan tegang itu, Jemma mengambil masa untuk melihat sekeliling, menilai siapa yang ada bersamanya.

Di sebelah kanan, seorang lelaki tua duduk bersandar pada rak besi, wajahnya penuh garis usia, tetapi matanya tajam dan masih berjaga-jaga. Dari kemeja hitam kuning yang dipakainya, jelas dia seorang pekerja di sini. Dia menggenggam tukul di tangannya seperti senjata terakhir yang dia ada.

Di hadapan Jemma, seorang wanita dalam lingkungan usia 30-an berdiri dengan tangan bersilang. Pakaian formalnya masih kemas, blazer hitam dengan kemeja putih, tetapi wajahnya penuh skeptikal. Dari ekspresi dan gerak tubuhnya, Jemma dapat mengagak dia bukan seseorang yang mudah mempercayai orang lain.

Tidak jauh dari wanita itu, seorang pemuda dalam awal 20-an berdiri dengan lengan bersilang. Rambutnya pendek, sedikit tidak terurus, dia memakai headphone berwarna putih dan hoodie hitam yang kelihatan lusuh. Dia memandang Jemma dengan pandangan penuh rasa ingin tahu tetapi tidak menunjukkan sebarang ekspresi takut.

Jemma menarik nafas perlahan sebelum bersuara. "Aku Jemma. Aku nda tau apa yang jadi sekarang, tapi kita semua dalam situasi yang sama."

Lelaki tua itu mengangguk sedikit. "Saya pakcik Aman, pekerja di sini. Saya cuma mahu cari tempat berlindung, sementara keadaan diluar masih huru-hara."

Wanita profesional itu menjulingkan mata sedikit sebelum menjawab dengan nada formal. "Hana."

Pemuda berjaket lusuh itu membetulkan hoodie-nya sebelum bersuara. "Khai. Aku... aku cuma mau cari family aku."

Jemma mengangguk, cuba menyerap maklumat tentang mereka. Tapi dia tahu, mereka bukan satu-satunya orang di sini. Ada enam lagi orang tidak memperkenalkan diri yang juga terperangkap di dalam MR.DIY-semuanya dalam keadaan panik dan takut.

Dia tidak tahu siapa yang boleh dipercayai. Tapi satu hal yang pasti-mereka semua perlu mencari jalan keluar sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience