Bercuti di Pulau Manukan
26 September 2029 Jam 07:30
Seperti yang dijanjikan Ann, Jemma dan Mikayla berkumpul di Jesselton Point sebelum ke Pulau Manukan. Mereka perlu menaiki bot untuk ke Pulau Manukan di mana akan mengambil masa lebih kurang 15 ke 30 minit.
Jemma tiba di Jesselton Point dan terus mencari kelibat dua orang sahabatnya itu. Dari jauh kelihatan dua gadis sedang melambai-lambaikan tangan kepadanya. Jemma berlari anak menuju ke arah gadis-gadis itu. Mereka kemudiannya berpelukan.
"Weyy Ann, makin cantik oh. Mikayla pun berseri-seri muka kau sejak bertudung ni." tegur Jemma.
"Kau pun Jemma macam makin berotot pula kau ni!" Balas Ann.
"Tu la macam hari-hari workout oh!" Mikayla pula menyambung sambil memicit-micit lengan dan bahu Jemma.
Jemma hanya tersenyum melihat gelagat dua orang sahabatnya itu. Dia semestinya rindu pada Ann dan Mikayla.
Ann dan Mikayla sahabat baik Jemma yang sudah dikenali selama 6 tahun.
Ann berumur 24 tahun lebih tinggi daripada dua orang sahabatnya itu, dengan tubuh yang langsing tetapi tetap nampak kuat. Kulitnya cerah, sedikit kemerah-merahan apabila terkena cahaya matahari terlalu lama. Rambutnya panjang melepasi bahu, sering dibiarkan lepas atau diikat dengan ikat rambut yang sentiasa ada di pergelangan tangannya.
Mikayla pula seorang lagi sahabat karib Jemma dan Ann yang berumur 22 tahun. Mikayla seorang yang ayu dan rendah, tetapi dia seorang yang bersemangat tinggi. Dia juga adalah yang paling muda antara mereka bertiga.
Mereka berbual-bual sambil menunggu bot yang akan membawa mereka ke Pulau Manukan.
Tepat jam 8.15 pagi bot yang ditunggu oleh mereka tiba di jeti untuk mengambil mereka bertiga dan beberapa orang penumpang yang lain.
Beberapa minit kemudian mereka pun tiba di destinasi yang mereka tujui.
Mikayla mendahului mereka. Dia melangkah dengan penuh yakin, seolah-olah dia sudah biasa ditempat itu. Dia menyambut tangan Ann untuk membantunya turun daripada bot. Jemma pula terus melompat keluar.
"Waina Jemma!" kata Ann yang terkejut sebaik saja Jemma mendarat dengan kaki di sebelahnya. Mikayla ketawa kecil melihat Ann mudah terkejut.
Mereka terus mendaftar masuk di hotel dan memulakan aktiviti dengan penuh semangat. Selepas menyimpan beg-beg mereka di bilik hotel, Jemma, Mikayla dan Ann segera bersiap untuk meneroka pulau.
"Cuaca cantik hari ini! Sesuai betul untuk snorkeling" kata Mikayla sambil memeriksa kaca mata renangnya.
"Kita buat aktiviti ikut perancangan, ya? Pagi snorkeling, petang trekking, malam nanti kita lepak tepi pantai." Cadang Ann sambil menyapu sunblock ke lengannya lalu memberikan pada Mikayla.
Jemma mengangguk sambil meregangkan otot. "Aku setuju. Tapi sebelum tu, sarapan dulu kita. Aku nda mau pengsan dalam air sebab lapar."
Mereka ketawa kecil sebelum berjalan ke restoran hotel untuk mengisi tenaga. Selepas bersarapan, mereka mengambil peralatan snorkeling yang disewa dan bergerak ke kawasan pantai. Air laut jernih membiru, dan beberapa kumpulan pelancong lain sudah mula berendam di dalam air.
"Jom, aku mau cari ikan warna-warni!" Mikayla bersorak kecil sebelum melangkah masuk ke dalam air.
Jemma dan Ann mengikuti dari belakang dan sebaik sahaja mereka menyelam, dunia bawah laut yang penuh dengan terumbu karang dan ikan tropika menyambut mereka.
Bagi mereka bertiga, ini adalah hari percutian yang sempurna—
Selepas hampir sejam menikmati keindahan dunia bawah laut, mereka naik ke pantai dan duduk di atas pasir putih yang halus. Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup lembut, membawa bersama bau laut yang menyegarkan.
Ombak kecil menghempas pantai, meninggalkan buih halus di atas pasir yang lembap. Matahari pagi memancar lembut, memberi kehangatan selepas kesejukan air laut. Jemma duduk di atas pasir, tangan masih sibuk mengibas rambutnya yang basah, sementara Mikayla menyandarkan badan pada kedua-dua tangannya, menikmati hembusan angin.
Ann duduk berdekatan, mengeluarkan tuala kecil dari begnya sebelum menyerahkannya kepada Jemma. “Lap dulu rambut kau, nanti masuk angin,” katanya, nada suaranya seperti seorang kakak yang sudah biasa mengingatkan.
Jemma mengangkat kening, tapi tetap mengambil tuala itu. “Aku okay ja.”
“Kau selalu cakap okay sebelum jatuh sakit,” Ann membalas selamba, kemudian menghulurkan sebotol air sejuk. “Minum. Kau banyak sangat terjun tadi.”
Mikayla tergelak kecil, menggelengkan kepala. “Ann ni macam mak kita pula.”
Ann tersenyum sambil meneguk airnya sendiri. “Bukan macam, tapi memang. Kalau bukan aku, siapa lagi buat?”
Jemma hanya tersenyum, dia menghela nafas lega, bersyukur kerana dapat menikmati momen ini bersama sahabatnya.
Mereka masih berada di Pulau Manukan, menikmati setiap saat percutian tanpa sebarang gangguan. Petang itu, mereka memulakan aktiviti trekking ke kawasan berbukit kecil di pulau itu. Laluan yang mereka lalui dikelilingi hutan hijau dengan bunyi cengkerik dan burung berkicau, menambah suasana damai perjalanan mereka.
"Rasa macam dalam dokumentari alam semula jadi," kata Mikayla sambil mengambil gambar dengan telefon bimbitnya.
"Hati-hati dengan akar pokok. Jangan sampai tersadung," Ann mengingatkan, langkahnya stabil dan penuh waspada.
Jemma yang berjalan di belakang mereka tiba-tiba berhenti. "Eh, kamu dengar kah? Macam ada bunyi pelik tadi."
Mikayla dan Ann berpandangan sebelum memandang sekeliling. Hanya bunyi angin dan dedaunan yang bergesel kedengaran.
"Mungkin monyet atau biawak," kata Mikayla, cuba menenangkan.
Mereka meneruskan perjalanan sehingga tiba di satu kawasan berbatu yang menghadap laut luas. Matahari yang mula terbenam mencipta warna jingga keemasan di langit, menjadikan pemandangan begitu memukau.
"Cantiknya…," Ann berbisik kagum.
Mereka bertiga duduk di atas batu besar, menikmati angin petang yang nyaman. Segalanya terasa sempurna.
Namun, tanpa mereka sedari, dunia di luar pulau itu sudah mula berubah. Di tanah besar, berita pelik mula tersebar—hospital dipenuhi pesakit dengan simptom misteri, jalan raya semakin sesak dengan ambulans, dan orang ramai mula panik. Tetapi di Pulau Manukan, suasana masih tenang, seolah-olah dunia masih normal.
Malam itu, selepas mandi dan berehat seketika di bilik hotel Jemma, Mikayla, dan Ann keluar untuk menikmati makan malam di restoran tepi pantai. Lampu-lampu kuning bergantungan di sekitar kawasan makan, memberikan suasana yang nyaman dan santai. Bunyi ombak menghempas pantai menambah ketenangan malam mereka.
"Kita pesan seafood grill ja lah, senang," kata Mikayla sambil meneliti menu.
"Ngam la. Aku lapar gila lepas trekking tadi," Ann menambah dengan senyuman.
Jemma mengangguk sambil mencelup roti bawang putih ke dalam sup. "Kamu perasan ka, pulau ni macam lebih sunyi dari biasa? nda ramai orang malam ni."
Mikayla dan Ann berpandangan. Memang benar, suasana terasa sedikit sepi walaupun masih ada beberapa pelancong di sekitar. Namun, mereka tidak terlalu memikirkannya.
Selepas makan, mereka berjalan santai di sepanjang pantai, membiarkan kaki mereka menyentuh air laut yang sejuk.
"Kalau lah hidup boleh selalu macam ni… bebas dari tekanan, tenang, dan penuh keseronokan," Ann berbisik perlahan.
Jemma tersenyum. "Mungkin sebab kita tahu hari-hari macam ni akan berakhir, itu yang buat kita hargai setiap detik."
Mereka bertiga berhenti seketika, menikmati langit malam yang dipenuhi bintang. Angin laut berhembus lembut, membawa rasa damai yang sukar digambarkan.
Keesokan paginya, Jemma, Mikayla, dan Ann bangun awal untuk menikmati matahari terbit di tepi pantai. Udara segar dan bunyi ombak yang menenangkan membuatkan mereka enggan pulang.
"Kita balik tengah hari ni, kan?" tanya Mikayla dengan nada sedikit kecewa.
Ann menghela nafas. "Ya. Tapi sekurang-kurangnya kita sempat enjoy percutian ni."
Jemma mengangguk sambil meregangkan badan. "Jom sarapan. Aku mau kupi," katanya sambil menepuk bahu Ann.
Mereka bertiga berjalan menuju ke restoran hotel. Ketika sedang menikmati sarapan, Mikayla mengeluarkan telefon bimbitnya untuk memeriksa mesej dan berita terkini. Dahinya berkerut tiba-tiba.
"Uii, pelik gila. Banyak berita pasal hospital penuh, orang jatuh sakit tiba-tiba…Keadaan jadi huru-hara di beberapa tempat" dia bersuara perlahan, matanya masih melekat pada skrin.
Jemma dan Ann segera mendekatkan diri untuk melihat. Tajuk-tajuk berita yang muncul kelihatan menakutkan:
"Kes Kecemasan Meningkat Secara Mendadak, Hospital Sesak Dengan Pesakit Misteri"
"Orang Ramai Panik, Jalan Raya Sesak Dengan Ambulans"
"Sesuatu Sedang Berlaku, Tetapi Kerajaan Masih Berdiam Diri?"
"Apa ni? Virus baru lagikah? " kata Ann, suaranya sedikit cemas.
"Weh, patutlah dua tiga hari lepas macam banyak sangat helikopter terbang di bandar KK. Sehari mau tujuh kali aku kira helikopter terbang."
Jemma menyandar di kerusinya, berfikir. "Mungkin sebab ni pulau ni sunyi sikit semalam. Orang takut mau keluar."
Mikayla menggigit bibirnya. "Nasib baik kita sudah mau balik. Aku nda mau terperangkap di sini kalau benda ni makin teruk."
Mereka menyelesaikan sarapan dengan perasaan bercampur-baur. Meskipun langit masih cerah dan laut tetap tenang, hati mereka mula resah. Sesuatu yang buruk sedang berlaku di tanah besar, dan mereka hanya ada beberapa jam lagi sebelum kembali ke sana.
Terdetik dalam fikiran Jemma. Mungkin inikah masalah besar yang bakal manusia hadapi. Dia mengingati kembali satu hantaran di Fac yang dibacanya beberapa hari lepas.
"Bersedialah untuk menghadapi masalah besar akan datang. Mulakan prepping dari sekarang."
Apakah maksud sebenar hantaran tersebut? Adakah kerana ekonomi yang semakin merosot? atau ada wabak misteri? Dia pun buntu. Dia juga teringat tentang kejadian di pasar raya Bataras. Ada beberapa orang yang membeli barangan makanan tin, beras dan air mineral dengan jumlah yang sangat banyak. Sepertinya ada beberapa individu yang tahu tentang apa yang bakal terjadi pada masa terdekat.—
Selepas sarapan, mereka mengemas barang di bilik hotel dengan lebih cepat daripada biasa. Walaupun mereka masih belum pasti sejauh mana seriusnya keadaan di tanah besar, rasa resah mula mengganggu fikiran masing-masing.
Ketika mereka turun ke lobi hotel untuk daftar keluar, suasana di sana terasa sedikit berbeza. Beberapa pelancong bercakap dalam nada cemas, ada yang sedang menelefon seseorang dengan wajah tegang. Seorang staf hotel turut kelihatan sibuk berbual dengan rakan sekerjanya, wajahnya penuh kebimbangan.
"Excuse me, kenapa ramai orang nampak gelisah?" tanya Jemma kepada salah seorang staf di kaunter.
Staf itu menghela nafas sebelum menjawab, "Kami baru dapat berita yang beberapa penerbangan dari Kota Kinabalu mungkin akan ditangguhkan dan ada yang telah dibatalkan. Ada sesuatu berlaku di sana, tapi kami pun tidak pasti apa sebenarnya" kata staf itu sambil melihatkan skrin telefonnya.
Mikayla dan Ann berpandangan, hati mereka semakin gelisah.
"Habis tu, bot kami ke KK macam mana? Masih ada perjalanan tengah hari ni?" tanya Mikayla.
"Setakat ini masih berjalan seperti biasa, tapi ramai sudah mula meninggalkan pulau lebih awal. Mungkin lagi bagus kalau kamu semua bersiap sedia," balas staf itu.
Mereka bertiga segera bergerak ke jeti, membawa beg masing-masing dengan langkah tergesa-gesa. Di jeti, suasana agak sesak. Ramai pelancong dan pekerja pulau sudah bersiap untuk pulang ke tanah besar lebih awal daripada jadual asal.
"Rasanya kita buat keputusan yang betul untuk balik sekarang," kata Ann, cuba menenangkan diri.
Ketika bot mula bergerak meninggalkan Pulau Manukan, mereka bertiga duduk berdekatan sambil memerhatikan laut yang luas. Angin bertiup lembut, tetapi dalam hati mereka, satu perasaan aneh mula menyelinap—seakan-akan mereka sedang menuju ke sesuatu yang jauh lebih buruk daripada apa yang mereka bayangkan.
Di kejauhan, Kota Kinabalu sudah mula kelihatan, tetapi kali ini, ia tidak lagi nampak seperti bandar yang mereka tinggalkan dua hari lalu. Ada kepulan asap hitam di beberapa kawasan, dan bunyi siren ambulans bergema dari kejauhan. Dunia yang mereka kenali sedang berubah.
Share this novel