Hari Pertama
Suasana di kawasan penempatan terpencil itu sunyi, hanya kedengaran bunyi cengkerik bersahutan di celah belukar. Rayyan memerhatikan pergerakan angin di antara dedaun, meneliti setiap bayang yang bergerak. Malam itu gelap, tiada bulan, hanya lampu merah kecil di senapangnya yang menerangi penglihatan.
Di sebelah, Saiful, penembak tepat pasukan, sedang bersedia. Melalui alat komunikasi di telinga, suara komander kedengaran jelas.
“Alpha One, lokasi ketua ajaran sesat dikesan di rumah kayu tengah kawasan. Ada tiga pengawal bersenjata di luar.”
Rayyan memberi isyarat tangan kepada pasukannya. Mereka mula bergerak perlahan, langkah disusun di tanah lembut tanpa menimbulkan bunyi. Setiap anggota berhenti di kedudukan masing-masing.
Ini malam pertama… kalau tak berjaya tahan ketua mereka, pengikut akan melarikan diri ke hutan. Misi ni tak boleh gagal.
Hari Kedua
Subuh menjelang, operasi malam tadi tidak berjaya menahan ketua ajaran sesat itu. Dia sempat melarikan diri ke kawasan perbukitan di utara penempatan. Pasukan Rayyan menjejaknya sehingga ke lereng bukit.
Rayyan berdiri di sisi Saiful yang sedang memeriksa kesan tapak kaki. Dia mengelap peluh yang menitis di dahi.
Orang tua tu bukan calang-calang… licik. Tapi tak apa. Aku janji dengan diri sendiri, sebelum balik jumpa Aliya, aku akan pastikan dia ditangkap.
Pasukan meneruskan perjalanan menjejaki suspek. Beberapa kali mereka terpaksa berhenti apabila terdengar suara pengikut ajaran sesat yang masih setia melindungi ketua mereka.
Tengah hari itu, mereka menemui sebuah gua kecil dengan kesan asap baru. Bau kayu terbakar masih jelas.
“Dia di sini,” kata Rayyan perlahan.
Pasukan mula mengepung pintu masuk gua. Namun, selepas diperiksa, ketua ajaran sesat itu sudah tiada. Hanya tinggal beberapa bekas makanan dan kain tebal untuk tidur.
Hari Ketiga
Matahari terbit perlahan di ufuk timur. Pasukan sudah bersedia sejak awal pagi. Dron kecil digunakan untuk meninjau kawasan lebih luas. Rayyan menunggu sambil memeriksa senapang, memastikan semua peluru cukup.
Aliya… hari ketiga. Tunggu aku balik. Misi ni akan selesai hari ini.
Tiba-tiba, suara komander masuk melalui alat komunikasi.
“Target dikesan di kawasan ladang lama 2 kilometer utara. Semua unit bergerak sekarang.”
Rayyan memberi isyarat tangan. Pasukan mula bergerak dalam formasi serangan. Apabila tiba di kawasan ladang itu, mereka melihat ketua ajaran sesat bersama empat pengikutnya sedang bersedia untuk melarikan diri menaiki pacuan empat roda.
“Tembak tayar!” arah Rayyan pantas.
Bunyi tembakan bergema. Tayarnya meletup serta-merta. Kenderaan itu terhenti. Pengikut-pengikutnya mula mengacukan senjata, namun pasukan Rayyan lebih bersedia. Beberapa das tembakan dilepaskan, melumpuhkan mereka tanpa membunuh.
Rayyan mara ke hadapan, menghampiri ketua ajaran sesat yang terduduk ketakutan di tanah. Lelaki tua berjubah itu menatap Rayyan
dengan pandangan tajam bercampur benci.
“Kau tak akan faham apa yang aku buat,” katanya perlahan.
Rayyan hanya diam, menunduk sedikit, sebelum menatap wajahnya dengan mata yang tajam.
“Aku tak perlu faham. Aku cuma pastikan kau tak sakiti sesiapa lagi.”
Dengan pantas, ketua ajaran sesat itu digari dan diheret ke kenderaan operasi. Pasukan mula bergerak meninggalkan kawasan ladang.
Rayyan menoleh ke langit, melihat awan perlahan bergerak dihembus angin pagi.
Selesai. Boleh balik jumpa Aliya…
Jam menunjukkan pukul 12.39 tengah hari. Rayyan sudah pun tiba di kawasan kem tentera. Hari itu dia bercadang untuk tidak memberitahu Aliya tentang kepulangannya, mahu membuat kejutan apabila tiba di rumah nanti.
Sesampainya di kawasan parkir, dia menekan butang kunci kereta. Bunyi “beep” kedengaran sebelum dia membuka pintu, masuk ke dalam dan menghidupkan enjin. Tangannya cekap menukar gear, dan perlahan-lahan kereta itu meluncur keluar dari kawasan kem.
Jam 1.22 petang, keretanya hampir tiba di jalan utama menuju ke kawasan rumah. Namun, tiba-tiba satu hentaman kuat dari belakang menggegarkan seluruh keretanya. Stereng di tangannya terlepas kawalan, dan kereta itu terbabas ke tepi jalan sebelum terjunam terus ke dalam kawasan hutan kecil.
Tidak sampai lima minit kemudian, Rayyan tersedar. Kepalanya terasa pening, namun matanya masih mampu melihat dengan jelas. Dia memeriksa tubuh badannya, memastikan tiada luka parah.
Dia menarik nafas perlahan.
Nasib baik… bawa 60km sejam saja tadi. Kalau laju, entah apa jadi. Mujur juga ada beg udara, kalau tak…
Rayyan cuba membuka pintu kereta, namun pintu itu tersekat rapat. Dia memandang ke sisi, menilai keadaan sebelum perlahan-lahan merangkak keluar melalui tingkap yang retak.
Saat kakinya menjejak tanah, telinganya menangkap suara beberapa orang tidak jauh dari keretanya. Suara itu kedengaran jelas, dalam nada tegas dan mengarah.
“Cari dia sampai dapat. Jangan bagi lepas.”
Rayyan berdiam diri di sebalik semak kecil, menahan nafas.
Kena… mereka cakap macam tu… macam memburu aku… jadi kemalangan ini bukan kebetulan… ini semua dirancang…
Tanpa membuang masa, Rayyan mula bergerak perlahan, menjarakkan diri dari lokasi keretanya. Langkahnya teratur, matanya liar mencari kawasan strategik untuk menyorok dan menilai keadaan.
Hatinya mula dipenuhi dengan satu tekad.
Apa pun jadi… aku kena balik jumpa Aliya. Dia dalam bahaya kalau aku gagal hari ini…
Rayyan bersembunyi di sebalik pokok besar, matanya tajam memerhatikan setiap gerakan lima orang yang sedang memeriksa kenderaannya. Nafasnya diatur perlahan. Dia tahu dia tidak memiliki senjata ketika itu. Hanya dirinya dan tekad untuk terus hidup.
Lima orang… kalau serang terus, mati kat sini juga. Kena pisahkan mereka…
Perlahan-lahan, Rayyan bergerak beberapa meter ke sisi, memastikan langkahnya tidak menimbulkan bunyi yang kuat. Tangannya mencapai batu kecil di tanah. Dia menimbang batu itu sebentar sebelum melontarkannya ke arah semak di hujung kiri.
“Tak!” bunyi ranting patah disebabkan batu itu memecah kesunyian.
Serta-merta lima orang itu menoleh ke arah bunyi. Seorang daripada mereka memberi arahan dengan nada tegas.
“Pergi sana cari dia. Aku tunggu sini.”
Empat orang terus bergerak pantas menuju ke arah bunyi yang dicipta Rayyan, meninggalkan seorang lagi berdiri tidak jauh dari keretanya sambil memegang pistol.
Rayyan menunggu, menahan sabar sehingga empat orang itu hilang dari pandangan. Dia menarik nafas perlahan, menunduk, dan mula berjalan merapati lelaki itu dengan langkah senyap, satu demi satu seperti bayang gelap di celah pohon.
Dalam sekelip mata, lengannya melilit leher lelaki itu dari belakang. Dia menekannya kuat, menutup mulut lelaki itu dengan tapak tangan kiri. Beberapa saat kemudian, tubuh lelaki itu terkulai lemah dan jatuh perlahan ke tanah.
Rayyan memeriksa sekeliling sebelum memungut pistol yang diselit di pinggang lelaki itu. Tangannya mencapai sesuatu lagi dari poket musuhnya – sebuah telefon Nokia lama yang masih berfungsi.
Tak sangka zaman sekarang pun masih guna telefon macam ni…
Rayyan berdiri tegak, matanya memandang ke arah hutan yang semakin menebal di hadapannya. Nafasnya berat, namun langkahnya tetap yakin.
Tak ada pilihan lain… aku kena terus jalan, balik ke rumah… sebelum semuanya terlambat.
Dia menyelak ranting di hadapan, menyorok pistol di belakang badannya dan mula melangkah, hilang di sebalik kabus hutan yang mula turun perlahan-lahan.
Share this novel