Bab 2

Thriller Series 156

Bokaw Mixed Martial Art Training Centre

25 September 2029 Jam 05:30

Jemma bangkit dari tidur dan segera bersiap untuk melakukan larian sejauh 5 kilometer. Selepas memakai kasut, tiba-tiba telefonnya berdering. Dia menjawab panggilan itu.

"Hello Jemma, ni coach Johan. Kamu di KK sudah bah kan?" Pemanggil itu bersuara.
"Oh coach pula! Ya coach kenapa?" Jawab Jemma.
"Boleh Jemma datang gym hari inikah? Jam 9 macam tu. Ada coach mahu bincang pasal event Muaythai."
"Boleh coach, nanti saya datang gym."

"Awal betul lah juga coach call aku. Macam penting." Bisik Jemma.

Jemma menamatkan panggilan dan melihat jam di dinding—baru pukul 5:32 pagi. Dia menghela nafas panjang sebelum meregangkan tubuhnya.

"Larian dulu, baru fikir pasal event," katanya kepada diri sendiri.

Dia keluar dari bilik, memakai jaket nipis, dan menyarungkan fon telinga. Lagu-lagu semangat mula bermain dalam kepalanya seiring dengan langkah pertama menuruni tangga.

Udara pagi Kota Kinabalu masih segar, jalan raya lengang, hanya beberapa kenderaan sesekali melintas. Jemma memulakan lariannya, mengekalkan rentak stabil. Setiap hembusan nafas, setiap hentakan kaki di atas jalan, semuanya terasa biasa—rutin yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Namun, dalam fikiran, dia tertanya-tanya tentang perbualan tadi. Event Muaythai? Coach Johan jarang menghubunginya awal pagi, kecuali hal itu benar-benar penting.

Coach Johan Iskandar ialah seorang pensyarah Sains Sukan di Universiti Malaysia Sabah. Pada masa lapangnya dia menjadi jurulatih seni bela diri di Bokaw Martial Art Training Centre, gym milik abangnya.

Berusia 42 tahun, dia terkenal dengan ketegasan serta kepakarannya dalam Muaythai dan seni bela diri campuran (MMA). Sebagai tenaga pengajar, dia bukan sahaja mengajar teori sukan tetapi juga melatih pelajarnya untuk memahami strategi, ketahanan fizikal, dan teknik pertarungan yang berkesan.

Dengan suara garau dan gaya kepimpinan yang tegas, Coach Johan sering menekankan kepantasan, kawalan pernafasan, serta keupayaan membaca gerakan lawan dalam setiap sesi latihannya.

Setelah menamatkan larian sejauh 5 kilometer dalam masa 20 minit, Jemma berdiri di tepi jalan, mengatur nafasnya. Peluh membasahi dahi, tetapi dia berpuas hati—daya ketahanannya masih berada pada tahap terbaik.

Dia berjalan perlahan kembali ke rumah sewanya, melakukan regangan untuk mengelakkan kecederaan. Selepas beberapa minit, dia masuk ke dalam, menuju ke bilik mandi untuk menyegarkan diri.

Jam menunjukkan pukul 8.30 pagi ketika Jemma selesai bersiap. Dia mengenakan hoodie hitam dan seluar sukan longgar, kemudian menyikat rambutnya dengan kemas. Sebelum keluar, dia mencapai botol air dan beg kecil yang mengandungi balutan tangan serta keperluan lain.

Keluar dari rumah, dia menaiki Grab menuju ke Bokaw Mixed Martial Arts Training Centre yang terletak di Aeropod. Perjalanannya hanya mengambil masa 25 minit. Sepanjang perjalanan, Jemma termenung, memikirkan kemungkinan yang akan dibincangkan oleh Coach Johan.

"Event Muaythai... Adakah ini peluang untuk aku sertai pertandingan besar? Atau sekadar event biasa?"

Sebaik tiba di Aeropod, dia membayar tambang dan melangkah masuk ke pusat latihan. Tempat itu sudah mulai sibuk, dengan beberapa atlet sedang melakukan warm-up dan sesi sparring ringan. Bunyi tumbukan mengenai pad bergema di seluruh ruang.

Jemma memerhati sekeliling, mencari kelibat Coach Johan. Tidak lama kemudian, seorang lelaki berusia pertengahan 40-an dengan badan tegap dan berambut pendek menghampirinya.

"Jemma! Tepat pada masanya," ujar Coach Johan dengan senyuman kecil.
"Coach, event macam mana ni?" Jemma bertanya tanpa berlengah.

Coach Johan ketawa kecil, kemudian menepuk bahunya. "Mari duduk dulu. Saya ada sesuatu yang menarik untuk kamu."

Jemma mengikut Coach Johan ke sebuah meja kecil di sudut gym, berdekatan dengan cermin besar yang memantulkan suasana latihan di belakang mereka. Dia duduk di atas bangku, meneguk sedikit air sambil menanti penjelasan.

Coach Johan menarik nafas sebelum berkata, "Jemma, saya ada berita baik untuk kamu. Ada kejohanan Muaythai peringkat antarabangsa akan diadakan di Bangkok hujung tahun ini. Saya mahu kamu sertai sebagai wakil dari gym kita."

Jemma terkejut seketika. Dia memang sudah lama mahu bertanding di peringkat lebih tinggi, tetapi tidak menyangka peluang itu datang secepat ini.

"Coach serius? Saya boleh sertai?" Jemma bertanya, mahu memastikan dia tidak salah dengar.

Coach Johan mengangguk. "Ya. Saya yakin dengan kebolehan kamu. Tapi ada satu syarat—kamu perlu bersedia sepenuhnya. Ini bukan pertandingan biasa. Lawan yang bakal kamu hadapi semuanya dari kelab ternama. Kita ada lebih kurang tiga bulan untuk latihan intensif."

Jemma menggigit bibir, memikirkan cabaran yang bakal dihadapinya. Tetapi jauh di sudut hatinya, dia sudah membuat keputusan.

"Saya terima, Coach. Saya sanggup berlatih keras."

Coach Johan tersenyum puas. "Bagus. Mulai minggu depan, saya akan ubah jadual latihan kamu. Hari ini, kita buat penilaian dulu. Saya mahu lihat sejauh mana tahap stamina dan teknik kamu sekarang."

Jemma mengangguk. Dia tahu, ini bukan masa untuk ragu-ragu. Ini peluangnya untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi—dan dia tidak akan mensia-siakan peluang ini.

Coach Johan menepuk bahunya sebelum bangun. "Mari kita ke gelanggang. Tunjukkan pada saya apa yang kamu ada."

Dengan semangat membara, Jemma berdiri dan mengikut Coach Johan ke tengah gym.

Jemma berdiri di tengah gelanggang latihan, mengetatkan balutan tangannya. Sekelilingnya, beberapa ahli gym lain berhenti seketika untuk melihat—mereka tahu apabila Coach Johan mahu menilai seseorang, ia bukan sekadar latihan biasa.

"Kita mulakan dengan ujian asas," kata Coach Johan. "Lari pusing gym selama lima minit, kemudian terus lompat tali selama tiga minit tanpa henti."

Jemma mengangguk dan terus berlari mengelilingi ruang latihan. Walaupun baru sahaja menamatkan larian 5 kilometer pagi tadi, dia tetap mengekalkan kelajuan dan rentak pernafasannya dengan baik.

Setelah lima minit berlalu, dia terus mencapai tali skipping dan mula melompat. Rentaknya stabil, pergerakan kakinya ringan seperti seorang pejuang berpengalaman.

Coach Johan memerhati dari tepi dengan senyuman kecil. "Stamina bagus. Sekarang, shadow boxing tiga pusingan. Tunjukkan kombinasi terbaik kamu."

Jemma mengambil posisi, menyesuaikan kuda-kuda dan mula bergerak. Setiap tumbukan, siku, tendangan, dan lutut yang dilepaskan penuh dengan ketepatan. Dia membayangkan lawan di hadapannya, menyerang dan mengelak dengan pantas.

"Baik. Sekarang masuk ke dalam gelanggang. Saya mahu kamu sparring dengan Asyraf."

Jemma berpaling dan melihat Asyraf, seorang fighter lelaki yang lebih tinggi daripadanya, sudah bersedia. Dia seorang fighter yang kuat, terkenal dengan teknik counter-attack yang tajam.

"Kita buat dua pusingan," kata Coach Johan. "Jangan tahan diri. Saya mahu lihat kamu bertarung betul-betul."

Jemma menarik nafas dalam. Ini bukan sekadar ujian fizikal—Coach Johan sedang menguji mentalitinya juga.

Gong latihan dibunyikan. Asyraf melangkah ke hadapan, menunggu Jemma membuat gerakan pertama.

Tanpa berlengah, Jemma menyerang dengan kombinasi jab dan cross, diikuti tendangan low kick ke arah betis Asyraf. Asyraf mengelak dengan pantas dan cuba membalas dengan hook kanan, tetapi Jemma menunduk dan segera melepaskan counter elbow ke arah bahu lawannya.

Perlawanan berlangsung sengit. Asyraf menggunakan kelebihan saiznya untuk menekan Jemma ke sudut, tetapi Jemma pantas bergerak ke sisi, menyerang dengan kombinasi lutut dan tumbukan ke arah badan lawannya.

Selepas dua pusingan yang mendebarkan, Coach Johan mengangkat tangan. "Cukup!"

Jemma menghela nafas, peluh membasahi dahinya. Dia menoleh ke arah Coach Johan, menunggu reaksinya.

"Bagus, Jemma. Kamu masih tajam, tapi ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Mulai minggu depan, kita akan fokus pada ketahanan dan kekuatan serangan. Lawan di Bangkok nanti takkan beri kamu ruang untuk bernafas."

Jemma mengangguk dengan yakin. "Saya bersedia, Coach."

Coach Johan tersenyum. "Kalau begitu, bersiap sedia. Mulai sekarang, latihan kamu akan menjadi lebih berat. Tapi kalau kamu sanggup bertahan, saya yakin kamu boleh menang."

Jemma menggenggam tangannya erat. Dia bimbang bagaimana untuk menyeimbangkan masa latihan dan masa untuk belajar. Namun jika Jemma tahu apa yang sedang berlaku diluar negara pada waktu sekarang mungkin dia tidak akan fokus pada latihan. —

Jemma menyandarkan kepalanya pada tingkap kereta, melihat suasana Kota Kinabalu yang masih sibuk pada waktu petang. Kenderaan lalu-lalang seperti biasa, orang ramai masih keluar membeli-belah dan menjalani kehidupan mereka tanpa menyedari sesuatu sedang berubah di luar jangkauan mereka.

"Jemma," Coach Johan bersuara, memecahkan keheningan. "Jangan ambil ringan latihan ini. Kamu perlukan skill dan stamina bukan hanya untuk bertanding… tapi untuk menghadapi dunia sebenar."

Jemma mengerutkan dahi. "Maksud coach?"

Coach Johan menghela nafas perlahan. "Nanti kamu akan faham."

Kata-kata itu menimbulkan tanda tanya dalam fikiran Jemma, tetapi dia tidak bertanya lebih lanjut. Beberapa minit kemudian, mereka sampai di rumah sewanya.

"Terima kasih, Coach," katanya sambil membuka pintu kereta.

Coach Johan hanya mengangguk sebelum memandu pergi. Jemma naik ke rumahnya, menutup pintu dan melepaskan nafas panjang. Badannya terasa penat selepas seharian berlatih.

Jemma menyalakan televisyen dan perlahan menunju ke dapur.

"Laporan terkini: Rusuhan berlaku di beberapa lokasi di Negara China menyebabkan pasukan polis terpaksa dikerahkan bagi mengawal keadaan…"

Paparan skrin menunjukkan rakaman orang ramai bertempiaran di jalanan, beberapa kenderaan terbakar, dan pegawai perubatan tergesa-gesa mengangkut pesakit ke ambulans. Beberapa saat kemudian, skrin bertukar ke visual dalam sebuah hospital.

Jemma semakin fokus. Rakaman menunjukkan pesakit yang terbaring di koridor hospital—beberapa daripadanya menggeliat kesakitan, sementara ada yang ditahan di katil dengan tangan dan kaki diikat.

"Pihak berkuasa masih belum memberikan kenyataan rasmi tentang keadaan ini. Namun, terdapat laporan tidak sahih yang mengatakan beberapa individu bertindak agresif secara tiba-tiba dan menyerang sesiapa yang berada berhampiran…"

Jemma merasakan bulu romanya meremang.

Rusuhan? Hospital penuh? Penyakit misteri?

Jemma menghela nafas perlahan. Dia tidak terlalu memikirkannya dan menuju ke bilik mandi untuk membersihkan diri selepas latihan panjang hari ini.

"Kejadian di luar negara. Lagipun kerajaan dan menteri masih belum keluarkan apa-apa kenyataan..." 

Jemma berfikiran positif seakan dia tidak mendengar berita itu.

Pada malam hari, Jemma mengemas beg pakaiannya kerana esok adalah hari dimana dia, Ann dan Mikayla bercuti ke Pulau Manukan.

Jemma merebahkan badannya, dan memejamkan mata. Dia perlahan-lahan hanyut dalam lena, sementara fikirannya melayang kepada percutiannya esok.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience