HARI YANG TENANG
28 September 2029 Jam 08:30
Matahari mula menyinari tingkap, memancarkan cahaya samar ke dalam koridor hotel. Udara masih dingin, dan suasana di luar tetap sunyi—terlalu sunyi bagi sebuah bandar yang sepatutnya sibuk.
Jemma terjaga terlebih dahulu dan terus duduk. Matanya sedikit kabur ketika dia mengangkat kepala. Dia melihat Khai masih lena, meringkuk di sudut dengan tangan memeluk lutut.
Zaquan pula masih berada di tempat yang sama seperti malam tadi, tetapi kali ini matanya terbuka. Dia mengatur langkah untuk ke tingkap memerhati suasana diluar dengan wajah serius. Dia perasan Jemma sudah bangun tetapi tidak berkata apa-apa. Hanya memandang Jemma untuk seketika sebelum kembali menumpukan perhatian ke luar.
Jemma mengeliat perlahan, cuba menghilangkan keletihan dan kelesuan badan. Dia berdiri dan berjalan ke arah tingkap, berdiri di sebelah Zaquan. Jalan raya di bawah masih dipenuhi kenderaan yang ditinggalkan, sampah bertaburan, dan beberapa kedai kelihatan seperti sudah dipecah masuk. Tidak ada pergerakan manusia—atau benda lain.
"Sunyi," Jemma berbisik, seolah-olah takut akan mengganggu suasana.
Zaquan mengangguk. "Sunyi macam ni lagi bikin takut daripada bunyi bising."
Jemma memahami maksudnya. Jika tiada bunyi, itu bermakna mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku di sekitar.
Tiba-tiba, bunyi sesuatu jatuh di tingkat bawah mengejutkan mereka. Bunyi barang jatuh di lantai simen.
Jemma dan Zaquan saling berpandangan sebelum secara serentak bergerak ke arah pintu. Jemma menoleh ke arah Khai yang masih tidur. Dia menggoncang bahu remaja itu perlahan.
"Khai, bangun."
Khai mengerang perlahan sebelum matanya terbuka. "Huh?"
"Ssshhh" bisik Jemma, sambil jari telunjuknya ditujukan ke lantai, bermaksud ada sesuatu tingkat bawah.
Khai terus tersedar sepenuhnya. Dia duduk tegak dan memandang ke arah pintu dengan riak wajah cemas. Zaquan sudah bersedia dengan batang besinya, dan Jemma juga mengetatkan genggaman pada kayu besbol yang dibawanya dari MR.DIY sebelum ini.
"Be ready for anything," Zaquan berkata perlahan.
Mereka bertiga diam, menunggu apa sahaja yang bakal berlaku seterusnya.
Mereka yang lain masih berada di dalam bilik masing-masing. Mereka semua terlalu letih selepas malam yang panjang dan masih belum bangun.
Jemma menjeling ke arah bilik-bilik lain di sepanjang koridor. Pintu-pintu tertutup rapat, menunjukkan bahawa mereka yang di dalam masih lena. Sesekali, dia dapat mendengar bunyi dengkuran halus dari salah satu bilik.
Zaquan, yang berdiri di tepi pintu, berbisik perlahan, "Kita diam-diam dulu. Kalau bunyi tadi cuma benda jatuh biasa, nda perlu kejutkan semua orang."
Jemma mengangguk setuju, tetapi dia tidak boleh menghilangkan perasaan tidak tenang dalam dirinya. Kalau itu bukan sekadar bunyi benda jatuh, tapi sesuatu yang lebih berbahaya?
Khai menggosok matanya untuk menghilangkan rasa mengantuk, bertanya, "Kita turun sekarang atau tunggu dulu?"
Zaquan menghela nafas perlahan. "Kita tunggu sekejap."
Mereka bertiga berdiri dalam senyap, hanya mengawasi pintu dan mendengar. Suasana tetap sunyi, kecuali hembusan angin dari tingkap yang separuh terbuka.
Setelah beberapa minit tanpa sebarang pergerakan atau bunyi mencurigakan, Zaquan akhirnya berkata, "Mungkin tikus macam semalam. Tapi untuk selamat, lepas semua bangun, kita mesti periksa kawasan hotel ni."
Jemma masih berasa ragu, tetapi dia tahu mereka tidak boleh bertindak terburu-buru. Buat masa ini, mereka hanya perlu bersedia.
Beberapa minit berlalu dalam keadaan senyap. Jemma, Zaquan, dan Khai masih berjaga di koridor, menunggu jika ada bunyi lain yang mencurigakan. Namun, tiada apa-apa yang berlaku.
Matahari sudah semakin naik. Cahaya pagi masuk melalui tingkap di hujung koridor, menerangi sebahagian dinding dan lantai. Bunyi deruan angin di luar menambah suasana sepi di dalam hotel itu.
Tiba-tiba, pintu salah satu bilik terbuka. Hana keluar bersama Rebekah dan seorang lagi wanita dari bilik mereka. Dia menguap kecil dan menggosok matanya sebelum memandang mereka bertiga.
"Awalnya kamu bangun." Kata wanita yang berada disebelah Hana dengan suara serak.
Jemma mengangguk. "Kami dengar bunyi tadi. Nda pasti apa."
Wanita itu kelihatan terkejut sedikit. "Bunyi apa?"
Zaquan menjawab tenang, "Mungkin tikus. Tapi untuk pastikan tempat ni selamat, nanti kita check bila semua sudah bangun."
Wanita itu mengangguk kecil, kelihatan lega kerana ada orang lain yang lebih bersedia.
Tidak lama kemudian, seorang demi seorang mula keluar dari bilik. Ada yang masih menggosok mata, ada yang terus duduk di lantai sambil meregangkan badan. Suasana perlahan-lahan menjadi lebih hidup.
Pakcik Aman bertanya "jadi, apa kita mau buat hari ini?"
Zaquan bersandar pada dinding dan menjawab dengan nada serius. "Kita perlu buat dua benda, periksa keadaan hotel dan cari makanan." Sambil memandang setiap orang yang ada disitu, dia tahu mereka sedang kelaparan. Ada yang mengusap perut dan ada yang seperti kehausan.
Semua orang diam seketika, sebelum akhirnya masing-masing mengangguk setuju. Mereka mula bergerak untuk melakukan seperti yang dirancang.
Zaquan mengambil inisiatif untuk memeriksa beberapa kenderaan yang mungkin masih boleh digunakan jika mereka perlu melarikan diri nanti. Dengan berhati-hati, dia mengatur langkah ke tempat parkir hotel, ditemani oleh Raveko dan Pakcik Aman.
Sementara itu, Jemma dan beberapa yang lain bergerak di sekitar hotel, mencari bekalan yang boleh digunakan. Mereka memasuki setiap bilik kosong, mencari makanan, air, atau apa sahaja yang berguna.
Khai dan seorang lagi lelaki memeriksa bahagian dapur hotel. Mereka menemui beberapa botol air mineral yang masih belum disentuh, beberapa tin makanan, dan sebilah pisau dapur yang masih tajam.
Jemma pula menemukan beberapa helaian kain dan tuala yang boleh digunakan sebagai pembalut luka. Di salah satu bilik, dia juga menemui beg galas yang kosong tetapi masih dalam keadaan baik. Dia segera mengisinya dengan barang-barang kecil yang berguna.
Di bahagian lobi hotel pula ada Hana dan Rebekah yang sedang meneliti kawasan itu. Hana membuka laci kaunter penerimaan tetamu untuk mencari barang yang berguna. Beberapa minit ketika, mereka menemui beberapa bateri, lampu suluh kecil dan dua buah walkie talkie .
Jam menunjukkan pukul 12.30 tengah hari.
Di lobi hotel, beberapa orang sudah berkumpul termasuk Jemma yang sedang menyusun barang di atas meja, dia mengeluarkan hasil pendapatan menyelongkar bilik-bilik hotel.
"Ada dua kereta di luar yang boleh guna," katanya sambil duduk di atas sofa. "Minyak masih ada."
Jemma mengangguk sambil mengagih-agihkan makanan dan minuman kepada kumpulannya.
"Kita perlukan rancangan" akhirnya Jemma bersuara. Dia tahu tempat mereka berlindung sekarang mungkin selamat untuk beberapa hari tapi jika mereka terus berada disana keadaan mungkin akan menjadi lebih teruk.
Sehingga ke hari ini mereka tidak mendengar sebarang berita atau maklumat tentang tempat yang selamat. Mustahil kota yang dipenuhi dengan manusia tiba-tiba menjadi kosong dalam masa sehari.
Zaquan bersandar, berfikir untuk seketika sebelum membalas pernyataan Jemma. Lelaki itu juga sedang berfikir apa kemungkinan buruk yang bakal terjadi jika mereka tidak cuba untuk mencari tempat yang selamat.
"Siapa yang masih ada telefon?" tiba-tiba Zaquan menyoal.
Rebekah dan beberapa orang lagj mengeluarkan telefon pintar mereka. Ada yang telah kehabisan bateri. Seorang daripada mereka memberikan telefon kepada Zaquan.
Dia mengambil telefon itu, cuba mencari sesuatu didalamnya.
"Tiada line." Jemma yang berdiri disebelah Zaquan menunjuk ke arah lambang bar yang berpangkah pada telefon.
"Ya, last ada line waktu kemarin malam masa kita di tingkat atas itu pun satu bar ja" pemilik telefon itu memberitahu Jemma. Zaquan kemudian memberikan semula telefon pada pemiliknya.
Khai yang daripada tadi tekun menatal skrin telefonnya bersuara, "bang..cuba tengok ni" dia kemudiannya mendekati Zaquan sambil menunjukkan sesuatu pada skrin telefon.
Khai menekan butang play, dan serta-merta skrin telefonnya memaparkan rakaman video. Semua yang berada di lobi hotel itu fokus melihat skrin telefon Khai.
Dalam video tersebut, seorang lelaki berpakaian seragam tentera berdiri tegak di belakang sebuah podium, wajahnya tegang dan serius. Lencana serta pangkat di bahunya menunjukkan bahawa dia merupakan pegawai tertinggi dalam angkatan tentera.
Dengan suara lantang dan tegas, dia berkata, "berdasarkan situasi semasa yang semakin meruncing, saya dengan ini mengisytiharkan darurat di seluruh negara. Semua pihak diminta untuk mematuhi arahan yang telah ditetapkan. Pihak tentera akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan rakyat dan kestabilan negara."
Di bawah hantaran itu, terdapat satu lagi hantaran berbentuk rakaman. Skrin telefonnya kini memaparkan rakaman vlog seorang lelaki berusia 40-an Suaranya kedengaran sedikit cemas, tetapi masih cuba untuk kekal tenang. Kelihatan seperti dia baru saja tiba di tempat itu.
"Sa sekarang berada di tempat perlindungan."
"Tingu ada askar, ada doktor."
Kamera dalam video itu berpusing, menampilkan pemandangan di sekelilingnya.
Sekumpulan anggota tentera sedang bersiap siaga, paramedik sibuk merawat mangsa, dan wajah orang awam yang keletihan memenuhi ruang.
Tiba-tiba, Jemma terasa dadanya bergetar. Matanya membulat, fokus pada skrin telefon di tangan Khai.
Di sebalik rakaman yang bergoyang-goyang, di celah orang ramai yang berlindung di kawasan itu—dia ternampak satu kelibat yang membuatkan nafasnya tersekat.
Tudung itu… postur badan itu… terlalu familiar.
"Mikayla?" Nama itu terluncur perlahan dari bibirnya, hampir tidak kedengaran. Dia menelan liur, matanya masih terkunci pada sosok itu dalam video.
Adakah itu benar-benar Mikayla? Atau hanya seseorang yang menyerupainya?
Lelaki itu terus berjalan mengelilingi kawasan tersebut sambil mengulas seakan wartawan televisyen. Namun, di sebalik semua itu, ada sesuatu dalam nada suara lelaki itu yang membuatkan mereka yang menonton merasa tidak tenang.
Kemudian, dia menatap kamera dengan ekspresi serius. “Kepada sesiapa yang masih hidup...Yang masih berlindung di luar sana… Kamu mesti cepat-cepat ke sini sebelum gelombang kedua. Datang ke kompleks suk—”
Namun, sebelum lelaki itu sempat menyebut lokasi penuh tempat tersebut, skrin tiba-tiba menjadi hitam. Talian telefon terputus. Video itu berhenti di situ saja.
Seisi bilik menjadi sunyi. Rasa takut mula merayap dalam diri mereka—sesuatu yang lebih buruk akan datang, dan mereka masih tidak tahu.
Mereka semua saling bertatapan...
Gelombang kedua?
Share this novel