SILAP LANGKAH
28 September 2029 Jam 15:00
Jam di tangan Jemma menunjukkan pukul 3 petang. Langit kelabu suram, dan angin lembut bertiup melalui celah bangunan kosong, membawa bersama kesunyian yang menghantui.
Suasana dalam hotel masih terkawal—tiada ancaman, tiada tanda bahaya, hanya ketenangan yang terasa ganjil di tengah-tengah dunia yang sedang hancur.
Sesekali pandangan Jemma jatuh ke arah pintu belakang hotel. Fikiran berkecamuk, rasa gelisah menghimpit dada. Sesuatu dalam dirinya mendesak untuk keluar, perlu mencari Ann. Jika benar kelibat yang dilihat dalam rakaman video itu adalah Mikayla, dia boleh berasa tenang. Tetapi naluri hatinya kuat mengatakan bahawa itu ialah Mikayla. Sekurang-kurangnya Mikayla masih hidup. Sekarang dia hanya perlu mencari Ann.—
Dada terasa sesak saat kaki melangkah ke arah pintu, masih teragak-agak. Dia tahu di luar sana penuh dengan bahaya—jalanan yang sunyi bermaksud ada ancaman yang tidak dapat dijangka. Namun, sudah berhari-hari mereka terpisah.
Ann mungkin masih hidup, mungkin sedang menunggu bantuan atau mungkin sedang menunggu sahabatnya, Jemma.
Genggaman pada pisau pemotong daging semakin erat, pisau yang ditemui di dapur hotel dijadikan senjata pelindung.
Orang lain di dalam hotel tidak boleh mengetahui ketiadaannya. Jika mereka tahu, dia pasti akan dihalang. Dengan nafas yang ditahan, Jemma menoleh sekali lagi ke belakang sebelum melangkah keluar.
Tapi tanpa dia sedar, sepasang mata memerhatikan—Khai.
Khai baru sahaja bangun dari sofa apabila dia melihat kelibat Jemma hilang di sebalik pintu. Dahinya berkerut. Dia duduk tegak, melihat sekeliling. Tiada siapa nampak Jemma pergi.
Jantungnya mula berdegup kencang. Dia segera bangun dan melangkah ke arah pintu.
"Kak Jemma?" suaranya perlahan, hampir berbisik. Tetapi tiada jawapan.
Dia menelan liur, menyedari sesuatu.
Jemma tiada di dalam hotel.—
Di ambang pintu, langkah terhenti seketika. Pandangan jatuh ke luar, meneliti suasana yang muram. Jam baru menunjukkan pukul 4 petang, tetapi langit begitu suram seolah-olah senja sudah hampir. Awan hitam berarak perlahan, mengaburi cahaya matahari dan mencipta bayangan gelap di atas jalan yang lengang.
Lorong kecil di belakang hotel kelihatan sunyi, hanya ada sampah bertaburan dan kereta-kereta yang sudah ditinggalkan. Tiada tanda-tanda Jemma di situ.
Khai menarik nafas dalam. Jemma tak mungkin keluar begitu saja tanpa sebab. Dia tahu Jemma seorang yang berani tetapi membuat keputusan untuk keluar bersendirian merupakan keputusan yang merisikokan nyawa sendiri.
Tambahan pula mereka semua belum pernah berhadapan secara dekat dengan makhluk itu, cara membunuhnya juga tidak diketahui.
***
“Saya rasa kita mesti cari tempat lain. Tempat ni selamat buat masa sekarang, tapi sampai bila? Kita di tengah bandar... Lambat laun tempat ni akan didatangi orang untuk mereka mencari bekalan” pakcik Aman bersuara menyatakan pendapatnya.
Zaquan mengangguk. Dia sendiri sudah memikirkan perkara yang sama.
“Kita mau pigi mana?” tanya Hana, yang duduk di sebelah pakcik Aman.
Pakcik Aman menghela nafas. “Rumah saya nda jauh dari K Avenue. Betul-betul di belakang bangunan tu. Kawasan tu nda padat sangat...Ada banyak rumah dan apartment tapi tu kawasan Cybercity lah.. Hmmm.. kalau kita dapat sampai sana, mungkin kita boleh bertahan lebih lama.”
Raveko berfikir sejenak. “K Avenue yang hotel tu ka? Ada kedai, restoran, dan kolam? Mesti ada gym kan sana?.”
“Ya Raveko, semua ada sana mall saja tiada, tapi tu semua nda penting, yang penting keselamatan kita semua terjamin” pakcik Aman menjawab.
Zaquan bersandar pada dinding, mendengar perbualan mereka. “Macam mana dengan jalan ke sana?”
Pakcik Aman mengangkat bahu. “Itu kita kena tengok nanti. Tapi saya tahu jalan alternatif. Kalau jalan besar nda boleh lalu, kita guna jalan lain lah... Jalan mau pigi Hospital Queen Elizabeth.”
Idea itu diteliti oleh Zaquan, tempat yang dituju tidak terlalu jauh dari sini, tapi mereka perlukan rancangan yang baik.
“Kita check lah dulu keadaan jalan nanti” kata Zaquan.
“Kalau jalan boleh dilalui, kita teruskan.. Kalau nda, kita fikirkan jalan lain.”
Mereka semua bersetuju. Selepas ini, mereka akan mula merancang perjalanan ke destinasi baru—tempat yang mungkin lebih selamat, atau mungkin menjemput bahaya baru.
Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri—ada yang berehat, ada yang sudah naik ke tingkat atas dan ada yang masih mencari sesuatu yang berguna. Tiada yang mengesyaki apa-apa. Hanya selepas beberapa jam berlalu, barulah keganjilan itu terasa.
“Hari ni senyap semacam…” seseorang bersuara, memecah keheningan.
Hana mengerutkan dahi. “Mana Jemma?”
Zaquan yang sedang duduk di sofa, mengangkat kepala. “Khai pun tiada.”
Sekelip mata, suasana dalam hotel berubah. Pandangan bertukar-tukar, kebimbangan mula menyelinap. Jemma dan Khai sudah tiada—dan mereka langsung tidak menyedarinya.
Tanpa berlengah, mereka berpecah untuk mencari di seluruh hotel. Setiap bilik diperiksa, setiap ruang,bahkan bilik yang jarang dimasuki juga tidak terlepas. Namun, hasilnya tetap sama—kosong.
Zaquan berdiri di hadapan pintu utama, matanya tajam memerhati keadaan di luar. Sesuatu terasa tidak kena. Kemudian dia beralih ke pintu belakang hotel, dia menunduk, meneliti lantai berhampiran pintu—ada kesan tapak kasut samar di debu tebal, menuju ke luar.
Nafasnya dihela perlahan, dia kembali ke lobi, “dorang sudah keluar.”
Semua terdiam.
**********
Langkah diteruskan tanpa menoleh ke belakang. Bangunan hotel yang ditinggalkan semakin jauh, akhirnya lenyap dari pandangan. Tekadnya hanya satu—mencari Jemma.
Tiba-tiba, sesuatu menarik perhatiannya. Di hujung jalan, kelibat seseorang melintas pantas sebelum bayangannya hilang di sebalik bangunan. Dada terasa berdebar. Adakah itu Jemma… atau sesuatu yang lain?
Dia mempercepat langkah, menyusuri jalan yang semakin menakutkan. Tingkap-tingkap gelap memantulkan cahaya samar dari langit mendung. Suasana terasa semakin sepi, seolah-olah seluruh bandar menahan nafas.
Khai sampai di simpang kecil tempat dia melihat kelibat itu menghilang. Dia berdiri sejenak, cuba mendengar jika ada sebarang bunyi pergerakan. Angin bertiup perlahan, membawa bersama bau hamis dan sesuatu yang sedang membusuk.
Dengan hati-hati, dia mengintai ke sebalik dinding.
Kosong.
Namun, beberapa meter di hadapannya, pintu sebuah kedai runcit separuh terbuka. Langsir di dalamnya beralun perlahan, seperti baru saja seseorang melaluinya.
Khai menelan liur.
Jika itu Jemma, dia perlu memastikan dia selamat. Jika bukan—dia harus bersedia.
Dia menggenggam erat kayu besbol kepunyaan Jemma dan melangkah masuk ke dalam bayangan bangunan.
Di dalam kedai runcit itu, suasana terasa lebih dingin. Rak-rak yang separuh kosong berselerakan dengan barangan runcit. Bunyi plastik bungkusan bergeser perlahan apabila ditiup angin yang masuk melalui pintu yang terbuka sedikit tadi. Bau hamis dan debu memenuhi udara.
Khai melangkah perlahan, matanya liar mencari sebarang pergerakan. Jantungnya berdegup kencang, telinganya peka terhadap sebarang bunyi, setiap derap langkahnya terasa terlalu kuat dalam keheningan. Dia cuba menenangkan diri, tetapi nalurinya mengatakan ada sesuatu yang bersembunyi dalam bayang-bayang.
Tiba-tiba—
KLANGG!!!
Bunyi sesuatu terjatuh di hujung rak, seperti bunyi tin makanan jatuh.
Khai serta-merta menoleh. Nafasnya semakin berat. Dengan berhati-hati, dia bergerak ke arah bunyi itu, kayu besbol dalam genggamannya semakin kuat dicengkam.
Langkahnya semakin hampir.
Sesuatu bergerak di celah rak—bayangan samar berkelip di hujung penglihatannya. Sekilas, dia nampak tangan kurus yang melekap di sisi rak.
“Kak Jemma?” suara Khai berbisik, hampir tidak kedengaran.
Tiada jawapan.
Hanya bunyi nafas kasar.
Berat.
Ganjil.
Perutnya terasa sejuk. Dengan hati-hati, dia melangkah ke hadapan, cuba mengintai di sebalik rak.
Kemudian, semuanya berlaku dalam sekelip mata.
Makhluk itu menerkam keluar, mata merahnya membulat, rahangnya terbuka luas dengan gigi tajam berlumuran darah.
Khai nyaris tidak sempat mengelak sebelum tubuhnya menghentam rak dibelakangnya. Kesakitan menjalar di tulang belakangnya, tetapi dia tidak punya masa untuk merasakan kesakitan itu.
Makhluk itu menuju laju ke arahnya sekali lagi, mengeluarkan bunyi geraman yang tidak manusiawi. Khai mengangkat tangan tepat pada waktunya, memukul kepala makhluk itu dengan kayu besbol. Namun, kesannya tidak cukup kuat.
Makhluk itu meraung dan mencakar ke arahnya, tetapi Khai bertindak pantas. Dengan sisa tenaga yang ada, dia meraih botol kaca dari rak sebelah dan menghentaknya ke kepala makhluk itu. Kaca pecah berderai, cecair melekit menitis ke lantai.
Makhluk itu terhuyung-hayang.
“Fuck!!!” Khai menggeram, makhluk itu masih berdiri! Kali ini ia lebih ganas menerkam tubuh Khai seolah-olah ingin membalas dendam.
Makhluk itu menjerit, bunyi yang seakan gabungan raungan kesakitan dan kelaparan. Cakarannya mengoyakkan lengan baju Khai, hampir saja kulitnya terkoyak oleh kuku tajam makhluk itu. Dia menendang tubuh makhluk itu sekuat hati sehingga ia terpelanting ke belakang, menghentam rak dengan bunyi yang kuat.
Makhluk itu terdorong ke belakang tetapi hanya seketika. Dengan gerakan yang tiba-tiba, ia menerkam lagi, menjatuhkan Khai ke lantai. Kuku tajamnya hampir menghiris lengan Khai.
Pergelangan tangan makhluk itu dipegang kuat oleh Khai, memastikan ia tidak dapat mencakarnya. Lututnya menghalang makhluk itu daripada menindih badannya.
Pergelutan berlaku selama beberapa minit, tubuh makhluk itu terasa semakin berat. Semakin lama, Khai merasa tenaganya semakin melemah.
Khai tidak dapat bertahan dengan lebih lama...
Dia sedar dia tersilap langkah, kini dia hanya menunggu nasibnya.
Pada saat itu juga dia mendengar bunyi tapak kaki yang banyak diluar...
Jemma?
Tapi Jemma hanya ada dua kaki.
Hai, siapa yang dah baca sampai bab 8? cuba komen² sikit ????
Share this novel